Browsing Tag

Keluarkan ‘fatwa’

Keluarkan 'fatwa'
Isu,

Waspada Apabila Keluarkan ‘Fatwa’

no comment

AKHIR-AKHIR ini, wabak Covid-19 semakin mengganas. Lihat sahaja angka yang diumumkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, saban hari ada sahaja peningkatan jumlah pesakit direkodkan.

Walaupun sudah lebih setahun seluruh dunia bergelut dengan wabak yang mengancam nyawa itu, namun nampaknya pertimbangan segelintir masyarakat sudah mulai goyah.

Ada sebilangan orang yang sewenang-wenangnya mencipta alasan untuk membolosi negeri lain dengan pelbagai urusan. Begitu juga segelintir orang yang mula memandang enteng dengan prosedur operasi standard (SOP) selamat yang disarankan.

Bukan mahu membuat kesimpulan mudah, tetapi hakikatnya demikianlah yang berlaku pada hari ini selepas beberapa kluster melibatkan perlanggaran SOP membabitkan institusi keagamaan dan ziarah Aidilfitri dikesan baru-baru ini.

Pendakwah, Muhammad Fahmi Rusli baru-baru ini berkongsi tentang ‘fatwa’ atau kenyataan yang mengelirukan hingga menyebabkan kematian seseorang. Insiden itu menyebabkan Rasulullah SAW marah.

Jelas beliau, dalam satu riwayat, ada disebutkan bahawa terdapat seorang lelaki yang cedera parah dan mengadu bahawa dirinya bermimpi basah.

Lantas lelaki tadi bertanyakan kepada rakan-rakannya: “Adakah kalian mendapati ada keringanan buatku?” (supaya dirinya tidak perlu mandi wajib.

Keluarkan 'fatwa'

PELIHARALAH mulut dan lidah agar tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh mengelirukan hingga membawa kematian orang lain.

Namun, mereka menjawab: “Kami tidak menemukan sebarang keringanan pun buat kamu. Kamu wajib juga mandi.”

Baca juga Gaza Berhak Untuk Senyum

Mendengar jawapan itu, lelaki itu pun mandi wajib dalam keadaan kepalanya cedera parah. Disebabkan itu, dia meninggal dunia.

“Berita itu akhirnya sampai kepada Rasulullah SAW. Lalu, baginda dengan penuh marah mengatakan: “Mereka bunuh dia, semoga ALLAH membunuh mereka!”

“Cuba teliti semula kisah itu. Mereka tidak menyebabkan kematian lelaki tersebut dengan cara membunuhnya menggunakan senjata atau alat membunuh. Namun, mereka ‘membunuhnya’ dengan ‘fatwa’ yang salah.

“Disebabkan itulah Rasulullah SAW menyambung sabda baginda dengan kenyataan: “Tidakkah mereka bertanya sekiranya mereka tidak tahu? Sesungguhnya ubat bagi kejahilan adalah dengan bertanya”,” katanya dipetik menerusi ciapan di Twitter miliknya baru-baru ini.

Justeru, Muhammad Fahmi yang juga Pegawai Hal Ehwal Islam di Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan mengingatkan agar masyarakat berhati-hati apabila mengeluarkan kenyataan atau ‘fatwa’. Lebih-lebih lagi apabila melibatkan perkara yang tidak diketahuinya.

“Jangan keluarkan ayat seperti ‘tak perlu pakai pelitup muka dalam masjid dan surau sekarang ini’, ‘tak perlu solat jarak-jarak’ atau ‘Covid-19 ini palsu dan tipu’.

“Ketahuilah, natijahnya boleh jadi membawa kematian,” tegasnya.

Keluarkan 'fatwa'

JANGAN sewenang-wenangnya bercakap perkara yang tidak diketahui kepastiannya supaya tidak memberikan mudarat kepada orang lain.

Dalam pada itu, Muhammad Fahmi turut menegur sikap sebilangan masyarakat yang melanggar arahan ulil amri (pemerintah) untuk balik kampung dalam suasana pandemik sedang mengganas.

“Hakikatnya, ia adalah dilarang oleh syarak. Ketahuilah, mentaati arahan itu hukumnya adalah wajib kerana ia suatu hal yang makruf. Tujuannya untuk menjaga kesihatan ibu bapa sebagai individu berisiko daripada dijangkiti.

“Kita pun tahu, sebahagian orang sanggup reka cipta pelbagai alasan untuk balik kampung, tetapi dukacitanya golongan sebeginilah yang menjadi punca klusteri sambutan hari raya,” katanya.

Keluarkan 'fatwa'

ELAKKAN mencipta alasan untuk pulang ke kampung pada masa ini demi mengelakkan risiko jangkitan Covid-19 kepada orang tua.

Apa yang boleh dilakukan sekarang, katanya, kita terus doakan kesembuhan segera buat mereka yang terkesan.

“Jangan ulangi lagi tidak kiralah sama ada anda jarak jauh atau tidak, tidak perlulah pulang ke kampung setiap minggu.

“Pada masa sama, segeralah mendapatkan vaksin,” nasihatnya.

Apa-apapun, berhati-hatilah dengan setiap tutur kata kita agar tidak mengelirukan orang lain dan jagalah tingkah laku kita supaya tidak membawa kemudaratan kepada orang lain.

Ingatlah bahawa memelihara nyawa termasuk antara maqasid syariah yang memenuhi tuntutan agama bagi menjamin kemaslahatan umat manusia.

Foto: Freepik & 123rf