Browsing Tag

kedutaan britain

AFP_9D67FN
Berita Semasa, Jendela Dunia, Pilihan Editor,

Kedutaan Britain di UAE Kibar Bendera LGBT + Dapat Kecaman

no comment

KEDUTAAN Besar Britain di Emiriah Arab Bersatu (UAE) mendapat kecaman di media sosial selepas bertindak mengibarkan bendera pelangi di kediaman Duta Besarnya di Abu Dhabi sebagai memperingati Bulan Pride.

Walaupun sentiasa berusaha untuk dilihat sebagai suara Islam liberal di Timur Tengah, UAE masih menganggap homoseksual satu jenayah.

Ketika Kedutaan Besar Britain di UAE kelmarin, menyuarakan sokongannya terhadap hak LGBT + di media sosial yang disertakan gambar bendera pelangi dari kediamannya di samping bendera Union Jack, tindakan itu mendapat kritikan negatif.

Ratusan komen dari warga UAE konservatif menolak tindakan itu sebagai tidak dapat diterima, tidak sopan, menghina dan rasis, serta ramai yang mendesak kedutaan untuk segera menurunkan bendera itu.

Bendera LGBT+ di hadapan Kedutaan Besar Britain di UAE undang provokasi. Gambar: AFP/Getty Images

Ramai yang mengatakan bahawa ia bertentangan dengan Islam dan orang Inggeris cuba memaksakan pandangan mereka ke negara lain. Satu komen menyamakan langkah itu jika sebuah konsulat Britain di UK “menaikkan bendera swastika”. Sebilangan kecil yang menyokong tindakan kedutaan Britain itu hanyalah adalah ekspatriat dari negara Barat.

Walaupun terdapat penentangan yang keras terhadap sokongan secara terang terhadap hak LGBT+, beberapa penganalisis Emirat percaya langkah itu dilakukan ketika UAE bersiap untuk melucutkan status jenayah terhadap homoseksual.

Menurut sumber kerajaan, homoseksual diharapkan dapat dilucutkan sebagai perbuatan jenayah sebelum akhir tahun ini sebelum berlangsungnya Expo 2020 Dubai yang akan bermula pada bulan Oktober depan.

Sumber itu mengatakan kerajaan sering ‘memasang umpan’ membayangkan kemungkinan berlaku perubahan undang-undang untuk mengukur reaksi penduduk setempat.

Abdulkhaleq Abdulla. Gambar: Middle East Monitor

Saintis politik Emirat, Abdulkhaleq Abdulla memahami bahawa kedutaan telah meminta izin untuk mengibarkan bendera sebagai menunjukkan solidariti kepada masyarakat LGBT +.

“Mereka memang telah memaklumkan kepada Kementerian Luar Negeri dan Kerjasama Internasional. Katanya sebagai sokongan kepada hak LGBT +. Saya rasa jawapannya adalah lebih baik anda tidak melakukannya, tetapi ini adalah hak kedaulatan anda, oleh itu, mereka tidak mendapat lampu hijau, tetapi saya rasa mereka mendapat lampu kuning,” katanya.

Abdulla melabelkan tindakan kedutaan itu sebagai tidak sensitif dan sengaja memprovokasi. Namun, beliau mengatakan bahawa pandangan negatif datang dari masyarakat Emirat yang paling konservatif mewakili sekitar satu pertiga daripada keseluruhan populasi.

“Seramai 60 peratus rakyat tidak peduli mengenainya, sama ada orang Inggeris memasang bendera Pelangi atau tidak. Ini datang dari minoriti suara dan bukannya dari majoriti yang berdiam diri,” katanya.

Kedutaan Amerika Syarikat juga mengibarkan bendera pelangi di Abu Dhabi tahun ini, tetapi tidak mendapat kritikan yang sama.

Abdulla percaya menghalalkan homoseksual mungkin suatu permulaan yang sedang dalam proses.

“UAE adalah liberal seperti mana-mana negara dan kerajaan mungkin akan mencari masa yang tepat untuk mengatakan, semua orang yang ingin menjadi homoseksual, itu terpulang kepada anda. Saya tidak akan mendesak, sesuai dengan perkahwinan, tetapi jika anda ingin mempraktikkannya, teruskan dan jadilah tamu saya,” katanya lagi.

Undang-undang berhubung pemakaian pakaian berlainan jantna atau cross-dressing yang dilulus UAE baru-baru ini, dilihat sebagai langkah pertama dalam proses memberi hak kepada kelompok LGBT +.

Negara itu tanpa banyak publisiti meminda undang-undang terbabit pada lewat 2020, dalam pada membuat rombakan undang-undang termasuk tidak lagi menganggap sebagai jenayah kegiatan minum arak, bunuh diri dan bersekedudukan.

Ia kini hanya menjadi jenayah jika seseorang memakai pakaian berlainan jantina dengan tujuan memasuki tandas wanita.

“Ini adalah negara yang sangat revolusioner dibandingkan dengan sekitarnya. Perkara yang telah dilakukan oleh UAE adalah perintis dan merupakan keputusan yang tidak disukai oleh banyak negara di sekitar kita.

“Dunia sedang berubah, dan emirat hari ini bukan emirat semalam. UAE mesti menyesuaikan diri dengan perubahan,” katanya.

Sumber Teks dan Gambar: Independent.co.uk