Browsing Tag

kasih sayang

Gadaikan kehormatan
Berita Semasa,

Jangan gadai kehormatan demi cinta, kesetiaan. Ikuti acuan Islam zahirkan kasih sayang

Jangan gadai kehormatan demi cinta, kesetiaan. Ikuti acuan Islam sebenar zahirkan kasih sayang

TANGGAL 14 Februari setiap tahun dikaitkan dengan sambutan Hari Valentine yang menjadi tarikh keramat kepada setiap pasangan kekasih. Sering kali setiap pasangan yang bercinta akan mengisytiharkan ketulusan cinta dengan cara yang tersendiri.

Bahkan kita akan menyaksikan pelbagai pihak sama ada media, hotel mahupun premis jualan seperti bunga, hadiah dan seumpamanya akan galak mempromosikan pakej hari kekasih dengan pelbagai tawaran, promosi dan lain-lain lagi bagi memeriahkan sambutan hari tersebut.

Umat Islam seharusnya tidak terperangkap dengan sambutan hari tersebut yang tidak mempunyai asas dalam lembaran sejarah Islam sama sekali. Cukuplah pengharaman sambutan Valentine yang telah dibincangkan di peringkat Muzakarah Jawatankuasa Fatwa dan beberapa fatwa negeri.

Dalam hal ini, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (Jawatankuasa Muzakarah MKI) pada tahun 2005 berpandangan bahawa ajaran Islam amat mengutamakan kasih sayang dan tidak ada hari tertentu di dalam Islam bagi meraikannya.

Oleh itu, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa amalan merayakan Hari Valentine tidak pernah dianjurkan oleh Islam. Roh perayaan tersebut mempunyai unsur-unsur Kristian dan amalannya yang bercampur dengan perbuatan maksiat adalah bercanggah dan dilarang oleh Islam.

Baca juga Elak beri hadiah walaupun tak berniat sambut Hari Kekasih

Larangan menyerupai agama lain

Gadai kehormatan

SAMBUTAN Hari Valentine dipenuhi dengan unsur-unsur ritual agama Kristian terutamanya dikaitkan dengan individu bernama Saint Valentine. -Foto: Canva

Islam bukan sekadar jenama satu agama, bahkan mempunyai pendirian yang tegas tentang identiti tersendiri. Penghayatan Islam melalui komponen 3A (Akidah, Amalan [Fiqh] dan Akhlak) perlu bergerak seiring dan saling melengkapi. Komponen 3A ini menjadi identiti unik Islam berbeza dengan agama-agama yang lain.

Umat Islam tidak boleh mencampuradukkan identiti Islam dengan elemen peribadatan agama lain. Sambutan Hari Valentine dipenuhi dengan unsur-unsur ritual agama Kristian terutamanya dikaitkan dengan individu yang bernama Saint Valentine.

Apa pun pengkisahan tentang individu tersebut, sejarah yang paling popular adalah dikaitkan dengan St Valentine’s Day yang juga dikenali sebagai The Feast of Saint Valentine iaitu asal perayaan untuk penganut agama Kristian mengenangkan kembali seorang tokoh Kristian bernama Valentinus yang dipercayai hidup pada zaman Rom.

Tarikh keramat 14 Februari merupakan hari kematiannya. Hari Valentine dikaitkan dengan cinta dan kasih sayang disebabkan Saint Valentine mengahwinkan Christians yang dilarang berkahwin pada zaman tersebut.

Akhirnya sejarah hari tersebut bertukar menjadi hari pasangan yang bercinta menyatakan cinta masing-masing dengan pelbagai hadiah.

Baca juga Rasulullah SAW menyayangi umatnya sehingga di akhirat. Contohilah keperibadian baginda dengan sebarkan kasih sayang

Oleh itu, apabila sesuatu sambutan itu berunsurkan keagamaan, maka meraikannya bermakna mengakui agama mereka dan meredai kekufuran yang ada pada mereka. Daripada Ibnu Umar telah berkata, Rasulullah SAW telah bersabda: “Sesiapa yang menyerupai dengan suatu kaum maka ia termasuk di kalangan mereka” (Abu Dawud, Kitab al-Libas, bab: fi lubs al-shuhrah, no: 4031)

Pengisian maksiat sangat ditegah

Ikatan pergaulan bebas, hubungan maksiat bukan mahram adalah sebahagian paparan pengisian kasih sayang dalam memenuhi sambutan Hari Valentine. Bahkan yang amat membimbangkan apabila pasangan yang berkasih sayang sanggup gadai kehormatan diri bagi menunjukkan kecintaan dan kesetiaan masing-masing.

Semua ini merupakan tindakan yang perlu dicegah daripada awal demi menjaga kesucian Islam itu sendiri. Perlu diingat, Islam tidak akan berkompromi dengan perkara berbaur maksiat dalam satu-satu masa yang dikaitkan dengan kasih sayang. Secara tidak langsung, setiap pengisian maksiat akan menggugat komponen 3A yang menjadi identiti Islam sebelum ini.

Gadai kehormatan

ISLAM tidak melarang penzahiran kasih sayang, namun mesti mengikut acuan yang digariskan dan tidak gadai kehormatan diri demi kecintaan kepada manusia. -Foto: Canva

Kasih sayang yang lebih Islami

Islam sama sekali tidak melarang penzahiran kasih sayang namun pengisian kasih sayang seharusnya mengikut acuan yang lebih Islam. Semaikanlah cinta kepada ALLAH SWT dan kasih sayang yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW sebagai acuan cinta dan kasih sayang lebih hakiki dan Islami.

Cinta ALLAH dan Rasulullah perlu menjadi keutamaan berbanding sesama makhluk yang belum mencapai sesuatu yang pasti. Firman ALLAH SWT: “Katakanlah ‘jika bapa-bapa, anak-anak, saudara-saudara, isteri-isteri, kaum keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu khuatiri kerugiannya, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai adalah lebih kamu cintai daripada ALLAH dan Rasul-NYA dan berjihad di jalan ALLAH, maka tunggulah sehingga ALLAH mendatangkan keputusannya’. Dan ALLAH tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik”. (Surah at-Taubah, ayat 24)

Baca juga Ini hukumnya bila ibu bapa pilih kasih yang perlu kita tahu

Sudah sampai masanya umat Islam tidak lagi mempersoalkan tentang keputusan muzakarah fatwa sebelum ini tentang “Hukum Orang Islam Menyambut Perayaan Valentine’s Day” pada tahun 2005. Jadilah umat Islam yang akur dengan institusi fatwa yang menjadi pihak berautoriti tentang rujukan hukum Islam semasa.

***Artikel ditulis oleh Pensyarah Kanan Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia, Zahari Mahad Musa

Gaya Hidup,

Sematkan nilai toleransi dan kasih sayang, ia kunci kepada perdamaian

ISLAM ialah agama yang sentiasa mengamalkan sifat universal iaitu saling toleransi dan kasih sayang dalam setiap perkara. Ini bertepatan dengan maksudnya sebagai ‘selamat dan sejahtera’.

Ketiga-tiga istilah itu mempunyai hubung kait antara satu sama lain dan perlu diteliti dengan lebih mendalam agar tidak tersalah dalam memahaminya, manakala perdamaian berasal daripada perkataan damai.

Damai mempunyai banyak maksud dan boleh berubah mengikut keadaan dan persekitaran. Damai juga boleh memberikan maksud tidak berperang atau serang-menyerang dan bertujuan mewujudkan keadaan yang damai.

Perdamaian merupakan salah satu prinsip dalam Islam yang perlu ditanam secara mendalam di dalam hati nurani bagi setiap Muslimin, bahkan menjadi sebahagian dalam kehidupan mereka.

Baca juga Berkarya biarlah mengikut hukum-hakam Islam

Apabila munculnya agama Islam ke dunia ini, ia dengan tegas menyeru kepada perdamaian dan meletakkan jalan hidup yang lurus bagi setiap insan.

Kedatangan Islam juga membebaskan perasaan takut dan terancam bagi seseorang individu sehingga dapat menetapkan jalan yang mulia agar manusia dapat berjalan menuju kearah perdamaian, kemerdekaan serta kebahagiaan di dunia dan di akhirat.

Bukan sekadar mencegah perang

Isu perdamaian telah menjadi bahan perbincangan dalam masyarakat setempat, malah menjadi topik hangat di seluruh dunia pada suatu ketika.

Toleransi

UNTUK mewujudkan keamanan di dunia, ia bukan sekadar mencegah ancaman perang, tetapi sewajarnya dimulai dengan menanam rasa damai dalam hati dan minda manusia. -FOTO: BERNAMA

Hampir seluruh umat manusia berhadapan dengan isu perdamaian antara satu sama lain sehingga ke hari ini. Perdamaian sangatlah indah tetapi kaedah mewujudkannya tidak seindah teori.

Baca juga Inspirasi penyatuan Rasulullah SAW

Menurut ilmuan dan pemikir Mesir, Sayyid Qutb, bagi mewujudkan keamanan di dunia ini, bukanlah sekadar mencegah ancaman perang tetapi sewajarnya dimulai dengan menanam rasa damai dalam hati dan minda manusia. Jika kedamaian sudah sebati dalam hati, maka ia mudah meresap ke dalam persekitaran keluarga dan masyarakat.

Begitu juga hubungan persaudaraan. Ia merupakan kekuatan iman di jiwa yang mampu mendorong seseorang itu hidup berkasih sayang, hormat-menghormati dan saling percaya antara satu sama lain, malah berkait rapat dengan ukhuwah Islamiyyah.

Hal itu kerana konsep persaudaraan dalam Islam adalah sifat yang berkait rapat dengan iman dan takwa.

Pada masa yang sama juga, persaudaraan sesama manusia tanpa mengira bangsa dan agama akan lahir apabila manusia mengetahui asal usul kejadian mereka, sekali gus dapat mengelak isu perpecahan umat dalam kalangan masyarakat.

Dalam pada itu, kita mestilah sentiasa bersedia dari segi mental dan fizikal untuk menentang segala cabaran dan halangan bagi mewujudkan perdamaian kerana cabaran sosial pada masa kini amatlah mencabar.

Contohnya, pencemaran budaya, penjajahan pemikiran dan keruntuhan akhlak di kalangan masyarakat.

Pentingnya bertoleransi

Malaysia amat unik kerana masyarakatnya terdiri daripada berbilang kaum dan agama. Kita dapat lihat betapa tingginya nilai toleransi dalam sebuah negara yang mempunyai pelbagai kaum terdiri daripada kaum Melayu, Cina, India dan pelbagai etnik lain.

Kesemua kaum tersebut memiliki bahasa, agama dan cara hidup yang berbeza.

Toleransi

TOLERANSI dan kasih sayang merupakan kunci keharmonian dan kedamaian. -GAMBAR HIASAN/ FOTO: SINAR HARIAN

Perpaduan sesebuah negara boleh dicapai apabila wujudnya sikap toleransi dan semangat kerjasama yang tinggi dalam kalangan rakyatnya.

Toleransi adalah satu sikap pegangan kehidupan yang memberi maksud tidak mementingkan diri sendiri, bertolak ansur dan menghormati hak orang lain.

Baca juga Ikhlas jaga agama, hindari bala ALLAH

Sikap toleransi berupaya mendorong seseorang itu melawan tekanan yang dihadapi dalam situasi tertentu, dengan berfikiran terbuka dan bertolak ansur antara satu sama lain.

Keharmonian tidak akan mudah tercapai sepenuhnya jika sikap toleransi diabaikan kerana masyarakat sering dibelenggu dengan sikap buruk sangka.

Oleh itu, setiap rakyat perlu memahami konsep kejadian diri dan fungsinya di dunia secara teliti dalam mencapai sikap toleransi supaya dapat mewujudkan suasana harmoni serta bebas daripada ancaman.

Bagi mewujudkan masyarakat yang bertoleransi tinggi pula, terdapat beberapa cabaran yang perlu didepani iaitu:

Cabaran pertama: Hak antara orang Islam dan bukan Islam masih tidak jelas kerana terdapat konflik antara undang-undang syariah serta sivil.

Cabaran kedua : Kurangnya penghargaan orang bukan Islam kepada Islam seperti yang ditetapkan oleh Perlembaggan Malaysia.

Justeru, perbezaan latar sosial, agama dan etnik tidak wajar menjadi benteng pemisah. Yang penting setiap rakyat memiliki toleransi tinggi dan sentiasa berusaha mencari titik persamaan tanpa mengurangi rasa hormat diri agar dapat bersama-sama menikmati kehidupan dengan aman di negara ini.

***Artikel ditulis oleh Penuntut Tahun 2, Jabatan Sejarah dan Tamadun Islam, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, Muhammad Aiman Jaffar & Ketua Jabatan Sejarah dan Tamadun Islam, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, Prof Dr Mohd Roslan Mohd Nor