Browsing Tag

kelantan

TOK KENALI
Isu,

Jaga akhlak dan adab ketika ziarah makam Tok Kenali

TOK KENALI atau nama sebenarnya Muhammad Yusof Ahmad (1868-1833) adalah seorang tokoh ulama terkenal yang lahir di Kelantan.

Beliau bukan sahaja mempunyai ratusan murid yang masyhur dan berpengaruh, berperanan sebagai pembangkit kesedaran Islam yang ulung di negeri pantai timur itu.

Namanya masyhur di seluruh Nusantara dan Kota Suci Mekah kerana kegiatan keilmuan, gerakan pembaharuan dan cetusan pemikiran politiknya.

Beliau banyak menerima pengaruh daripada falsafah Al-Imam al Ghazali, seorang pembangun dan pembina fikiran umat Islam yang banyak mengupas soal-soal agama berdasarkan ajaran kitab suci al-Quran dan hadis.

Baca Juga Tok Kenali, Bapa Serambi Mekah

Setelah hampir 65 tahun menabur bakti, Tok Kenali kembali ke rahmatullah pada Ahad 19 November 1933, berikutan suatu penyakit di kakinya.

Jenazah Almarhum disemadikan di perkuburan yang sekarang terkenal dengan nama Kubur Tok Kenali’, 5 kilometer dari Jalan Pasir Puteh, Kota Bharu, tidak jauh dari Istana Negeri.

Sosok ulama agung ini masih menjadi ingatan ramai. Walaupun sudah berpuluh tahun meninggal dunia tetapi pusaranya sehingga kini menjadi tempat ziarah utama.

SEORANG guru Islam masyhur, tokoh pembangun pemikiran dan pencetus pendidikan Islam di Malaysia, Tok Kenali menjadi penyumbang di sebalik gelaran Kelantan sebagai ‘Serambi Mekah’.

Namun, agak mendukacitakan apabila semalam, tular satu video menunjukkan sekumpulan lelaki ketika menziarahi makam tok kenali dengan berzikir di luar kebiasaan seperti digariskan Islam.

Cicit kepada Tok Kenali, Ustaz Muhammad Hafiz Hukmi Wardi menjelaskan rakaman video tular yang menunjukkan sekumpulan lelaki sedang berzikir beramai-ramai dengan kaedah luar daripada kebiasaan bukan ajaran ulama terkenal itu.

Beliau berkata, perkara tersebut juga tidak mempunyai kaitan dengan Pondok Tok Kenali termasuklah kerajaan negeri Kelantan.

ARTIKEL BERKAITAN 

“Saya mendapat maklum daripada orang yang merakam video itu mengatakan dia tidak mengetahui kumpulan itu datang dari mana. Cuma kalau tengok van…katanya van itu plat pendaftaran dari Thailand…jadi wallahualam daripada mana (datang dari tempat mana)“.

“Kubur Tok Kenali ni, dia sentiasa terbuka untuk siapa-siapa sahaja… 24 jam sentiasa terbuka”.

“Tengah malam pun ada yang datang, jadi muslimin dan muslimat segala amalan yang dibuat dalam video tadi tidak ada kena mengena langsung dengan ajaran Tok Kenali, dengan pondok Tok Kenali pun tak ada, dengan kerajaan negeri pun tak ada,” jelasnya menerusi satu video yang dimuat naik ke laman Facebook rasmi Pondok Tok Kenali pada Selasa.

CICIT kepada Tok Kenali, Ustaz Muhammad Hafiz Hukmi Wardi. 

Menurut beliau, sebagai wakil keluarga Tok Kenali menasihatkan kepada orang ramai yang mahu mengunjungi kubur ulama terkenal itu supaya menjaga adab dan akhlak ketika berada di kawasan berkenaan.

Ujarnya, adab itu selari dengan apa yang diajar oleh alim ulama dengan caranya bersopan santun dah tidak berlebih-lebihan.

“Sebab ini akan menjadi fitnah kepada masyarakat kita sekarang. Jadi kalu boleh jaga khususnya orang perempuan minta tolong jangan masuk dalam pagar“.

Baca Juga Ini zikir untuk orang sibuk, ringkas tapi berat dalam timbangan

“Orang lelaki pun jangan buat perbuatan ataupun amalan-amalan yang khilafiah, amalan-amalan yang di luar pada uruf takut ia menjadi fitnah pada masyarakat,” katanya.

Sebelum ini, tular video memaparkan sekumpulan jemaah luar sedang berzikir di luar kebiasaan sehingga menimbulkan perdebatan hangat dalam kalangan masyarakat.

zakat
Berita Semasa,

Pelajar berusia 14 tahun menjadi pembayar termuda, ini fakta tentang zakat perniagaan perlu diketahui

SEORANG pelajar berusia 14 tahun dari Sekolah Menengah Kebangsaan Kubang Bemban, Pasir Mas muncul sebagai pembayar zakat perniagaan termuda setakat ini di Kelantan.

Putri Mumtaz Sunnafis Luthfiya Mohd Mustamaman, atau lebih dikenali sebagai Piya, membayar zakat perniagaan sebanyak RM10,000 bagi tahun 2022 kepada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) pada Khamis lepas.

Ditemani ibu bapanya, Putri Mumtaz Sunnafis Luthfiya menyerahkan zakat itu kepada Ketua Pegawai Zakat MAIK Ameer Azeezy Tuan Abdullah.

Bercakap kepada Bernama, remaja itu berkata zakat perniagaan tersebut dapat dikeluarkan hasil perniagaan produk pengganti pemakanan yang diusahakannya selama empat bulan bermula September tahun lepas yang menyaksikan dia mampu meraih jualan sebanyak RM400,000.

Baca juga 14 jemaah cedera ketika sedang solat Isyak, siling menara masjid di Indonesia runtuh

Baca juga Jatuh Murtad Jika Ingkar Tunaikan Zakat? Ini Penjelasannya

“Saya tidak menyangka pada usia muda ini saya mampu meraih hasil jualan sehingga mencecah enam angka dengan mengusahakan produk sendiri.

“Saya juga mendengar nasihat ibu saya, Bibi Hasnalinda Zainal Abidin, 46, dan ayah, Mustaman Che Yusof, 60, untuk menunaikan rukun Islam keempat ini. Saya berharap ia mampu membantu golongan yang memerlukan,” katanya.

MAIK dalam kenyataan baru-baru ini memaklumkan bahawa Putri Mumtaz Sunnafis Luthfiya adalah pembayar zakat termuda di Kelantan dan berharap sikap positif remaja itu akan menjadi inspirasi kepada semua.

“Sama-sama kita doakan agar hasrat anak keenam daripada lapan beradik ini untuk menjadi pembayar zakat tertinggi MAIK dan membantu asnaf-asnaf di Kelantan menerusi zakat akan menjadi kenyataan,” menurut kenyataan itu.

Turut disyorkan Zakat perniagaan tetap perlu dibayar walaupun rugi

zakat perniagaan

SETIAP perniagaan, baik kecil mahupun besar, perlu melunaskan zakat perniagaan jika memenuhi syarat. Foto: 123RF

Fakta tentang zakat perniagaan
Zakat perniagaan ialah zakat yang wajib dikeluarkan hasil daripada harta perniagaan sama ada yang melibatkan barangan atau perkhidmatan.

Zakat ini merupakan suatu tanggungjawab yang wajib ditunaikan ke atas mereka yang telah memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan.

Baca juga Kawan liat bayar hutang, bolehkah ambil wangnya secara senyap-senyap?

Siapa yang perlu bayar zakat perniagaan?
Memetik portal Pusat Pungutan Zakat-MAIWP, syarikat atau entiti perniagaan adalah diwajibkan zakat apabila mencukupi syarat-syarat seperti berikut:

1. Perniagaan yang dimiliki oleh orang Islam. Jika perniagaan mempunyai pemilikan bercampur antara Muslim dengan bukan Muslim, hanya bahagian pemilikan dan kepentingan orang islam sahaja yang dikenakan zakat.

2. Sempurna Milik. Harta yang dikenakan zakat mestilah ada kesempurnaan dari segi pemilikan (hak milik aset) dan keupayaan mengurus (tasarruf) iaitu mempunyai kuasa penuh ke atas harta.

Baca juga Enam punca harta jadi haram yang orang tidak sedar

Zakat perniagaan ialah zakat yang wajib dikeluarkan hasil daripada harta perniagaan sama ada yang melibatkan barangan atau perkhidmatan. Foto: 123RF

Baca juga Ini caranya ‘cuci’ atau lupuskan wang haram

3. Cukup Nisab. Paras minima yang menentukan sama ada wajib atau tidak sesuatu harta dikeluarkan zakat. Nisab adalah bersamaan dengan nilai 85 gram emas semasa.

4. Cukup Haul. Genap setahun perniagaan. Penilaian harta perniagaan adalah dengan mengambil kira keadaan perniagaan pada akhir haul.

5. Niat Berniaga. Berniat untuk mendapatkan perolehan dan keuntungan. Ia juga perlu dibuktikan dengan amalan. Niat adalah untuk mendapat keuntungan, manakala amalan ialah menjalankan perniagaan. Kedua-dua unsur ini hendaklah wujud bersama secara berterusan.

6. Barang Perniagaan dan Perkhidmatan yang Halal. Perniagaan yang halal sahaja yang diwajibkan zakat. Semua bentuk perniagaan yang haram, sama ada dari segi zatnya seperti arak dan khinzir ataupun perniagaan perjudian dan riba adalah tidak diwajibkan zakat.

Kesimpulannya, setiap jenis perniagaan sama ada bersifat sederhana atau kecil menjual yang patuh syariah wajib membayar zakat peniagaan jika memenuhi syaratnya.

Sumber: Portal Pusat Pungutan Zakat-MAIWP

Foto: MAIK, 123RF & Freepik

Tok kenali
Personaliti,

Tok Kenali, Bapa Serambi Mekah

TOK Kenali, seorang tokoh ulama terkenal di sebalik gelaran ‘Serambi Mekah’ yang diberikan kepada negeri Kelantan. Beliau merupakan seorang guru agama Islam yang masyhur, tokoh pembangun pemikiran umat Islam di Asia Tenggara dan pencetus ilmu pendidikan Islam di Malaysia khususnya di Kelantan, sekitar awal abad ke-20. 

Tok Kenali atau nama sebenarnya Muhammad Yusuf bin Ahmad dilahirkan sekitar tahun 1870 di Kampung Kenali, Kubang Kerian, Kota Bharu. Beliau berasal daripada sebuah keluarga yang miskin dan warak. Bapanya seorang petani yang dikenali dengan kesolehannya. 

Membesar didampingi ajaran Islam, Tok Kenali sudah khatam al-Quran sejak kecil. Di Kota Bharu, beliau telah menuntut ilmu dengan ramai guru agama tersohor seawal usia sembilan tahun. Menginjak usia 18 tahun, Tok Kenali melanjutkan pelajaran ke Tanah Suci Mekah.

Menurut Syeikh Wan Mohd Shaghir, nama Tok Kenali mula mekar apabila mula berguru dengan Syeikh al-Fathani dan seterusnya menjadi anak murid yang rapat kepadanya. Beliau juga sempat belajar bersama Nik Mahmud bin Nik Ismail di sana. Setelah gurunya meninggal dunia, Tok Kenali kembali ke Kelantan pada tahun 1909, setelah 22 tahun berada di Mekah.

TOK Kenali telah berguru dengan ramai guru agama terkemuka sejak kecil lagi.

Menurut catatan, Tok Kenali mempunyai semangat yang tinggi terhadap pendidikan. Jasa beliau paling bermakna adalah dengan memperkenalkan sistem pengajian pondok.

Sekembali dari Mekah, Tok Kenali telah membuka dua pondok termasuk di kampung kelahirannya di Kampung Paya. Dalam masa dua tahun sahaja, namanya telah dikenali seluruh negeri dan ramai individu dari dalam dan luar negara termasuk Selatan Thailand, Singapura dan Indonesia datang menuntut ilmu darinya.

Pondok Kenali telah melahirkan ramai ulama dan cendekiawan yang kemudian pulang membuka pondok pengajian di tempat masing-masing. 

Selain itu, Tok Kenali juga merupakan seorang pengarang dan penterjemah. Beliau pernah menjadi Ketua Pengarang pertama majalah Pengasuh serta menterjemah buku-buku Arab seperti Kitab al-Umm, Tafsir Khazin, and Tafsir Ibn Kathir. 

PONDOK Tok Kenali kekal sehingga hari ini. Antara jasa terbesar beliau adalah memperkenalkan sistem pengajian pondok.  Pondok Tok Kenali telah melahirkan ramai cendekiawan dan tokoh agama tersohor.

Segala usaha perjuangan ulama tersohor ini dimungkinkan dengan kegiatan aktif beliau dalam bidang politik. Tok Kenali pernah menyandang beberapa jawatan penting dalam pentadbiran negeri termasuk Ahli Majlis Ulama Islam Kelantan, Ketua Pelajaran Agama dan Anggota Majlis Agama Islam Kelantan dan Adat Istiadat Melayu Kelantan. Beliau termasuk dalam tokoh-tokoh penting yang telah terlibat dalam penubuhan Majlis Agama Islam, perpustakaan negeri dan sebuah jabatan percetakan kerajaan.

Tok Kenali meninggal dunia di usia 65 tahun pada hari Ahad, 2 Syaaban tahun 1352 Hijrah bersamaan 19 November 1933 Masihi. Jenazah beliau dikuburkan di Perkuburan Ma’la, Mekah.

Foto: Amir Irsyad Omar, Google