Browsing Tag

kapas

Kaabah
Berita Semasa,

410 kilogram kapas digunakan untuk hasilkan kiswah Kaabah

KISWAH seberat 1,300 kilogram (kg) yang melitupi Kaabah menggunakan sebanyak 410kg kapas dalam penghasilannya.

Demikian fakta didedahkan oleh Timbalan Ketua Setiausaha Hal Ehwal Kompleks Raja Abdulaziz untuk Pembuatan Kiswah Kaabah, Amjad Ayed Al-Hazmi bersempena dengan Hari Kapas Sedunia yang berlangsung setiap 7 Oktober.

“Oleh sebab itu, kapas dianggap penting sebagai bahan mentah signifikan untuk membuat kiswah Kaabah,” katanya sebagaimana dipetik menerusi portal berita Saudi Gazette.

Istimewanya, jelas Amjad, kapas yang digunakan itu ditenun dengan mesin tenun terkini. Ia digunakan sebagai pelapis untuk kain kiswah.

Pemilihan itu dibuat kerana ciri-ciri yang ada padanya dari segi ketahanan dan kekuatan untuk menahan hakisan sepanjang tahun, ungkapnya.

Baca juga Ganti Kiswah Baharu Tanda Permulaannya Haji

“Selain itu, kapas juga digunakan dalam penghasilan kepingan kiswah yang disepuh sebagai tampalan untuk menonjolkan sulaman huruf-huruf bait suci al-Quran,” katanya.

Memetik portal berita Al-Arabiya, penyelidik pertanian dan alam sekitar, Nasser Al-Shadwi menjelaskan, pokok kapas merupakan pokok terbaik yang mampu menyesuaikan diri dengan semua iklim waima sejuk atau panas.

“Ia dihasilkan sepanjang tahun dan mencapai ketinggian kira-kira 4 meter.

“Malah, kapas juga antara hasil pertanian paling banyak digunakan di seluruh dunia, selain menjadi antara tanaman paling banyak ditanam dan dijual di dunia. Ia juga mudah dicuci,” katanya.

Rasulullah SAW tutup Kaabah dengan kain Yemen

Menelusuri historiografinya, kiswah Kaabah akan diganti pada hari kesembilan bulan Zulhijah, mengikut jejak Nabi Muhammad SAW dan para sahabatnya.

Kaabah

KISWAH Kaabah dipasang mengikut jejak Nabi Muhammad SAW. -FOTO: SPA

Portal berita berpengaruh di Arab Saudi, Arab News melaporkan, selepas penaklukan Kota Makkah pada tahun ke-9 Hijrah, baginda SAW menutup Kaabah dengan kain Yemen ketika menunaikan haji perpisahan.

Setiap tahun, ‘kain hitam’ itu akan diganti sekali semasa haji selepas jemaah haji ke Gunung Arafah sebagai persediaan untuk menerima tetamu ALLAH pada keesokan harinya yang bertepatan dengan Hari Raya Aidiladha.

Ketika zaman Rasulullah SAW, Arabnews.com melaporkan, baginda menutup Kaabah dengan kain Yemen bergaris putih-merah.

Kemudian Khalifah Abu Bakar Al-Siddiq, Umar bin Al-Khattab dan Uthman bin Affan melitupinya dengan kain putih, manakala Ibn Al-Zubayr pula ‘menudungi’ kiblat umat Islam dengan kain broked merah.

Baca juga Jangan sesuka hati berniaga depan Kaabah dan tempat ibadah lain

Semasa era Abbasiyah, ia kembali ditutup dengan warna putih dan sekali dengan warna merah. Ketika zaman Sultan Seljuk, baginda menggunakan kain broked kuning.

Memasuki pemerintahan Khalifah Abbasiyah Al-Nassir, warna Kisbah ditukar kepada hijau, kemudiannya beralih kepada broked hitam dan rona itu kekal hingga ke hari ini.

Kepada Arab News, Pengarah Pusat Sejarah Makkah, Dr Fawwaz Al-Dahas berkata: “Kaabah ditutup sekali dengan warna putih, sekali dalam warna merah dan sekali dalam warna hitam dan pilihan warna berdasarkan sumber kewangan dalam setiap era.”

Mengulas tentang warna kiswah yang berubah sepanjang zaman, Dr Fawwaz menjelaskan, hitam akhirnya menjadi pilihan pada penghujung era Abbasiyah kerana sifatnya yang tahan lama dan tahan disentuh oleh pengunjung, jemaah haji dan mereka yang datang dari seluruh dunia.

Berdasarkan kitab sejarah, Raja Yemen, Tubbaa Al-Humairi menjadi orang pertama yang menutup Kaabah pada zaman pra-Islam. Beginda mula berbuat demikian pada zaman sebelum Islam selepas melawat Makkah.

***Foto: Saudi Gazette