Browsing Tag

Jumpa harta benda

Jumpa harta benda
Muamalah,

Jumpa Harta Benda Tidak Diketahui Pemiliknya Ketika Banjir, Berikut Tatacara Menguruskannya

Oleh DR SHAMSIAH MOHAMAD

DARIPADA Zaid bin Khalid Al-Juhani (iaitu) sahabat Rasullullah SAW telah berkata, Nabi Muhammad SAW ditanya oleh seseorang yang tidak dikenali berkenaan harta yang dijumpai (luqatah) dalam bentuk emas atau perak. Sabda baginda SAW: “Kenalilah pengikatnya dan bungkusannya kemudian umumkan ia selama satu tahun. Jika tidak dijumpai (pemiliknya), maka bolehlah diambil manfaat daripadanya. (Tetapi) jika ia dituntut kembali maka kembalikanlah kepadanya (pemiliknya).”

Hadis di atas berkaitan dengan harta yang hilang daripada pemiliknya dan dijumpai oleh orang lain. Dalam bahasa Arab, ia dinamakan luqatah.

Pada penghujung tahun 2021, berlaku banjir yang agak besar di Selangor dan Pahang sehingga banyak rumah yang ditenggelami air walaupun sebelumnya tidak pernah kawasan tersebut terkena banjir. Kehilangan dan kemusnahan harta benda semasa berlaku banjir adalah suatu yang memang sukar dielak.

Banyak benda yang dibawa arus jauh daripada pemilik asal dan ada kemungkinan ia dijumpai oleh orang lain. Para ulama ada membicarakan secara khusus tentang harta luqatah ini dalam penulisan mereka.

Persoalan yang mungkin menjadi tanda tanya adalah tentang boleh atau tidak orang yang menjumpai harta tersebut mengambilnya. Dalam isu mengambil harta luqatah ini, dinyatakaan dalam Kitab Fiqh Manhaji ala Mazhab Imam al-Syafie sebagaimana berikut:

1. Wajib diambil oleh seseorang yang amanah dan mampu menjaganya jika diyakini bahawa barang itu milik orang Islam dan akan hilang sekiranya dia tidak mengambilnya. Ini kerana menjaga harta orang Islam itu adalah wajib.

2. Sunat diambil oleh seseorang yang amanah dan mampu menjaganya jika dia merasakan kemungkinan barang yang dijumpai akan hilang sekiranya dibiarkan di tempat berkenaan.

3. Harus diambil oleh seseorang yang amanah dan mampu menjaganya sekiranya merasakan barang itu tidak hilang walaupun dibiarkan di tempat berkenaan.

4. Makruh diambil oleh orang yang menjumpainya jika dirasakan bahawa dia tidak dapat menjaga amanah pada masa akan datang.

5. Haram diambil oleh orang yang tidak amanah dan tidak dapat menjaganya.

Baca juga Pemerintah Wajib Kawal Kenaikan Harga Barangan Agar Rakyat Tidak Terus Dibebani

Dalam konteks kebenaran untuk mengambil barang luqatah seperti yang dinyatakan di atas, ia bukanlah kebenaran untuk mengambilnya untuk dijadikan milik orang yang menjumpainya. Sebaliknya, kebenaran itu hanyalah sekadar untuk menjaganya buat sementara waktu sebelum pemilik asal datang menuntut kembali harta miliknya.

Atas asas tersebutlah, orang yang menjumpai harta luqatah yang mempunyai nilai yang besar wajib membuat hebahan tentang harta tersebut selama setahun sebagaimana yang dijelaskan dalam hadis di atas.

Jumpa harta benda

LAKUKAN hebahan di media sosial tentang harta yang dijumpai sebagai usaha untuk mengembalikan kepada pemiliknya.

Dalam dunia hari ini, tidaklah menjadi sukar untuk membuat hebahan berkenaan kerana hebahan melalui media sosial sangat berkesan. Kuasa tular pada hari ini mampu menyampaikan satu-satu berita dalam masa beberapa saat sahaja ke pelosok dunia.

Sekiranya setelah setahun hebahan dibuat, tiada juga tuntutan dibuat, maka harta tersebut boleh dimanfaatkan oleh orang yang menjumpainya sama ada dia seorang kaya atau miskin menurut pandangan jumhur ulama selain Abu Hanifah sebagaimana yang dijelaskan dalam Kitab Nayl al-Awtar. 

Namun jika pemilik asal datang membuat tuntutan, barang tersebut hendaklah dikembalikan kepadanya sekiranya masih ada dan sekiranya tidak ada, hendaklah dia mengantikannya dengan nilainya.

Sebaliknya, jika harta luqatah tersebut bukanlah terdiri daripada harta yang tidak bernilai tinggi seperti menjumpai matawang bernilai RM5, dia bolehlah membuat hebahan selama tiga hari. Sekiranya tiada seorang pun datang menuntut, maka dia boleh manfaatkan wang tersebut. Wallahualam.

***Dr Shamsiah Mohamad berpengalaman sebagai Penyelidik Isu-Isu Kewangan Islam dan Syariah

Foto: 123rf