Browsing Tag

jual beli bersyarat

GAMBAR PORTAL FB - 2023-07-13T171843.109
Hukum,

Betulkah beli makanan di pasar malam ada unsur gharar dan apa solusinya?

SITUASI jual beli di pasar-pasar malam. Kebanyakan peniaga tidak meletakkan tanda harga pada makanan. Setelah memilih lauk-pauk dan sebagainya kemudian barulah kita membayarnya.

Hanya pada ketika itu kita mengetahui harga makanan tersebut. Bagaimana pula jika kita bertanya harga setiap satu makanan tadi adakah kita terlibat dengan gharar?

Soalan berkaitan gharar ini diajukan oleh seorang individu kepada Penasihat Shariah Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Dr Zaharuddin Abdul Rahman di laman web rasmi beliau.

Baca Juga Jual beli tanpa tahu harga, ramai yang pandang remeh tentang perkara ini, sedangkan…

Jelasnya, sebelum persoalan ini dapat dirungkaikan, elok jika kita dapat sama-sama melihat definisi gharar dan jahalah menurut istilah Shariah.

“Gharar bermaksud, apa yang terlindung penghujungnya dan risiko yang sama tahap mungkin wujud atau tidak.

“Jahalah pula bermaksud ketidaktahuan dengan jelas sama ada barang dibeli, atau harga barang yang perlu bayar. Justeru, secara ringkas, semua kategori diatas adalah termasuk dalam kategori ‘jahalah’ dan boleh juga dikategorikan sebagai ‘gharar’ atau ketidaktentuan.

PASAR adalah tempat berjual beli bagi memenuhi keperluan harian.

“Memang benar tidak meletakkan harga boleh adalah cara yang kurang baik, boleh membawa syubhah dan adakalanya boleh membawa kepada ‘gharar fashiyh’ atau ketidapastian yang besar yang merosakkan akad.

“Pun begitu, dalam konteks membeli di pasar malam, tahap gharar ini telah menjadi berkurangan disebabkan pembeli berpeluang bertanya harga sebelum bayar dan seterusnya boleh membatalkan pembelian atau mengurangkan item yang dibeli jika merasakan harga tidak sebagaimana yang dijangkakan,” ungkapnya.

Baca Juga Bolehkah jual beli bersyarat? Hadamkan dulu penjelasan ini

Tambah beliau lagi, nilai harga pembelian makanan di pasar-pasar malam adalah kecil dan biasanya disekitar bawah RM 100 sahaja. Jika makanan pula, biasanya sekitar RM 30 ke bawah purata nilai pembelian.

“Oleh kerana nilai harga sebegitu telah diketahui biasanya oleh pembeli, ketidaktahuan mereka disaat itu tidak menjadikan gharar dalam kontrak begitu serius sehingga membatalkan akad, ia digelar ‘gharar yasir’ atau gharar yang kecil.

DEMIKIANLAH Islam sebagai sebuah agama yang sempurna, proses jual beli juga ada tatacaranya.

“Ini berbeza dengan situasi jika pesakit bertemu doktor perubatan atau pemilik kereta bertemu mekanik kereta.

“Di mana biasanya gharar dalam harga dalam kedua contoh ini lebih bahaya kerana ia melibatkan nilai yang besar, sukar ditarik semula, dibatalkan dan pelanggan seolah terpaksa membayar walau tidak bersetuju dengan harganya.

“Oleh kerana itu, elok semua mekanik dan para doktor atau pihak hospital yang beragama Islam kembali menyemak cara mereka mengenakan bayaran, sama ada bebas dari gharar atau tidak,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN 

——————————————————————————————————————

ANEKDOT

  1. Al-Gharar al-Yasir – Ketidakjelasan yang kecil atau ringan
  2.  Al-Gharar al-Fahish – Ketidakjelasan yang besar
  3.  Syubhah – Ragu-ragu
Jual beli
Muamalah,

Bolehkah jual beli bersyarat? Hadamkan dulu penjelasan ini

DALAM Islam, setiap perniagaan atau jual beli yang dilakukan hendaklah berasaskan persetujuan bersama atau disebut dalam bahasa Arab sebagai taradhi iaitu saling reda meredai.

Prinsip taradhi ini dijelaskan dalam firman ALLAH dalam Surah an-Nisa’, ayat 29 yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu saling memakan harta sesama kamu dengan jalan yang batil (tidak benar), kecuali melalui perniagaan yang berlaku atas dasar reda meredai di antara kamu.”

Persetujuan yang diberi oleh kedua-dua belah pihak yang berkontrak hendaklah bebas daripada unsur-unsur yang boleh mencacatkan reda tersebut seperti ada unsur paksaan dan penipuan.

Selain daripada prinsip taradhi, asas lain yang perlu dipenuhi dalam setiap urus niaga adalah bebas daripada syarat yang boleh menjejaskan akad.

Baca juga Jual beli tanpa tahu harga, ramai yang pandang remeh tentang perkara ini, sedangkan…

Walaupun secara umumnya ada dua pandangan ulama tentang jual beli bersyarat berdasarkan interpretasi mereka terhadap hadis yang berkaitan isu tersebut, tetapi secara rumusannya antara bentuk-bentuk syarat yang boleh menjejaskan akad adalah seperti berikut:

i. Syarat yang menafikan kehendak akad (muqtada aqd) seperti Ahmad menjual rumahnya kepada Zamri dan meletakkan syarat bahawa Zamri tidak boleh menjualnya kepada sesiapa pun selepas itu. Ini kerana apabila akad jual beli telah disempurnakan, pemilikan akan berpindah kepada pembeli. Dia bebas untuk melakukan apa sahaja terhadap barang miliknya.

Jual beli

SETIAP urus niaga adalah bebas daripada syarat yang boleh menjejaskan akad. -FOTO: PEXELS

ii. Menggantungkan sesuatu urus niaga dengan sesuatu yang belum pasti berlaku seperti Hasan berkata kepada Ali: ‘Saya jual rumah ini kepada kamu sekiranya saya berpindah ke tempat lain’. Ini kerana akad jual beli hendaklah dilakukan secara pasti dan bukannya digantungkan dengan sesuatu perkara lain.

iii. Meletakkan syarat berlakunya akad lain selain daripada akad jual beli seperti Fatimah berkata kepada Abdullah: ‘Saya jualkan rumah ini kepada kamu dengan syarat kamu pinjamkan wang kepada saya sekian banyak’. Larangan penggabungan dua kontrak ini dijelaskan dalam hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: Tidak halal pinjaman (digabung) dengan jual beli.” (Hadis Riwayat al-Nasa’i)

Tergantung dan tiada kepastian

Merujuk kepada jual beli bersyarat, penulis pernah dimaklumkan tentang kejadian yang berlaku dalam situasi barangan sangat terhad di pasaran. Contohnya sekarang ini, telur sangat sukar untuk diperoleh di pasaran.

Oleh itu terdapat penjual yang telah meletakkan syarat bahawa jika pembeli hendak membeli telur, dia hendaklah membeli barangan lain juga. Maksudnya, pembeli tidak boleh membeli telur semata-mata.

Timbul persoalan tentang hukum jual beli tersebut. Adakah sah urus niaga tersebut apabila penjual meletakkan syarat berkenaan? Penulis ada merujuk kepada pandangan ulama tentang isu berkaitan.

Baca juga Perkara yang dibenarkan dan tidak boleh dilakukan ketika berakad dalam Islam

Hasil carian, penulis mendapati ada dua pandangan. Satu pandangan mengatakan jual beli tersebut sah jika masing-masing saling bersetuju. Sementara satu lagi pandangan mengatakan ia tidak sah.

Jual beli

TELUR sangat sukar diperoleh dalam pasaran. Justeru usah meletakkan syarat jika pembeli mahu membelinya kerana bimbang urus niaga tersebut tidak sah disebabkan menggantungkan akad. -FOTO: PEXELS

Penulis lebih cenderung kepada pandangan yang mengatakan tidak sah. Ini kerana penjual menggantungkan akad jual beli telur dengan barangan lain. Ia satu bentuk urus niaga yang tidak ada kepastian kerana tidak semestinya pembeli ada kehendak untuk membeli barang lain. Dan ketiadaan kehendak ini tentu sekali menjejaskan juga kerelaan hatinya untuk membeli barangan tersebut.

Oleh itu, sebagai langkah berhati-hati, adalah lebih baik para penjual tidak meletakkan syarat seumpama itu apabila ada permintaan yang tinggi terhadap sesuatu barang yang terhad dalam pasaran. Biarlah pembeli membeli berdasarkan kehendaknya dan bukan kerana membeli sesuatu atas desakan tertentu. Wallahu a’lam.

***Artikel ditulis oleh Dr Shamsiah Mohamad yang berpengalaman sebagai Penyelidik Isu-Isu Kewangan Islam dan Syariah