Browsing Tag

Karnataka

Jendela Dunia, Uncategorized,

Polemik larangan berhijab di Karnataka terus memuncak

SUDAH dua bulan berlalu, namun polemik larangan berhijab di institusi pendidikan di Karnataka, India terus memuncak. Situasi berkenaan menimbulkan kemarahan ramai pihak.

Kemelut itu bermula apabila sebuah prauniversiti di daerah Udupi, Karnataka melarang enam mahasiswi Muslim menghadiri kelas mereka gara-gara mengenakan tudung.

Insiden berkenaan sekali gus menjawab dasar Kerajaan Negeri Karnataka yang memerintahkan setiap institusi pendidikan yang diuruskan oleh kerajaan menyeru pelajar Islam supaya tidak memakai tudung sejak bulan lalu.

Malah, ia turut didukung oleh parti pemerintah di Karnataka, Bharatiya Janata (BP) yang turut menaungi Perdana Menteri India, Narendra Modi.

Lebih menggamatkan keadaan apabila Gabenor Kerala, Arif Khan dilaporkan berkata, hijab bukanlah bahagian penting dalam pakaian bagi wanita Islam pada 13 Februari lalu.

Portal berita dnaindia.com melaporkan, Arif juga menggesa mahasiswi dan pihak kolej untuk meneruskan pengajian serta pendidikan masing-masing.

“Hijab bukan sebahagian daripada Islam. Hijab disebut sebanyak tujuh kali dalam al-Quran, tetapi ia tidak berkaitan dengan etika berpakaian wanita. Ia adalah satu konspirasi untuk menghalang gadis-gadis Islam daripada maju.

“Kontroversi hijab adalah satu konspirasi untuk menghentikan pendidikan gadis Muslim. Ini kerana mereka sedang mencapai apa yang diinginkan. Saya cadangkan supaya mereka kembali ke kelas dan belajar,” katanya sebagaimana dipetik menerusi portal tersebut.

Larangan berhijab

MAHKAMAH TINGGI KARNATAKA mengenakan larangan sementara terhadap pemakaian semua simbol agama di sekolah sementara badan kehakiman berkenaan mempertimbangkan larangan bertudung.

Larangan tersebut membuatkan komuniti Muslim di India bangkit melakukan demonstrasi balas mempertahankan pegangan mereka.

Terbaharu, sarjana Islam dan Setiausaha Agung Jamiyyathul Ulama Sunni Seluruh India, Kanthapuram A P Aboobacker Musliyar menggesa Kerajaan Negeri Karnataka menarik balik perintah tersebut.

Beliau menyifatkan larangan berhijab itu sebagai diskriminasi. Ini kerana sekatan yang sama tidak dikenakan terhadap agama dan bahagian lain.

“Sekatan sebegitu akan menggalakkan permusuhan dalam kalangan pelbagai bahagian.

“Justeru, pihak berkuasa perlu menjauhkan sekatan tersebut,” ujarnya dipetik menerusi portal berita deccanherald.com.

KANTHAPURAM

Dalam pada itu, Kanthapuram turut mempersoalkan tindakan pihak berkaitan yang membenarkan penganut agama Sikh memakai serban di semua tempat dan biarawati pula dibolehkan memakai pakaian keagamaan mereka.

“Lalu mengapa sekatan tersebut (larangan berhijab kepada wanita Muslim di institusi pendidikan) hanya dikenakan pada satu bahagian?,” soalnya.

Baca juga Model Di Sebalik Kempen ‘Hands Off My Hijab’ Dilantik Editor Vogue-Scandinavia

Sejak mula tercetusnya perintah larangan tersebut, ramai wanita Islam mengadakan demonstrasi menentangnya dengan slogan hands off my hijab (lepaskan tudung saya).

Serangan keganasan

Susulan daripada kes larangan berhijab itu, Sinar Islam Plus difahamkan, ia membawa kepada insiden serangan keganasan baru-baru ini.

Dalam kejadian yang berlaku pada jam 9 malam Isnin, seorang pelajar dari Udupi di Karnataka yang juga salah seorang pempetisyen dalam kes larangan hijab, Hazra Shifa mendakwa, abangnya telah diserang oleh sekumpulan penyokong sayap kanan.

Ia dikatakan mempunyai perkaitan rapat dengan keputusan wanita itu untuk terus memakai tudung, lapor portal berita ndtv.com.

Larangan berhijab

SUSULAN kes larangan berhijab, terdapat dakwaan seorang lelaki diserang.

Ujar Hazra Shifa, abangnya yang dikenali sebagai Saif telah diserang di sebuah hotel di daerah Udupi.

“Abang saya diserang dengan kejam oleh segerombolan. Hanya kerana saya terus mempertahankan hijab saya yang merupakan hak saya. Harta benda kita juga musnah. Mengapa?

“Tidak bolehkah saya menulis hak saya? Siapa yang akan menjadi mangsa mereka seterusnya? Saya menuntut tindakan diambil terhadap penjahat,” katanya sebagaimana dipetik menerusi ciapan di Twitter miliknya.

NDTV kemudiannya turut menemu bual seorang pegawai polis di Balai Polis Malpe berkaitan insiden serangan berkenaan.

Jelas pegawai polis tersebut, terdapat 20 hingga 30 orang terlibat dan kebanyakan mereka dikenali oleh mangsa.

“Mereka ialah rakannya. Tertuduh sering mengunjungi hotel tersebut yang merupakan milik ayah Saif.

“Pencetus rusuhan itu ialah bapa Saif yang bertindak balas terhadap kontroversi pertikaian hijab. Kenyataan yang dilontarkannya telah mencetuskan kumpulan tersebut sampai ke hotel dan melontar batu ke arah Saif.

“Beliau ditampar dan dipukul oleh tertuduh dalam kumpulan berkenaan. Gerombolan tersebut dalam keadaan mabuk,” jelasnya kepada ndtv.com.

Bermula akhir tahun lalu, demonstrasi bantahan terhadap hijab di Karnataka semakin ‘merebak’ ke negeri lain ekoran pelajar sekolah dihalang daripada memakainya.

Justeru, untuk meredakan ketengan itu, Kerajaan Negeri Karnataka telah menutup sementara sekolah, tetapi ia mula dibuka secara beransur-ansur kini.

Menerusi perintah interim, Mahkamah Tinggi Karnataka telah mengenakan larangan untuk tempoh tertentu terhadap pemakaian semua simbol agama di sekolah sementara badan kehakiman berkenaan mempertimbangkan larangan bertudung.

Foto: NDTV, decanherald.com & indiatoday.in