Browsing Tag

kemahiran komunikasi

Kemahiran
Gaya Hidup,

Dahulukan adab sebelum kemahiran komunikasi

SETIAP orang mempunyai kemahiran berbeza bergantung kepada pengalaman dan proses latihan yang dilalui.

Begitupun antara kemahiran dan adab, Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi, Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Mohd Khairie Ahmad berpandangan, elemen kesusilaan itu lebih utama berbanding skil.

“Adab merupakan sebahagian kemahiran berkomunikasi. Ia adalah sesuatu yang bersifat semula jadi.

“Maknanya, adab menjadi perkara asas berbanding skil berkomunikasi tanpa mengira pangkat mahupun pengalaman seseorang,” katanya kepada Sinar Islam Plus baru-baru ini.

DR MOHD KHAIRIE

Mengulas tentang cara individu berinteraksi di media sosial yang bukan sahaja lantang dan tidak menjaga sensitiviti orang lain, ahli akademik itu mengakui ia cukup membimbangkan kerana melibatkan krisis adab.

Jelas beliau, isunya lebih cenderung kepada perihal etika, profesionalisme dan pekerti baik, bukan lagi berkaitan skil jaringan perhubungan.

Baca juga Usah lontarkan komunikasi dan komentar jelik, itu bukan akhlak Islam

“Komunikasi di media sosial bukan perkara baharu. Malah, kita sudah melalui satu zaman di mana media sosial menjadi satu-satunya platform menyuarakan pandangan iaitu ketika penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), dua tahun lalu.

“Kita boleh mengambil iktibar daripadanya. Ketika itu, ada berita palsu yang mencetuskan panik dalam kalangan masyarakat. Umpamanya, ada pihak tertentu memberitahu bahawa PKP akan disambung lagi menyebabkan ramai melakukan pembelian barang secara cemas.

“Bagi golongan kurang mampu, mereka akhirnya tidak dapat membelinya kerana semua barang tadi sudah dikaut oleh kelompok yang mempunyai kuasa beli,” katanya.

Berdasarkan pengalaman lalu, Dr Mohd Khairie yang juga Ketua Advanced Communication Research Unit UUM, menjelaskan, komunikasi di media sosial memberi impak besar kepada masyarakat.

Kemahiran

SEBELUM membuat hantaran atau meninggalkan komen di media sosial, sebaiknya semak tulisan terlebih dahulu supaya ia tidak menimbulkan perasaan kurang senang pada orang lain. -FOTO: UNSPLASH

“Disebabkan salah komunikasi, kesannya bukan sahaja terpalit kepada isu interpersonal tetapi juga hubungan kemanusiaan seperti ekonomi.

“Lebih parah lagi dalam keadaan masyarakat majmuk seperti Malaysia. Isu-isu yang melibatkan perkauman dan keagamaan berada pada tahap merisaukan kerana media sosial yang sepatutnya menjadi salah satu platform yang baik, tetapi disalah guna sehingga mendatangkan dampak jauh lebih besar daripada media konvensional,” katanya.

Justeru, beliau berpesan agar melakukan semakan berulangkali sebelum melepaskan hantaran di media sosial.

“Memang perkongsian itu adalah tulisan yang datang daripada hati nurani kita tetapi sebagai Muslim, kita ditegah memburukkan orang lain, apatah lagi mendatangkan implikasi negatif kepada masyarakat.

Baca juga Kempen hentikan fitnah di media sosial, bimbing masyarakat kembali kepada fitrah

“Selepas menaip, baca semula posting. Jika banyak keburukan, lebih baik jangan kongsikan hatta kepada orang perseorangan,” katanya, sebagai antara langkah untuk mengendurkan penyakit ketinggalan zaman (fear of missing out (Fomo)).

Seperkara lagi, Dr Mohd Khairie mengingatkan, pihak penerima informasi usahlah lagi mengeruhkan keadaan. Walaupun niatnya hanya untuk menyangkal ataupun menidakkan ‘fakta’ yang dibawa individu tersebut tetapi jika natijahnya mendatangkan keburukan berbanding kebaikan, lebih baik jangan dikongsi atau ditularkan.

“Kepada yang mampu, berilah nasihat kepada pengirim tadi dengan laras bahasa yang baik. Itulah kunci utama supaya krisis komunikasi di media sosial dapat dikendurkan,” ungkapnya.

***Foto: Freepik

Ikuti kami di Tiktok, Instagram, Facebook, Twitter dan Youtube Sinar Islam Plus.