Browsing Tag

kaherah

Al-Monitor
Gaya Hidup, Jendela Dunia, Pilihan Editor,

Mesir Akan Jadikan Ibu Kota Islam Tertua di Afrika Sebagai Muzium Terbuka

no comment

KERAJAAN Mesir mengumumkan untuk menghidupkan kembali kehidupan baharu di kota lama Fustat sebagai ibu kota Islam tertua di Afrika. Ia akan mengubahnya menjadi muzium terbuka untuk pengunjung dari seluruh dunia.

Pengumuman itu dibuat Perdana Menterinya, Mustafa Madbouly ketika pertemuan bersama pegawai yang bertanggungjawab dalam projek pembangunan Taman Fustat.

Projek Fustat Gardens telah bermula dan akan siap tidak lama lagi. Gambar: nogoum fm

Menurut kenyataan yang diterbitkan menerusi laman Facebook perdana menteri itu, projek pembangunan ‘Fustat Gardens’ bertujuan untuk menjadikan taman awam yang menghadap ke tapak bersejarah dan monumen arkeologi itu sebagai destinasi pelancongan serantau dan global.

Projek itu juga akan menawarkan aktiviti rekreasi dan industri tradisional khas wilayah dengan menghidupkan semula warisannya di seluruh era Pharaonik, Koptik, Islam dan moden.

Ketua Sektor Barang Antik Islam, Koptik dan Yahudi, Majlis Tertinggi Antiquities, Osama Talaat, berkata dalam wawancara menerusi saluran DMC pada 23 Ogos lalu, taman itu akan dibina di kawasan seluas 500 ekar di tengah-tengah Kaherah yang merupakan rumah bagi Muzium Nasional Tamadun Mesir, Danau Ain el-Sira, Kompleks Agama dan Masjid Amr Ibn al-Aas.

Osama berkata, pengunjung akan dapat melawat lorong-lorong di kota lama Fustat yang asli dan kini dalam proses pemulihan.

Perarakan 22 mumia dari Muzium Mesir di Tahrir Square ke Muzium Nasional Tamadun Mesir di Fustat. Gambar: BBC

Pada 3 April lalu, sebanyak 22 mumia kerajaan telah dipindahkan dalam perarakan dari Muzium Mesir di Tahrir Square ke Muzium Nasional Tamadun Mesir di Fustat.

Penyelidik Islam, Moaz Lafi memberitahu Al-Monitor bahawa destinasi yang kaya dengan barang antik akan menarik pelancong terutama di Fustat yang tidak ada di peta pelancongan sebelum pembangunan Muzium Nasional Tamadun Mesir dan Danau Ain el-Sira.

Moaz mengatakan bahawa dia melihat semasa lawatannya ke Muzium Nasional Tamadun Mesir dan kawasan sekitarnya bahawa projek pembangunan itu berpotensi menjadi maju kerana aspek saintifik yang mengimbangi sifat arkeologi dan sejarah sekitar.

“Lokasi itu sangat sesuai untuk pelancong yang mencari lawatan bersepadu kerana perkhidmatan yang tidak ada di muzium Mesir sebelum ini telah disediakan, seperti restoran, kafe dan bazar.

“Selain itu, pembinaan jalan untuk pelancong berjalan kaki sejauh 250 meter di tepi Danau Ain el-Sira dengan kemudahan tempat duduk disediakan dapat memberi keselesaan kepada mereka yang melawati muzium itu nanti,” katanya.

Dia mengatakan, Fustat memiliki banyak barangan antik sejak ribuan tahun dan menjadi tapak tinggalan dengan ketinggian seperti rumah empat tingkat yang juga digelar sebagai pencakar langit kuno kerana ianya tidak dimiliki di bandar Islam lain.

Mengenai kepentingan sejarah dan arkeologi Fustat, Pengarah Umum Jabatan Penyelidikan, Kajian Arkeologi dan Penerbitan Akademik di Sinai Selatan Kementerian Pelancongan dan Barang Antik, Abdel Rahim Rihan, berkata bandar itu termasuk Kompleks Agama, di mana kuil Yahudi yang dikenali sebagai Sinagoga Ben Ezra telah dijumpai bersama dengan gereja Mesir kuno seperti gereja Saint Sergius dan Bacchus (Abu Serga).

“Lokasi itu akan merangkumi gua sepanjang enam meter dan lebar 4.5 meter yang terbahagi kepada tiga bahagian dan dipisahkan oleh tiang batu. Gua itu terletak 6.3 meter di bawah bumbung gereja, sementara lantai gereja itu sendiri terletak 3.6 meter di bawah permukaan jalan.

“Gereja lain yang turut dijumpai termasuk Gereja Gantung, Gereja Saint Barbara, Gereja Mary Gerges, Gereja Perawan (Qasriet Al-Rihan), Gereja Orang Suci Abakir dan Yohanna, Gereja Ortodoks Yunani St George, Gereja St. Mercurius Abu Sefein dan Gereja Abba Shenouda.

“Fustat juga merupakan rumah bagi masjid tertua kedua di Mesir dan Afrika setelah Masjid Sadat Quraisy (di wilayah Sharqia) yang kini menjadi sebagai Masjid Amr ibn al-Aas, tambah Abdel Rahim.

Gereja Abu Serga yang berada di Jalan ‘Holy Family’, mendorong kerajaan untuk menaiktaraf jalan-jalan menuju ke Kompleks Agama dan mewujudkan jalan alternatif untuk pengangkutan awam. Kerajaan juga mendirikan papan tanda dan tempat duduk serta mendirikan informasi pelancongan untuk kawasan seluas 800 meter hingga 1 kilometer dari lokasi kuil itu.

Muzium Nasional Tamadun Mesir Fustat adalah salah satu muzium kuno yang paling penting dan terbesar di dunia. Ia adalah muzium pertama yang dikhaskan untuk keseluruhan tamadun Mesir, dengan lebih daripada 50,000 artifak yang menceritakan tahap-tahap perkembangan peradaban dari zaman kuno hingga moden.

Tambahnya, pusat pertukangan di Fustat, yang merupakan antara projek utama yang dibentuk oleh Kementerian Kebudayaan dengan tujuan menghidupkan kembali kegemilangan masa lalu.

Dia menekankan bahawa projek pembangunan Fustat akan mengubah kawasan itu menjadi laman bandar bersepadu yang menggabungkan lama dan baharu dan mewujudkan hubungan antara masa kini dan masa lalu, semuanya dikelilingi oleh taman-taman yang indah.

Menurut Abdel Rahim, taman ini akan bersaing dengan Park Guell yang baharu dirancang di Barcelona dan didaftarkan sebagai Tapak Warisan Dunia.

Kota Fustat dibangunkan sejak tahun 641 dan dibina oleh Panglima Arab Amr ibn al-Aas setelah penaklukan Islam di Mesir.

Fustat bermaksud ‘khemah’ dan kota itu berfungsi sebagai ibu kota Mesir selama 113 tahun yang diikuti oleh al-Askar, al-Qata’i. Bandar-bandar itu kini menjadi sebahagian daripada satu entiti yang dikenali sebagai Kaherah.

 

Sumber: Al-Monitor