Browsing Tag

Keluarga Muslim dilanggar di Kanada

Keluarga Muslim dilanggar di Kanada
Berita Semasa,

Secebis Kisah Keluarga Muslim Yang Dilanggar Pemandu Pikap di Kanada

no comment

INSIDEN malang yang merenggut nyawa empat anggota keluarga di London, Ontario, Kanada pada hari Ahad lalu meruntun hati ramai orang. Apatah lagi saat mengetahui kejadian yang menimpa mereka itu dikaitkan dengan unsur Islamofobia.

Media antarabangsa melaporkan, mereka dan seorang lagi mangsa yang terselamat didakwa sengaja dilanggar oleh pemandu sebuah trak pikap. Dakwaan tersebut turut mengaitkan, mereka dijadikan sasaran disebabkan oleh agama Islam yang dianuti.

Kejadian yang menyayat hati itu telah mengorbankan pasangan suami isteri, Salman Afzaal, 46 dan Madiha Salman, 44; ibu Salman, Talat Afzaal, 74, serta puteri mereka bernama Yumna Afzaal, 15, di lokasi berkenaan.

Keluarga Muslim dilanggar di Kanada

DARI kiri, Yumna, Madiha, Talat dan Salman yang terkorban dalam insiden dilanggar trak pikap dan serangan di London, Ontario, Ahad lalu.

Sementara itu, seorang lagi anak lelaki mereka, Fayez Afzaal , 9, terselamat dan dilaporkan dalam keadaan serius, tetapi stabil serta menerima rawatan di sebuah hospital berhampiran.

Dalam insiden yang berlaku jam 8.40 malam Ahad lalu, keluarga Afzaal dikatakan sedang bersiar-siar sebelum tiba-tiba dilanggar.

Susulan itu, Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau dan Datuk Bandar London mengutuk serangan berkenaan.

Trudeau menegaskan, Islamofobia tidak diterima dalam komuniti berkenaan.

“Kebencian ini berbahaya dan keji – dan mesti dihentikan,” katanya sebagaimana dipetik menerusi ciapan di Twitter miliknya Selasa lalu.

Peristiwa berdarah itu menarik perhatian bukan sahaja oleh komuniti di London, tetapi di seluruh dunia. Ini kerana serangan tersebut dianggap tidak patut dilakukan gara-gara mereka beragama Islam.

Keperibadian mulia

Rentetan daripada insiden berkenaan, terlerailah satu demi satu tentang keperibadian keluarga Salman. Maka, tidak hairanlah mengapa kejadian serangan itu membuka mata banyak pihak.

Keluarga Muslim dilanggar di Kanada

SEBAHAGIAN warga London yang mengunjungi lokasi kejadian tempat keluarga Salman diserang.

Memetik laporan CBC News, Halema Khan, individu yang rapat keluarga Salman memberitahu, pasangan suami isteri berkenaan tidak mempunyai saudara terdekat di Kanada. Sebaliknya, dirinyalah yang menjadi ‘keluarganya’ di situ.

Sejak tiba di Kanada dari Pakistan pada tahun 2007, Salman bekerja keras untuk memulakan kehidupan mereka selepas berhijrah. Ketika itu, bayi perempuan mereka baru sahaja dilahirkan.

“Ya, ia bukan suatu perjalanan yang mudah buat mereka. Mereka bekerja siang dan malam. Pada masa sama, berkhidmat bukan hanya untuk komuniti Muslim, tetapi juga masyarakat Kanada secara umumnya.

Baca juga Salah Faham Islam di Korea Selatan

“Sebagai ‘keluarganya’, kami saling memenuhi apa jua majlis bahagia mahupun majlis kesedihan mereka,” katanya ketika ditemui di tempat peringatan yang didirikan di lokasi serangan yang menyebabkan keluarga itu terbunuh.

Dalam temu bual tersebut, Halema mendedahkan, Madiha baru sahaja kehilangan ayah tercinta gara-gara Covid-19. Wanita itu juga sempat bercerita tentang ahli keluarganya yang terjejas akibat wabak yang membawa maut itu.

“Dua hari sebelum insiden itu, Madiha begitu galak bercerita tantang anak-anak mereka dan sesi persekolahan mereka.

“Kata-kata terakhirnya masih terngiang-ngiang lagi. Beliau meminta kami supaya mendoakannya bersama keluarganya setiap kali kami berdoa. Itulah pesanannya kepada saya,” katanya.

Sementara itu, pelajar yang rapat dengan Madiha, Jason Gerhard menyifatkan, tenaga pengajar di London’s Western University itu merupakan seorang yang murah hati dan penyayang.

Madiha memiliki Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan dari Pakistan dan pemegang ijazah sarjana bidang yang sama di London’s Western University.

“Dari kaca mata saya, beliau seorang yang penuh kilauan dan merupakan ‘harta karun pendidikan’. Beliau juga seorang yang bersemangat dan kuat.

“Wanita itu bekerja dalam bidang kejuruteraan alam sekitar, selain mengurus keluarganya dengan baik dan memberikan sumbangan kepada rangkaian profesional dan komuniti,” katanya sambil memberitahu bahawa Madiha dalam proses untuk menyelesaikan ijazah doktor falsafahnya di universiti tempatnya bekerja.

Keluarga Muslim dilanggar di Kanada

SEBAHAGIAN warga London yang mengunjungi lokasi kejadian tempat keluarga Salman diserang.

Ujar beliau, terlalu banyak kenangan indah yang tercipta sepanjang mengenali Madiha.

“Beliau selalu meluangkan masa untuk menjawab semua soalan pelajarnya. Malah, sanggup bertahan selepas kelas untuk membantu anak didiknya tanpa pernah rasa lelah.

“Saya begitu kagum dengan dirinya. Bukan sahaja menjadi tenaga pengajar, pelajar dan ibu, tetapi beliau juga seorang penulis yang hebat serta menulis dalam kolum tertentu di pelbagai majalah. Penanya penuh dengan unsur untuk menyebarkan cinta dan kedamaian,” ceritanya.

Jasa kepada masyarakat

Bagi Ketua Pegawai Eksekutif Ritz Lutheran Villa, Jeff Renaud, beliau pasti tidak akan melupakan Salman yang banyak berjasa kepada ‘keluarganya’ terutama rumah anak yatim yang dikendalikannya.

Beliau mengenali Salman sebagai seorang ahli fisioterapi yang tidak tidak pernah lelah memberikan kasih sayang dan rawatan kepada orang tua yang banyak tinggal di pusat jagaan di barat daya Ontario.

“Bayangkan bagaimana Salman menjadi ibu, ayah, nenek dan datuk kita.

“Bahkan, di Ritz Lutheran Villa sendiri iaitu rumah anak yatim, ia merupakan salah satu tempat Salman bekerja. Saya menyaksikan betapa mulianya Salman. Jika anda melihat dia bersama orang lain, anda akan dapat melihat kebaikan, sifat penyayang dan komitmen yang ditunjukkan kepada mereka.

“Beliau juga akan memberikan layanan kepada sesiapa sahaja dan membantu mereka hingga akhir hayatnya,” ujarnya.

Keluarga Muslim dilanggar di Kanada

KOMUNITI di London gempar setelah lima anggota keluarga Muslim dilanggar dan diserang dalam serangan yang disifatkan sebagai serangan Islamofobia.

Seorang lagi kenalan rapat keluarga Salman, Ahmed Hegazy berkata, semua orang di Masjid Muslim London mengenali lelaki itu dan keluarganya dengan baik.

“Malah, keluarga saya sering berkumpul dengan keluarga Salman pada bulan Ramadan.

“Beliau bukan sahaja seorang yang tampan, tetapi juga selalu menghadiahkan senyuman manisnya, baik dan sedia membantu pada bila-bila masa,” ungkapnya.

Melihat kepada pujian yang diberikan kepada sikap Allahyarham Salman dan Madiha, tidak hairanlah jika anak kedua-dua pasangan itu turut menerima tempiasnya.

Kehilangan pelajar Sekolah Menengah Oakridge itu turut meninggalkan kesan mendalam kepada warga sekolah termasuk guru-gurunya.

Pengetua sekolah berkenaan, Mike Philips menyatakan, meskipun Yumna baru sahaja memasuki Oakridge pada bulan September di tengah-tengah wabak, namun guru-gurunya mengatakan beliau seorang pelajar yang tinggi dedikasinya.

Bahkan, pelajar di Oakridge sendiri merancang kempen riben hijau dan ungu sebagai memberi penghormatan kepada Yumna. Ini kerana warna ungu merupakan warna kegemaran remaja itu dan hijau pula mewakili sikap mereka yang menentang Islamofobia.

Foto: Reuters & CBC News