Browsing Tag

judi

punca harta haram
Hukum,

Enam punca harta jadi haram yang orang tidak sedar

UMAT Islam perlu sentiasa berwaspada dengan sumber harta serta cara menggunakannya. Hal ini kerana terdapat beberapa perkara yang boleh menyebabkan harta menjadi haram tanpa kita sedari.

Dari rupa fizikal, semua wang kelihatan sama. Namun, jika kita tidak berhati-hati, harta yang dimiliki boleh menjadi punca dosa dituai sehingga dilaknat oleh ALLAH SWT.

punca harta haram

USTAZ MUSTAFAR MOHD SUKI

Menurut pendakwah bebas, Ustaz Mustafar Mohd Suki, ada enam perkara yang menyebabkan wang yang diperoleh menjadi haram sebagaimana pernah dibahaskan oleh Imam Syafie, iaitu:

1. Riba

Amalan riba hendaklah dielakkan sepenuhnya sama ada dalam mendapatkan modal, membuat simpanan, membuat pelaburan dan seumpamanya. Sebagaimana firman ALLAH SWT:

Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dan tinggalkanlah (jangan menuntut lagi) saki baki riba (yang masih ada pada orang yang berhutang) itu, jika benar kamu orang- orang yang beriman.” (Surah al-Baqarah, ayat 278)

Baca juga Beri wang riba kepada fakir miskin untuk bersihkan harta haram, berikut hukumnya

punca harta haram

UMAT Islam sama sekali tidak boleh memperoleh atau menggunakan harta yang dimiliki dengan cara yang merugikan atau memudaratkan orang lain seperti berjudi, menipu dan merompak.

2. Judi

Judi adalah perkara yang dilarang agama seperti yang disebutkan oleh ALLAH dalam al-Quran.

“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu, dan janganlah kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Sesungguhnya ALLAH sentiasa mengasihani kamu.” (Surah an-Nisa’, ayat 29)

Baca juga Dilema Terima Duit Raya Daripada Kaki Judi

3. Penipuan

Memperoleh wang melalui penipuan seperti memalsukan tandatangan, menjual barang tiruan dengan harga yang mahal, menipu pelanggan dengan iklan palsu serta bersumpah dengan nama ALLAH dengan tujuan melariskan barang jualan adalah haram di dalam Islam.

Firman ALLAH:

Kecelakaan besar bagi orang-orang yang curang (dalam timbangan dan sukatan),

Iaitu mereka yang apabila menerima sukatan (gantang cupak) dari orang lain mereka mengambilnya dengan cukup,

Dan (sebaliknya) apabila mereka menyukat atau menimbang untuk orang lain, mereka kurangi.” (Surah al-Mutaffifiin, ayat 1 hingga 3)

Baca juga Adab dan tatacara berniaga dalam Islam yang perlu kita patuhi demi mendapat keredaan-NYA

punca harta haram

PENIPUAN banyak berlaku dalam perniagaan seperti penggunaan iklan palsu yang menipu pelanggan atau menjual barangan yang tidak elok kepada pembeli. Maka, hati-hati apabila berniaga bagi mengelakkan azab ALLAH SWT.

4. Kezaliman

Umat Islam juga sama sekali diharamkan mendapatkan wang atau harta orang lain dengan cara yang batil seperti memeras ugut, merompak, menipu dan sebagainya.

Baca juga Jangan tipu rakyat, haram syurga ke atas pemimpin bersikap sedemikian

5. Rasuah

Rasuah merupakan salah satu dosa besar dalam Islam. Mereka yang melakukan perbuatan terkutuk ini dan berselindung dengan menukarkan istilah rasuah itu dengan kata-kata lain seperti pertolongan, bantuan, hadiah, sedekah dan seumpamanya akan menerima laknat ALLAH.

Dalam sebuah hadis daripada Abdullah bin Amru katanya, Rasulullah SAW bersabda: “ALLAH SWT melaknat pemberi rasuah dan penerima rasuah.” (Hadis riwayat Ahmad)

Baca juga RASUAH : Penyakit Sosial Dilaknat Allah

6. Monopoli

Ulama terkemuka, Imam al-Nawawi mendefinisikan monopoli barang (al-ihtikar) sebagai: “Seseorang membeli makanan ketika harganya tinggi untuk dijualbelikan, tetapi dia tidak menjualnya pada waktu itu, malah disorokkannya agar dapat menjualkan barang dengan harga yang lebih tinggi.” (Lihat Syarah Nawawi ‘ala Muslim, 11/43)

Perbuatan memonopoli barangan keperluan awam seperti gula, beras, minyak dan seumpamanya adalah dilarang dalam Islam kerana menyebabkan kemudaratan kepada masyarakat awam, khususnya golongan miskin dan mereka yang berpendapatan rendah.

Dalam sebuah hadis Rasulullah SAW bersabda: “Monopoli hanya dilakukan oleh orang yang bersalah.” (Hadis riwayat Muslim)

punca harta haram

SEMAK semula segala urusan kewangan anda bagi mengelakkan wujudnya unsur-unsur haram dalam Islam yang terlindung dalam kehidupan seharian seperti riba.

Kata Mustafa menerusi rancangan Bedah Hadis yang disiarkan di laman Facebook Sinar Islam Plus, ALLAH mengharamkan wang yang diperoleh dari atau digunakan untuk keenam-enam perkara tersebut.

Oleh itu, beliau mengingatkan orang ramai agar lebih peka terhadap bagaimana mereka mengendalikan wang yang dimiliki.

“Kita tengok hari ini orang pergi surau/masjid bawa kereta/motor. Pakai insurans lagi atau pakai takaful? (Sudah) empat kali Majlis Fatwa Kebangsaan bersidang. Semua menyatakan insurans konvensional adalah haram. Yang halal adalah takaful.

Kemudian, tengok pula pada pelaburan yang kita dapat. (Ada) pelaburan-pelaburan yang diharamkan. Semua itu ada unsur riba. Apatah lagi, pakai kad kredit., perumahan, pinjaman, semuanya masih konvensional,” katanya.

punca harta haram

ANTARA unsur judi yang tersembunyi dalam kehidupan seharian kita termasuklah permainan ‘claw’ yang melata di pusat membeli-belah.

Tambahnya, terdapat banyak elemen judi yang terselindung dalam kehidupan seharian kita, menyebabkan harta yang dimiliki menjadi haram tanpa kita sedari.

“Judi ini bukan di Genting atau Sports Toto saja. Yang depan mata kita boleh jadi judi. Contoh, bilamana dibincangkan oleh Fatwa Wilayah 2019 berkenaan (permainan) mesin claw. Rupanya judi tapi anak-anak kita masih main.

Baca juga Mesin ‘claw’ didik amalan judi dalam kalangan kanak-kanak

Maka, kita takut kerana itu dosa yang paling besar dalam bab muamalat, iaitu riba yang diharamkan oleh ALLAH. Belum cerita lagi tentang judi dalam pertandingan, judi dalam cabutan bertuah, judi dalam hadiah dan macam-macam lagi,” ujarnya.

Muamalat adalah bidang luas yang mempunyai pengaruh besar dalam kehidupan kita. Maka, umat Islam perlu cakna dalam hal ini supaya tidak menuai dosa tanpa disedari, titipnya.

Sumber: Bedah Hadis

Foto: Freepik