Browsing Tag

kanak-kanak

Skibidi Toilet
Gaya Hidup,

Awasi penularan animasi ‘skubidi toilet’, ini peranan ibu bapa didik anak kembali ke cara Islam

KEBELAKANGAN ini, masyarakat Malaysia digemparkan dengan sebuah rancangan animasi barat yang dikatakan tidak sesuai ditonton kanak-kanak.

Ia susulan tindak balas negatif terhadap si kecil yang jelas kelihatan selepas mereka menonton rancangan berkenaan yang dipercayai padat dengan elemen keganasan dan tidak masuk akal.

Terbaharu, tular satu animasi di YouTube bertajuk ‘Skibidi Toilet‘ yang dikatakan telah memberikan kesan negatif kepada golongan kanak-kanak dan beberapa video di TikTok turut memaparkan perbuatan pelik golongan berkenaan selepas menonton rancangan tersebut.

Baca Juga Perkasakan peranan ibu bapa, usah biarkan gajet kuasai anak-anak

Dengan pelbagai tarikan buruk di luar sana, sebagai ibu bapa kita mestilah berhati-hati. Sedikit sahaja kelekaan kita dalam didikan anak-anak pasti akan memberi kesan buruk pada pembentukan peribadi yang akan kekal selamanya.

Melihat kepada risiko ini dan tanggungjawab yang berat sebagai ibu ayah, tiada lagi jalan lain melainkan kembali kepada cara yang diajarkan oleh Islam dalam mendidik anak-anak kita.

TULAR satu animasi di YouTube yang bertajuk ‘Skibidi Toilet‘ dikatakan telah memberikan kesan negatif kepada golongan kanak-kanak. 

Berkaitan perkara ini, Ahli Isma Australia, Dr Shaiful Aizad kongsikan cara yang diajarkan oleh Islam dalam mendidik anak-anak yang sesuai diadaptasikan pada zaman ini, terutamanya bagi ibu bapa yang mempunyai anak-anak berusia 2 sehingga 18 tahun.

Ujarnya, peranan ibu bapa adalah paling penting dalam menentukan peribadi dan hala tuju hidup anak-anak. Kita semua nak jadikan anak-anak kita soleh dan solehah, sebab hanya dengan doa mereka sahaja sebagai bekalan di alam kubur kelak.

Baca Juga ‘Rezeki anak’ mesti diusahakan ibu bapanya, fahami erti sebenar frasa itu

“Sebelum kita menjadikan anak-anak kita seorang doktor, jurutera, akauntan atau ahli perniagaan, terlebih dahulu kita kena jadikan mereka sebagai anak yang soleh dan solehah, kerana ini sahaja jaminan saham kita akan berterusan hingga ke alam kubur kelak.

“Ramai kata yang dia “tak mampu nak didik agama kepada anak-anak sendiri”.

Buat silap ketika didik anak

BAPA memainkan peranan besar dalam mendidik anak dan memandu keluarga ke syurga.

“Tidak mengapa untuk menghantar anak-anak ke kelas agama, akan tetapi menjadi kewajipan lebih besar kepada diri ibu dan bapa tersebut untuk dia sendiri timba belajar ilmu agama sewajarnya daripada kelas-kelas agama, menghadiri sesi-sesi bersama ustaz atau ustazah atau daripada pembacaan buku-buku agama.

“Bahkan, guru yang terbaik bagi anak-anak kita, ialah diri kita sendiri. Jika ibu dan bapa sendiri tidak bersedia, maka wajib bagi ibu dan ayah itu untuk pergi belajar dan kuasai ilmu agama sebaiknya, untuk diajarkan kepada anak-anaknya di rumah. Dengan itu barulah lepas tanggungjawabnya keatas anak-anaknya,” katanya.

Turut Disyorkan Sikap Anak Adalah Cerminan Ibu Bapa. Didik, Tunjukkan Teladan Baik Sejak Mereka Kecil Lagi

Jaga persekitaran di rumah

Tambahnya lagi, selain ilmu agama, persekitaran juga memainkan peranan dalam pendidikan anak-anak. Di mana lagi tempat yang mereka banyak meluangkan masa kalau bukan rumah sendiri.

“Jadi berhati-hatilah dengan apa yang kita “benar”kan dirumah. Kita pastinya tidak mahu sia-siakan usaha kita dalam mendidik mereka untuk menjadi anak yang soleh dan solehah, akhirnya di “musnah”kan oleh siaran-siaran di TV atau di internet sebagainya.

Tidak semua ahli keluarga terima faraid

WARIS faraid ialah individu yang masih hidup dan bakal mewarisi harta pusaka, mereka memiliki salah satu sebab ikatan iaitu hubungan kerabat (nasab) dan perkahwinan. -Foto: 123rf

“Contohnya, bagaimana kita nak ajarkan kepada anak lelaki kita “menundukkan pandangan terhadap wanita” sekiranya di kaca TV rumah kita terdedah wanita-wanita tidak menutup aurat, malah lebih terus, wanita-wanita seksi yang terdedah sana sini?

“Bagaimana kita nak didik anak-anak perempuan kita supaya menutup aurat berhijab, sekiranya dia didedahkan oleh rancangan-rancangan yang dilakonkan oleh wanita-wanita tidak bertudung memakai baju-baju ketat?

Baca Juga Ibu bapa harus ajar 2 bacaan ini kepada anak seawal usia mereka

Turut Disyorkan (VIDEO) Anak soleh aset ibu bapa ke syurga

“Akhir sekali, berdoa dan letakkan sepenuh kepercayaan kepada ALLAH kerana anak-anak adalah amanah untuk diri kita, dan hakikatnya jua mereka sebenarnya adalah milik ALLAH sepenuhnya.

“Sebab itulah hadis mengatakan “Setiap anak yang lahir adalah di dalam fitrah. Ibu bapa lah yang menjadikannya Yahudi, Majusi atau Nasrani” (Hadis Riwayat Bukhari, Muslim, Baihaqi, Thabarani),” katanya sebgaimana dipetik di laman Isma.

 

polis Jerman kanak-kanak
Antarabangsa,

Polis Jerman pisahkan kanak-kanak lelaki Muslim daripada keluarga

Polis Jerman pisahkan kanak-kanak lelaki Muslim daripada keluarga

PIHAK berkuasa Jerman dikecam susulan tindakan ‘menculik’ seorang kanak-kanak pendatang asing beragama Islam daripada keluarganya di Bremerhaven, lapor Agensi Anadolu.

Dalam sebuah video yang tular baru-baru ini, pihak polis Jerman bersama beberapa pegawai agensi perlindungan kanak-kanak dilihat memisahkan seorang budak lelaki secara paksaan daripada sebuah keluarga Muslim di rumah mereka.

Baca juga Berlin benarkan guru muslimah memakai hijab di sekolah

polis Jerman kanak-kanak

Video berkenaan turut menunjukkan kanak-kanak lelaki tersebut menangis ketakutan sambil dibawa pergi, manakala ahli keluarga lain cuba menentang tindakan pegawai polis dengan memberitahu bahawa kanak-kanak itu mempunyai masalah kesihatan dan sedang berada dalam keadaan tertekan.

Kejadian terbabit menerima kritikan daripada pengguna media sosial yang menuduh pihak polis dan pejabat kebajikan belia atas salah laku merampas kanak-kanak daripada ibu bapanya.

Baca juga Gara-gara Islamofobia, ramai profesional Muslim di Perancis cari kerja di luar negara

KOMUNITI warganet antarabangsa mengecam tindakan pihak polis Jerman yang mengambil pergi kanak-kanak lelaki tersebut daripada ibu bapanya. Foto: Anadolu Agency

Baca juga Meninggal dunia selepas tiba di Mekah dengan basikal dari Jerman

Dalam pada itu, pihak polis Bremerhaven  tampil mengesahkan bahawa kejadian itu berlaku, namun video yang tersebar di media sosial mempunyai ‘dakwaan palsu’ mengenai peristiwa tersebut.

“Video itu hanya menunjukkan sebahagian kecil daripada langkah yang diarahkan mahkamah untuk meletakkan kanak-kanak tersebut di bawah jagaan (agensi perlindungan kanak-kanak).

“Tindakan sedemikian (memisahkan anak daripada keluarga) merupakan pilihan terakhir dan hanya akan diambil jika mempunyai sebab yang serius,” ujar jurucakap dalam satu kenyataan pada Sabtu.

polis Jerman kanak-kanak

DIANGGARKAN Jerman mempunyai enam juta penduduk beragama Islam, namun hanya separuh daripada angka itu adalah warga tempatan. Foto: Carina Johansen/NTB Scanpix/TT

Baca juga Susulan insiden 2 masjid di Minneapolis terbakar, komuniti Muslim di AS bimbang

Pegawai polis turut memberitahu, pihaknya tidak boleh memberikan sebarang penjelasan lanjut mengenai kejadian berkenaan untuk melindungi keluarga dan kanak-kanak tersebut.

Sebelum ini, timbul khabar angin mendakwa polis telah memisahkan kanak-kanak lelaki tersebut daripada keluarganya yang beragama Islam setelah menerima aduan daripada pihak sekolah bahawa kanak-kanak itu diajar oleh ibu bapanya ‘membenci’ golongan lesbian, gay, bisexual dan transgender (LGBT).

Sumber: Agensi Anadolu

Berkeliaran waktu Maghrib
Gaya Hidup,

Larangan berkeliaran waktu Maghrib bukan mitos

PANTANG nenek moyang kita apabila ada sesiapa yang berkeliaran waktu Maghrib. Kalau boleh, memang semua orang disuruh pulang ke rumah sebelum senja.

Lebih-lebih lagi kanak-kanak dan bayi. Nampak sahaja golongan itu dibawa merayap oleh ibu bapa mereka, terus sahaja disuruh masuk.

Ya, demikianlah yang berlaku sebelum ini. Barangkali dalam era moden kini, sudah kurang kedengaran tegahan sebegitu meniti pada bibir ibu bapa kita.

Namun, ‘ajaran’ mereka itu masih tersemat kemas dalam ingatan. Sekali-sekala apabila pulang waktu Maghrib, sudah terasa semacam dan meremang!

Ketahuilah bahawa pantang larang tersebut sebenarnya ada asasnya dalam agama Islam. Ia bukan mitos!

Menurut Jabatan Mufti Negeri Perak, sememangnya kanak-kanak dilarang merayap pada waktu Maghrib kerana syaitan berkeliaran ketika itu.

Berkeliaran waktu Maghrib

JANGAN biarkan anak-anak kecil berkeliaran atau bermain di luar ketika waktu Maghrib. -GAMBAR HIASAN/ FOTO: UNSPLASH

“Kita bimbang apa-apa terjadi kepada mereka.

“Oleh itu, setengah jam atau 40 minit sebelum Maghrib, masukkan mereka ke dalam rumah untuk menjaga keselamatan masing-masing,” katanya sebagaimana dikongsikan menerusi Soal Jawab Fiqh di laman sosial Facebook Jabatan Mufti Negeri Perak.

Baca juga Mandi selepas Asar, Maghrib dan Isyak jejas kesihatan serta dilarang agama… Itu semua karut, hakikatnya

Dalam hal itu, terdapat beberapa hadis sahih yang memerihalkan tentang perkara itu, kata laman web islamqa.info.id.

Antaranya daripada Jabir RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Jika malam datang menjelang, atau kalian berada pada lewat petang, maka tahanlah anak-anak kalian kerana sesungguhnya ketika itu syaitan sedang bertebaran. Jika telah berlalu sesaat dari waktu malam, maka lepaskan mereka. Tutuplah pintu dan berzikirlah kepada ALLAH kerana sesungguhnya syaitan tidak dapat membuka pintu yang tertutup. Tutup pula bekas minuman dan makanan kalian dan berzikirlah kepada ALLAH walaupun dengan sekadar meletakkan sesuatu di atasnya, matikanlah lampu-lampu kalian.” (Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Dalam sebuah hadis lain, Jabir RA meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda: “Jangan lepaskan haiwan ternak dan anak-anak kalian apabila matahari terbenam hingga berlalunya awal waktu Isyak kerana syaitan bertebaran jika matahari terbenam hingga berlalunya awal waktu Isyak.” (Hadis Riwayat Muslim)

Ketika mensyarahkan hadis tersebut, Ibn Jauzi dalam Fathul Bari menyatakan, kerisauan bagi kanak-kanak ketika itu kerana perkara-perkara najis yang selalu dicari syaitan secara umumnya terdapat pada mereka, sedangkan zikir yang dapat melindungi mereka tidak ada pada anak kecil.

“Sedangkan ketika syaitan berkeliaran, mereka bergantung dengan apa sahaja yang mereka dapat. Itulah kebimbangan terhadap kanak-kanak tadi.

Berkeliaran waktu Maghrib

ELAKKAN bertebaran di luar pada waktu senja kerana syaitan mula berkeliaran ketika itu. -FOTO: PEXELS

“Adapun bertebarannya syaitan pada waktu itu kerana malam lebih mudah bagi mereka berbanding siang. Ini disebabkan kegelapan lebih mendatangkan kekuatan bagi makhluk menyesatkan itu berbanding waktu lain,” katanya sebagaimana dipetik menerusi islamqa.info.id.

Baca juga Sentiasa tutup pintu tandas elakkan dari dibuka syaitan

Mudah kata, ibu bapa perlu menahan anak-anak mereka daripada keluar pada waktu Maghrib kerana dibimbangi mereka terkena kejahatan syaitan disebabkan jumlahnya yang tidak terhitung.

Tutup pintu dan tingkap

Seperkara lagi, sebelum tiba waktu senja, segeralah tutup semua pintu dan tingkap di dalam rumah yang terbuka.

Ini kerana dalam hadis yang dinyatakan tadi secara jelas menyuruh kita berbuat demikian.

Memetik artikel Irsyad al-Hadith Siri ke-255: Perkara Sunat Ketika Maghrib yang disiarkan menerusi laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menyebut, kita dituntut atau disunatkan menutup pintu atau tingkap apabila tibanya waktu senja sebagaimana diingatkan oleh orang tua kita.

Baca juga Tutup pintu dan tingkap sebelum maghrib, wajib buat dan pesan pada anak-anak kita… 

“Ini kerana syaitan-syaitan berkeliaran pada waktu tersebut dan dibimbangi akan terkena keburukan, kecelakaan atau kejahatan berpunca daripada syaitan tersebut.

Berkeliaran waktu Maghrib

SEBELUM waktu Maghrib, tutup semua pintu dan tingkap. -FOTO: FREEPIK

“Ingatlah, syaitan itu sifatnya adalah menyakiti manusia,” katanya sebagaimana dipetik menerusi laman web pejabat mufti berkenaan.

Justeru, elakkan diri daripada keluar pada waktu senja demi kebaikan diri dan anak kecil kita.

***Foto: Unsplash

Menipu anak kecil
Gaya Hidup,

Menipu anak kecil, dosa yang sering dilakukan tanpa sedar

MENIPU anak kecil antara perkara yang kerap dilakukan oleh ibu bapa mahupun orang dewasa tanpa sedar.

Barangkali kita tidak berniat untuk berdusta, hanya sekadar mencipta helah demi menenangkan si kecil yang sedang menangis kerana mahukan mainan dan sebagainya.

“Adik jangan nangis. Nanti bila dah gaji, mama belikan mainan ya.”

Demikian antara dialog yang kerap digunakan. Namun, apabila tiba waktunya, tidak pula kita membelikan mainan tersebut. Sudahlah mencipta muslihat sebelum ini bagi meredakan kemahuan anak, kini kita pula menambah kekhilafan sendiri dengan tidak mengotakan janji!

Bayangkan jika diri sendiri dipermainkan sedemikian oleh orang lain. Walaupun mereka masih kanak-kanak lagi, tetapi usahlah memainkan perasaan mereka. Sebaliknya, berterus terang adalah lebih baik.

Baca juga 3 keadaan yang dibolehkan kita untuk ‘tipu sunat’

Dalam situasi lain pula, ketika lalu di depan kedai mainan, anak menangis mahukan barang yang dijual di dalamnya.

Kita sebagai ibu bapa pula berkata ‘pak cik itu tak jual’, walhal dia memang berniaga barangan tersebut.

Pendakwah Ustaz Mohammad Wadi Annuar Ayyub atau lebih dikenali sebagai Ustaz Wadi Annuar memberi peringatan agar kita berhati-hatilah dengan pernyataan yang diungkapkan kerana Nabi Muhammad SAW pernah menyatakan bahawa perbuatan seperti situasi dinyatakan tadi dikira sebagai menipu.

USTAZ WADI ANNUAR

“Sepatutnya kita beritahulah ‘Jangan beli sebab dah banyak beli mainan. Hidup kita ini bukan untuk bermain sangat, tetapi ALLAH SWT cipta untuk beribadah’.

“Walaupun anak kita pandai menjawab mereka kecil lagi dan mesti bermain, namun biarlah jawapan yang bakal kita lontarkan adalah jawapan orang dewasa, tetapi menggunakan laras bahasa kanak-kanak.

“Begitulah yang dilakukan oleh Rasulullah SAW. Nasihat baginda berbentuk akhirat kepada kanak-kanak yang berumur bawah enam tahun,” katanya sebagaimana dipetik menerusi video yang dikongsikan di laman sosial Facebook miliknya.

Walaupun kanak-kanak itu masih mentah usianya dan tangannya pula ligat bermain semasa kita bercakap dengannya, ujar Ustaz Wadi, mereka akan menyimpan maklumat itu.

Baca juga Amalkan 3 cara didik anak ikut umur, ikuti panduan daripada Sayidina Ali RA

“Betapa hebatnya akal manusia ciptaan ALLAH SWT.

Menipu anak kecil

JIKA berjanji kepada kanak-kanak untuk membelikan mereka mainan, jangan memungkirinya. -FOTO: FREEPIK

“Justeru, berhati-hatilah apabila hendak ‘melawak’ dengan anak-anak,” nasihat beliau.

Diharamkan menipu

Sementara itu, pendakwah Ustaz Mustafar Mohd Suki menjelaskan, hukum asal menipu adalah diharamkan ke atas orang dewasa, anak kecil, orang bukan Islam dan lain-lain.

Baca juga Jangan berbohong untuk apa tujuan sekalipun…Tiada juga istilah bohong sunat dalam Islam

Dalam sebuah hadis sahih, Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang mengatakan kepada budak kecil ‘ke sini, ambil ini’ kemudian dia tidak memberikannya, maka dia akan dikira berdusta.” (Hadis Riwayat Ahmad)

Disebabkan itu, Ustaz Mustafar mengingatkan, berdosa besar hukumnya apabila berdusta kepada kanak-kanak.

“Jika ada halangan disebabkan belum mempunyai wang mencukupi, tidak mengapa ditangguhkan pemberian sesuatu asalkan ia ditunaikan pada masa akan datang,” ungkapnya.

Justeru, usah sesekali mungkir janji walaupun si kecil mungkin tidak mengerti. Seperkara lagi, jangan menipu kanak-kanak sekalipun dengan menggunakan helah atau berolok-olok.

***Foto: Freepik

Dera
Isu,

Purata kes dera kanak-kanak meningkat, perkasakan peranan masing-masing tangani isu ini

SUSULAN laporan melibatkan dera anak angkat yang disiarkan Sinar Islam Plus pada 12 Ogos lalu, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memberikan maklum balas berkaitan dengannya.

Menerusi temu bual secara maya, Ketua Pengarah Kebajikan Masyarakat, Datuk Shaharuddin Abu Sohot mendedahkan, statistik JKM merekodkan peningkatan kes dera dan pengabaian kanak-kanak oleh ibu bapa kandung, ibu bapa angkat dan pengasuh bermula tahun 2020 sehingga kini.

Sepanjang bulan Januari sehingga Mei lalu, katanya, JKM menerima 1,898 kes. Tahun 2021 pula mencatatkan 6,144 kes berbanding 5,836 kes pada tahun sebelumnya.

SHAHARUDDIN

“Merujuk statistik kes kanak-kanak yang menjadi mangsa penderaan tidak kiralah sama ada secara fizikal, mental atau seksual dalam tempoh tiga tahun iaitu 2019 hingga 2021, JKM merekodkan purata kes sebanyak 6,120 dalam setahun.

“Jika dibandingkan dangan tempoh 10 tahun sebelumnya iaitu 2009 hingga 2011, purata kes dicatatkan hanyalah 3,158 kes setahun. Jadi kita dapat lihat berlaku kenaikan hampir dua kali ganda sepanjang tempoh berkenaan,” katanya menerusi e-mel kepada Sinar Islam Plus.

Baca juga Dera anak angkat ibarat mencabuli amanah yang dipertanggungjawabkan

Mengulas tentang penderaan anak angkat, Shaharuddin menjelaskan, sebanyak 10 kes masing-masing dilaporkan dilakukan oleh ibu dan bapa angkat, manakala kes membabitkan pengasuh pula mencatatkan 105 kes sepanjang lima bulan pertama tahun ini.

Punca dera

Jelas beliau, kebanyakan kes penderaan oleh pengasuh sering kali dikaitkan dengan tiga faktor utama. Ia termasuklah nisbah pengasuh dengan kanak-kanak tidak mengikut standard yang ditetapkan dalam Seksyen 5 Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984.

Undang-undang itu antara lain memperuntukkan, pengasuh yang mengambil masuk empat orang kanak-kanak dan ke atas yang berusia di bawah empat tahun, wajib mendaftar sebagai taska.

KES penderaan kanak-kanak menunjukkan pola peningkatan sejak tahun 2009. -Gambar hiasan

“Bukan itu sahaja, masalah pengasuh yang tidak menghadiri kursus pengasuhan kanak-kanak menyebabkan mereka tiada pengetahuan dan kemahiran dalam mengendalikan anak kecil tersebut.

“Pada masa sama, kekurangan aktiviti dan pemantauan untuk kanak-kanak juga menyumbang kepada penderaan serta pengabaian. Ini kerana kecuaian dan kemalangan lebih mudah berlaku apabila kanak-kanak tidak disediakan aktiviti perkembangan secara berjadual atau mereka ditinggalkan bersendirian tanpa pemantauan,” ungkapnya.

Secara umumnya, Shaharuddin menjelaskan, perbalahan keluarga menjadi unsur utama yang menyumbang kepada keganasan kanak-kanak dengan catatan 1,681 kes sepanjang tahun 2020 hingga Mei 2022.

“Selain itu, kecuaian ibu bapa dan penjaga sama ada secara sengaja atau tidak turut memicu kepada penderaan dan kes pengabaian kanak-kanak. Ini termasuklah insiden si kecil yang ditinggalkan di dalam kereta, terjatuh dari eskalator pusat beli-belah atau bangunan, membiarkan atau memberi kepercayaan kepada kanak-kanak keluar ke kedai untuk membeli barang tanpa pengawasan orang dewasa.

“Satu lagi faktor adalah masalah kewangan. Sebenarnya, kehidupan di bandar-bandar besar dengan pendapatan kecil menyukarkan ibu bapa untuk membesarkan anak-anak. Disebabkan terpaksa memikirkan cara untuk mencari pendapatan untuk keluarga akibat kos yang semakin meningkat, ada yang bertindak ganas terhadap kanak-kanak,” ujar beliau.

Dera

MASALAH kewangan dikesan antara punca kanak-kanak didera.

Baca juga Trauma penderaan wujudkan personaliti pemangsa

Perkasa program kesedaran

Disebabkan itu, katanya, JKM tidak pernah berdiam diri dan berkompromi dalam isu pencabulan hak kanak-kanak tersebut.

Malah, jelas Shaharuddin, pihaknya tidak pernah berhenti meningkatkan program kesedaran masyarakat tentang kewajipan mereka melaporkan kes penderaan kanak-kanak dan pelaksanaan program pencegahan perbuatan tersebut dalam kalangan ahli keluarga.

“Antaranya dengan memperluaskan liputan perkhidmatan Talian Kasih 15999 dan WhatsApp Talian Kasih 019-261 5999 untuk aduan penderaan.

“Selain mempergiatkan program Sahabat Bijak: Safe and Protect yang menekankan keselamatan dan perlindungan kanak-kanak dengan kerjasama pelbagai agensi, JKM juga mengaktifkan Pasukan Perlindungan Kanak-Kanak di setiap daerah dan memastikan Pembantu Pelindung sentiasa bersedia untuk membantu serta menyelamatkan kanak-kanak apabila diperlukan,” katanya.

Baca juga Bahagiakan anak yatim, ALLAH janjikan imbalan bukan calang-calang kepada penjaganya

Meskipun JKM merupakan antara pihak berkuasa dalam isu penderaan dan pengabaian kanak-kanak, namun Shahruddin menyeru agar orang awam turut memainkan tanggungjawab masing-masing bagi membendung kes berkenaan secara proaktif.

“Laporan orang awam sebenarnya akan membantu pihak berkuasa mengambil tindakan segera untuk menyelamatkan kanak-kanak daripada mendatangkan kecederaan dan kematian,” ungkapnya.

SEGERA hubungi pihak berwajib atau pihak berkuasa jika melihat kes penderaan.

ANEKDOT

SALURAN aduan kes penderaan

– Pejabat Kebajikan Masyarakat.

– Balai Polis.

– Hospital berhampiran.

– Hubungi Talian Kasih 15999 atau WhatsApp 019-261 5999.

– Mana-mana ahli Pasukan Perlindungan Kanak-Kanak  atau Pusat Aktiviti kanak-Kanak yang terdapat di kawasan berlakunya penganiayaan.

– Twitter, Facebook, Instagram Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Dera

Foto: Unsplash, 123rf & Freepik

Nilai kemanusiaan
Isu,

Dera anak angkat ibarat mencabuli amanah yang dipertanggungjawabkan

KES dera anak angkat yang berlaku akhir-akhir ini begitu menggalaukan hati masyarakat. Satu demi satu perkhabaran duka itu disiarkan menerusi media utama mahupun laman sosial.

Ketika kes penderaan kanak-kanak istimewa yang dikenali sebagai Bella memuncak dan masih dalam perbicaraan mahkamah, rakyat Malaysia dikejutkan dengan penularan video yang memaparkan seorang wanita memukul anak angkatnya berusia empat tahun menggunakan penyapu gara-gara enggan makan nasi.

Berbicara tentang kes-kes menyentuh emosi ramai itu, penderaan kanak-kanak didefinisikan sebagai satu pencabulan atau pelanggaran yang serius terhadap hak mereka untuk berkembang dalam keadaan sihat dan bermaruah, di samping menyebabkan risiko dalam kelangsungan hidup mereka. Demikian pengertiannya menurut Dasar Perlindungan Kanak-Kanak Negara.

Begitupun, perbuatan mencabul hak kanak-kanak itu semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini. Lihat sahaja pada statistik yang direkodkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Selangor. Sebanyak 1,910 kes penderaan dan pengabaian kanak-kanak dicatatkan berlaku antara Mac 2020 sehingga Mac tahun lalu.

Menurut kajian researchgate.net berkaitan Statistik Kes Penderaan Kanak-Kanak di Malaysia: Satu Analisis, antara tahun 2013 hingga 2017, kes penderaan di Malaysia menunjukkan peningkatan saban tahun. Tahun 2017 mencatatkan sebanyak 5,537 kes.

Hasil dapatan itu juga menyatakan, ia berpunca daripada institusi keluarga yang bermasalah, masalah kewangan, tekanan di tempat kerja dan kurangnya pengetahuan terhadap agama.

Bukankah anak itu merupakan amanah daripada ALLAH SWT tidak kiralah sama ada dia permata hati daripada zuriat sendiri atau anak angkat?

Baca juga Jangan Khianati Amanah, Ia Prasyarat Menilai Keimanan

Perbuatan yang dikutuk

Bagi mendasari isu berkenaan menurut perspektif Islam, Sinar Islam Plus menemubual Pegawai Hal Ehwal Islam Kanan, Unit Hal Ehwal Islam, Universiti Teknologi MARA Cawangan Selangor, Ustazah Noor Rashidah A Rahman.

USTAZAH NOOR RASHIDAH

Jelas beliau, mendera apalagi mencederakan seorang anak bukanlah suatu sifat yang baik. Bahkan, perbuatan itu amat dikutuk dan begitu hina.

“Anak yang dizalimi dengan ganas akan melahirkan sifat dendam, stres dan mengalami tekanan melampau sehingga membawa kepada kerosakan diri mereka sendiri.

“Ketahuilah, tiada istilah mendidik dalam mendera kerana anak tidak kiralah zuriat sendiri mahupun anak angkat merupakan amanah daripada ALLAH SWT untuk dibimbing, dididik dan dibelai oleh ibu bapa,” katanya ketika ditemu bual baru-baru ini.

Pendakwah itu turut memberi teguran terhadap ibu bapa yang hanya memandang tanggungjawab mereka terhadap anak hanya sekadar menyediakan makanan, minuman dan pakaian semata-mata.

Hakikatnya, ujar beliau, si anak memerlukan lebih daripada keperluan tersebut. Antara tugas yang dipertanggungjawabkan kepada penjaga adalah mendidik, mengajar, mengasuh, membimbing dalam amal ibadah dan melarang sebarang bentuk kemungkaran.

Baca juga Anak amanah ALLAH, usah sakiti apatah lagi mendera mereka…

“Ingatlah, soal penjagaan dan pendidikan kanak-kanak, lebih lebih lagi terhadap anak angkat merupakan amanah yang luar biasa. Malah, setiap amanah itu akan dipertanggungjawabkan kepada orang tuanya,” ungkap beliau.

Perkara itu ada disebutkan dalam sebuah hadis masyhur yang mana Nabi Muhammad SAW bersabda: “Setiap kamu adalah pemimpin dan akan diminta bertanggungjawab atas kepimpinannya. Seorang amir (pemerintah, pemimpin atau ketua) akan diminta bertanggungjawab terhadap rakyat yang dipimpinnya. Seorang lelaki (suami) adalah pemimpin akan ditanya terhadap keluarga yang dipimpinnya. Seorang wanita (isteri) adalah pemimpin terhadap rumah tangga suaminya akan dipertanggungjawabkan terhadap tugasnya. Bahkan seorang hamba (pembantu) juga adalah pemimpin yang dipertanggungjawabkan terhadap barang milik tuannya, juga akan ditanya dari hal yang dipimpinnya. Dan kamu semua adalah pemimpin dan kamu juga akan diminta pertanggungjawaban terhadap hal dipimpinnya”. (Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Bukan umat Nabi Muhammad SAW

Ustazah Noor Rashidah mengingatkan, Rasulullah SAW pernah memberi ancaman terhadap individu yang tidak mengasihi kanak-kanak.

Dera anak angkat

USAH sesekali membezakan
layanan terhadap anak angkat
dengan anak sendiri, sebaliknya
berilah kasih sayang dan perhatian sepenuhnya.

Antaranya, baginda SAW bersabda: “Bukanlah daripada golongan kami barang siapa yang tidak mengasihi kanak-kanak dan tidak menghormati orang dewasa.” (Hadis Riwayat at-Tirmizi)

Dalam satu riwayat lain, Nabi Muhammad SAW bersabda: “Siapa yang tidak merahmati, nescaya tidak dirahmati.” (Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Melihat dua ungkapan hadis berkenaan, penceramah itu menitipkan pesan agar umat Islam mengikuti saranan Rasulullah SAW supaya menjadi individu yang sentiasa menyantuni orang yang lebih muda daripada kita terutamanya kanak-kanak.

Bagi menghindari diri daripada tidak bersikap ihsan terhadap kanak-kanak, Ustazah Noor Rashidah menasihatkan agar masyarakat melibatkan ALLAH SWT dalam segala urusan keduniaan dan akhirat masing-masing.

Masakan tidak, apabila kita mendahulukan-NYA, nescaya DIA juga akan menjaga, mendidik dan membimbing hati kita ke jalan yang diredai-NYA. “Sebagai masyarakat juga, kita perlu cakna dengan keadaan sekeliling terutama isu penderaan kanak-kanak. Jika didapati ada kes, laporkan segera kepada pihak berkuasa.

“Bagi mereka yang berhajat mahu memelihara anak angkat, galilah ilmu berkaitan penjagaan dan pendidikan anak-anak sebelum mengambil keputusan berbuat demikian. Pada masa sama, betulkan niat sebelum membuat keputusan untuk memelihara anak angkat.

“Seperkara lagi yang perlu diberi perhatian, kita perlu membudayakan perkhidmatan kaunseling atau bimbingan dalam masyarakat. Jangan sesekali berfikir bahawa kaunseling hanya untuk orang bermasalah sahaja. Sebaliknya, perkhidmatan ini lebih menyeluruh kepada sesi pertukaran maklumat, idea dan perbincangan,” ungkap beliau.

Beliau turut menyarankan agar umat Islam mencontohi Nabi Muhammad SAW melayani anak-anak kecil dan berakhlak baik dengan mereka. Antaranya, baginda SAW sentiasa menunjukkan kasih sayang kepada kanak-kanak dan sentiasa menyantuni mereka, selain melayannya dengan lemah lembut.

Baca juga 5 Pendekatan Didik Anak Cara Rasulullah SAW Bagi Membentuk Mereka Menjadi Pemimpin Terbaik Pada Masa Depan  

“Ketika anak-anak kecil melakukan kesalahan, Rasulullah SAW menegurnya dengan cara berhikmah dan mendidik dalam bentuk teguran,” katanya.

Menyokong fakta tersebut, pendakwah Ustaz Mohd Hassan Adli Yahaya atau lebih dikenali sebagai Imam Muda Hassan menjelaskan, Islam sememangnya mementingkan kasih sayang dan ihsan dalam setiap perkara.

IMAM MUDA HASSAN

“Malah, ALLAH SWT mewajibkan sifat ihsan dan berlaku baik kepada semua bukan sahaja kepada ibu bapa, malah termasuk kanak-kanak dan sebagainya.

“Kadangkala ada orang cakap, dia tidak boleh melihat muka anaknya kerana terasa benci dan menyampah. Pada saya, ia tidak sepatutnya berlaku kerana anak itu adalah rezeki. Ramai orang yang berikhtiar untuk mendapatkan zuriat sendiri, tetapi apabila dikurniakan anak kandung ataupun anak angkat, ada pula manusia yang mudah lupa dengan rezeki yang diberikan,” katanya.

Jadi hamba kepada nafsu antara punca

Menyambung hujah, jelas Imam Muda Hassan, penderaan dalam Islam bukan sahaja dikira dari aspek fizikal semata-mata, tetapi termasuk juga dalam bentuk emosi dan seksual.

Sekalipun tiada kecederaan pada tubuh badan, namun ugutan dengan kata-kata kesat dan menakutkan juga dikira satu bentuk penderaan emosi, terangnya.

Mengapa perbuatan dera itu masih dilakukan walaupun ramai mengetahui bahawa ia tidak baik dan menyalahi undang-undang?

Jawab Imam Muda Hassan: “Dalam kitab al-Hikam, Ibn Athaillah as-Sakandari menyatakan, asal usul punca maksiat atau syahwat termasuklah hendak pukul orang, marah dan seumpamanya, ia berpunca apabila kita menjadi hamba kepada nafsu. Mudah kata, kita tunduk dengan nafsu sendiri. Ini bermakna, nafsunya lebih berkuasa daripada hatinya.

“Sebab itulah Imam al-Ghazali menyebut bahawa manusia mempunyai elemen yang tidak nampak dalam dirinya iaitu akal, nafsu dan hati. Satu lagi ialah roh.

“Nafsu ini ada banyak tingkatannya, cuma jika kita diserang sifat marah sehingga membawa kepada perbuatan dera, ia dipanggil ammarah bissu’ (nafsu yang mendorong kepada kejahatan).

Baca juga Jangan Tunduk Pada Hawa Nafsu

“Kata Imam al-Ghazali, hati itu ibarat raja. Ia mempunyai dua penasihat iaitu akal dan nafsu. Andai akal yang berdasarkan ilmu itu menguasai, kita tahu apa yang hendak dilakukan apabila marah sepertimana ajaran Nabi Muhammad SAW. Namun, jika nafsu yang menjadi penasihat, sebab itulah orang melakukan maksiat kerana dia kalah dengan nafsunya sehingga mendorongnya melakukan perkara tidak betul,” jelas beliau.

Dera anak angkat

HINDARI sifat marah yang boleh menjebakkan manusia mudah dikuasai syaitan sehingga hilang pertimbangan diri. -Gambar hiasan

Kepada satu soalan, pendakwah itu menjelaskan: “Walaupun anak angkat itu bukan darah daging sendiri, tetapi kita wajib bersifat ihsan dengannya. Sekiranya kita sudah mengambil keputusan untuk menjaganya, maknanya kita sudah tekad untuk menjaga amanah tersebut.

“Maksudnya, kita perlu memberikan nafkah kepadanya dan menjaga maruahnya. Kalau tidak sanggup, jangan sesekali kita mengambil tanggungjawab itu.

“Apabila kita mengambil amanah, kelak kita akan dipertanggungjawabkan dan akan disoal kelak sekalipun dia anak angkat kita.”

Dalam pada itu, Imam Muda Hassan menasihatkan agar sesiapa yang menanggung amanah memelihara anak angkat agar menjalankan tanggungjawab dengan sebaiknya.

“Berilah kasih sayang sepenuhnya dan anggap anak itu macam anak sendiri. Kadangkala dengan kehadiran anak angkat, itulah caranya ALLAH SWT hendak meluaskan rezeki dan menambah kasih sayang dalam keluarga kita.

Baca juga Begitu besarnya pahala mendidik anak-anak. Ibu bapa jangan mudah mengeluh, jaga amanah ALLAH dengan sebaiknya

“Jika bukan darah daging kita dijaga dengan baik, pasti ALLAH SWT akan menggantikannya dengan lebih baik. Barangkali suatu masa apabila kita dapat menantu dan sebagainya, ALLAH SWT akan memberikan yang terbaik kepada kita.

“Mungkin kita tidak nampak perkara ini kerana ramai yang melihat tindakan itu menyusahkan diri, walhal itulah caranya ALLAH SWT hendak memberikan rezeki lain kepada kita kerana kesanggupan kita untuk menjaga orang yang bukan darah daging kita,” ungkapnya.

ANEKDOT

Hak anak angkat menurut undang-undang Malaysia

Dera anak angkat

  1. Pengambilan anak angkat bagi keluarga Islam boleh didaftarkan mengikut AKTA PENDAFTARAN ANAK ANGKAT 1952.
  2. Permohonanan pengesahan anak angkat di bawah peruntukan ini dibuat kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) hanya selepas dua tahun anak itu berada di bawah penjagaan keluarga angkat.
  3. Pengambilan anak angkat secara sendiri perlu dimaklumkan kepada Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM) mengikut SEKSYEN 35(1) AKTA KANAK-KANAK 2001, tidak lewat seminggu selepas pengambilan.
  4. Sekiranya gagal memaklumkan dan jika disabitkan kesalahan, pasangan atau individu berkenaan boleh didenda maksimum RM10,000 atau dihukum penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali.
  5. Maklumat proses pengambilan anak angkat ini penting supaya segala prosedur dapat dipatuhi dan pengangkatan seorang anak itu sah di sisi undang-undang.

Sumber: Dr Abidah Abdul Ghafar, Pensyarah Kanan Universiti Sains Islam Malaysia, ‘Celik undang-undang pelihara anak angkat’

Kewajipan penjaga terhadap anak angkat

  1. Memberi dan menjaga nafkah keperluan harian anak angkat
  2. Mendidik dan mengasuh mereka untuk menyara diri
  3. Memberi layanan kasih sayang yang sama seperti anak sendiri
  4. Penurunan wasiat kepada anak angkat mengikut syarat tertentu

Sumber: Dr Nur Mohammad Hadi Zahalan , “Janganlah dera…Ketahui peranan, tanggungjawab ibu bapa terhadap anak angkat”.

Foto: 123rf, Freepik & Unsplash