Browsing Tag

kanada

UBC News
Berita Semasa, Gaya Hidup, Jendela Dunia, Pilihan Editor,

Kumpulan Hak Asasi Muslim Kanada Lancar 61 Cara Perangi Islamfobia

no comment

ORGANISASI Advokasi Muslim Nasional di Kanada telah mengeluarkan beberapa cadangan kepada pemerintah Kanada bertujuan untuk menangani Islamfobia. Ini sebagai tindak balas terhadap peningkatan jenayah kebencian yang mensasarkan masyarakat Islam negara itu.

Majlis Nasional Muslim Kanada (NCCM) mengeluarkan 61 cadangan yang dikeluarkan meminta tindakan di peringkat persekutuan, wilayah dan perbandaran mengambil perhatian.

Tunjuk perasaan dilakukan rakyat Kanada tanpa mengira fahaman agama demi menuntut perlindungan terhadap umat Islam di tanah air sendiri. Gambar: Ontario Farmer.

Antara cadangannya ialah menyeru pihak persekutuan mengeluarkan strategi anti-Islamfobia yang merangkumi definisi Islamfobia yang jelas, pembiayaan untuk penyelidikan anti-Islamfobia dan kempen pendidikan awam.

Ia termasuk menetapkan dana sokongan nasional untuk mangsa jenayah yang bermotifkan kebencian. Dana tersebut perlu menanggung perbelanjaan mangsa yang selamat seperti rawatan kesihatan perubatan dan mental. Selain melindungi profil masyarakat Muslim melalui pembaharuan Countering Violent Extremism (CVE) dan latihan anti-bias untuk pegawai dan hakim kerajaan.

Menerusi laporan NCCM itu juga, pihaknya mengesyorkan kajian penyiasatan mengenai kegagalan pihak berkuasa keselamatan negara untuk menangani kumpulan supremasi kulit putih di Kanada.

Antara pindaan kod jenayah yang disarankan adalah pengenalan peruntukan tentang serangan, pembunuhan dan ancaman yang bermotifkan kebencian.

Masjid dirosakkan oleh pembenci Islam. Gambar: Radio-Canada.ca

Kawasan Edmonton telah mengalami serangan yang bermotifkan kebencian sejak bulan Disember, yang kebanyakannya melibatkan pengadu beragama Islam. Masjid juga telah dirosakkan dan dicabul oleh kumpulan kanan.

“Walaupun kami telah mendengar banyak ucapan daripada ahli politik yang mengecam Islamfobia dan bersikap solidariti terhadap umat Islam di Kanada, tindakan untuk mengatasi Islamfobia adalah lambat dan sedikit demi sedikit.

“Kami tidak boleh bertahan dan melihat kehilangan nyawa lagi. Islamfobia mematikan dan kita perlu melihat tindakannya sekarang,” menurut kenyataan NCCM.

Di peringkat perbandaran, NCCM menyarankan undang-undang kecil yang memberi kuasa kepada pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap mereka yang terlibat dalam gangguan jalanan.

Ia juga meminta dana untuk meraikan sejarah Muslim tempatan Kanada melalui acara dan ruang di mana pencapaian mereka dapat dihargai secara terbuka.

Tidak lagi mahu umat Islam terbunuh kerana jenayah kebencian. Gambar: The World

Elak lebih ramai terkorban

NCCM menyatakan bahawa lebih banyak umat Islam akan terbunuh dalam serangan kebencian di Kanada dari negara G7 lain sejak lima tahun kebelakangan ini.

Pada tahun 2017, serangan tembakan besar-besaran di sebuah masjid di Kota Quebec menyebabkan enam jemaah Muslim terbunuh. Malah baru-baru ini juga, serangan pengganas pada 8 Jun mengorbankan empat anggota keluarga Muslim di Ontario, London. Kejadian itu membuka mata pihak berkuasa untuk menangani ketaksuban anti-Muslim sistemik.

Peristiwa empat sekeluarga terbunuh angkara jenayah kebencian terhadap Islam di Ontario, London. Gambar: Al Jazeera.

Laporan NCCM itu diharap dapat dibawa menjelang sidang kemuncak nasional mengenai Islamfobia yang akan berlangsung esok (22 Julai), sehari selepas sidang kemuncak nasional mengenai anti-semitisme.

Sumber: TRT World

Castleridge
Berita Semasa, Jendela Dunia, Pilihan Editor,

Skeptikal Terhadap Islam Masih Berbaki

no comment

ADA bukti bahawa kes rempuhan maut terhadap sekeluarga beragama Islam di Ontario Ahad lalu adalah tindakan terancang yang bermotifkan jenayah kebencian, kata Polis Kanada.

“Dipercayai mangsa-mangsa menjadi sasaran semata-mata kerana mereka beragama Islam,” kata Superintendan Detektif Paul Waight, pada sidang akhbar mengulas kejadian lima sekeluarga Islam dirempuh sebuah kenderaan.

Penduduk setempat memberi penghormatan kepada keluarga mangsa rempuhan kereta di Ontario, Kanada baru-baru ini.

Serangan itu menyebabkan empat kematian dan seorang kritikal ketika menunggu untuk menyeberangi persimpangan yang berlaku di Wilayah Selatan Ontario, Kanada, Ahad lalu.

Impak daripada kejadian itu menimbulkan rasa tidak selamat bagi hampir satu juta komuniti umat Islam di Kanada yang mewakili 2.9 peratus dari jumlah penduduk negara Amerika Utara itu.

Perangkaan juga menunjukkan jenayah kebencian ke atas komuniti Islam di Kanada meningkat kepada 181 kes pada 2019 berbanding 166 insiden tahun sebelumnya.

Golongan wanita Islam di wilayah Alberta turut menjadi sasaran sejak beberapa bulan lalu apabila mereka sering dimaki, malah ada yang dipukul.

Pada September tahun lalu, seorang lelaki Islam, Mohamed Aslim Zafis ditikam sehingga mati di luar sebuah masjid di Toronto.

Penasihat Kanan Penyelidikan Ekuiti, Institut Pengajian dalam Pendidikan, University of Toronto, Dr Uzma Jamil, berkata umat Islam telah menjadi tumpuan mata masyarakat dunia sejak serangan pengganas pada 11 September 2001.

Ketakutan kesan daripada serangan itu telah membangkitkan persepsi terhadap umat Islam sebagai “berbeza” daripada agama lain dan menyifatkan Islam mempunyai kaitan dengan keganasan.

Penduduk Muslim di Kanada. Gambar: The Circle

Penduduk Muslim di Kanada telah meningkat secara pesat dalam 20 tahun terakhir yang didorong terutamanya oleh kemasukkan imigran.

Ia dijangka meningkat kepada 2.7 juta pada tahun 2030, atau 6.6 peratus dari jumlah populasi penduduk di Kanada.

Tinjauan Environics bagi penduduk Muslim Kanada pada tahun 2006 dianggarkan kira-kira 60 peratus daripadanya tinggal di Ontario.

Data bancian dari Statistik Kanada dibuat pada 2001, ini memberi kita beberapa idea tentang ciri umum populasi Muslim Kanada dan perubahan dari masa ke masa.

“Pada tahun 2001, populasi Muslim Kanada adalah 579,645. Sebilangan besar 352,525 tertumpu di Ontario dan hampir separuh 254,110 tinggal di Toronto (Statistik Kanada 2003). Kira-kira 85 peratus penduduk Islam pada tahun 2001 menganggap diri mereka sebagai minoriti yang dipinggit,” kata Dr Uzma.

Beliau yang juga ahli pasukan Penyelidikan dan Intervensi Transkultur di Universiti McGill, sebelum ini pernah membuat penyelidikannya dengan memberi fokus kepada kesan keganasan ke atas masyarakat Asia Selatan, Muslim di Toronto dan Montreal.

Masyarakat Muslim di Kanada juga mempunyai hak. Agambar AP News

“Tinjauan masyarakat dan kumpulan fokus menunjukkan banyak umat Islam merasakan ada diskriminasi terhadap mereka di Kanada selepas 9/11.

“Dalam populasi yang lebih besar, tinjauan terbaharu oleh Ipsos Reid mendapati bahawa 60 peratus orang yang ditemuramah merasakan terdapat peningkatan diskriminasi terhadap orang Islam, berbanding 10 tahun yang lalu.

“Dalam kajian lain yang dilakukan oleh Association of Canadian Studies pada tahun 2011, kurang daripada separuh, 43 peratus daripada 2,345 orang yang ditemuramah, mendapati persepsi ‘sangat positif’ atau ‘agak positif’ terhadap orang Islam.

“Kejadian seperti kes Kadri, di mana seorang wanita Muslim niqabi diserang di sebuah pusat beli-belah Mississauga menonjolkan permusuhan yang ditujukan kepada umat Islam dalam masyarakat Kanada.

“Walaupun media hanya mendedahkan kes-kes yang paling menonjol, Islamofobia sebenarnya lebih meluas dan jelas terutamanya melalui layanan diberikan kepada orang Islam khususnya di tempat kerja dan persekitaran masyarakat mereka,” katanya.

Tambahnya lagi, diskriminasi masyarakat Kanada menunjukkan bahawa sikap dan pandangan Islamofobia masih terdapat dalam masyarakat Ontario dalam banyak cara yang tidak selalu menjadi tumpuan media.

Katanya, implikasi sosial itu mengganggu kerana boleh menyumbang kepada ketidak harmonian, meminggirkan atau mengecualikan hak penduduk asal umat Islam di Kanada.

Sementara penggabungan masyarakat muslim dengan kaum minoriti atau pendatang yang beragama Islam mungkin mencerminkan perubahan sosio-demografi dalam masyarakat Kanada.

“Ini juga mencerminkan cara-cara di mana pelbagai jenis diskriminasi masih dapat dilihat. Ia menguatkan pandangan negatif terhadap Muslim Kanada yang membawa kepada perpecahan sosial,” katanya.

 

Komuniti Islam di Kanada tetap bersatu hati. Gambar: International Business Times

Dr Uzma, mencadangkan beberapa cara untuk mengatasi diskriminasi anti-Muslim dalam masyarakat Ontario.

“Kerajaan harus terus menyokong perlindungan hak-hak agama dan kebebasan umat Islam Kanada berdasarkan undang-undang.

“Selain dalam bidang pendidikan, pentingnya bagi sekolah dan kerajaan Ontario untuk terus menyokong pendidikan kepelbagaian dan ekuiti, termasuk mengambil guru dan pendidik Muslim yang mencerminkan peningkatan jumlah pelajar sekolah Muslim Kanada.

“Ini juga dapat membantu mengatasi kesan negatif pada generasi akan datang. Bagi mengatasi persepsi negatif terhadap Muslim Kanada sebagai kumpulan minoriti yang berbeza, penting untuk menyokong inisiatif antara masyarakat yang memupuk hubungan sosial yang lebih baik di antara semua orang Kanada dan yang membina perpaduan sosial,” katanya.

Oleh itu, kita tidak boleh membenci satu sama lain dan tetaplah berbuat baik terhadap sesama. Hal ini sebagaimana ditegaskan dalam firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah (2) : 195:

“Dan belanjakanlah (harta bendamu) di jalan Allah, dan janganlah kamu menjatuhkan dirimu sendiri ke dalam kebinasaan, dan berbuat baiklah, kerana sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berbuat baik”.