Browsing Tag

jumaat

lelaki shopping Jumaat
Ibadah,

Orang lelaki haram ‘shopping’ pada hari Jumaat, benarkah begitu?

Orang lelaki haram ‘shopping’ pada hari Jumaat, benarkah begitu?

HARI Jumaat dianggap sebagai penghulu hari dalam Islam, hari yang penuh dengan keberkatan dan keistimewaan di mana doa-doa dimustajabkan.

Malah penghormatan kepada hari Jumaat ini dikhususkan lagi apabila setiap lelaki Muslim perlu bersegera meninggalkan setiap pekerjaan mereka untuk bersegera ke masjid bagi menunaikan solat Jumaat.

Sebagaimana dijelaskan dalam portal tzkrh.com, para ulama sebenarnya telah sepakat mengharamkan jual beli yang dilakukan setelah dikumandangkan azan kedua, iaitu apabila khatib telah naik ke mimbar untuk menyampaikan khutbah.

ARTIKEL BERKAITAN:

Pada zaman permulaan Islam, azan dikumandangkan sekali sahaja iaitu ketika khatib naik ke atas mimbar untuk memulakan khutbah. Azan yang pertama (dikumandangkan ketika masuk waktu) diperkenalkan ketika zaman Saidina Uthman RA kerana pertambahan bilangan umat Islam yang semakin ramai dan ia diamalkan hingga sekarang.

Seruan untuk bersegera dan meninggalkan jual beli ini disandarkan kepada firman ALLAH yang bermaksud:

Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan azan untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati ALLAH (dengan mengerjakan sembahyang jumaat) dan tinggalkanlah berjual-beli (pada saat itu); yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya)” (Surah al-Jumu’ah, ayat 9)

lelaki shopping Jumaat

Siapa yang dilarang melakukan jual beli ini?

Mereka yang dilarang untuk melakukan jual beli ini adalah lelaki yang diwajibkan solat Jumaat sahaja. Wanita, anak kecil dan orang sakit tidak termasuk dalam larangan ini.

Manakala jika dua orang yang melakukan transaksi jual beli, dan salah seorang sahaja yang diwajibkan melakukan solat Jumaat, maka menurut Imam Nawawi, kedua-duanya berdosa meskipun akad jual beli itu sah.

Hal ini kerana, orang yang tidak diwajibkan solat Jumaat tersebut turut menyebabkan salah seorang lagi lalai daripada menyegerakan solat Jumaat.

Baca juga Bolehkah daging korban yang diterima dijual gara-gara terdesak?

Turut disyorkan Tinggalkan solat Jumaat dengan sengaja, apa hukumnya?

lelaki shopping Jumaat

HARI Jumaat seharusnya digunakan sehabis baik untuk menghapuskan dosa-dosa kecil bagi kaum lelaki. Foto: 123RF

Baca juga Surah-surah yang dibaca Nabi SAW pada hari Jumaat, jom amalkan

Setelah menunaikan solat Jumaat pula, umat Islam diseru untuk menyambung semula pekerjaan yang dilakukan.

Kemudian setelah selesai sembahyang, maka bertebaranlah kamu di muka bumi (untuk menjalankan urusan masing-masing)…” (Surah al-Jumuah, ayat 10)

Usah lalai dengan urusan dan pekerjaan sehingga melanggar perintah ALLAH. Di sebalik perintah dan larangan-NYA, sudah tentu ada kebaikan yang tersimpan untuk orang yang beriman dan mentaatinya.

Keuntungan dan nikmat yang ALLAH berikan pula bukan hanya berupa kesenangan dunia semata-mata. Percayalah bahawa rezeki itu tidak akan lari jika ia sudah ditakdirkan buat kita.

Sumber: Tzkrh 

Foto: 123RF

Orang lelaki haram ‘shopping’ pada hari Jumaat, benarkah begitu?

surah dibaca Nabi
Berita Semasa,

Surah-surah yang dibaca Nabi SAW pada hari Jumaat, jom amalkan

JOM amalkan surah-surah berikut yang pernah dibaca oleh Rasulullah SAW pada hari Jumaat.

Sebaik-baik hari dalam seminggu adalah hari Jumaat. Penghulu segala hari ini juga diibaratkan oleh Nabi Muhammad SAW sebagai hari raya mingguan buat umat Islam.

Bagi menghormati hari mulia ini, para fuqaha sering mengingatkan kita memperbanyakkan ibadah dan amalan sunat seperti bersedekah dan berjalan kaki ke masjid untuk solat Jumaat.

Baca juga 8 amalan yang boleh dilakukan pada hari Jumaat 

Tambahan pula, hari Jumaat termasuk antara waktu ALLAH SWT mengabulkan doa hamba-hamba-NYA seperti yang disabdakan oleh Rasulullah SAW,

Pada hari jumaat itu (terdapat) dua belas (masa, di mana ada satu masa) yang tiada seorang Muslim pun yang berdoa kepada ALLAH kecuali ALLAH akan mengkabulkan doanya, maka bersegeralah untuk mendapatkannya pada waktu-waktu akhir setelah Asar.” (Hadis riwayat Abu Daud)

surah dibaca nabi

SELAIN melafazkan kalimah ALLAH, ambil juga peluang berdoa kepada TUHAN YANG MAHA ESA pada hari yang mulia ini.

Selain itu, tahukah anda bahawa ada beberapa surah yang sering dilazimi oleh Nabi SAW pada hari Jumaat?

Bukan itu sahaja, anda juga boleh mengamalkan surah-surah tersebut untuk meraih pahala hari Jumaat:

1. Surah al-Kahfi

Surah pertama ini sudah pun dikenali dalam kalangan umat Islam untuk dibaca pada Hari Jumaat. Fadhilat membaca surah al-Kahfi ada disebutkan dalam sebuah hadis daripada Abu Sa’id Al-Khudri RA bahawa Rasulullah SAW bersabda,

Barangsiapa membaca surah Al-Kahfi pada hari Jumaat, maka akan dipancarkan cahaya untuknya di antara dua Jumaat.” (Hadis riwayat Hakim dan Baihaqi).

Baca juga 5 nikmat dan janji ALLAH SWT kepada pencinta al-Quran

2. Surah as-Sajadah dan al-Insan

Kedua-dua surah as-Sajadah dan al-Insan termasuk surah yang biasa dibaca oleh Rasulullah SAW pada Hari Jumaat, khususnya sewaktu solat Subuh.

Kata Abu Hurairah RA, “Sesungguhnya pada solat Subuh hari Jumaat, Rasulullah membawa Surah al-Sajadah (Alif lam mim, tanzil) dan Surah al-Insan (Hal ata ‘alal insan”).” (Hadis riwayat Bukhari)

surah dibaca Nabi

PERBANYAKKAN ibadah pada hari Jumaat seperti yang dianjurkan para fuqaha. Antara amalan lain yang boleh dilakukan termasuklah bersedekah.

Baca juga Mengapa Rasulullah membaca surah al-Sajadah hari Jumaat?

3. Surah al-Jumuah dan al-Munafiqun
Dari Ibnu Abu Rafi’ RA, katanya: “Pada suatu ketika, Khalifah Marwan pernah meminta Abu Hurairah supaya menggantikannya di Madinah, sementara Marwan pergi ke Mekah. Maka pada suatu hari Jumaat, Abu Hurairah mengimami kami solat Jumaat.

“Dia membaca surah Jumaah pada rakaat pertama, dan surah Munafiqun pada rakaat kedua. Setelah selesai solat, ku temui Abu Hurairah lalu ku katakan kepadanya: Kedua surah yang anda baca tadi pernah dibaca oleh Ali bin Abi Thalib ketika dia berada di Kufah.

Jawab Abu Hurairah, “Aku pernah mendengar Rasulullah SAW membacanya dalam solat Jumaat.” (Hadis riwayat Muslim).

Baca juga Hindari 3 niat ini ketika baca al-Quran

4. Surah al-A’laa dan al-Ghasyiyah

Sebuah hadis daripada Nu’man bin Basyir menyebut: “Biasanya Rasulullah SAW membaca surah al-A’laa dan surah al-Ghasyiyah di waktu solat Jumaatnya. Demikian pula jika hari raya bertepatan dengan hari Jumaat, maka beliaupun membaca kedua-dua surah itu di waktu solat raya dan solat Jumaat.” (Hadis riwayat Nasai)

Baca juga Subhanallah, 70,000 Malaikat Akan Memohon Keampunan Untuk Mereka Yang Amalkan Surah Ad-Dukhan

Hanya kerana wujud beberapa surah yang biasa dibaca oleh Nabi SAW pada hari Jumaat, ini tidak bermakna kita dilarang membaca surah yang lain.

Hakikatnya, sebagai umat Islam, tiada pendamping yang lebih baik melainkan kitab al-Quran. Bukan sekadar hari Jumaat, bahkan ayat-ayat suci ALLAH sepatutnya meniti di bibir kita sepanjang masa dan di mana-mana sahaja

Foto: Unsplash

915179
Berita Semasa,

Vaksin Ikhtiar Terbaik

no comment

APABILA kita ditimpa penyakit, jalan penyelesaian yang terbaik adalah berikhtiar dengan membulatkan tekad dan keyakinan kerana segala penyakit dan kesembuhan datangnya daripada ALLAH SWT.

Vaksin merupakan salah satu usaha dan ikhtiar dalam rawatan perubatan. Kaedah ini merupakan suatu langkah awal pencegahan penyakit yang efektif di era moden.

Orang ramai menunaikan solat Jumaat dengan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi menghindari penyebaran wabak.

Topik yang menarik disampaikan pada Khutbah Jumaat pada hari ini yang dikeluarkan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) bertajuk ‘Vaksin Ikhtiar Terbaik’ sangat memberi penerangan yang khusus dan dituntut oleh Islam dalam kita melindungi daripada musibah yang tidak kita ketahui.

Pengambilan vaksin dapat menjadikan antibodi lebih kuat semasa berhadapan dengan Covid-19. Ini kerana, mencari ubat dan berubat merupakan amalan yang dituntut dalam ajaran Islam. Lebih-lebih lagi konsep ini selari dengan prinsip Maqasid al-Syariah dengan keutamaan memelihara nyawa.

Ia menjadi suatu tanggungjawab bagi seorang Muslim untuk mencari rawatan alternatif demi memelihara nyawa yang bertepatan dengan kaedah fiqh yang melarang perbuatan berbahaya dan memberikan kemudaratan kepada orang di persekitarannya, sama ada keluarga dan masyarakat.

Selaras dengan dasar kerajaan untuk memerangi wabak Covid-19 tindakan kerajaan pada hari ini komited mengutamakan keselamatan masyarakat agar tidak terdedah dengan bahaya wabak penyakit.

Ini dapat dilihat dengan usaha-usaha kerajaan mendukung sepenuhnya pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19. Ia adalah merupakan kempen vaksinasi kebangsaan yang dilaksanakan sebagai langkah proaktif untuk membendung dan menamatkan penularan wabak Covid-19 apabila berjaya mencapai imunisasi kelompok.

Ini kerana, matlamat utama pengambilan vaksin untuk menjaga kebajikan dan “Setiap penyakit itu ada penawarnya. Maka apabila penawar itu kena pada penyakitnya, nescaya ia akan sembuh dengan izin ALLAH Azza wa Jalla.” (Riwayat Muslim).

 Program vaksinisasi ini tidak boleh dianggap sebagai menyekat hak kebebasan individu semata-mata kerana ia merupakan usaha dan langkah mengekang penularan wabak Covid-19 agar masyarakat dapat kembali hidup secara normal. Secara tidak langsung ia dapat memulihkan negara yang terkesan dari sudut sosial dan ekonomi serta membina keyakinan dan jaminan keselamatan komuniti menjalani aktiviti kehidupan sosial pada masa akan datang.

Realitinya, sejak kebelakangan ini timbul pelbagai andaian dan kekeliruan dalam kalangan masyarakat berhubung pengambilan vaksin dengan tohmahan dan fakta berita yang kurang tepat disebarkan di media-media sosial.

Ia seolah-olah menggambarkan pengambilan vaksin dianggap tidak selari dengan hukum dan syariat Islam. Pelbagai tuduhan yang dilemparkan oleh penghasut tegar anti vaksin secara emosi terhadap penggunaan vaksin menjadikan masyarakat mula terpengaruh dan mempercayai dakyah tersebut.

Akhirnya, timbullah persepsi kenapa perlu mengambil vaksin sedangkan virus masih boleh dijangkiti. Apa yang perlu diketahui, hukum penggunaan vaksin Covid-19 dalam kalangan masyarakat Islam diputuskan harus dan wajib diambil selaras dengan resolusi Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) ke-10 yang telah bersidang pada 3 Disember 2020.

Ini kerana, keutamaan pencegahan sebelum penularan dapat dibendung dengan lebih menyeluruh. Selain itu, pengambilan vaksin dilihat dapat menjaga kebajikan dan kepentingan umum bukan individu tertentu.

Ia memerlukan sokongan dan kerjasama orang ramai untuk menjayakannya kerana sudah terbukti secara saintifik bahawa individu yang tidak divaksin boleh menyebabkan orang lain lebih mudah dijangkiti Covid-19.

Pengambilannya telah disarankan oleh pakar-pakar dalam bidang kesihatan yang mengetahui dan memahami bahaya dan cara pencegahan penyakit ini. Manakala, penolakan vaksin bukan sahaja membahayakan diri sendiri bahkan mencetuskan kemudaratan kepada orang lain. Selain itu, fakta kajian membuktikan pengambilan vaksin Covid-19 dengan dos lengkap memberi 83 peratus berkesan dalam mencegah kemasukan ke ICU. Manakala 88 peratus berkesan dalam mencegah kematian.

Begitu juga 88 peratus berkesan mengurangkan risiko jangkitan dan 86 peratus berkesan mengurangkan risiko jangkitan bergejala yang menjana lebih banyak kebaikan berbanding kemudaratan. Apa yang paling utama, pengambilan vaksin ini juga selari dengan ketetapan dan prinsip yang dipersetujui secara kolektif dan konsisten dari Jawatankuasa fatwa negeri-negeri di Malaysia.

Merujuk kepada Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor kali 1/2021 yang bersidang pada 09 Februari 2021 dan telah diperkenankan oleh D.Y.M.M Sultan Selangor pada 28 September 2021 telah memutuskan, hukum penggunaan vaksin Covid-19 adalah harus dan ianya wajib diambil oleh golongan yang ditetapkan oleh kerajaan. Khatib di dalam khutubnya juga berpesan kepada semua jemaah agar akur dengan perintah pihak berkuasa dalam menyertai Program Vaksinasi Covid-19.

Sebarkan pemahaman yang betul kepada masyarakat dengan berikhtiar melalui vaksinasi jangan sampai sudah kalah baru berkubu. Begitu juga, jauhilah perbuatan provokasi dan memanipulasi fakta di media-media sosial dengan mempertikaikan penyampaian maklumat kerajaan semata-mata untuk kepentingan agenda peribadi sehingga mempengaruhi orang lain.

Jadilah warganegara yang bertanggungjawab bukan penghasut untuk kesejahteraan ummah. Sudah pasti, dengan berikhtiar pasti ada penawar di sebalik setiap penyakit yang diturunkan oleh ALLAH SWT.

Kita dituntut untuk merawat penyakit namun perlu mengambil jalan pencegahan terlebih dahulu seperti suntikan vaksin sebelum terkena wabak atau sebarang penyakit. Hayatilah pesanan Rasulullah SAW melalui sebuah hadis daripada Jabir bin Abdillah Radiallahu’anhu bahawa Rasulullah SAW bersabda;

“Setiap penyakit itu ada penawarnya. Maka apabila penawar itu kena pada penyakitnya, nescaya ia akan sembuh dengan izin ALLAH Azza wa Jalla.”

(Riwayat Muslim).

 

8 amalan yang boleh dilakukan pada hari Jumaat
Berita Semasa,

8 amalan yang boleh dilakukan pada hari Jumaat 

8 amalan yang boleh dilakukan pada hari Jumaat.

ESOK merupakan hari Jumaat ketiga selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan sejak 18 Mac lalu.

Meskipun solat Jumaat ditiadakan sepanjang tempoh itu untuk memutuskan rantaian penularan wabak koronavirus (Covid-19) dan digantikan dengan solat Zuhur, namun ketahuilah ada banyak amalan lain yang kita boleh lakukan.

Lebih manis lagi, apabila ia dilaksanakan bersama keluarga yang tersayang. Kan seronok apabila ia dapat dilakukan secara berjemaah.

Baca juga Keistimewaan hari Jumaat yang perlu anda ketahui

Jom kita lihat apakah amalan berkenaan:

1. Membaca Surah al-Kahfi

Ia boleh dilakukan pada malam Jumaat dan hari Jumaat. Banyak kelebihan apabila kita membacanya.

Sabda Rasulullah SAW: “Barang siapa yang membaca Surah al-Kahfi pada malam Jumaat, dia akan disinari cahaya antara dia dan Kaabah.” (Riwayat al-Darimi)

Dalam sebuah lagi hadis, baginda SAW bersabda: “Barang siapa yang membaca Surah al-Kahfi pada hari Jumaat, dia akan disinari cahaya di antara dua Jumaat.” (Riwayat al-Baihaqi)

Amalan yang boleh dilakukan pada hari Jumaat

BACALAH Surah al-Kahfi, al-Sajadah dan al-Insan pada hari Jumaat.

2. Membaca Surah al-Sajadah dan Surah al-Insan

Dianjurkan untuk kita membacanya ketika solat Subuh pada hari Jumaat.

Ia sepertimana yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA. Beliau berkata: “Nabi Muhammad SAW biasa membaca pada solat Subuh pada hari Jumaat ‘Alam Tanzil…’ (Surah al-Sajadah) pada rakaat pertama dan ‘Hal ataa ‘alal insani hinum minad dahri lam yakun syai-am madzkuro’ (Surah al-Insan) pada rakaat kedua.” (Riwayat Muslim)

Baca juga Mengapa Rasulullah membaca surah al-Sajadah hari Jumaat?

3. Bersihkan diri pada hari Jumaat

Amalan yang boleh dilakukan pada hari Jumaat

MEMOTONG kuku antara amalan lazim yang sering kita lakukan terutama pada hari Jumaat.

Masyarakat kita begitu sinonim dengan perkara ini. Antara perkara lazim yang sering kita lakukan adalah memotong kuku.

Imam Nawawi menyatakan: “Imam Syafie dan para ulama Mazhab Syafi’iyyah menegaskan, dianjurkan memotong kuku dan mencukur rambut-rambut di badan (kumis dan bulu kemaluan) pada hari Jumaat.” (Rujuk Al-Majmu’ Syarh Al-Muhadzdzab, 1:287)

Bagaimanapun, dalam perihal memotong kuku, tiada hari-hari tertentu ditetapkan dengan kaifiat tertentu. Ini kerana tiada nas yang jelas tentang perkara itu menurut pandangan Imam al-Sakhawi dan selainnya.

Baca juga Surah-surah yang dibaca Nabi SAW pada hari Jumaat, jom amalkan

4. Selawat ke atas Nabi Muhammad SAW

Amalan yang boleh dilakukan pada hari Jumaat

SENTIASA basahkan lidah dengan selawat ke atas Nabi Muhammad SAW.

Sebenarnya, kita juga digalakkan untuk berselawat pada hari lain. Tidak semestinya pada hari Jumaat.

Selawat yang kita baca tadi akan dibentangkan di hadapan Nabi Muhammad pada setiap hari Jumaat.

Rasulullah SAW bersabda: “Perbanyakkanlah berselawat ke atasku pada setiap hari Jumaat. Sesungguhnya selawat yang dibaca oleh umatku akan dibentangkan kepadaku pada setiap hari Jumaat. Barang siapa yang paling banyak berselawat ke atasku, maka dia akan berada paling hampir denganku (di dalam Syurga).” (Riwayat al-Baihaqi)

Baca juga Apabila nama Rasulullah SAW disebut, jangan lokek untuk selawat dan salam ke atas baginda

5. Lakukan solat duha

Solat ini antara ibadah yang disunatkan untuk kita melakukannya. Tidak kiralah sama ada hari Jumaat atau hari lain.

Alangkah indahnya jika kita dapat menunaikan solat duha bersama-sama orang tersayang.

Sabda Rasulullah SAW: “Pada pagi hari, setiap ruas tulang salah seorang di antara kalian itu ada sedekahnya. Maka, setiap tasbih (ucapan Subhanallah) adalah sedekah, setiap tahmid (ucapan Alhamdulillah) adalah sedekah, setiap tahlil (ucapan Lailaha illallah) adalah sedekah, setiap takbir (ucapan Allahu akbar) adalah sedekah), memerintahkan kepada kebaikan adalah sedekah, melarang daripada kemungkaran adalah sedekah dan yang mencukupkan daripada semua itu adalah dua rakaat solat duha.” (Riwayat Muslim)

Baca juga Tunaikan solat duha akan diberi ganjaran emas? Berikut penjelasannya

Amalan yang boleh dilakukan pada hari Jumaat

JADIKAN solat sunat sebagai rutin jika kita mampu berbuat demikian.

6. Lakukan sunat sunat qabliah dan ba’diah Zuhur

Sebelum menunaikan solat Zuhur, bolehlah kita dahulukan dengan solat sunat qabliah. Usai solat fardu Zuhur, sudahinya dengan solat sunat ba’diah.

Bahkan, perkara itu seringkali dilazimi oleh Rasulullah SAW.

Daripada Aisyah RA, beliau menyatakan: “Nabi Muhammad SAW biasa melakukan solat qabliah Zuhur empat rakaat di rumahnya. Kemudian baginda keluar, lalu solat mengimami orang-orang, lalu masuk ke rumahku, kemudian melakukan solat dua rakaat ba’diah…” (Riwayat Muslim)

Baca juga Rugi tinggalkan solat sunat Isyak kerana ia lebih afdal dari solat tarawih.

7. Berdoa pada hari Jumaat

Amalan yang boleh dilakukan pada hari Jumaat

BERDOALAH memohon kepada ALLAH agar kita diberikan keampunan dan kesejahteraan di dunia dan di akhirat.

ALLAH SWT telah meletakkan satu tempoh istimewa pada hari Jumaat iaitu setiap permintaan hamba-hamba-NYA akan dikabulkan pada waktu tersebut.

Rasulullah SAW bersabda: “Pada hari Jumaat ini ada satu masa yang sekiranya ditepati oleh seorang Muslim dalam keadaan dia bersolat meminta sesuatu daripada ALLAH SWT, pasti ALLAH SWT akan memperkenankan permintaanya itu”. (Riwayat al-Bukhari)

Waktu mustajab berdoa pada hari Jumaat, para ulama berbeza pandangan mengenainya.

Namun begitu, sebahagian ulama cenderung bahawa waktu yang mustajab pada hari Jumaat adalah selepas Asar hinggalah terbenamnya matahari. Ini kerana banyak dalil yang menjurus ke arah itu. Bahkan, para sahabat dan salaf menunjukkan bahawa mereka mementingkan waktu tersebut sepertimana yang dilakukan oleh Said bin Jubair RA.

Baca juga Jangan lepaskan peluang berdoa pada hari Jumaat, ini sebabnya

8. Peruntukan waktu untuk beribadah pada hari Jumaat

Semua sedia maklum Jumaat ialah hari mulia dan ada keistimewaan tersendiri berbanding dengan hari-hari yang lain. Justeru, luangkan sedikit masa kita untuk melakukan amal ibadah.

Walaupun tak boleh ke masjid atau surau, namun kita masih boleh berbuat pahala di rumah.

Jom kita sama-sama amalkan. Jika tak dapat buat semua, lakukanlah mana-mana amalan yang kita mampu sahaja dan istiqamahlah.

Baca juga Bersedekah pada hari Jumaat sangat dianjurkan Islam, tetapi jangan bertangguh untuk lakukan amalan mulia itu pada hari lain

(Sumber: Rumaysho.com, laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan & Ustaz Mustafar Mohd Suki)