Browsing Tag

kekasih

Hari Kekasih
Gaya Hidup,

Elak beri hadiah walaupun tak berniat sambut Hari Kekasih

RATA-RATA umat Islam tahu tentang pengharaman menyambut Hari Kekasih yang saban tahun acap kali dirayakan terutama di negara Barat.

Meskipun tidak merayakannya, tetapi masih ada segelintir pasangan kekasih yang saling memberi hadiah pada hari berkenaan.

Kepada sesiapa yang berhasrat untuk memberi hadiah bersempena Hari Kekasih nanti, sebaiknya lupakanlah niat tersebut.

Bukan apa, mantan Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abd Wahid ketika ditemu bual Sinar Islam Plus sebelum ini pernah memberikan amaran tersebut.

MOHD TAMYES -FOTO: MAIS.GOV.MY

Dalam responsnya apabila diajukan persoalan tentang memberi hadiah kepada seseorang pada 14 Februari bersempena Hari Valentine, Anggota Majlis Agama Islam Selangor itu menjawab: “Perbuatan itu tidak dibenarkan kerana ia seolah-olah meraikan konsep yang dibawakan oleh Hari Kekasih.

“Bagi pasangan suami isteri, mereka digalakkan untuk memberi hadiah kepada pasangan masing-masing pada bila-bila masa sahaja.

“Ia dengan syarat asalkan tidak diniatkan dengan tarikh atau sempena dengan sesuatu yang dilarang oleh agama Islam.”

Larangan tersebut dibuat bukannya bersifat memandai-mandai atau secara semberono, tetapi ada sebab di sebaliknya. Hari Kekasih memang tidak boleh diraikan walau apa jua alasannya. Titik.

Baca juga Kepada para suami, teladani layanan ‘tip-top’ Rasulullah SAW terhadap isteri-isteri baginda

Perkara itu jelas sebagaimana keputusan oleh Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia kali ke-71 yang bersidang pada 22 hingga 24 November 2005.

Hari Kekasih

JAWATANKUASA Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia kali ke-71 memutuskan, amalan merayakan Hari Valentine tidak pernah dianjurkan Islam kerana mempunyai unsur-unsur agama lain. -FOTO: CANVA

Jawatankuasa berkenaan memutuskan, amalan merayakan Hari Valentine tidak pernah dianjurkan oleh Islam kerana mempunyai unsur-unsur agama lain. Amalannya yang bercampur dengan perbuatan maksiat adalah bercanggah dan dilarang oleh Islam.

Ketahuilah bahawa perkataan Valentine menurut sejarah, ia diambil sempena nama seorang paderi besar Kristian pada zaman pemerintahan Ratu Isabella dari Sepanyol iaitu Saint Valentine.

Menurut artikel yang dipetik daripada artikel yang disiarkan dalam laman web rasmi Pejabat Mufti Negeri Sabah, jasa paderi berkenaan yang berjaya menumpaskan kerajaan Islam di Cordova, Sepanyol pada 14 Februari 270 Masihi begitu bermakna buat Ratu Isabella hingga dianggap sebagai kekasih rakyatnya sendiri.

“Oleh sebab itu, 14 Februari disambut setiap tahun oleh rakyat Cordova bagi merayakan kemenangan tersebut dengan dinamakan sebagai Hari Valentine,” katanya sebagaimana dipetik menerusi artikel bertajuk Sambutan Hari Valentine di laman web rasmi pejabat mufti berkenaan.

Terdapat tiga pendapat berkaitan asal usul Valentine sebagaimana ditulis oleh Pejabat Mufti Negeri Sabah seperti berikut:

1. Hari Valentine bermula semasa pemerintahan Empayar Rom yang menetapkan 14 Februari sebagai hari cuti bagi Juno ratu kepada dewa-dewa dan dewi-dewi Rom. Pada hari berikutnya iaitu 15 Februari, bermulanya Pesta Lupercalia iaitu perayaan tradisi bagi masyarakat Rom yang mana pada malam pesta itu, nama-nama gadis Rom ditulis di atas kertas dan dimasukkan ke dalam bekas. Setiap pemuda akan mencabut nama di dalam bekas itu dan nama yang terpilih akan menjadi pasangannya sepanjang pesta berlangsung.

Hari Kekasih

JANGAN sesekali menyambut Hari Kekasih yang jelas mempunyai unsur-unsur dan ritual agama lain. -FOTO: CANVA

2. Ada pendapat mengatakan, pada 14 Februari 270 Masihi, St Valentine dibunuh kerana pertelingkahannya dengan Raja Romawi ketika pemerintahan Raja Claudius II (268-270M). Ketika itu, Raja Claudius telah membatalkan semua perkahwinan dan pertunangan kerana Rom banyak terlibat dengan peperangan. Disebabkan itu, St Valentine dan St Marius telah mengahwinkan orang Kristian dengan pasangan mereka secara rahsia.

Akibat perbuatan tersebut, St Valentine ditangkap dan akhirnya dihukum mati pada tarikh berkenaan. Bagi memperingatinya sebagai simbol ketabahan, keberanian dan kepasrahannya dalam menghadapi cubaan hidup, maka tarikh berkenaan dijadikan sebagai hari memperingati kematian St Valentine sebagai upacara keagamaan.

3. Hari Valentine diambil daripada seorang paderi yang paling berpengaruh pada zaman pemerintahan Ratu Isabella dari Sepanyol iaity St Valentine. Apabila St Valentine menyatakan hasrat untuk berkahwin dengan pasangannya dari pengamal Protestan sewaktu kerajaan Sepanyol berjaya menumpaskan kerajaan Islam, ia menggemparkan rakyat Cordova.

Ini kerana St Valentine merupakan seorang paderi Katolik yang tidak boleh berkahwin dengan pengamal Protestan. Bahkan, paderi juga sememangnya tidak boleh berkahwin.

Tindakan St Valentine itu yang mengambil keputusan untuk berkahwin itu membuatkan Ratu Isabella murka, lalu beliau dipenjarakan buat sementara waktu. Ratu menetapkab 14 Februari sebagai Hari Kekasih untuk St Valentine sendiri.

Hari Kekasih

AGAMA Islam sangat menitikberatkan soal kasih sayang. Malah, setiap hari sebenarnya adalah hari kasih sayang dalam Islam cuma agama suci itu menolak konsep kasih sayang yang terkandung dalam Hari Kekasih kerana ada unsur-unsur ritual keagamaan yang diamalkannya yang boleh menggugat akidah Islam-FOTO: CANVA

Sesungguhnya terlalu banyak hujah yang mengaitkan Hari Kekasih dengan ritual agama lain. Malah ia juga menjadi faktor penyumbang kepada pergaulan bebas.

Baca juga Etika pergaulan dalam Islam elak gangguan seksual di tempat kerja

Lantaran itu, umat Islam dilarang sama sekali untuk menyambut Hari Valentine.

Ikuti kami di TiktokInstagramFacebookTwitter dan Youtube Sinar Islam Plus.

***Foto: Canva