Browsing Tag

jual beli

GAMBAR PORTAL FB - 2023-07-13T171843.109
Hukum,

Betulkah beli makanan di pasar malam ada unsur gharar dan apa solusinya?

SITUASI jual beli di pasar-pasar malam. Kebanyakan peniaga tidak meletakkan tanda harga pada makanan. Setelah memilih lauk-pauk dan sebagainya kemudian barulah kita membayarnya.

Hanya pada ketika itu kita mengetahui harga makanan tersebut. Bagaimana pula jika kita bertanya harga setiap satu makanan tadi adakah kita terlibat dengan gharar?

Soalan berkaitan gharar ini diajukan oleh seorang individu kepada Penasihat Shariah Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Dr Zaharuddin Abdul Rahman di laman web rasmi beliau.

Baca Juga Jual beli tanpa tahu harga, ramai yang pandang remeh tentang perkara ini, sedangkan…

Jelasnya, sebelum persoalan ini dapat dirungkaikan, elok jika kita dapat sama-sama melihat definisi gharar dan jahalah menurut istilah Shariah.

“Gharar bermaksud, apa yang terlindung penghujungnya dan risiko yang sama tahap mungkin wujud atau tidak.

“Jahalah pula bermaksud ketidaktahuan dengan jelas sama ada barang dibeli, atau harga barang yang perlu bayar. Justeru, secara ringkas, semua kategori diatas adalah termasuk dalam kategori ‘jahalah’ dan boleh juga dikategorikan sebagai ‘gharar’ atau ketidaktentuan.

PASAR adalah tempat berjual beli bagi memenuhi keperluan harian.

“Memang benar tidak meletakkan harga boleh adalah cara yang kurang baik, boleh membawa syubhah dan adakalanya boleh membawa kepada ‘gharar fashiyh’ atau ketidapastian yang besar yang merosakkan akad.

“Pun begitu, dalam konteks membeli di pasar malam, tahap gharar ini telah menjadi berkurangan disebabkan pembeli berpeluang bertanya harga sebelum bayar dan seterusnya boleh membatalkan pembelian atau mengurangkan item yang dibeli jika merasakan harga tidak sebagaimana yang dijangkakan,” ungkapnya.

Baca Juga Bolehkah jual beli bersyarat? Hadamkan dulu penjelasan ini

Tambah beliau lagi, nilai harga pembelian makanan di pasar-pasar malam adalah kecil dan biasanya disekitar bawah RM 100 sahaja. Jika makanan pula, biasanya sekitar RM 30 ke bawah purata nilai pembelian.

“Oleh kerana nilai harga sebegitu telah diketahui biasanya oleh pembeli, ketidaktahuan mereka disaat itu tidak menjadikan gharar dalam kontrak begitu serius sehingga membatalkan akad, ia digelar ‘gharar yasir’ atau gharar yang kecil.

DEMIKIANLAH Islam sebagai sebuah agama yang sempurna, proses jual beli juga ada tatacaranya.

“Ini berbeza dengan situasi jika pesakit bertemu doktor perubatan atau pemilik kereta bertemu mekanik kereta.

“Di mana biasanya gharar dalam harga dalam kedua contoh ini lebih bahaya kerana ia melibatkan nilai yang besar, sukar ditarik semula, dibatalkan dan pelanggan seolah terpaksa membayar walau tidak bersetuju dengan harganya.

“Oleh kerana itu, elok semua mekanik dan para doktor atau pihak hospital yang beragama Islam kembali menyemak cara mereka mengenakan bayaran, sama ada bebas dari gharar atau tidak,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN 

——————————————————————————————————————

ANEKDOT

  1. Al-Gharar al-Yasir – Ketidakjelasan yang kecil atau ringan
  2.  Al-Gharar al-Fahish – Ketidakjelasan yang besar
  3.  Syubhah – Ragu-ragu
Jual beli
Muamalah,

Bolehkah jual beli bersyarat? Hadamkan dulu penjelasan ini

DALAM Islam, setiap perniagaan atau jual beli yang dilakukan hendaklah berasaskan persetujuan bersama atau disebut dalam bahasa Arab sebagai taradhi iaitu saling reda meredai.

Prinsip taradhi ini dijelaskan dalam firman ALLAH dalam Surah an-Nisa’, ayat 29 yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu saling memakan harta sesama kamu dengan jalan yang batil (tidak benar), kecuali melalui perniagaan yang berlaku atas dasar reda meredai di antara kamu.”

Persetujuan yang diberi oleh kedua-dua belah pihak yang berkontrak hendaklah bebas daripada unsur-unsur yang boleh mencacatkan reda tersebut seperti ada unsur paksaan dan penipuan.

Selain daripada prinsip taradhi, asas lain yang perlu dipenuhi dalam setiap urus niaga adalah bebas daripada syarat yang boleh menjejaskan akad.

Baca juga Jual beli tanpa tahu harga, ramai yang pandang remeh tentang perkara ini, sedangkan…

Walaupun secara umumnya ada dua pandangan ulama tentang jual beli bersyarat berdasarkan interpretasi mereka terhadap hadis yang berkaitan isu tersebut, tetapi secara rumusannya antara bentuk-bentuk syarat yang boleh menjejaskan akad adalah seperti berikut:

i. Syarat yang menafikan kehendak akad (muqtada aqd) seperti Ahmad menjual rumahnya kepada Zamri dan meletakkan syarat bahawa Zamri tidak boleh menjualnya kepada sesiapa pun selepas itu. Ini kerana apabila akad jual beli telah disempurnakan, pemilikan akan berpindah kepada pembeli. Dia bebas untuk melakukan apa sahaja terhadap barang miliknya.

Jual beli

SETIAP urus niaga adalah bebas daripada syarat yang boleh menjejaskan akad. -FOTO: PEXELS

ii. Menggantungkan sesuatu urus niaga dengan sesuatu yang belum pasti berlaku seperti Hasan berkata kepada Ali: ‘Saya jual rumah ini kepada kamu sekiranya saya berpindah ke tempat lain’. Ini kerana akad jual beli hendaklah dilakukan secara pasti dan bukannya digantungkan dengan sesuatu perkara lain.

iii. Meletakkan syarat berlakunya akad lain selain daripada akad jual beli seperti Fatimah berkata kepada Abdullah: ‘Saya jualkan rumah ini kepada kamu dengan syarat kamu pinjamkan wang kepada saya sekian banyak’. Larangan penggabungan dua kontrak ini dijelaskan dalam hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: Tidak halal pinjaman (digabung) dengan jual beli.” (Hadis Riwayat al-Nasa’i)

Tergantung dan tiada kepastian

Merujuk kepada jual beli bersyarat, penulis pernah dimaklumkan tentang kejadian yang berlaku dalam situasi barangan sangat terhad di pasaran. Contohnya sekarang ini, telur sangat sukar untuk diperoleh di pasaran.

Oleh itu terdapat penjual yang telah meletakkan syarat bahawa jika pembeli hendak membeli telur, dia hendaklah membeli barangan lain juga. Maksudnya, pembeli tidak boleh membeli telur semata-mata.

Timbul persoalan tentang hukum jual beli tersebut. Adakah sah urus niaga tersebut apabila penjual meletakkan syarat berkenaan? Penulis ada merujuk kepada pandangan ulama tentang isu berkaitan.

Baca juga Perkara yang dibenarkan dan tidak boleh dilakukan ketika berakad dalam Islam

Hasil carian, penulis mendapati ada dua pandangan. Satu pandangan mengatakan jual beli tersebut sah jika masing-masing saling bersetuju. Sementara satu lagi pandangan mengatakan ia tidak sah.

Jual beli

TELUR sangat sukar diperoleh dalam pasaran. Justeru usah meletakkan syarat jika pembeli mahu membelinya kerana bimbang urus niaga tersebut tidak sah disebabkan menggantungkan akad. -FOTO: PEXELS

Penulis lebih cenderung kepada pandangan yang mengatakan tidak sah. Ini kerana penjual menggantungkan akad jual beli telur dengan barangan lain. Ia satu bentuk urus niaga yang tidak ada kepastian kerana tidak semestinya pembeli ada kehendak untuk membeli barang lain. Dan ketiadaan kehendak ini tentu sekali menjejaskan juga kerelaan hatinya untuk membeli barangan tersebut.

Oleh itu, sebagai langkah berhati-hati, adalah lebih baik para penjual tidak meletakkan syarat seumpama itu apabila ada permintaan yang tinggi terhadap sesuatu barang yang terhad dalam pasaran. Biarlah pembeli membeli berdasarkan kehendaknya dan bukan kerana membeli sesuatu atas desakan tertentu. Wallahu a’lam.

***Artikel ditulis oleh Dr Shamsiah Mohamad yang berpengalaman sebagai Penyelidik Isu-Isu Kewangan Islam dan Syariah

berniaga depan kaabah
Isu,

Jangan sesuka hati berniaga depan Kaabah dan tempat ibadah lain

TULAR di media sosial baru-baru ini seorang jemaah haji mempromosikan produk jualannya di hadapan Kaabah menerusi sebuah video berdurasi 43 saat.

Perbuatan itu ditegur oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad yang menasihatkan jemaah haji agar tidak menjalankan sebarang aktiviti perniagaan atau mempromosikan produk ketika berada di hadapan Kaabah.

kaabah

DATUK IDRIS AHMAD

Kata beliau, sebagai ‘tetamu ALLAH’, jemaah seharusnya memanfaatkan tempoh berada di Tanah Suci untuk menjalankan ibadah haji agar mendapat haji yang mabrur (diterima ALLAH).

“Sepatutnya fokus kepada ibadah haji lebih-lebih lagi depan Kaabah, tempat mustajab untuk berdoa. Sepatutnya perkara seperti ini (berniaga dan promosi) tidak patut berlaku,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2021 di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) hari ini.

Tambah Idris, perbuatan ini juga boleh mengganggu jemaah lain yang sedang beribadah.

Baca juga Wanita UK ini kongsi tip, panduan haji yang beri inspirasi kepada bakal jemaah di Twitter

Hukum berjual beli di tempat ibadah

Sebagai umat Islam, kita tidak sepatutnya mengadakan urusan jual beli di tempat ibadah, apatah lagi di hadapan Kaabah.

Seperti yang dihuraikan dalam laman web Pejabat Pihak Mufti Wilayah Persekutuan, perkara ini telah pun disentuh oleh ALLAH Taala sendiri dalam kitab suci al-Quran:

(Nur hidayah petunjuk Allah itu bersinar dengan nyatanya terutama sekali) di rumah-rumah ibadat yang diperintahkan oleh Allah supaya dimuliakan keadaannya dan disebut serta diperingat nama Allah padanya; di situ juga dikerjakan ibadat mensuci dan memuji Allah pada waktu pagi dan petang.

(Ibadat itu dikerjakan oleh) orang-orang yang kuat imannya yang tidak dilalaikan oleh perniagaan atau berjual-beli daripada menyebut serta mengingati Allah, dan mendirikan sembahyang serta memberi zakat; mereka takutkan hari (kiamat) yang padanya berbalik-balik hati dan pandangan.” (Surah al-Nur, ayat 36 dan 37)

berniaga depan kaabah

BUKAN semua orang berpeluang menjejakkan kaki ke Tanah Suci maka jemaah sepatutnya memanfaatkan masa yang ada sepenuhnya dengan beribadah kepada ALLAH SWT tatkala berada di sana.

Dalam masa sama, Rasulullah SAW juga pernah bersabda menerusi sebuah hadis daripada Abu Hurairah RA:

Sekiranya kamu melihat seseorang yang menjual atau membeli di dalam Masjid, maka katakan padanya, “Allah tidak akan menguntungkan perniagaan kamu” (Hadis riwayat al-Tirmizi)

Dari segi urusan berjual beli di dalam masjid, majoriti ulama berpendapat hukumnya adalah makruh.

Sarjana Islam, Imam al-Qurtubi pula berpendapat perniagaan secara khusus disebutkan oleh ALLAH adalah kerana perniagaan atau jual beli termasuk perkara terbesar yang akan melalaikan manusia daripada beribadat kepada ALLAH SWT.

berniaga depan kaabah

TIADA masalah untuk berniaga sekitar kawasan masjid namun urusan tersebut harus menghormati waktu solat dan tidak melekakan jemaah yang hadir ke tempat ibadah.

Bagi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, pihaknya melarang urusan jual beli dilakukan di dalam masjid.

Begitu pun, tiada masalah untuk berniaga di ruang selain dewan solat utama, seperti kawasan tempat letak kereta, asalkan urusan tersebut tidak melalaikan para jemaah sehingga tersasar dari tujuan asal datang beribadah ke masjid.

Ada banyak tempat lain di mana anda boleh lakukan perniagaan anda. Jadi, selepas ini jangan sewenang-wenangnya berniaga atau mempromosikan produk di kawasan ibadah, lagi-lagi berhadapan Kaabah yang menjadi kiblat umat Islam seluruh dunia.

Foto: Pexels & mstar

Harga barang
Muamalah,

Pemerintah Wajib Kawal Kenaikan Harga Barangan Agar Rakyat Tidak Terus Dibebani

no comment

Oleh DR SHAMSIAH MOHAMAD

BARU-BARU ini, rakyat Malaysia dikejutkan dengan satu berita tentang kenaikan harga barang keperluan harian  sebanyak sekali ganda. Di celah-celah masalah kewangan yang dihadapi oleh rakyat akibat daripada pendemik Covid-19 selama lebih kurang setahun lebih dan sekarang ini masih lagi belum pulih sepenuhnya, rakyat terpaksa menghadapi derita kedua apabila barang keperluan harian naik sekali ganda.

Apa yang terjadi sekarang boleh diibaratkan sudah jatuh ditimpa tangga. Rakyat yang sudah sedia menderita, ditambah deritanya dengan kenaikan barang keperluan harian yang bukan sedikit kenaikannya. Saya yakin harga makanan di restoran atau di gerai akan dinaikkan berganda-ganda atau mungkin juga dikurangkan bahan yang menyebabkan kualitinya berkurang.

Dalam situasi sekarang, pihak kerajaan perlu memainkan peranan demi menjaga kepentingan rakyat. Kawalan harga perlu dilakukan agar penjual atau pembekal tidak sewenang-wenangnya menaikkan harga.

Dalam Islam, kawalan harga atau disebut tas’ir adalah diharuskan. Tidak dinafikan ada sebuah hadis yang menunjukkan bahawa Rasulullah SAW menolak permintaan para sahabat yang meminta dikawal harga barang yang naik ketika itu.

Dari Anas bin Malik berkata: “Harga pada zaman Rasulullah SAW menjulang tinggi”. Lalu orang ramai berkata: “Wahai Rasulullah, harga menjulang tinggi, tetapkanlah harganya”, beliau menjawab: “Sesungguhnya ALLAHLAH YANG MAHA MENENTUKAN HARGA dan MAHA MEMBERI REZEKI. Aku ingin menghadap ke hadirat ALLAH, sementara tidak ada satu orang pun yang menuntutku kerana suatu kezaliman yang aku lakukan kepadanya, dalam masalah darah dan harta.” (Riwayat Abu Daud, Tirmizi, Ibn Majah dan Ahmad)

Harga barang

Namun, pemahaman sesuatu hadis bukan sekadar meneliti lafaz zahir atau matan hadis semata-mata, tetapi perlu lihat sebab didatangkan hadis berkenaan (asbab al-wurud) atau latar belakang hadis tersebut. Sebagaimana yang disebut oleh Ibn al-Qayyim dalam Kitab al-Turuq al-Hukmiyyah dan Ibn Qayyim  dalam Kitab al-Hisbah, hadis ini adalah khusus untuk situasi ketika itu dan ia bukanlah umum untuk semua keadaan. Pada ketika itu, kenaikan harga barang bukanlah disebabkan oleh tindakan para peniaga untuk menyorok barang bagi membolehkan mereka menjual dengan harga tinggi (monopoli atau ihtikar), tetapi kenaikan harga adalah disebabkan kekurang bekalan secara semula jadi.

Baca juga Kepentingan ketelusan dalam muamalat kerana di situlah tertakluknya persetujuan pihak yang berkontrak

Kembali kepada isu kawalan harga, saya ingin sebutkan satu kaedah fiqh yang membawa maksud ‘Tindakan pemerintah (hendaklah) sentiasa ke arah membawa kebaikan (maslahah) kepada orang ramai.’

Oleh itu pihak kerajaan ada tanggungjawab untuk mempastikan kepentingan rakyat. Dalam situasi sekarang, kawalan harga perlu dipertimbangkan agar rakyat tidak dibebani dengan masalah demi masalah.

Pihak kerajaan ada tanggungjawab untuk membuat penyiasatan mengapa harga barang keperluan tiba-tiba melambung naik? Adakah ia ada unsur campur tangan penjual atau pembekal dan bukannya kerana kekurangan bekalan secara semula jadi seperti hasil tanaman yang tidak menjadi atau seumpamanya?

Harga barang


KAWALAN harga barang keperluan yang dilakukan biarlah selari dengan Maqasid Syariah demi maslahat semua rakyat.

Jika kenaikan harga itu adalah hasil campur tangan penjual/pembekal, pihak kerajaan ada kewajipan untuk menetapkan harga siling barang keperluan. Kawalan harga pada ketika ini bukan lagi sekadar harus, tetapi jatuh kepada wajib. Pihak kerajaan berdosa jika keadaan ini dibiarkan berterusan.

Kerajaan wajib menetapkan harga yang adil iaitu harga yang membawa konsep win-win situation yang mana hak penjual/pembekal untuk dapat keuntungan tidak dinafikan dan hak rakyat untuk dapatkan barang keperluan dengan harga yang munasabah juga tidak dinafikan.

Sebagai kesimpulan, kawalan harga adalah selari dengan Maqasid Syariah iaitu mendatangkan maslahat dan menolak kerosakan. Wallahualam.

***Dr Shamsiah Mohamad berpengalaman sebagai Penyelidik Isu-Isu Kewangan Islam dan Syariah

Foto: Unsplash & Pexels

Untitled design (6)
Muamalah,

Kepentingan ketelusan dalam muamalat kerana di situlah tertakluknya persetujuan pihak yang berkontrak

no comment

Oleh DR SHAMSIAH MOHAMAD

ANTARA prinsip asas dalam muamalat Islam ialah prinsip taradhi yang merujuk kepada persetujuan bersama di antara dua pihak yang berkontrak dengan penuh rela hati.

Tuntutan berkenaan dijelaskan dalam Surah an-Nisa‘, ayat 29 yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu, dan janganlah kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Sesungguhnya ALLAH sentiasa mengasihani kamu.“

Memang tidak dinafikan kerelaan hati adalah suatu yang tersembunyi dalam sanubari yang hanya diketahui oleh ALLAH SWT. Namun, bagi memastikan ia (kerelaan) dapat dizahirkan, maka ulama telah menetapkan setiap urus niaga yang dibuat perlu wujud tawaran (ijab) dan penerimaan (qabul).

 

DALAM soal jual beli, sesuatu yang hendak dijual mesti dinyatakan dengan terang seperti menyebut spesifikasi barang dengan terperinci seperti dalam katalog.

Kedua-duanya menjadi wasilah dan cara untuk menzahirkan apa yang ada dalam hati. Malah, setiap ijab dan qabul perlu memenuhi syarat-syarat tertentu agar ia benar-benar menggambarkan wujudnya taradhi di antara kedua-dua pihak yang berkontrak.

Pihak yang membuat tawaran hendaklah menyatakan dengan jelas apa yang menjadi subjek kontrak (al-ma‘qud alaihi). Ketelusan dalam menyatakan subjek kontrak adalah sangat penting kerana di situlah tertakluknya persetujuan pihak yang berkontrak.

Kejelasan

Dalam muamalat Islam, pernyataan kabur dan tidak jelas tentang subjek kontrak boleh menyebabkan batalnya kontrak. Ini kerana ia termasuk dalam bab gharar. Sebagai contoh, Ahmad dalam tawarannya menyebut begini:

‘Saya menjual salah seekor daripada lembu yang ada di dalam kandang dengan harga RM1,500‘ atau ‘Saya menjual salah satu daripada rantai yang ada dalam kotak simpanan dengan harga RM5,000‘ atau ‘Saya menyewakan salah sebuah rumah saya dengan sewaan RM1,000 sebulan.‘

Kesemua bentuk tawaran yang dinyatakan itu tidak mungkin dapat memenuhi prinsip taradhi sebagaimana yang dianjurkan disebabkan ada kekaburan dan ketidakpastian pada subjek kontrak. Pertikaian boleh berlaku pada kebiasaannya setelah pembeli menerima barang jualan.

Dalam jual beli misalnya, sesuatu yang hendak dijual mestilah dinyatakan dengan terang dengan menyebut spesifikasinya dengan terperinci seperti dalam katalog. Jika ia tidak wujud semasa akad dilakukan atau jika ada, hendaklah ditunjukkan mana satu (ta‘yin) supaya pembeli mengetahui apa yang dijual sebenarnya.

Pengetahuan yang nyata tentang barang jualan akan mempengaruhi pembeli untuk bersetuju dengan harga yang ditawarkan. Maka, ketelusan dan kejelasan mampu ‘membuahkan‘ kerelaan dan persetujuan bersama di antara kedua-dua belah pihak yang berkontrak.

Bay‘ murabahah    

Ketelusan sebenarnya sangat penting dalam kontrak-kontrak pertukaran seperti kontrak jual beli dan sewaan (ijarah). Dalam perbankan Islam di Malaysia, kebanyakan pembiayaan yang ditawarkan kepada pelanggan adalah berdasarkan kontrak bay‘ murabahah yang menggunakan mekanisme tawarruq yang lebih dikenali sebagai murabahah komoditi (commodity murabahah).

Di negara ini juga, kebanyakan transaksi murabahah komoditi menggunakan platform Bursa Suq al-Sila‘.

Bay‘ murabahah merupakan salah satu daripada jenis jual beli amanah yang mana pihak penjual wajib menyatakan harga kos dan jumlah keuntungan yang diambil. Ketelusan dalam aspek itu jika diabaikan akan membatalkan kontrak tersebut. Selain itu, ia (ketelusan) juga perlu dalam menyatakan spesifikasi komoditi yang kebiasannya menjadi subjek akad.

Alhamdulillah, masalah berkenaan memang diambil berat dalam industry kewangan Islam di Malaysia kerana segala transaksi sentiasa dipantau oleh syariah institusi kewangan Islam itu sendiri dan juga Majlis Penasihat Syariah, Bank Negara Malaysia.

***Dr Shamsiah Mohamad berpengalaman sebagai Penyelidik Isu-Isu Kewangan Islam dan Syariah

Muamalah,

Jual beli tanpa tahu harga, ramai yang pandang remeh tentang perkara ini, sedangkan…

JUAL beli tanpa tahu harga, ramai yang pandang remeh tentang perkara ini, sedangkan…

Jarang sekali kita mahu membeli suatu barangan yang tidak diketahui harganya. Apatah lagi, jika ia merupakan kedai yang baru pertama kali kita jejaki.

Lazimnya, kedai menjual barang keperluan seperti pasar raya, pasar mini atau kedai runcit memang sudah siap-siap mempamerkan tanda harga. Mudah untuk kita membandingkan harga dan membuat pilihan barangan.

Namun, ada sesetengah perniagaan yang tidak berbuat demikian hinggakan ada masalah lain pula timbul terutama ketika ingin membuat pembayaran.

Bayangkan pelanggan akan makan terlebih dahulu tanpa mengetahui harga makanan tadi, tempah makanan dengan pihak katering tanpa tahu harga dan hanya dimaklumkan selepas habis kenduri. Ia sama juga kalau naik kereta sewa tanpa tahu harga dan seumpamanya.

Ketika ingin membuat bayaran, ada yang terkejut dengan caj yang dikenakan. Sudah jadi cerita lain pula.

Ketahuilah bahawa akad jual beli tanpa mengetahui harga, hukumnya adalah tidak sah, tegas pendakwah Ustaz Salman Maskuri atau lebih dikenali sebagai Pencetus Ummah (PU) Salman.

Jelas beliau, ia sebagaimana yang ditegaskan oleh keempat-empat mazhab muktabar dalam Islam.

Baca juga Ketahui 4 perkara yang patut dielakkan ketika berniaga menurut Islam

Beliau turut mengemukakan pandangan yang dinukilkan oleh para ulama dalam mazhab berkenaan tentang perkara ini:

1. Mazhab Syafie

Imam Syirazi berkata: “Haram jual beli kecuali dengan diketahui kadarnya, sekiranya jual dengan harga yg tidak diketahui hukumnya adalah jual beli tidak sah.” (al-Muhazzab 44/3 dar al-Qalam)

2. Mazhab Maliki

Imam ad-Dusuqi berkata: “Mestilah harga dan barang jelas bagi penjual dan pembeli, jika tidak, tidak sah.” (Hasyiah ad-Dusuqi)

3. Mazhab Hanafi

Ibnu Abidin dalam Hasyiahnya berkata: “Dan ulama mensyaratkan sah jual beli dengan diketahui kadar barang dan harga.”

Jual beli

PASTIKAN kita mengetahui harga barang terlebih dahulu sebelum terlibat urusan jual beli berkenaan.

Jelas PU Salman, semua pandangan berkenaan menggunakan dalil daripada Hadis Sahih Muslim yang mana Rasulullah SAW melarang jual beli yang gharar.

Gharar adalah apa yang tidak diketahui oleh pembeli (tentang) apa yang dibeli dan tidak diketahui penjual apa yang dijual. Ia termasuk juga harga jualan.

“Mudah kata, apa sahaja yang kita beli, jual, sewa dan tempah hendaklah sudah jelas harganya. Mungkin kita tidak tahu harga total, paling tidak pun kita tahu harga secara kasar seperti tahu harga makanan melalui menu yang ada harga, tahu berapa setiap kilometer bagi yang naik teksi dan lain-lain.

“Sekiranya berlaku juga jual beli ini walaupun dengan orang yang kita kenal atau secara reda meredai, ia tetap tidak sah dan dapat duit serta barang yang haram,” katanya.

Baca juga Hukum jual beli emas secara online dan serah dalam akaun pembeli

Na’uzubillah, sampai begitu sekali rupanya hukumnya jika kita terjebak dengan jual beli gara-gara tidak tahu harga tadi.

Justeru, sebagai pelanggan, kita kena ambil tahu tentang harga sebelum membeli atau membuat tempahan.

Begitu juga dengan peniaga atau penyedia perkhidmatan, sebaiknya pamerkanlah tanda harga. Setidak-tidaknya, beritahulah kepada bakal pelanggan terlebih dahulu sebelum mereka mendapatkan khidmat daripada kita.

Jual beli tanpa tahu harga, ramai yang pandang remeh tentang perkara ini, sedangkan…

Sumber: Facebook PU Salman

Foto: 123rf & Unsplash