Browsing Tag

Jujur

empat perkara
Isu,

Empat perkara yang lebih berharga daripada isi dunia

SABDA Nabi Muhammad SAW, wujud empat perkara yang lebih berharga daripada keseluruhan isi dunia.

Bagi sebahagian besar manusia di dunia, wang ringgit, pangkat dan harta benda sering dijadikan kayu pengukur sebuah kebahagiaan. Asalkan perkara-perkara tersebut ada pada seseorang, maka dia dianggap berjaya.

Namun, ingatlah tujuan sebenar kita diturunkan ke bumi adalah untuk beribadah dan mencari keredaan ALLAH SWT, pencipta makhluk sekalian alam.

empat perkara

DR AHMAD SANUSI AZMI

Penceramah bebas, Prof Madya Dr Ahmad Sanusi Azmi berkata, Rasulullah SAW pernah menjelaskan empat perkara yang baginda anggap lebih berharga daripada segala harta benda yang di atas bumi

Apakah perkara yang disebutkan oleh Rasulullah itu?

Yang pertama sekali, adalah amanah. Tidak berguna kekayaan yang dimiliki sekalipun memegang gelaran jutawan jika tiada sifat amanah dalam diri seseorang. Bahkan, ia dianggap sebagai salah satu ciri-ciri orang yang munafik.

Sabda Nabi SAW: “Tanda-tanda orang munafik ada tiga, iaitu apabila dia berbicara dia dusta, apabila dia berjanji tidak ditepati dan apabila diberi amanah dia khianati.” (Hadis riwayat Bukhari, Muslim)

Baca juga Begitu beratnya sebuah amanah sehinggakan langit, bumi dan gunung-ganang pun tidak sanggup memikulnya

Perkara kedua adalah berkata-kata benar, iaitu jujur. Perbuatan menipu amat dibenci oleh ALLAH SWT dan Rasulullah SAW. Menurut baginda, orang yang sering menipu seolah-olah dia telah meninggalkan ajaran agama dan sunnahnya.

Nabi SAW bersabda, “Bukan dari kalangan kami (umat Muhammad SAW) siapa yang menipu.” (Hadis riwayat Abu Daud)

Baca juga Jangan terjebak dengan sifat munafik, besar azab menanti.

empat perkara

SENTIASA berkata jujur dalam apa jua perbualan seperti yang diingatkan oleh Nabi Muhammad SAW.

Seterusnya, perkara yang ketiga, iaitu mempunyai akhlak yang baik. Jadilah seperti Rasulullah SAW yang pernah dipuji oleh ALLAH SWT kerana akhlaknya yang tinggi: “Dan bahawa sesungguhnya engkau mempunyai akhlak yang amat mulia.” (Surah al-Qalam, ayat 4).

Di samping itu, Saidina Usamah bin Zaid juga pernah bertanya kepada Nabi SAW: “Katakanlah kepada kami wahai Rasulullah, apakah pemberian paling baik yang diberikan ALLAH kepada manusia? Lalu baginda SAW bersabda: “Akhlak yang baik.” (Hadis riwayat Ibnu Majah)

Baca juga Tanda taubat diterima akhlak berubah baik, mudah lakukan ibadat

Akhir sekali atau perkara yang keempat adalah mempunyai kesucian makanan. Dalam erti kata lain, makan daripada sumber yang baik-baik.

Sebagai umat Islam, kita diingatkan untuk memakan daripada sumber yang halal dan elok kerana ia mempengaruhi sikap, hati dan keseluruhan hidup kita.

empat perkara

PILIHLAH makanan daripada sumber-sumber baik dan yang sudah disertai dengan nama ALLAH SWT.

Ingat, mengambil makanan yang haram juga boleh menyebabkan doa ditolak oleh ALLAH SWT. Menurut Ibnu ‘Abbas, beliau berkata: “Ayat al-Quran ini (surah al-Baqarah, ayat 168) dibaca oleh Nabi Muhammad SAW: Wahai manusia, makanlah daripada apa yang ada di bumi yang halal lagi baik.

“Lalu Sa’ad bin Abi Waqqas bangun dan berkata: Wahai Rasul ALLAH, tolonglah berdoa kepada ALLAH SWT dan pintalah supaya doa aku ini diterima. Maka, Baginda menjawab: Wahai Sa’ad, bersihkanlah makananmu dan percayalah doamu akan diterima oleh ALLAH SWT.

“Sesungguhnya jiwa Muhammad di tangan-Nya, seorang hamba yang makanannya daripada sesuap benda yang haram ke dalam perutnya. Sesungguhnya ALLAH tidak akan memakbulkan doanya selama empat puluh hari dan setiap daging yang tumbuh daripada makanan yang haram dan riba, maka api nerakalah yang layak baginya.” (Riwayat al-Tabrani)

Baca juga Kenali Makanan Super Yang Disebut Dalam Al-Quran Dan Hadis

Oleh itu, keempat-empat perkara tersebut perlu ada diri seseorang menandakan dia telah meraih kebaikan yang ada dalam dunia ini, kata Dr Ahmad Sanusi.

“Apa gunanya mempunyai banyak harta jika tiada keempat-empat perkara. Tidak guna jika jadi jutawan sekalipun dia tidak bersifat amanah, tidak bercakap jujur, tidak mempunyai akhlak yang baik ataupun mempunyai sumber makanan yang tidak baik.” pesan beliau.

Foto: Pexels & Freepik

Berita Semasa,

Berlaku jujur bila buat kesilapan, usah tambah lagi helah semata-mata nak elak hukuman

BERSIKAP jujur merupakan amalan terpuji. Ia adalah antara empat sifat Nabi Muhammad SAW yang perlu dicontohi.

Namun begitu, bukan mudah untuk bersikap jujur. Masakan tidak, mulut yang berbicara kadangkala tidak seiring dengan apa yang tersirat dalam hati.

Apatah lagi, jika kita berada dalam situasi terhimpit. Risau benar andai kejujuran tadi akan memusnahkan sebuah hubungan kekeluargaan atau persahabatan yang terjalin.

Maka, segala kepahitan akan ditelan dalam hati. Itu belum lagi andai diri sendiri yang tersepit akibat melakukan suatu kesalahan.

Untuk menutup kesilapan itu, sikap jujur terpaksa diketepikan. Malah, pelbagai helah baharu terpaksa dicipta. Semuanya demi melepaskan diri daripada hukuman dunia.

Ketahuilah, sifat jujur sebenarnya mengikur tahap keimanan seseorang. Demikian tegas pendakwah terkemuka, Habib Ali Zaenal Abidin Al-Hamid.

Rasulullah SAW bersabda: “Tidak sempurna iman seseorang di antara kalian sampai hawa nafsunya mengikuti apa yang aku bawa.” (Riwayat al-Hakim)

Jelas Habib Ali Zaenal Abidin, seandainya ada keinginan kita yang bertentangan dengan syariat Islam, kita perlu mengutamakan ajaran baginda SAW terlebih dahulu. Ia termasuklah dalam hal hukuman jika seseorang itu berlaku jujur terhadap perbuatan salahnya.

Firman ALLAH SWT: “Dan apabila kamu mengatakan sesuatu (semasa membuat apa-apa keterangan), maka hendaklah kamu berlaku adil, sekalipun orang itu ada hubungan kerabat (dengan kamu).” (Surah al-An’aam, ayat 152)

Jujur

BERLAKU jujurlah dalam setiap perkara dan urusan yang dilakukan.

Beliau turut menceritakan kisah tiga orang sahabat Rasulullah SAW yang bersikap jujur tidak mengikuti Perang Tabuk. Ia sebagaimana disebutkan dalam kalam ALLAH pada ayat 81, Surah al-Taubah.

(Artikel berkaitan: Tak guna buat baik kalau ada sifat hasad dengki)

“Diceritakan bahawa ada tiga orang sahabat yang tidak ikut berperang bersama Rasulullah SAW, lalu baginda bertanyakan siapa yang tidak ikut berperang.

“Maka, datanglah tiga orang sahabat ini mengaku dan ketika ditanya sebabnya, mereka berterus terang bahawa tiada keuzuran pun yang menyebabkan mereka berbuat demikian.

“Baginda bersabda: ‘Tunggu, nanti hukuman akan datang’,” cerita beliau.

Selepas ketiga-tiga sahabat keluar, mereka dihampiri orang di sekeliling yang tidak bersetuju dengan jawapan dikemukakan oleh para sahabat tadi kerana terlalu jujur, terang beliau.

“Mereka mempersoalkan kenapa tiga sahabat tadi tidak memberikan alasan uzur kepada baginda.

“Namun, ketiga-ketiga mereka berkata: ‘Jika kami tipu nabi, ALLAH pun akan tahu bahawa memang kami menipu’,” cerita beliau.

Habib Ali Zaenal Abidin menambah, ketiga-tiga sahabat tadi kemudian dipulaukan. Ahli keluarga masing-masing juga dipindahkan ke rumah lain.

“Tinggallah mereka berseorangan di rumah masing-masing. Tidak ada orang bercakap dengan mereka pun selama hampir dua bulan lamanya.

“Lalu, turunlah ayat 118, Surah al-Taubah bahawa ALLAH SWT mengampunkan dan menerima taubat tiga sahabat tadi termasuk Ka’ab bin Malik kerana sikap jujur mereka mengaku kesalahan yang dilakukan,” katanya.

Jujur

JIKA ada kesilapan, kejujuran itu penting dan mohonlah kemaafan walaupun barangkali terpaksa berdepan dengan hukuman.

Berdasarkan kisah berkenaan, ujar Habib Ali Zaenal Abidin, jelaslah bahawa biarpun kejujuran itu pahit untuk ditelan dan diperjuangkan, namun ALLAH tetap MAHA PENGAMPUN.

“Orang yang berpegang kepada kejujuran dan kebenaran walaupun menerima hukuman daripada Rasulullah, tetapi ALLAH puji mereka bertiga,” jelasnya.

Sesungguhnya, keampunan menjadi milik mereka walaupun terpaksa berdepan dengan hukuman.

Justeru, berlaku jujurlah lebih-lebih lagi jika kita melakukan kesalahan. Meskipun kita bakal berdepan dengan tindakan, itu lebih baik berbanding hukuman akhirat yang pastinya lebih berat.

Sumber: Instagram habibalizaenalalhamid

Foto: Freepik