Browsing Tag

kalamsinarislam

Faraid, Iqtisad,

Harta pusaka seringkali menjadi pendebatan oleh ahli waris si mati. Berikut antara inti pati yang kita wajib tahu

Oleh Dr Fatin Afiqah Md Azmi
Penyelidik Bersekutu Pusat Kajian Harta Tanah,
Fakulti Alam Bina dan Ukur,
Universiti Teknologi Malaysia

MENURUT Islam, harta pusaka bermaksud harta peninggalan orang mati yang akan diagihkan kepada waris yang berhak.

Menurut istilah undang-undang sivil pula, ia adalah harta benda yang ditinggalkan oleh orang mati untuk warisnya atau orang lain, tetapi tidak termasuk harta yang telah diserahkan kepada orang lain semasa hayatnya.

Sejak dulu lagi, harta pusaka seringkali menjadi isu pendebatan dalam kalangan ahli waris si mati.

Hakikatnya, harta itu seharusnya ditadbir urus oleh seorang pentadbir atau pemegang amanah yang dilantik oleh waris dengan membuat permohonan pusaka melalui Borang A di Pejabat Tanah Daerah atau Negeri di mana ia (harta) itu terletak.

Harta terdiri daripada harta alih dan harta tidak alih. Harta alih merangkumi wang tunai, kenderaan, insurans, barang kemas dan sebagainya. Harta tidak alih pula termasuklah tanah dan kepentingan hak atau faedah yang terdapat atau didapati daripada tanah.

 

Secara umumnya, tiga agensi iaitu Pejabat Tanah, Amanah Raya Berhad dan Mahkamah Tinggi Sivil yang menguruskan permohonan dan pembahagian harta pusaka berdasarkan nilaian dan jenis.

Pemohon atau waris si mati perlu mengenal pasti harta pusaka si mati terletak di bawah bidang kuasa siapa? Jika daripada harta tidak alih bersekali dengan harta alih yang nilaiannya di bawah RM2 juta dan tidak mempunyai wasiat, mereka boleh memfailkan permohonan di Pejabat Tanah. Harta tersebut dikenali sebagai harta pusaka kecil.

Sekiranya di bawah kategori harta pusaka besar iaitu nilaiannya melebihi RM2 juta bagi harta alih dan tidak alih serta mempunyai wasiat, permohonan boleh dikemukakan di Mahkamah Tinggi Sivil.

Namun, harta pusaka yang melibatkan harta alih sahaja dan nilaiannya kurang daripada RM600,000, mereka yang terbabit boleh menuntut harta pusaka ringkas di Amanah Raya Berhad.

Hak

Sebenarnya, harta pusaka si mati bukan sahaja dianggap sebagai aset, tetapi juga meliputi liabiliti di dalamnya. Menurut jumhur ulama seperti Imam Hanafi, Imam Maliki dan Imam Syafie, liabiliti (hak) yang berkaitan dengan harta pusaka terbahagi kepada lima kategori iaitu:

i) Hak barangan.
ii) Hak mempersiapkan penggebumian jenazah si mati.
iii) Hak melangsaikan hutang.
iv) Hak melaksanakan wasiat.
v) Hak mengagihkan baki harta peninggalan si mati kepada semua waris yang berhak menurut hukum faraid.

 

Hukum faraid atau dikenali sebagai undang-undang pusaka Islam merupakan pilihan terakhir waris jika tiada kesepakatan sesama waris. Berdasarkan ijmak para fuqaha, liabiliti harta pusaka mempunyai turutan atau susunan mengikut keutamaan yang perlu diraikan antara satu sama lain.

Susunan pertama: Hak barangan si mati. Sebagai contoh, apabila harta si mati telah digadaikan dan masih berada di bawah kuasa pemegang gadaian, maka mereka (pemegang gadaian) merupakan orang yang paling berhak untuk memiliki harta gadaian tersebut.

Susunan kedua: Perbelanjaan pengebumian dan pengurusan jenazah termasuklah kos lain seperti memandikan, mengkafankan, menggali kubur dan membawa jenazah ke liang lahad. Kesemua perbelanjaan hendaklah diambil daripada harta peninggalan si mati jika mempunyai harta. Jika tiada, ia perlu ditanggung oleh waris si mati.

Namun, seandainya waris juga tidak mampu, menjadi tanggungjawab Baitulmal untuk menanggungnya kerana mengurus jenazah adalah fardhu kifayah.

Susunan ketiga: Melangsaikan hutang si mati. Ia perlu dilunaskan daripada harta peninggalannya dan menjadi kewajipan ahli waris untuk menjelaskannya.
Hutang terbahagi kepada dua iaitu hutang ALLAH (zakat, kaffarah, nazar, dan fardhu haji) dan hutang sesama manusia (termasuk harta sepencarian).

Susunan keempat: Perlaksanaan wasiat terhad kepada satu pertiga daripada keseluruhan harta peninggalan si mati dengan persetujuan ahli waris, setelah ditolak kos pengurusan pengebumian jenazah dan dijelaskan hutang-piutang si mati.
Sekiranya wasiat melebihi daripada jumlah itu, ia hanya sah setakat satu pertiga sahaja dengan keizinan waris.

Susunan terakhir: Pengagihan harta pusaka kepada ahli waris yang berhak seperti yang dinyatakan dalam al-Quran, sunnah dan ijmak. Bagaimanapun, waris juga boleh membuat pembahagian secara sama rata (muafakat) atau menolak bahagian kepada waris lain semasa sesi perbicaraan pusaka di Pejabat Tanah atau mengisi Borang DDA sekiranya waris tidak dapat hadir semasa perbicaraan berlangsung.

Kesimpulannya, apabila seseorang meninggal dunia dan meninggalkan harta, waris akan mewarisi aset peninggalan si mati berserta liabiliti.

Ahli waris kemudian diberi amanah untuk mentadbir dan mengagihkan harta pusaka serta menunaikan hak dan tanggungjawab si mati selepas hayatnya.

Jikalau semua waris tahu dan sedar kepentingan mengurus, jumlah harta pusaka yang tidak dituntut atau berstatus beku dan tergantung dapat dikurangkan.

Foto: Kuncheek/Pexels

Berita, Gaya Hidup, Gaya Hidup,

Memang wujud unsur mistik dalam sesuatu penyakit. Semak dulu pusat perubatan Islam yang ingin dikunjungi

Oleh DR MOHD ASHROF ZAKI YAAKOB
Pengarah, Bahagian Zakat, Sedekah dan Wakaf (ZAWAF),
Universiti Teknologi MARA, Shah Alam, Selangor 

KECENDERUNGAN masyarakat Melayu yang mengaitkan penyakit yang dihidapi dengan unsur-unsur mistik bukanlah satu perkara baharu lagi.

Meskipun teknologi perubatan semakin bercambah, punca kepada beberapa krisis kesihatan kadangkala tidak dapat dikenal pasti melalui diagnosis. Secara fizikalnya seseorang dilihat sihat, namun sebenarnya mereka sedang menanggung kesakitan.

Dalam situasi begitulah, kewujudan elemen mistik atau alam ghaib dalam sesuatu penyakit wajib diyakini kerana tidak mustahil wujudnya ‘campur tangan’ unsur-unsur lain yang menyebabkan terjadinya masalah tersebut.

Jika dulu, bomoh dijadikan rujukan, namun kini ramai lebih selesa merujuk agamawan. Terdapat juga yang memilih berkunjung ke pusat pengubatan Islam yang lazimnya mendakwa mereka mempraktikkan rawatan yang berpandukan al-Quran dan sunnah.

Namun, ada sebilangan pengusaha menggunakan topeng agama demi meraih keuntungan. Adakalanya, bayaran yang dikenakan tidak munasabah, tetapi penyakit tetap jua tidak sembuh.

Sehubungan itu, sebelum berkunjung ke mana-mana pusat pengubatan, terdapat beberapa perkara yang perlu diperhalusi. Antaranya seperti latar belakang premis, bacaan, kaedah dan cara rawatan. Jika ada kriteria yang meragukan, maka haram bagi umat Islam mendapatkan khidmat mereka.

Antara pusat pengubatan Islam yang boleh dijadikan contoh dan boleh dipercayai ialah Persatuan Perubatan, Pengubatan dan Kebajikan Islam Malaysia (Darussyifa‘) yang diasaskan oleh arwah Datuk Dr Haron Din.Pendekatan mereka bersumberkan al-Quran dan hadis, bacaan yang jelas maknanya serta kaedah yang selari dengan syariat Islam.

Baca juga Ubati Kemurungan Dengan Pendekatan Anjuran Agama

Bersandarkan kepada ALLAH

Kepada semua pembaca, ilmu pengubatan Islam merupakan salah satu ikhtiar dalam menyembuhkan penyakit menggunakan cara yang khusus berpandukan kepada al-Quran, al-Sunnah dan ijtihad al-Salafussoleh.

Prinsip asasnya adalah meletakkan sepenuhnya kuasa penyembuhan hanya kepada ALLAH SWT. Keyakinan yang disandarkan kepada kuasa-NYA YANG MAHA MENYEMBUHKAN disusuli dengan usaha hasil kombinasi beberapa kaedah rawatan seperti menggunakan air, tumbuhan herba termasuk bahan-bahan halal lagi baik yang dibenarkan.

Seperkara, konsep pengubatan Islam juga sebenarnya amat luas dan boleh diaplikasikan kepada semua jenis penyakit, sama ada penyakit yang bersifat jasmani mahupun rohani. Namun, masyarakat awam dilihat lebih cenderung menggunakan kaedah tersebut jika berdepan dengan masalah berkaitan mistik dan alam ghaib seperti gangguan makhluk halus, disampuk jin dan santau.

Sesungguhnya, al-Quran dan al-Hadis ialah rujukan utama dalam mendapatkan panduan pengubatan Islam. ALLAH SWT berfirman: “Dan KAMI turunkan dari al-Quran yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang yang beriman.“ (Surah al-Isra‘, ayat 82).

ALLAH juga menyuruh manusia supaya berdoa memohon kepada-NYA jika ditimpa sakit. Firman-NYA yang bermaksud: “Dan Tuhan kamu berfirman, berdoalah kamu kepadaKU, nescaya akan AKU perkenankan doa permohonan kamu.“ (Surah al-Mukmin, ayat 60).

Seterusnya, dalam Surah al-Syu‘ara‘, ayat 80, ALLAH berfirman: “Dan apabila aku sakit, maka DIALAH yang menyembuhkan penyakitku.“
Contoh tauladan yang ditunjukkan oleh para Anbiya‘ dalam memohon kesembuhan daripada ALLAH ialah Nabi Ayub. ALLAH mengarahkan baginda menghentakkan kaki dan terpancar keluar air dari dalam tanah.

Maka, air itu digunakan oleh Nabi Ayub untuk minum dan mandi sehingga penyakit baginda sembuh dengan izin-NYA. Jelas di sini, air merupakan antara medium terbaik dalam menyembuhkan penyakit. Justeru, tidak hairanlah apabila gabungan doa dan air digunakan secara meluas dalam kalangan perawat pengubatan Islam.

Hakikatnya setiap penyakit itu datang daripada ALLAH SWT dan DIA juga yang menyediakan penawar bagi penyakit tersebut. Sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Usamah bin Syarik RA yang bermaksud: “Berubatlah kalian wahai hamba-hamba ALLAH, kerana ALLAH SWT tidak menciptakan penyakit kecuali diciptakan juga bersama ubatnya, kecuali satu penyakit sahaja iaitu tua.” (Riwayat Ibn Majah)

Dalam hadis baginda yang lain yang diriwayatkan oleh Jabir RA yang bermaksud: “Setiap penyakit itu ada ubatnya. Maka apabila dijumpai ubat kepada suatu penyakit itu, nescaya disembuhkan dengan izin Allah ‘Azza wa Jalla.” (Hadis Riwayat Muslim)

Oleh yang demikian, sebagai manusia yang menyedari betapa lemahnya diri berbanding Allah yang Maha Berkuasa, maka jangan sesekali kita berputus asa daripada mencari penawar bagi setiap penyakit yang dihadapi.

Sekiranya telah berusaha, namun masih belum pulih, kita harus bersabar. Barangkali penyakit yang dideritai adalah ujian yang dapat mengukuh dan memantapkan keimanan kepada-NYA. Mungkin juga ia disebabkan bala atau musibah. Jika berada dalam situasi itu, sewajarnya kita bertaubat dan memohon keampunan kepada-NYA.

Hakikatnya, rawatan pengubatan Islam merupakan alternatif terbaik kepada umat Islam untuk menyembuhkan penyakit yang bersifat jasmani dan rohani.

Paling penting, rawatan yang diterima harus menepati syariat Islam dan menyandarkan kesembuhan 100 peratus kepada kekuasaan dan keizinan-NYA.

Penubuhan pusat rawatan Islam yang terlalu banyak dewasa ini juga harus dikawal oleh pihak berkuasa agama. Ia penting agar rawatan cara berkenaan tidak sewenang-wenangnya disalah guna dan diperalatkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Jangan lupa follow kami di Instagram!

Foto: Polina Tankilevitch/Pexels

maulid
Gaya Hidup, Gaya Hidup, Isu, Panduan,

Lazimkan 3 amalan utama ini bagi buktikan kecintaan kita kepada baginda yang banyak berkorban untuk seisi umat Islam

Oleh DR AZRI BIN BHARI
Pensyarah Kanan, Akademi Pengajian Islam Kontemporari, Universiti Teknologi MARA, Shah Alam, Selangor

 

TANGGAL 12 Rabiulawal merupakan satu tarikh bersejarah bagi seluruh umat Islam apabila lahirnya junjungan besar Nabi Muhammad SAW. Kehadiran baginda adalah rahmat dan anugerah teragung daripada ALLAH SWT kepada alam semesta.

Lazimnya, di Malaysia, kita akan menyambut peristiwa penting itu dengan mengadakan pelbagai program kerohanian dan kemasyarakatan seperti berselawat, berqasidah, berzanji termasuk menganjurkan kuliah, ceramah, atau bagi menterjemahkan rasa syukur kepada-NYA atas kelahiran insan agung dan mulia ini.


ALLAH SWT berfirman yang bermaksud: “Dan KAMI tidak mengutus engkau (Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat bagi seluruh alam.” (Surah al-Anbiya’, ayat 107)

Sesungguhnya, Nabi Muhammad SAW ialah seorang insan yang hebat dan keunggulan keperibadian baginda sebagai ketua kepada keluarga, masyarakat dan negara tiada tolok bandingnya sehinggakan tiada makhluk di muka bumi ini, waima tokoh atau pemimpin terkenal di dunia ini dapat menandingi Rasulullah.

Seorang penulis dan pengkaji dari Barat, Michael H Hart turut memperakui kehebatan dan ketokohan Nabi Muhammad SAW. Dalam karyanya yang bertajuk 100 Most Influential People In The World, beliau telah menobatkan baginda sebagai orang yang paling berpengaruh di dunia dan menjadi pemimpin agung sepanjang zaman.

Amalan berterusan

Kita sebagai umat Islam pastinya mencintai Rasulullah yang banyak berkorban dalam usaha menyebarkan dakwah Islamiah dan sentiasa berusaha mengeluarkan manusia daripada kegelapan jahiliah kepada cahaya Islam.

Terdapat beberapa kaedah dan cara yang dianjurkan oleh agama kepada kita untuk menzahir dan membuktikan kecintaan kepada baginda. Berikut adalah perinciannya:

PERTAMA: Mencintai baginda melebihi diri sendiri dan manusia lain sama ada ibu bapa, isteri, suami, anak, kaum kerabat dan kawan.
Firman ALLAH SWT yang bermaksud: “Nabi itu hendaklah lebih utama bagi orang beriman melebihi diri mereka sendiri.” (Surah al-Ahzab, ayat 6)

Dalam Hadis Riwayat Muslim pula, Nabi Muhammad SAW bersabda: “Tidak (sempurna) iman seseorang sehinggalah aku menjadi orang yang paling disayanginya melebihi ahli keluarganya sendiri dan hartanya dan manusia keseluruhannya.”

Selain itu, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Tiga perkara yang akan membuatkan seseorang itu merasai kemanisan iman iaitu ALLAH dan Rasul-NYA lebih dicintai daripada selain kedua-duanya, mencintai seseorang semata-mata kerana ALLAH dan benci kembali kepada kekufuran sebagaimana benci dicampakkan ke dalam api neraka.” (Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim).


KEDUA: Mengamalkan sunnah Nabi Muhammad SAW.
Tanda mencintai seseorang adalah wujud keinginan untuk sentiasa dekat dan bersama dengannya. Dalam konteks mencintai baginda, cara terbaik adalah dengan mengikut sunnah yang boleh dipelajari daripada hadis sahih dan sirah hidup Rasulullah.

ALLAH SWT berfirman yang bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad), jika benar kamu mengasihi ALLAH, maka ikutilah daku (Rasulullah), nescaya ALLAH mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), ALLAH MAHA PENGAMPUN, LAGI MAHA MENGASIHANI.” (Surah Ali Imran, ayat 31)

Sementara itu, dalam Surah al-Ahzab, ayat 21, firman ALLAH SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya pada (diri) Rasulullah SAW itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) ALLAH dan (balasan baik) hari akhirat, serta dia pula banyak menyebut dan mengingati ALLAH.”

Justeru, marilah melakukan perubahan dengan menjadikan baginda sebagai contoh terbaik, seterusnya menjunjung sunnah Nabi Muhammad SAW sebagai bukti perhambaan yang sebenar-benarnya kepada ALLAH SWT.

 

Baca juga Rasulullah Tokoh Berpengaruh Sepanjang Zaman. Dalam Diri Baginda Terdapat Segala-galanya Untuk Diteladani

KETIGA: Memperbanyakkan selawat kepada baginda.
Selawat tidak wajar hanya dizahirkan pada sambutan kelahiran Nabi Muhammad SAW sahaja, tetapi seharusnya dilakukan secara berterusan sehingga menjadi rutin dalam kehidupan seharian. ALLAH SWT dan para malaikat turut berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW.

Firman ALLAH SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya ALLAH dan para malaikat-NYA berselawat ke atas Nabi, wahai orang yang beriman berselawatlah kamu ke atasnya dan ucapkan salam kepadanya.” (Surah al-Ahzab, ayat 56)

Terdapat kelebihan lain jika kita sering membasahkan bibir dengan berselawat. Dalam Hadis Riwayat Muslim, Nabi Muhammad bersabda: “Sesiapa yang berselawat ke atasku sekali, ALLAH SWT berselawat ke atasnya 10 kali.”

 

Kesimpulannya, meraikan Maulidur Rasul sempena memperingati kelahiran utusan ALLAH SWT yang menjadi rahmat kepada sekalian alam sewajarnya meningkatkan keazaman dan membuktikan kecintaan kita kepada baginda yang kita sayangi.

 

Jangan lupa follow kami di Instagram!

Foto: Unsplash & AFP

Berita, Berita Semasa,

Covid-19: Perbanyakkanlah sedekah, wakaf, hibah, infak, zakat dan hadiah bantu golongan terjejas

Oleh DR AZRI BHARI
(Pensyarah Kanan, Akademi Pengajian Islam Kontemporari, Universiti Teknologi MARA, Shah Alam, Selangor)

SEJAK Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga kepada Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang dilaksanakan bagi mengawal penularan wabak COVID-19, situasi masyarakat di Malaysia mengalami perubahan.

Seperti yang dilaporkan, rata-rata individu mahupun organisasi terkesan dari aspek ekonomi, sosial, psikologi mahupun pendidikan.
Golongan B40 yang berpendapatan rendah dikatakan paling terjejas. Mereka hilang sumber pendapatan gara-gara diberhentikan kerja dan ada segelintirnya terpaksa berdepan dengan pemotongan gaji.

Pun demikian, keperitan dan kesukaran tersebut sedikit terubat dengan pelbagai bantuan yang dihulurkan oleh orang perseorangan, selebriti, pendakwah termasuk pertubuhan bukan kerajaan yang bergiat aktif.

Sewajarnya usaha dan kempen menderma seumpama itu perlu dipertingkat dan diperluaskan lagi.

MENURUT Dr Azri Bhari, kita haruslah membantu sesama manusia di kala wabak Covid-19 yang sedang berleluasa.

 

Sesungguhnya, Islam sangat menganjurkan sifat kedermawanan dan ia boleh dizahirkan melalui amalan bersedekah.

Sedekah mempunyai maksud yang sangat luas dalam Islam. Antaranya merujuk kepada pemberian oleh seseorang kepada orang lain (seperti fakir miskin, sanak saudara demi kepentingan agama atau fisabilillah) yang memerlukan dengan tujuan untuk mendekatkan diri dengan ILAHI.

Bukan sahaja kepada manusia, sedekah juga dianjurkan untuk diberikan kepada orang bukan Islam dan juga haiwan.

Firman ALLAH SWT bermaksud: “Sesungguhnya orang lelaki yang bersedekah dan orang perempuan yang bersedekah, serta mereka yang memberikan pinjaman kepada ALLAH, sebagai pinjaman yang baik (ikhlas), akan digandakan balasannya (dengan berganda-ganda banyaknya), dan mereka pula akan beroleh pahala yang mulia.” (Surah al-Hadid, ayat 18)

Instrumen

Dalam pada itu, sedekah dalam konteks harta yang disampaikan terbahagi kepada dua bahagian iaitu:

Sedekah wajib: Merujuk kepada zakat harta dan zakat fitrah.
Sedekah sunat: Merujuk kepada hadiah, wakaf, hibah, wasiat, pelepasan hutang dan pengguguran hak.

Pada pandangan saya, solusi terhadap permasalahan yang dihadapi masyarakat yang tergugat dan memerlukan bantuan boleh dibudayakan melalui instrumen sedekah yang pelbagai. Antaranya menerusi:

 

1. Zakat

Ia adalah suatu pemberian yang wajib dilakukan ke atas sebahagian harta kekayaan yang telah mencukupi syarat dan dimiliki oleh individu Muslim kepada golongan asnaf yang telah ditetapkan oleh syarak.
Dana zakat boleh membantu golongan fakir, miskin, mualaf, al-gharimin (orang berhutang), fisabilillah (pelajar), al-riqab (orang terbelenggu) yang terjejas akibat wabak Covid-19 melalui pelbagai skim bantuan yang telah disediakan oleh pihak institusi zakat di Malaysia.

2. Wakaf

Wakaf pula adalah amalan penyerahan harta yang bersifat kekal dan dimiliki untuk kegunaan atau manfaat orang ramai.
Selain dapat meringankan beban penerima wakaf, pewakaf turut mendapat ganjaran pahala yang berterusan selagi dimanfaatkan harta tersebut.
Wakaf boleh dilaksanakan melalui pemberian seperti alat pembelajaran seperti komputer riba, telefon pintar atau sebarang gajet lain kepada golongan sasar.

 

3. Sedekah, infak dan hadiah

Ketiga-tiganya memiliki makna yang hampir sama iaitu pemberian secara sukarela kepada seseorang.
Infak lazimnya merujuk kepada pemberian untuk menegakkan agama YANG MAHA ESA.
Sedekah dan hadiah pula berbeza dari sudut tujuan. Sedekah adalah pemberian untuk mendapatkan pahala, sementara hadiah adalah untuk menghargai seseorang.
Pemberian pakej pelbagai makanan asasi adalah contoh sedekah, infak dan hadiah yang boleh dilaksanakan dalam situasi PKP bagi memastikan kelangsungan hidup sesebuah keluarga yang kekurangan sumber pendapatan.

 

4. Hibah

Hibah adalah pemberian hak milik kepada orang lain secara sukarela. Ia boleh dilaksanakan melalui pemberian peralatan atau kemudahan yang masih lagi baik kepada orang lain secara percuma.

Demikianlah instrumen-instrumen kedermawanan yang dianjurkan oleh Islam dalam menyalurkan bantuan kepada mereka yang mengalami kesulitan hidup akibat pelaksanaan PKP dan PPN.

Sewajarnya, setiap masyarakat Malaysia berganding bahu dalam mendepani cabaran pandemik yang masih membelenggu negara dan hampir keseluruhan penduduk di muka bumi ini.

Foto UNSPLASH dan FREEPIK