Browsing Tag

kemelesetan

Ekonomi
Gaya Hidup, Gaya Hidup,

Contohi cara Nabi Yusuf AS tangani kegetiran ekonomi

BERBAKI lagi 15 hari, kita bakal melangkah ke tahun baharu 2023. Namun begitu, perkhabaran duka tentang keadaan ekonomi getir tahun hadapan menggusarkan hati orang ramai.

Apatah lagi pada 11 November lalu, Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus menjelaskan, Malaysia telah mula menyaksikan tanda-tanda inflasi. Ia didorong oleh permintaan dalam persekitaran deposit yang tinggi. Meskipun keadaan itu dijangka kekal tinggi, tetapi Malaysia tidak menjangkakan kemelesetan.

Sesungguhnya, bukan mudah untuk berhadapan dengan situasi mencabar kerana ia bukan sahaja melibatkan negara, tetapi juga soal ekonomi keluarga. Lebih-lebih lagi kita baru sahaja melalui fasa bangkit semula selepas berdepan kesukaran akibat wabak Covid-19 dua tahun lalu.

Bagi mendepani rintangan tersebut, perlu ada persiapan rapi. Pastinya al-Quran dan as-Sunnah yang menjadi manual kehidupan kita perlu dirujuk sebagai pedoman. Ia sentiasa relevan pada bila-bila masa.

Apakah cara dianjurkan Islam dalam menghadapi situasi kegetiran ekonomi? Bagaimana untuk mendepani keperitan tersebut sekali lagi?

Mimpi Raja Mesir

Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia, Dr Muhammad Iqmal Hisham Kamaruddin membuka kalamnya dengan mengajak umat Islam mengambil ibrah daripada kisah mimpi Raja Mesir pada zaman Nabi Yusuf AS.

DR MUHAMMAD IQMAL HISHAM

Ia sebagaimana yang dirakamkan dalam al-Quran menerusi Surah Yusuf, ayat 43 dan ayat 47 hingga 49.

Kalamullah itu menceritakan Raja Mesir bermimpi melihat tujuh ekor lembu betina gemuk dimakan oleh tujuh ekor lembu betina yang kurus dan tujuh tangkai gandum hijau serta tujuh tangkai lainnya yang kering. Baginda kemudian bertanyakan kepada pembesar-pembesarnya untuk mentakwilkan mimpinya.

Disebabkan tidak mampu mentafsir, akhirnya tugas itu diberikan kepada Nabi Yusuf AS yang arif ‘membaca‘ mimpi sebagaimana disebutkan dalam ayat 47-49, Surah Yusuf yang bermaksud: “Dia (Yusuf) berkata, “Agar kamu bercucuk tanam tujuh tahun (berturut-turut) sebagaimana biasa; kemudian apa yang kamu tuai hendaklah kamu membiarkan di tangkainya kecuali sedikit untuk kamu makan. Kemudian setelah itu akan datang tujuh (tahun) yang sangat sulit, yang menghabiskan apa yang kamu simpan untuk menghadapinya (tahun sukar), kecuali sedikit daripada apa (gandum) yang kamu simpan. Setelah itu akan datang tahun, di mana manusia diberi hujan (dengan cukup) dan pada masa itu mereka memeras (anggur).“

Baca juga Renungkan cara Nabi Yusuf tangani kegawatan ekonomi pada zamannya

Berdasarkan kisah tersebut, ujar Dr Muhammad Iqmal Hisham, kitaran pertumbuhan ekonomi dalam dunia realitinya sememangnya begitu. Jika diteliti rekod 100 tahun sebelum ini, memang ada ketikanya ekonomi baik dan mengalami kemelesetan.

“Jadi kita gunakan konsep sama sebagaimana tindakan yang dilakukan oleh Nabi Yusuf AS, sepanjang tempoh tujuh tahun yang baik, mereka melaksanakan catuan terhadap hasil-hasil pertanian dan ternakan serta menyimpannya.

“Apabila berlakunya tujuh tahun yang mencabar iaitu ketika kemarau melanda, maka mereka memiliki bekalan harian yang mencukupi untuk menampung waktu-waktu tersebut,“ katanya kepada Sinar Islam Plus baru-baru ini.

Ekonomi

RANCANG kewangan masing-masing dengan bijak agar tidak terperangkap dengan cabaran ekonomi keluarga. -FOTO: PEXELS

Perkara itu juga boleh diaplikasikan dalam konteks ekonomi negara pada masa kini, ungkapnya.

“Pada waktu ekonomi berkembang secara positif atau baik, sepatutnya pihak kerajaan dari sudut makronya membuat simpanan lebih atau akan memastikan bajet lebihan (surplus) supaya kita ada lebihan dana untuk disimpan pada masa depan dan boleh digunakan pada waktu kemelesetan,“ jelasnya.

Baca juga Wakaf antara cara ‘ubati’ impak ekonomi

Sifat wasatiyah

Menyambung hujahnya, pakar ekonomi Islam itu menjelaskan, konteks ekonomi negara tidak sama dengan individu.

“Masyarakat sememangnya mahu bebas berhutang kerana itulah indikator yang baik bagi mereka, tetapi bagi negara pula, mereka perlu memanfaatkan kemampuan dan pengeluaran yang ada dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Jika negara tidak berbuat demikian dengan membuat pinjaman dan sebagainya, ekonomi kita akan bergerak dengan lambat dalam erti kata mudah.

“Sebenarnya tiada masalah untuk membuat pinjaman asalkan ia mesti berpandukan kepada had-had yang dirasakan sesuai dan ada kemampuan untuk membayar semula,“ ungkapnya.

Dari satu sudut, Islam melarang umatnya membazir, tetapi masyarakat digalakkan berbelanja untuk merancakkan sektor ekonomi. Bagaimana kita mahu mengimbanginya?

Menjawab persoalan itu, Dr Muhammad Iqmal Hisham menjelaskan, sebagaimana yang dianjurkan oleh agama suci itu, kita hendaklah bersifat wasatiyah iaitu bersederhana.

Mudah kata, tidak terlalu lebih berbelanja mahupun kedekut ketika menggunakan wang. Begitu juga ketika dalam situasi kegetiran ekonomi dan bila-bila masa, terangnya.

Ekonomi

ISLAM mengajar umatnya agar tidak membazir ketika berbelanja dan pada masa sama, jangan terlalu kedekut demi kemaslahatan diri dan keluarga. -FOTO: PEXELS

Walaupun menjadi tanggungjawab kerajaan untuk merangsang ekonomi dalam keadaan kemelesetan, namun Dr Muhammad Iqmal berkata, organisasi seperti syarikat swasta perlu memainkan peranan sama.

Baca juga Makanan yang dibuang, dicampak adalah habuan syaitan. Justeru jangan sesekali membazir apalagi mencela makanan

“Maksudnya bila kerajaan menggalakkan berbelanja lebih, syarikat kena faham walaupun mereka juga menghadapi kesukaran disebabkan kemelesetan.

“Mereka kena ambil tindakan berani dengan membuat perbelanjaan juga. Ada pihak buat keputusan mengurangkan kos dengan membuang pekerja dan sebagainya. Perkara ini harus diteliti semula kerana Islam menganjurkan supaya kita menjaga kebajikan dan ‘membina‘ mereka yang perlukan pertolongan.

“Walaupun mereka berkuasa berbuat begitu (kurangkan pekerja), tetapi perlu ada pertimbangan untuk menjaga kebajikan masyarakat,“ katanya sambil menjelaskan mekanisme lain dalam Islam seperti zakat dan wakaf yang turut berperanan membantu golongan terjejas.

Kepada satu soalan: “Kewajipan membayar zakat bergantung kepada gaji setiap individu mengikut tempoh haul dan berapa jumlah yang dikenakan mengikut institusi zakat di negeri masing-masing. Pengiraan zakat pendapatan ini hampir sama dengan cukai, ada pemotongan-pemotongan tertentu yang dibenarkan.

“Katakan ketika kemelesetan ekonomi, ada yang pendapatannya berkurangan. Sudah pasti jumlah pembayaran zakatnya juga akan menyusut. Mungkin kalau pemotongan itu begitu ketara sehinggakan seseorang individu berada di bawah kategori jumlah yang tidak cukup untuk membayar zakat, jadi dia tidak perlu membayarnya ketika itu,“ jelasnya.

Elak meminjam

Mengulas tentang keseriusan kegetiran ekonomi pada tahun 2023, Sinar Islam Plus mendapatkan Profesor Madya di Putra Business School, Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff.

DR AHMED RAZMAN

Jelas beliau, laporan Bank Dunia meramalkan pertumbuhan ekonomi global akan bergerak perlahan dari tahun ini dan sesetengah negara mungkin berdepan kemelesetan. Jika dirujuk kepada data bagi negara di Asia Pasifik, pertumbuhan ekonomi diramal sedikit tinggi daripada purata global.

Berdasarkan kebarangkalian pertumbuhan KDNK Malaysia pada tahun hadapan, katanya, ia berada dalam momentum positif dengan unjuran berkembang sekitar 4.3 peratus meskipun sedikit rendah berbanding jangkaan pertumbuhan KDNK pada tahun ini.

“Ia disebabkan beberapa faktor ketidaktentuan yang berlaku di peringkat global terutamanya isu geolitik dan faktor lain seperti cuaca serta rantaian bekalan global.

“Walaupun dijangka mencabar tahun depan, tetapi saya melihat Malaysia mempunyai beberapa potensi yang membolehkan kita mampu kekal berdaya saing jika berupaya mengambil kesempatan atau merancang sebaiknya pada tahun depan.

“Contohnya, harga komoditi minyak mentah dunia masih pada kadar tinggi iaitu lebih kurang AS$80 setong dan ini satu peluang untuk memastikan hasil sentiasa meningkat. Selain itu, China sudah mula membuka sektor ekonominya dan ini peluang untuk kita meningkatkan eksport sedia ada yang sudah meningkat, sekali gus akan menambah peluang potensi ekonomi kita kerana China merupakan rakan dagang utama,“ katanya.

Baca juga Pemerintah Wajib Kawal Kenaikan Harga Barangan Agar Rakyat Tidak Terus Dibebani

Semua itu akan memberikan impak kepada masyarakat dengan cabaran kos sara hidup dan kenaikan harga barangan.

Perkara tersebut diakui oleh Dr Ahmed Razman, namun beliau yakin kerajaan pada hari ini menjadikan perkara berkenaan sebagai agenda utama untuk ditangani, tetapi ia mengambil masa kerana banyak faktor termasuk di peringkat global.

Ekonomi

JIKA tiada keperluan mendesak, elakkan daripada membuat pinjaman, sebaliknya buat simpanan atau laburkannya dalam sektor pelaburan yang terjamin. -FOTO: 123RF

Justeru, Dr Ahmed Razman berpesan agar masyarakat tidak sesuka hati membuat pembiayaan tidak perlu dalam tempoh terdekat kerana Kadar Dasar Semalaman (OPR) dijangka terus meningkat.

“Sebaiknya, teruskan amalan perbelanjaan berhemat mengikut keperluan dan jangan terleka. Kalau ada peluang melabur dan menyimpan, ia amat digalakkan agar memberi pulangan yang menjamin kitaran hidup kita,“ nasihat beliau.