Browsing Tag

jual tiada harga

Muamalah,

Jual beli tanpa tahu harga, ramai yang pandang remeh tentang perkara ini, sedangkan…

JUAL beli tanpa tahu harga, ramai yang pandang remeh tentang perkara ini, sedangkan…

Jarang sekali kita mahu membeli suatu barangan yang tidak diketahui harganya. Apatah lagi, jika ia merupakan kedai yang baru pertama kali kita jejaki.

Lazimnya, kedai menjual barang keperluan seperti pasar raya, pasar mini atau kedai runcit memang sudah siap-siap mempamerkan tanda harga. Mudah untuk kita membandingkan harga dan membuat pilihan barangan.

Namun, ada sesetengah perniagaan yang tidak berbuat demikian hinggakan ada masalah lain pula timbul terutama ketika ingin membuat pembayaran.

Bayangkan pelanggan akan makan terlebih dahulu tanpa mengetahui harga makanan tadi, tempah makanan dengan pihak katering tanpa tahu harga dan hanya dimaklumkan selepas habis kenduri. Ia sama juga kalau naik kereta sewa tanpa tahu harga dan seumpamanya.

Ketika ingin membuat bayaran, ada yang terkejut dengan caj yang dikenakan. Sudah jadi cerita lain pula.

Ketahuilah bahawa akad jual beli tanpa mengetahui harga, hukumnya adalah tidak sah, tegas pendakwah Ustaz Salman Maskuri atau lebih dikenali sebagai Pencetus Ummah (PU) Salman.

Jelas beliau, ia sebagaimana yang ditegaskan oleh keempat-empat mazhab muktabar dalam Islam.

Baca juga Ketahui 4 perkara yang patut dielakkan ketika berniaga menurut Islam

Beliau turut mengemukakan pandangan yang dinukilkan oleh para ulama dalam mazhab berkenaan tentang perkara ini:

1. Mazhab Syafie

Imam Syirazi berkata: “Haram jual beli kecuali dengan diketahui kadarnya, sekiranya jual dengan harga yg tidak diketahui hukumnya adalah jual beli tidak sah.” (al-Muhazzab 44/3 dar al-Qalam)

2. Mazhab Maliki

Imam ad-Dusuqi berkata: “Mestilah harga dan barang jelas bagi penjual dan pembeli, jika tidak, tidak sah.” (Hasyiah ad-Dusuqi)

3. Mazhab Hanafi

Ibnu Abidin dalam Hasyiahnya berkata: “Dan ulama mensyaratkan sah jual beli dengan diketahui kadar barang dan harga.”

Jual beli

PASTIKAN kita mengetahui harga barang terlebih dahulu sebelum terlibat urusan jual beli berkenaan.

Jelas PU Salman, semua pandangan berkenaan menggunakan dalil daripada Hadis Sahih Muslim yang mana Rasulullah SAW melarang jual beli yang gharar.

Gharar adalah apa yang tidak diketahui oleh pembeli (tentang) apa yang dibeli dan tidak diketahui penjual apa yang dijual. Ia termasuk juga harga jualan.

“Mudah kata, apa sahaja yang kita beli, jual, sewa dan tempah hendaklah sudah jelas harganya. Mungkin kita tidak tahu harga total, paling tidak pun kita tahu harga secara kasar seperti tahu harga makanan melalui menu yang ada harga, tahu berapa setiap kilometer bagi yang naik teksi dan lain-lain.

“Sekiranya berlaku juga jual beli ini walaupun dengan orang yang kita kenal atau secara reda meredai, ia tetap tidak sah dan dapat duit serta barang yang haram,” katanya.

Baca juga Hukum jual beli emas secara online dan serah dalam akaun pembeli

Na’uzubillah, sampai begitu sekali rupanya hukumnya jika kita terjebak dengan jual beli gara-gara tidak tahu harga tadi.

Justeru, sebagai pelanggan, kita kena ambil tahu tentang harga sebelum membeli atau membuat tempahan.

Begitu juga dengan peniaga atau penyedia perkhidmatan, sebaiknya pamerkanlah tanda harga. Setidak-tidaknya, beritahulah kepada bakal pelanggan terlebih dahulu sebelum mereka mendapatkan khidmat daripada kita.

Jual beli tanpa tahu harga, ramai yang pandang remeh tentang perkara ini, sedangkan…

Sumber: Facebook PU Salman

Foto: 123rf & Unsplash