Browsing Tag

Kelestarian alam

Isu,

Usah kejar keuntungan hingga abaikan kelestarian alam

KELESTARIAN alam begitu signifikan dan tidak boleh diabaikan begitu sahaja. Malah, ia saling berhubung kait dengan pembangunan manusia. Maka bumi ciptaan ALLAH SWT perlu dipelihara dengan sebaiknya dan tidak dicabuli dengan perkara yang boleh membinasakan seluruh isi alam.

Andai salah percaturan, nyawa insan tidak berdosa boleh menjadi taruhannya. Masakan tidak, kejadian bencana alam sering kali dikaitkan dengan malapetaka.

Baru-baru ini, Malaysia dikejutkan dengan isiden tanah runtuh yang mengorbankan 31 orang di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm di Batang Kali, Selangor pada 16 Disember lalu. Tragedi itu mengundang perasaan pilu dan sebak. Sekelip mata sahaja banyak nyawa melayang.

Kesedihan dan kesengsaraan sama itu turut dirasai oleh mangsa banjir yang kehilangan insan tersayang, selain harta benda ketika bah melanda. Sesungguhnya, bencana alam mendatangkan impak yang bukan sedikit. Ia merupakan antara realiti pahit yang harus ditelan.

Baca juga Sebuah kematian yang menghidupkan jiwa Muslim

Bagaimanakah untuk merawat duka dan trauma dihadapi? Apakah perspektif Islam terhadap bencana alam yang sering dikaitkan sebagai malapetaka?

Akibat tangan manusia

Sinar Islam Plus menemu bual Ketua Pusat Pengajian (Pendidikan & Pengajian Islam), Akademi Pengajian Islam Kontemporari, Universiti Teknologi MARA, Prof Madya Dr Mohd Nor Mamat.

DR MOHD NOR

Jelas beliau, bencana atau apa sahaja kerosakan yang berlaku di atas muka bumi ini hadir atas usaha manusia itu sendiri.

Ia sebagaimana dijelaskan menerusi firman ALLAH SWT: “Telah terlihat kerosakan di darat dan di laut disebabkan oleh perbuatan tangan manusia, ALLAH mahu mereka merasakan sebahagian daripada (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar).” (Surah Rum, ayat 41)

“Sebab itulah apabila berlakunya musibah atau musibah pada hari ini, kita tidak boleh semata-mata menyalahkan takdir. Apabila dirujuk dan direnung semula, semua itu adalah kesilapan kita pada masa silam.

“Tanah runtuh misalnya, barangkali disebabkan oleh penerokaan tanah yang tidak lestari. Begitu juga dalam kepupusan haiwan, mungkin sudah beberapa generasi kita tidak memikirkan kelestarian masa depan,” katanya baru-baru ini.

Hakikatnya, pendakwah itu menjelaskan, isu berkaitan kelestarian merupakan antara perkara utama yang dianjurkan Islam kepada penganutnya.

Masakan tidak, Islam mengajar kita untuk menjadi insan paling baik dengan memberi manfaat kepada orang lain, terangnya.

“Itulah makna kelestarian. Maksudnya, setiap pembangunan atau apa sahaja dilakukan, bukan hanya kepentingan atau keperluan diri difikirkan, tetapi juga generasi akan datang,” katanya.

Meneruskan perkongsian ilmunya, Dr Mohd Nor menjelaskan, setiap musibah atau bencana alam yang berlaku itu, ALLAH SWT mengiringkannya dengan 1,001 nikmat tanpa disedari.

Baca juga Menyalahkan hujan atau kejadian alam yang berlaku ibarat menolak Sunnatullah Sang Pencipta

“Ketahuilah bahawa ALLAH SWT memberikan ujian itu untuk menaikkan martabat kita. Ia ibarat bila kita hendak naik tingkatan, perlu melalui peperiksaan.

“Ya, orang kata ketika dalam kesukaran inilah kita akan kenal siapa kawan dan lawan. Namun, satu perkara yang perlu diingat, susah macam mana pun, ALLAH SWT tetap bersama dengan kita.

BERDAMAILAH dengan takdir yang telah ditentukan oleh-NYA dan terima ujian yang diberikan dengan penuh keredaan. -FOTO: BERNAMA

“Bila kita faham perkara ini, maka kita boleh tanamkan dalam jiwa bahawa setiap perkara yang berlaku waima sukar, ALLAH SWT sentiasa ada untuk kita mengharapkan pertolongan-NYA,” ungkapnya.

Berbaik sangka dengan ALLAH

Sekalipun diuji dengan kegetiran emosi yang mencengkam akibat kehilangan insan tersayang dan harta benda ketika musibah melanda, ahli akademik itu mengingatkan agar kita berbaik sangka dengan ALLAH SWT.

“Jangan pula kita berburuk sangka dan salah faham bila Tuhan turunkan ujian. Barangkali kita selalu rasa DIA mahu menyusahkan kita, tetapi mengertilah, apabila kita minta bahagia, ALLAH tidak beri bahagia, tetapi DIA turunkan ujian untuk kita mengecap apa yang diimpikan.

“Begitu juga apabila kita minta kekayaan, ALLAH tidak berikan emas terus. Sebaliknya, DIA berikan kita banyak kerja agar kita melakukan yang terbaik sehingga dinaikkan pangkat dan dapat nikmat kaya.

“Maka sebab itulah kita jangan bermusuh dengan takdir yang diciptakan oleh ALLAH SWT, tetapi cubalah fahami kaedah-NYA memberi nikmat kepada kita, yang berbeza dengan cara kita berfikir. Belajar reda dengan apa yang berlaku, bukan bersifat pasrah,” ujarnya.

Sebagai pemerintah, apakah yang perlu dilakukan untuk meminimumkan risiko bencana alam?

Menjawab persoalan itu, Pensyarah di Pusat Kajian Pembangunan, Sosial & Persekitaran (Seeds), Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Madya Dr Jalaluddin Abdul Malek berkata, Malaysia mempunyai prosedur operasi standard (SOP) dan garis panduan tertentu selain akta berkaitan perancangan bandar serta desa untuk mengelakkan risiko insiden berkenaan.

DR JALALUDDIN

Meskipun demikian, jelas beliau, semuanya tidak berkesan andai tiada kerjasama daripada pihak pemaju dan orang awam.

Ini kerana, katanya, terdapat kelemahan dalam pelaksanaan pembangunan itu sendiri.

“Ia termasuklah dari segi penguatkuasaannya yang mungkin agak longgar disebabkan tidak cukup kakitangan atau tiada kepakaran khusus.

“Begitu juga dalam isu penggunaan tanah yang dibangunkan sama ada ia untuk kegunaan agro atau boleh jadi tapak perkhemahan. Kita tidak mahu permohonan dan penggunaan sebenar tapak itu bercanggah kerana ia melibatkan dua permohonan (pembangunan) yang berasingan,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Seperkara lagi, Dr Jalaluddin turut memberi peringatan kepada orang awam yang melanggan kawasan-kawasan tertentu bagi tujuan berkelah dan seumpamanya dengan mengambil tahu keadaan tempat tersebut.

“Mereka perlu mempunyai ilmu dan maklumat keadaan tempat itu. Setidak-tidaknya tahu kelulusan atau lesen penggunaan kebenaran tapak tersebut.

“Jika berlaku kepala air misalnya, tahu apa tanda-tandanya dan langkah yang perlu diambil,” katanya.

Utamakan alam sekitar, jangan kejar keuntungan

Menyambung hujah, Dr Jalaluddin yang juga pakar pembangunan bandar dan desa itu menjelaskan, sudah tiba masanya pegawai daerah selaku ketua pembangunan di sesuatu tempat itu merekodkan punca kuasa bagi kawasan pelancongan, lokasi banjir dan seumpamanya.

PELIHARAH kelestarian alam ciptaan ALLAH SWT dalam apa jua pembangunan yang dilakukan kerana ia mempunyai perkaitan rapat dengan kehidupan manusia. -FOTO: FREEPIK

“Sebelum tibanya musim banjir, seharusnya semua punca kuasa tadi sudah membuat keputusan untuk membuka kawasan pelancongan atau menutupnya dalam tempoh tertentu demi keselamatan semua,” ungkapnya.

Baca juga Besar jasa anjing K9 dalam misi mencari dan menyelamat di Batang Kali, bukti segala ciptaan ILAHI tiada yang sia-sia

Berbicara tentang kelestarian alam, ahli akademik itu menjelaskan, ia mempunyai perkaitan rapat dengan pembangunan manusia yang ditunjangi oleh agama.

Secara umumnya, jelas beliau, alam sekitar perlu dijaga dalam setiap pembangunan dilakukan, bukan semata-mata mengejar keuntungan.

“Pemaju bertanggungjawab dalam menjaga persekitaran pembangunannya supaya tidak menjejaskan kawasan lain sama ada berlaku kejadian banjir kilat ataupun tanah runtuh.

“Pihak kerajaan sendiri perlu sentiasa memantau. Caranya bukan sahaja mengenakan denda berat terhadap pihak pemaju yang ingkar, tetapi konsep Islam itu sendiri yang mana harus ada rasa keinsafan bahawa apabila sesuatu kebenaran merancang dan pembangunan diberikan, mereka perlu rasa bertanggungjawab untuk menjaga alam sekitar, di samping menebus guna tanah untuk dibangunkan perumahan, industri dan sebagainya.

“Konsep itu bukan sahaja dipertintahkan oleh agama Islam sahaja, tetapi juga agama-agama lain. Jika tiada kesedaran kepada manusia, mereka akan menjadi perosak kepada alam itu sendiri,” ujarnya.

ANEKDOT

Peristiwa bencana alam ketika zaman para nabi

JAGALAH bumi ciptaan ALLAH SWT dengan sebaiknya agar tidak tercemar dengan kerosakan yang membinasakan. -FOTO: FREEPIK

  1. Banjir besar era Nabi Nuh AS.

Menurut al-Quran, banjir besar bermula pada zaman Nabi Nuh AS. Bah ketika itu disertai dengan hujan lebat, limpahan dari air sedia ada, taufan, ombak dan gelombang air seperti gunung.

Malah, keadaan banjir ketika itu mencecah ketinggian gunung dan manusia pada ketika itu dalam keadaan huru-hara untuk menyelamatkan diri.

Ciri-ciri fizikal itu menyamai dengan bah yang berlaku di negara ini pada masa kini yang mana wujudnya angin kencang, ribut taufan, air membawa lumpur, air sungai melimpah dan hujan lebat tanpa henti.

  1. Gempa bumi dan letupan gunung berapi sehingga membawa kepada kehancuran kaum Nabi Lut AS.

Dalam Surah al-Hijr, ayat 73 ada memperincikan tentang kaum Nabi Lut yang dimusnahkan oleh letusan suara yang menggemparkan, keadaan tunggang terbalik dan tertimbus oleh tanah dan dihujani tanah serta baru terbakar.

Ini bermakna, terdapat gempa bumi yang kuat sehingga tempat itu diterbalikkan, letupan gunung berapi yang mengeluarkan gas, haba dan larva yang panas mengalir sehingga menyebabkan kebakaran besar.

Azab itu menimpa kaum Nabi Lut disebabkan mereka ingkar dengan perintah ALLAH SWT dan mengamalkan kehidupan seks luar tabii.

  1. Taufan, puting beliung dan ribut kencang pada zaman Nabi Hud.

Kaum ‘Ad merupakan satu lagi kelompok yang dimusnahkan dan peristiwa itu dirakamkan dalam al-Quran.

Selama tujuh hari tujuh malam tanpa henti, kaum itu dibinasakan oleh angin ribut yang terlalu kencang. Kedatangan awan yang disangkakan mereka sebagai hujan sebenarnya adalah angin taufan yang memusnahkan seluruh penduduk tidak beriman.

Sumber: https://www.academia.edu/9952830/BENCANA_ALAM_MENURUT_PERSPEKTIF_ISLAM