Browsing Tag

kasihan

Berhutang untuk buat korban
Isu, Pilihan Editor,

Haram Makan Daging Korban Kerana Kasihan Pada Haiwan Yang Disembelih?

no comment

KURANG seminggu lagi, kita akan menyambut Hari Raya Aidiladha. Insya-ALLAH, ia bakal diraikan pada 20 Julai depan walaupun kita terpaksa mengharungi prosedur operasi standard (SOP) saat pandemik Covid-19 masih meruncing.

Namun begitu, ibadah korban tetap boleh dijalankan mengikut SOP ditetapkan pihak berkuasa agama di negeri masing-masing.

Bercakap tentang ibadah berkenaan, acap kali kita mendengar orang di sekeliling menyatakan haram seseorang memakan daging korban kerana kasihan dengan haiwan yang disembelih.

Cerita ini bukanlah perkara baharu dalam masyarakat. Malah, ia sudah sebati pada halwa telinga kita sejak zaman ibu bapa dan nenek moyang masing-masing.

Baca juga Antara Ibadah Korban Dan Akikah, Mana Perlu Diutamakan?

Benarkah umat Islam sememangnya dilarang makan haiwan korban tadi walaupun cukup syarat-syarat sembelihannya?

Firman ALLAH SWT: “Diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai (binatang yang tidak disembelih), dan darah (yang keluar mengalir), dan daging babi (termasuk semuanya), dan binatang-binatang yang disembelih kerana yang lain dari ALLAH, dan yang mati tercekik, dan yang mati dipukul, dan yang mati jatuh dari tempat yang tinggi, dan yang mati ditanduk, dan yang mati dimakan binatang buas, kecuali yang sempat kamu sembelih (sebelum habis nyawanya), dan yang disembelih atas nama berhala.” (Surah al-Maidah, ayat 3)

Melihat nas berkenaan, jelaslah betapa Islam amat menitikberatkan soal pemakanan halal.

Bagi menjadikan haiwan itu halal untuk dimakan, memetik artikel yang disiarkan menerusi laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan bertajuk Adakah Dengan Perasaan Kasihan Kepada Haiwan Yang Ingin Disembelih Haram Untuk Dimakan, ALLAH SWT memerintahkan kita supaya menyembelih haiwan.

Terdapat beberapa panduan yang telah digariskan oleh para ulama untuk penyembelihan binatang dan meletakkan syarat-syarat seperti berikut sebagaimana yang disebutkan dalam kitab al-Mausuah al-Fiqhiyah al-Kuwaitiyah:

1. Penyembelih itu mestilah berakal tidak kiralah sama ada lelaki, perempuan, baligh atau mumaiyiz. Ia merupakan pendapat jumhur.

2. Penyembelih tersebut mestilah orang Islam atau ahli kitab. Seperkara lagi, tidak sah sembelihan orang yang murtad. Ini kerana sembelihan mereka itu bukanlah kerana ALLAH SWT. Bahkan, para ulama meletakkan syarat ke atas ahli kitab antaranya mestilah beriman dan menyebut nama ALLAH SWT ketika menyembelih.

Daging korban

HAIWAN korban mestilah daripada jenis yang halal dan tukang sembelih pula terdiri daripada orang Islam berakal serta menyebut nama ALLAH ketika proses sembelihan.

3. Binatang buruan yang disembelih adalah daripada jenis halal dan bukan binatang buas dan ganas. Selain ketegori binatang buas, ia diharuskan untuk sembelih dan memakannya. Begitu juga binatang buas yang tidak termasuk binatang ternakan dan haiwan korban.

4. Disyaratkan menyebut nama ALLAH SWT ketika sembelih sama ada dari kalangan orang Islam atau ahli kitab. Sekiranya terlupa atau penyembelih bisu, maka dibolehkan untuk memakannya.

5. Tidak mencampur adukkan antara membesarkan nama ALLAH SWT dengan selainnya sama ada ia disebut secara jelas ataupun tidak.

6. Mestilah memutuskan halkum dan urat marih untuk mempercepatkan kematiannya.

7. Selain itu, syarat peralatan sembelihan adalah dengan menggunakan peralatan yang tajam dan bukan diperbuat daripada tulang, kuku dan gigi.

Berbalik kepada persoalan tadi, jelas Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, perasaan belas kasihan terhadap haiwan yang disembelih pada hakikatnya tidak mempengaruhi halal dan haram untuk memakan daging berkenaan seandainya cukup syarat sah sembelihan seperti yang dinyatakan di atas.

“Ketahuilah, sifat belas kasihan terhadap haiwan merupakan fitrah manusia. Oleh itu, kita digalakkan mengikut adab-adab dan sunat-sunat ketika penyembelihan bagi memudahkan serta mengurangkan kesakitan haiwan sembelihan,” katanya.

Rasulullah SAW bersabda: “Apabila kamu membunuh, maka bunuhlah dengan baik, dan apabila kamu menyembelih, maka sembelihlah dengan baik.” (Riwayat Muslim)

Berdasarkan ungkapan hadis berkenaan, ia merupakan salah satu daripada prinsip penting dalam Islam.

“Ia adalah seruan kemuliaan daripada baginda SAW supaya menanamkan sifat ihsan dalam setiap amalan,” katanya.

Foto: 123rf & Bernama