Browsing Tag

Kapsul Hadis 2.0

Berita Semasa,

Isu Rasuah dan Amanah Antara Inti Pati Rancangan Kapsul Hadis 2.0 Bermula 10 Januari Depan

Oleh FOUZIAH AMIR

BERMULA 10 Januari depan, Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) bakal mengetengahkan program Kapsul Hadis 2.0 untuk menyantuni isu rasuah dan amanah dengan berpandukan hadis.

Program tersebut bakal disiarkan menerusi semua platform digital My #HadithTime.

Pengacara dan Penyelidik My #HadithTime, Prof Madya Dr Ahmad Sanusi Azmi berkata, rancangan musim kedua itu masih dalam peringkat pembikinan rakaman ringkas bagi mengupas pelbagai isu dengan rujukan as-Sunnah.

DR AHMAD SANUSI

Beliau yang juga hos Kapsul Hadis dan Timbalan Dekan Penyelidikan & Inovasi, Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia ialah penulis buku berjudul 40 Hadis: Rasuah & Amanah. Karya tersebut menjadi rujukan bagi pengisian Kapsul Hadis 2.0 yang bersiaran sebanyak 41 episod.

“Penghasilan naskhah berkenaan adalah rentetan daripada isu rasuah negara yang diperangi oleh pasukan Rasuah Busters. Mereka mempunyai kekuatan holistik apabila usaha tersebut melibatkan semua kaum di negara ini.

“Namun begitu, bagaimana pula panduan Rasulullah SAW untuk menangani dan membanteras isu rasuah? Disebabkan itulah saya terpanggil dan bertanggungjawab untuk memberi respons mengenainya. Menjadi cabaran buat saya untuk mengumpulkan 40 hadis tentang rasuah dan amanah.

“Sebenarnya, hanya belasan hadis menyebut perihal rasuah dan selebihnya dikaitkan dengan amanah. Dalam mengumpulkan 40 hadis tersebut, saya mendapati Rasulullah selalu berpesan kepada tentera setiap kali sebelum berpisah supaya bersifat amanah dan mentaati ALLAH SWT,“ katanya kepada Sinar Islam Plus baru-baru ini.

Baca juga RASUAH : Penyakit Sosial Dilaknat Allah

Dalam pada itu, ujar Ahmad Sanusi, misi ketenteraan melibatkan urusan aset negara. Jika melibatkan tawanan negara yang besar, maka begitu jugalah hal pengurusan asetnya. Ini bermakna, golongan yang memegang amanah untuk menjaga keselamatan negara seperti tentera, polis dan lain-lain sentiasa diingatkan supaya bersifat jujur, terangnya.

“Apa tidaknya, tugasan menjaga keselamatan negara mudah terdedah dengan sogokan. Kesan rasuah berleluasa boleh memberi implikasi buruk kepada negara termasuk menghakis harta (negara). Malah, ia juga memberikan dampak tidak baik kepada pelakunya seperti merosakkan diri dan keluarga dari aspek makanan tidak halal, menjejaskan kualiti hidup dan doa yang tidak diterima.

Kapsul Hadis 2.0

“Ketahuilah, suami isteri memainkan peranan penting untuk mencegah rasuah. Mungkin ada yang tahu pasangan terlibat rasuah di tempat kerja, tetapi tidak menasihatinya. Ingatlah, mereka yang membiarkan pasangan mengambil suapan boleh menjadi penggalak rasuah. Misalnya, suami bekerja bergaji rendah, tetapi tiba-tiba dapat kereta besar.

“Tahap rasuah pada hari ini sangat ‘membarah‘ dan serius apabila melibatkan seluruh rantaian. Sebagai contoh, bermula dengan pekerja bawahan seperti pengawal keselamatan, penyambut tetamu, kerani, pegawai hingga peringkat atasan mengambil suapan.

“Integriti diri yang tidak terkawal ini melibatkan kepimpinan. Jika pemimpin tidak bertegas dalam menangani rasuah, bahkan terbiasa terimanya, ia memberikan kesan negatif kepada negara,“ ujarnya.

Untuk maklumat lanjut, pembaca Sinar Islam Plus boleh layari https://www.facebook.com/myhadithtime.

Foto: Freepik