Browsing Tag

kaki sembang

Bercakap tentang orang lain
Rindu Rasulullah,

Awas ‘kaki sembang’, ia antara perilaku yang dibenci Rasulullah SAW

BERSEMBANG menjadi perkara biasa bagi setiap insan. Apatah lagi apabila kita bertemu adik-beradik, rakan-rakan, saudara-mara mahupun kenalan lain.

Tidak salah untuk kita beramah mesra dengan mereka, tetapi biarlah mengikut batas-batas yang disyariatkan Islam dan tidak berlebih-lebihan. Masakan tidak, apabila kita mula jadi ‘kaki sembang’, maka semakin banyak perkara yang dibualkan.

Tanpa sedar, bukan sahaja tutur kata kita mengguris hati orang lain, adakalanya mengumput mahupun mencemuh kenalan masing-masing.

Dalam hal itu, Imam al-Nawawi ada menukilkan tentang peringatan Rasulullah SAW mengenai perilaku yang menjauhkan kita dengan baginda dan sikap yang dibenci olehnya, menerusi kitab Riyadus Salihin.

Baca juga [SEMPENA SAMBUTAN MAULIDUR RASUL] Kalau tak berselawat, itu tandanya kita bakhil…

Memetik portal Republika, diceritakan bahawa pada suatu hari, Nabi Muhammad SAW berkumpul dengan para sahabat, lalu baginda pun memberikan nasihat kepada mereka.

Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya orang yang paling aku cintai di antara kamu dan paling dekat dengan tempat duduknya denganku pada hari kiamat ialah orang yang paling baik akhlaknya. Dan sesungguhnya orang yang paling aku benci di antara kamu dan paling jauh kedudukannya daripadaku pada hari kiamat ialah al-Tsatsarun, al-Mutasyaddiqun dan al-Mutafaihiqun…” (Hadis Riwayat at-Tirmizi)

Melihat ungkapan hadis berkenaan, terdapat tiga perilaku yang dibenci oleh baginda SAW kerana ia termasuk sebagai akhlak mazmumah.

Sembang

JAGA lidah daripada menuturkan sebarang perkara yang mengguris hati orang lain dan bercakap berlebih-lebihan. -FOTO: 123RF

Berikut perinciannya:

1. Al-Tsatsarun (orang yang banyak bercakap berjela-jela dan suka bercakap besar).

Mudah kata, kelompok itu ialah seorang yang ‘kaki sembang’ atau pendusta yang banyak cakap dan bercakap besar. Adakalanya butir bicaranya disulami dengan hujah logik, tetapi mengandungi unsur pembohongan.

Sebab itulah Rasulullah SAW pernah bersabda supaya ‘berkata baik atau diam’ dalam Hadis Riwayat al-Bukhari. Itulah sebaik-baik perbuatan daripada membicarakan perkara yang tidak bermanfaat, malah mendatangkan dosa pula.

Bukan itu sahaja, ALLAH SWT juga ada memberi peringatan supaya kita mengerjakan apa yang dibualkan.

Firman ALLAH SWT: “Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak melakukan! Amat besar kebenciannya di sisi ALLAH apabila kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya.” (Surah al-Saff, ayat 2-3)

Baca juga Selamatkan diri dari azab neraka dengan menjaga lidah dan lisan

2. Al-Mutasyaddiqun (orang yang suka bercakap berlebihan dan meremehkan orang lain).

Golongan sebegitu berpura-pura hebat dengan topik perbualan. Jika dilihat gayanya, adakalanya begitu berlebih-lebihan sehinggakan kita merasakan tidak sepadan dengan realitinya.

Sembang

JANGAN bercakap berlebih-lebihan dan merendah-rendahkan orang lain. -GAMBAR HIASAN/ FOTO: PEXELS

Bukan sahaja pandai bercakap, tetapi juga mahu mendapatkan pujian. Meskipun bahasanya yang dilontarkan cukup indah, tetapi begitu ‘berbisa’ sehingga merendah-rendahkan orang lain.

Ingatlah, dalam diri setiap insan, kita ada hati, akal dan nafsu. Andai kotor hati kita, maka apa yang keluar dari mulut kita juga bersifat jelik. Sebaliknya, jika hati kita baik, begitulah juga ucapan yang dituturkannya.

ALLAH SWT berfirman: “Maka DIA mengilhamkan kepadanya (jalan) kejahatan dan ketakwaan. Sungguh beruntung orang yang menyucikan (jiwa itu). Dan sungguh rugi orang yang mengotorinya.” (Surah al-Syams, ayat 8-10)

3. Al-Mutafaihiqun (orang yang suka membesarkan diri apabila bercakap).

Kelompok ketiga yang dibenci oleh Rasulullah SAW ialah orang yang sombong atau bongkak.

Malah, dalam sebuah hadis, baginda bersabda: “Tidak akan masuk syurga orang yang dalam hatinya ada sebesar zarah perasaan sombong.” (Sahih Muslim)

Baca juga Cakap tak serupa bikin, ALLAH benci orang yang tak beramal dengan apa yang dia cakapkan

Bukan itu sahaja, sejarah juga telah membuktikan, sifat sombong akhirnya akan memakan diri. Lihat sahaja pada syaitan yang bersikap sedemikian sehinggakan enggan sujud kepada Nabi Adam AS apabila diperintahkan oleh ALLAH SWT. Akhirnya, makhluk terkutuk itu diusir daripada syura.

Begitu juga dengan Firaun yang mengaku sebagai Tuhan. Malangnya, pengakhiran hidupnya begitu menyedihkan apabila tenggelam dalam Laut Merah.

Sembang

Bahaya mulut mampu membawa ke neraka. -FOTO: MYKMU.NET

Sama juga halnya dengan Qarun yang terlalu bermegah-megah dengan hartanya. Akhirnya, Qarun lenyap ke dalam perut bumi.

Berdasarkan tiga perlakuan tersebut, jelaslah bahawa begitu bahayanya apabila kita menjadi ‘kaki sembang’ atau kuat bersembang.

Bukan apa, dibimbangi apa yang kita bualkan itu mengundang kepada perilaku yang dibenci oleh Rasulullah SAW.

***Foto: Unsplash