Browsing Tag

kasihibu

Teladani cara Uwais al-Qarni menyantuni ibunya yang lumpuh
Inspirasi,

Teladani cara Uwais al-Qarni menyantuni ibunya yang lumpuh. Sesungguhnya, kasih ibu sampai ke syurga

PENGORBANAN wali ALLAH yang dikenali seluruh penduduk langit, Uwais al-Qarni dalam menyantuni ibunya harus menjadi ikutan setiap insan bergelar anak, kata Pensyarah Kanan, Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia, Dr Amiruddin Mohd Sobali.

Ujarnya, Uwais ialah seorang anak yatim yang hidup bersama ibunya yang lumpuh. Dalam satu riwayat, mengatakan ibunya buta. Sebagai anak, beliau menggalas setiap tanggungjawab dengan penuh ketaatan.

Pun demikian, terdapat satu permintaan ibunya yang agak berat untuk direalisasikan beliau. Wanita uzur tersebut mahu menunaikan haji, sedangkan hal itu sangat sukar dilakukan kerana mereka serba kekurangan.

Namun, Uwais tidak mengecewakan ibunya. Cuba kita letakkan diri di tempat Uwais yang sanggup berkorban dengan berlatih mengendong lembu di atas belakangnya. Saya pasti pengorbanan itu termasuk dari aspek tenaga, masa dan wang ringgit sukar untuk dilakukan oleh seseorang,“ katanya.

Amiruddin kemudian memetik Hadis Riwayat Imam Ahmad. Seorang sahabat bertanyakan baginda siapakah yang patut dilebihkan baktinya? Kemudian baginda menjawab, ibulah yang perlu diutamakan.

“Jawapan itu diulang sebanyak tiga kali dan diakhiri dengan berbakti kepada bapa. Sesungguhnya, mendahulukan ibu berbanding ayah adalah satu kewajipan dalam Islam. Setiap kewajipan yang dilaksanakan pula amat disukai oleh ILAHI.

“Kecintaan ALLAH SWT akan menarik rahmat-NYA terhadap anak yang mendahulukan ibu. Antara rahmat-NYA adalah dikabulkan doa seperti mana yang berlaku ke atas diri Uwais sehingga Rasulullah SAW memerintahkan Umar al-Khattab RA mencari beliau,“ jelasnya.

Baca juga Anak derhaka tidak akan pernah cium bau syurga. Itu jaminan ALLAH kepada si Tanggang moden

Menyambung kisah Uwais, sebaik pemuda berhati mulia dan ibunya sampai di hadapan Kaabah, beliau terus berdoa memohon ALLAH SWT mengampunkan segala dosa-dosa ibu dan tiada langsung doa untuk dirinya sendiri.

Wanita itu bertanya kepada anaknya, kenapa tidak berdoa untuk diri sendiri? Jawab Uwais, beliau mengharapkan reda ALLAH SWT. Lihat, betapa Uwais berusaha sedaya mungkin untuk tidak mencalarkan hati ibunya.

“Menyakiti hati dan perasaan ibu bapa sudah dikira berdosa besar, maka menyakiti mereka secara fizikal jauh lebih besar. Perkara ini wajib diketahui oleh setiap Muslim jika mahu hidup sentiasa dilimpahi keberkatan dan kebaikan daripada ALLAH SWT,“ katanya.

Foto: kalam.sindonews.com