Browsing Tag

keluarga

8 pilih nama anakl
Isu,

8 cara pilih nama anak menurut Islam yang anda perlu tahu

BAGI mana-mana pasangan suami isteri, semestinya antara waktu paling indah adalah ketika dikurniakan cahaya mata dalam hidup mereka.

Gara-gara terlalu teruja, ada pasangan yang sudah memilih nama ketika bayi berkenaan masih dalam kandungan lagi.

Memilih nama bayi sememangnya satu aspek penting dalam Islam kerana seseorang itu akan diseru dengan namanya pada hari akhirat kelak.

Oleh itu, Islam ada menggariskan panduan khusus berkaitan pemberian nama kepada anak yang baru dilahirkan.

Waktu afdal memberi nama

8 cara pilih nama anak

USTAZ SYED SHAHRIDZAN

Menurut pendakwah bebas, Ustaz Syed Shahridzan Syed Mohamed di dalam Portal Sinar Harian, tiada waktu tertentu yang dilarang untuk memberikan nama kepada bayi.

“Namun demikian disunatkan memberi nama kepada anak pada hari ketujuh kelahirannya. Ini adalah pandangan kebanyakan para ulama Mazhab Syafie berdasarkan hadis Nabi SAW yang diriwayatkan oleh at-Tirmizi, “Sesungguhnya Nabi SAW memerintahkan untuk memberikan nama kepada bayi yang baru dilahirkan pada hari ketujuh daripada hari kelahirannya.”

Ujarnya, ada juga ulama yang mengatakan sunat untuk memberikan nama pada hari kelahiran anak tersebut berlandaskan hadis di mana Rasulullah SAW anak lelakinya Ibrahim sejurus kelahirannya.

Aku telah dikurniakan seorang anak lelaki pada satu malam, maka aku menamakannya dengan nama bapaku (datukku), Ibrahim.” (Riwayat Muslim)

Memilih nama yang baik

Setiap ibu bapa mempunyai tanggungjawab untuk memilih nama-nama yang elok kepada anak mereka kerana ia merupakan sunnah Baginda yang sangat dituntut.

Pemilihan nama yang baik sedikit sebanyak boleh mempengaruhi sifat peribadi dan akhlak seseorang Muslim.

Daripada Abu Darda RA, Rasulullah SAW bersabda:

Sesungguhnya pada hari kiamat kelak, kamu semua akan dipanggil (mengadap ALLAH SWT) dengan nama-nama kamu nama-nama bapa kamu. Oleh itu, perelokkanlah nama-nama kamu.” (Hadis riwayat Abu Daud)

8 cara pilih nama anak

PILIHLAH nama yang mempunyai makna elok bagi si kecil. Moga-moga mereka dapat membesarkan dengan sifat-sifat seindah namanya.

Berikut adalah nama-nama yang digalakkan untuk diberikan kepada anak:

1. Nama yang disukai ALLAH SWT
Nama yang paling disukai oleh ALLAH dan Rasulullah SAW ialah nama Abdullah dan Abdul Rahman atau yang diambil daripada mana-mana 99 nama ALLAH SWT yang tercatat dalam Asmaul Husna.

Sabda Baginda SAW: “Sesungguhnya nama yang paling disukai oleh ALLAH dari nama-nama kamu ialah Abdullah dan Abdurrahman.” (Hadis riwayat Muslim)

2. Menggunakan nama Nabi atau Rasul
Bernamalah kamu dengan nama-nama para Nabi.” (Hadis riwayat Abu Daud)
Rasulullah SAW yang menggemari nama-nama para nabi dan rasul telah menamakan putera Baginda sempena nama seorang nabi iaitu Nabi Ibrahim AS.

Baginda juga ada menamakan anak kepada Abdullah bin Salam RA dengan nama salah seorang nabi ALLAH iaitu Nabi Yusuf AS.

Selain itu, nama Muhammad juga boleh diberikan kepada anak berdasarkan sebuah hadis daripada Abu Hurairah dan Jabir RA bahawa Rasulullah telah bersabda:

Namakan (anak) kamu dengan namaku dan janganlah kamu menggelarnya dengan gelaranku.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Namun, Jabatan Mufti Kerajaan Brunei menegaskan bahawa nama Muhammad itu adalah nama yang mulia dan tidak seharusnya dipotong-potong atau diringkaskan ejaannya sehingga menjadi seperti ‘Md.’ atau ‘Mohd.’

3. Menggunakan nama para sahabat
Di samping itu, nama-nama sahabat Rasulullah SAW yang agung seperti Abu Bakar, Umar, Uthman, Ali, Saad, Zubair dan lain-lain juga elok sebagai pilihan untuk nama-nama anak.

Baca juga Haram Bin Atau Bintikan Anak Angkat Kepada Nama Bapa Angkat

Elakkan nama yang tidak elok
Nama yang tidak baik pastinya akan memberi impak negatif terhadap kehidupan sosial si anak meningkat dewasa nanti.

Contohnya, diejek oleh rakan sekolah sementara nama yang diberi dijadikan bahan lawak.

1. Mempunyai makna yang tidak baik
Contoh nama yang diambil daripada perkataan yang mempunyai erti negatif.

  • Sariq (pencuri)
  • Ashiah (perempuan pelaku maksiat)
  • Jahil (bodoh)

Kata Syed Shahridzan, dalam Sahih al-Bukhari ada diriwayatkan bahawa Rasulullah SAW menukar nama sahabat yang kurang elok ‘Hazn’ yang bermakna sedih kepada ‘Sahl’ yang bermaksud mudah.

Namun, lelaki itu enggan menukar namanya seperti yang dicadangkan oleh baginda kerana mahu kekal dangan nama yang diberikan oleh bapanya.

8 cara pilih nama anak

PASTIKAN bahan rujukan yang digunakan untuk memilih nama anak adalah sahih. Ini untuk mengelakkan kesilapan dari segi makna nama apabila memilih nama daripada bahasa asing, terutamanya bahasa Arab.

2. Nama-Nama Dengan Sebutan ‘Abdul’ (Hamba) yang dikaitkan dengan sesuatu selain ALLAH seperti

  • Abdul Fulus (hamba wang)
  • Abdul Kaabah (hamba Kaabah)

Hal itu berdasarkan Rasulullah SAW yang menukar nama Abdul Rahman bin Auf yang pada asalnya bernama Abdul Kaabah (Hamba kepada Kaabah).

3. Nama yang khusus kepada ALLAH

Contohnya:

  • al-Khaaliq (Yang Maha Pencipta)
  • al-Ahad (Yang Maha Esa)
  • al-Quddus (Yang Maha Suci)

4. Menyamai nama golongan bukan Islam
Tidak digalakkan menggunakan nama yang menyamai golongan bukan Islam kerana dikhuatiri termasuk dalam salah laku menyerupai amalan kuffar.

Selain itu, nama yang jelas bertentangan dengan akidah seperti nama-nama tuhan dan dewa daripada agama selain Islam.

Contohnya nama-nama artis bukan Islam atau nama dewa dari mitos tertentu seperti Hercules dan Hermes.

8 cara pilih nama anak

SESETENGAH ibu bapa kini meletakkan nama anak dengan ejaan yang terlalu kompleks tanpa memikirkan implikasinya terhadap kehidupan anak, terutamanya dalam urusan rasmi.

5. Nama yang membebani anak
Menjadi trend ibu bapa kini memilih nama anak dengan ejaan yang sukar atau terlalu panjang.

Hal tersebut bukan sahaja boleh membebankan si anak untuk membawa nama itu, tetapi turut menyusahkan pihak yang berurusan dengan si anak nanti.

Dalam jangka masa panjang, anak-anak mungkin berdepan dengan masalah melibatkan nama khususnya dalam urusan rasmi.

Seperkara lagi, pemberian nama yang panjang kepada anak akan menyebabkan timbul nama singkatan untuk si anak yang mungkin membawa maksud-maksud negatif yang tidak kita ketahui.

Jadi, apa gunanya nama-nama panjang yang diberikan sekalipun membawa maksud yang baik namun akhirnya hanya nama singkatan berkenaan yang digunakan.

Semoga perkongsian ini bermanfaat kepada para ibu bapa kuhususnya bakal ibu bapa di luar sana.

Sumber: Menamakan anak: Panduan dan Hukumnya (Bab 1), Berikan nama baik untuk anak-anak kita, al-Kafi #1179: Waktu terbaik untuk memberikan nama kepada bayi baru dilahirkan , Kaedah memberikan nama anak dalam Islam & Panduan dan kesilapan dalam memilih nama bayi dalam Islam

Foto: Pexels & Tasneem Naturel

Untitled-design-2020-08-05T085838.920
Berita Semasa,

Manfaat Teknologi Siber, Perkukuhkan Hubungan Kekeluargaan

no comment

SETIAP manusia mengimpikan kehidupan yang bahagia, baik bagi individu mahupun yang sudah berumahtangga. Kebahagian hidup hanya boleh dimiliki bermula di rumah, justeru Islam melihat institusi kekeluargaan adalah sangat penting dalam melahirkan generasi yang mulia.

Khutbah disampaikan pada Solat Jumaat hari ini.

Seperti topik khutbah Jumaat yang dibacakan hari ini bertajuk, ‘Bahtera Kasih Menuju Bahagia’ dan disediakan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) turut membicarakan berkaitan kekeluargaan.

Jika kita melihat kepada fiqh Islami, kita akan dapati bahawa para fuqaha’ amat mementingkannya sehinggakan dalam kebanyakan kitab fiqh dan hadis pasti akan ada bab yang dinamakan al-Nikah.

Ia membicarakan mengenai nikah dan perceraian yang menunjukkan bahawa perkara-perkara yang berkaitan dengan nikah dan cerai ini bukanlah sesuatu yang boleh dianggap mudah dan remeh bagi umat Islam.

Mengetahui hakikat kehidupan berkeluarga, Islam telah meletakkan garis panduan dalam memilih pasangan agar bahtera perkahwinan dapat belayar dengan aman. Sekiranya badai melanda di
tengah-tengah pelayaran, nakhoda tahu akan tugasnya untuk mengendali dan memandu bahtera tersebut agar selamat menuju ke destinasi.

Renungkan maksud firman ALLAH SWT di dalam surah ar-Ruum ayat 21: “Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan dan rahmat-Nya, bahawa Dia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya dan dijadikan-Nya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan.

Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.”

Semua pasangan suami isteri sangat mendambakan kebahagiaan hidup berkeluarga yang berkekalan. Namun hubungan yang terjalin ini kadang kala diuji dengan pelbagai ujian. Sangat
membimbangkan dan mendukacitakan jika jalinan kasih sayang ini berakhir dengan perceraian.

Inilah yang berlaku terhadap banyak pasangan suami isteri biarpun baru beberapa tahun hidup bersama. Berdasarkan statistik oleh JAWI, sejak tahun 2016 hingga 2020 terdapat 10,564 kes
perceraian telah didaftarkan di Wilayah-Wilayah Persekutuan.

Statistik bagi tahun 2020, sebanyak 1,607 perceraian direkodkan. Pelbagai punca yang boleh membawa kepada perceraian antaranya ialah tiada persefahaman antara suami dan isteri,
pengabaian tanggungjawab, campur tangan pihak ketiga bahkan masalah kewangan juga turut memberi kesan sehingga meretakkan rumahtangga yang dibina.

Antara yang membimbangkan lagi, berlakunya perceraian itu adalah kerana sebab-sebab yang amat remeh yang mana pada dasarnya ia boleh diselesaikan dengan cara yang baik.

Pada zaman siber dan teknologi ini juga, penggunaan media sosial tanpa kawalan turut menjadi penyebab kepada ketegangan dalam perhubungan suami dan isteri. Hakikatnya media sosial
memberi manfaat kepada kehidupan manusia namun sekiranya ia disalah gunakan untuk tujuan yang salah seperti percampuran lelaki dan wanita ajnabi, ianya turut menjadi punca
keretakan hubungan suami dan isteri.

Pelbagai aplikasi media sosial seperti Smule, Instagram, WeChat, Whatsapp dan lain-lain boleh mendorong kepada perbuatan curang akibat percampuran secara maya antara lelaki dan wanita
tanpa batasan sehingga membawa kepada perhubungan mesra dan melanggar batas pergaulan.

Realitinya bahawa setiap perceraian akan menjejaskan kehidupan anak-anak dan keluarga terutama kekurangan kasih sayang yang membawa kepada konflik dan kesan negatif dalam pembentukan peribadi dan emosi mereka.

Marilah kita memelihara nikmat hidup berumahtangga dengan menghayati dan mengamalkan panduan syariat. Penghayatan dan amalan agama akan meningkatkan iman dan memberi
ketenangan jiwa untuk memimpin kita supaya bertindak tepat dalam kehidupan.

Sempurnakan hak dan tanggungjawab sebagai suami dan ketua keluarga dengan memastikan keperluan rohani dan jasmani isteri serta anak-anak dapat ditunaikan dengan sempurna. Sentiasalah
bersabar dalam mengharungi apa jua masalah supaya ianya dapat ditangani dengan baik.

Sebaiknya bagi pasangan yang telah berumahtangga atau akan mendirikan rumahtangga mempelajari ilmu pengetahuan tentang komunikasi berkesan, pengurusan konflik, pengendalian
krisis, psikologi keluarga dan pengurusan persepsi.

Kesejahteraan rumah tangga dapat dimantapkan dengan cara membentuk, mengekal dan meningkatkan kasih sayang dalam perhubungan suami dan isteri.

Sentiasalah meredai isteri dan menghargai segala kebaikannya. Terimalah kekurangan yang ada pada isteri. Usah mudah kecewa dan marah terhadap mereka. Sebaliknya, amalkan sikap untuk
saling melengkapi antara satu sama lain.

Ingatlah pesanan Rasulullah SAW sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, daripada Abu Hurairah Radhiyallahu ‘anhu, Baginda SAW bersabda: “Janganlah seorang beriman membenci (isterinya) yang beriman. Jika dia tidak menyukai satu sikap daripada isterinya, pasti (masih ada) sesuatu yang dia redhai pada isterinya.”

Untuk menjadi pasangan bahagia, isteri juga perlu reda terhadap suami yang menjadi pilihannya untuk bersama melayari bahtera perkahwinan. Perbaikilah kelemahan dan kekurangan masing-
masing dengan sentiasa bermuhasabah dan berusaha ke arah yang lebih baik.

Ingatlah, suami, isteri dan seluruh ahli keluarga perlu saling menyayangi, saling memahami, saling memberi, saling menghargai, saling menjagai, saling berkongsi dan saling memaafi. Jika kita dapat mengamalkan perkara- perkara ini, insya-ALLAH mawaddah dan rahmah yang didambakan di dalam keluarga dapat kita kecapi.

2711721-262572264
Gaya Hidup, Jendela Dunia, Pilihan Editor,

TikTok Lancar Kempen #FamilyFirst untuk Lindungi Remaja di Media Sosial

no comment

APLIKASI video mudah alih, TikTok telah bekerjasama dengan Emirates Safer Internet Society (eSafe) yang berpangkalan di Dubai untuk mendidik ibu bapa di rantau itu mengenai keselamatan dalam talian serta melindungi remaja yang menggunakan platform berkenaan.

Kempen yang membantu ibu bapa mendidik dan mengawal remaja penggunaan media sosial.

 

Organisasi tidak berasaskan keuntungan eSafe, telah mencipta pengalaman baharu dalam talian yang bersifat positif untuk menyokong, memberi kesedaran dan penglibatan bersama pihak berkepentingan bagi memberi peluang kepada remaja menggunakan Internet secara bertanggungjawab sekali gus melindungi mereka daripada risiko dalam talian.

Penasihat eSafe, Dr. Najla Al-Naqbi berkata, penggunaan internet oleh remaja telah meningkat seiring dengan kemajuan teknologi hari ini. Penggunaannya semakin menjadi penting namun perlu memiliki kesadaran yang berterusan di kalangan anggota masyarakat, terutama remaja.

“Kesedaran dan bimbingan adalah dua elemen yang diperlukan bagi generasi muda hari ini untuk mempersiapkan diri mereka mengatasi lebih banyak bahaya yang mengancam entiti dan keselamatannya ketika menggunakan dunia maya itu.

“Oleh itu, perlunya kami menjalinkan kerjasama bersama TikTok untuk mendidik masyarakat di luar mengenai sumber, alat dan ciri keselamatan yang perlu dikongsi bersama keluarga,” katanya.

Garis panduan aplikasi TikTok tidak membenarkan kanak-kanak di bawah usia 13 tahun menggunakan aplikasi itu. Penggunaannya merangkumi peranti dan dasar yang dirancang untuk mempromosikan pengalaman yang selamat dan sesuai dengan usia untuk remaja berusia antara 13 hingga 17 tahun.

Aplikasi yang mempunyai ciri-ciri keselamatan yang perlu dikongsi bersama keluarga.

Ketua Perhubungan Awam dan Dasar Polisi TikTok (MENA), Farah Tukan berkata, sejak TikTok diperkenalkan, keutamaan platform itu adalah untuk memastikan keselamatan dan privasi penggunanya.

“Dasar ini diberikan keutamaan kepada pengguna yang lebih muda, kami yakin pentingnya untuk memberi kuasa kepada ibu bapa membimbing anak-anak mereka melalui penggunaan alatan digital,” jelasnya.

Mod Pasangan Keluarga boleh diaktifkan ketika membenarkan anak menggunakan aplikasi TikTok. Gambar: Lifewire

TikTok pada masa ini mempunyai pelbagai ciri privasi, keselamatan dan kesejahteraan digital termasuk mod Pasangan Keluarga yang membolehkan ibu bapa dan remaja menyesuaikan tetapan berdasarkan keperluan individu.

Dengan menggunakan mod Pasangan Keluarga, ibu bapa dapat menetapkan pelbagai kawalan seperti mengawal program yang boleh dilayari oleh remaja, tempoh penggunaan yang dikehendaki dan mematikan pesanan secara terus.

TikTok juga mempunyai halaman panduan penjagaan di pusat keselamatannya yang mengandungi lebih banyak maklumat dan sumber untuk tujuan membantu ibu bapa menyemak dan mengubah tetapan aplikasi.

“Kami percaya tanggungjawab untuk mewujudkan persekitaran digital yang selamat memerlukan usaha bersama dan dengan itu peranan TikTok tidak semata memberikan ciri keselamatan tetapi juga mendidik keluarga tentang keselamatan dalam talian,” katanya.

Sumber: Arab News.