Browsing Tag

JKM

Dera
Isu,

Purata kes dera kanak-kanak meningkat, perkasakan peranan masing-masing tangani isu ini

SUSULAN laporan melibatkan dera anak angkat yang disiarkan Sinar Islam Plus pada 12 Ogos lalu, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memberikan maklum balas berkaitan dengannya.

Menerusi temu bual secara maya, Ketua Pengarah Kebajikan Masyarakat, Datuk Shaharuddin Abu Sohot mendedahkan, statistik JKM merekodkan peningkatan kes dera dan pengabaian kanak-kanak oleh ibu bapa kandung, ibu bapa angkat dan pengasuh bermula tahun 2020 sehingga kini.

Sepanjang bulan Januari sehingga Mei lalu, katanya, JKM menerima 1,898 kes. Tahun 2021 pula mencatatkan 6,144 kes berbanding 5,836 kes pada tahun sebelumnya.

SHAHARUDDIN

“Merujuk statistik kes kanak-kanak yang menjadi mangsa penderaan tidak kiralah sama ada secara fizikal, mental atau seksual dalam tempoh tiga tahun iaitu 2019 hingga 2021, JKM merekodkan purata kes sebanyak 6,120 dalam setahun.

“Jika dibandingkan dangan tempoh 10 tahun sebelumnya iaitu 2009 hingga 2011, purata kes dicatatkan hanyalah 3,158 kes setahun. Jadi kita dapat lihat berlaku kenaikan hampir dua kali ganda sepanjang tempoh berkenaan,” katanya menerusi e-mel kepada Sinar Islam Plus.

Baca juga Dera anak angkat ibarat mencabuli amanah yang dipertanggungjawabkan

Mengulas tentang penderaan anak angkat, Shaharuddin menjelaskan, sebanyak 10 kes masing-masing dilaporkan dilakukan oleh ibu dan bapa angkat, manakala kes membabitkan pengasuh pula mencatatkan 105 kes sepanjang lima bulan pertama tahun ini.

Punca dera

Jelas beliau, kebanyakan kes penderaan oleh pengasuh sering kali dikaitkan dengan tiga faktor utama. Ia termasuklah nisbah pengasuh dengan kanak-kanak tidak mengikut standard yang ditetapkan dalam Seksyen 5 Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984.

Undang-undang itu antara lain memperuntukkan, pengasuh yang mengambil masuk empat orang kanak-kanak dan ke atas yang berusia di bawah empat tahun, wajib mendaftar sebagai taska.

KES penderaan kanak-kanak menunjukkan pola peningkatan sejak tahun 2009. -Gambar hiasan

“Bukan itu sahaja, masalah pengasuh yang tidak menghadiri kursus pengasuhan kanak-kanak menyebabkan mereka tiada pengetahuan dan kemahiran dalam mengendalikan anak kecil tersebut.

“Pada masa sama, kekurangan aktiviti dan pemantauan untuk kanak-kanak juga menyumbang kepada penderaan serta pengabaian. Ini kerana kecuaian dan kemalangan lebih mudah berlaku apabila kanak-kanak tidak disediakan aktiviti perkembangan secara berjadual atau mereka ditinggalkan bersendirian tanpa pemantauan,” ungkapnya.

Secara umumnya, Shaharuddin menjelaskan, perbalahan keluarga menjadi unsur utama yang menyumbang kepada keganasan kanak-kanak dengan catatan 1,681 kes sepanjang tahun 2020 hingga Mei 2022.

“Selain itu, kecuaian ibu bapa dan penjaga sama ada secara sengaja atau tidak turut memicu kepada penderaan dan kes pengabaian kanak-kanak. Ini termasuklah insiden si kecil yang ditinggalkan di dalam kereta, terjatuh dari eskalator pusat beli-belah atau bangunan, membiarkan atau memberi kepercayaan kepada kanak-kanak keluar ke kedai untuk membeli barang tanpa pengawasan orang dewasa.

“Satu lagi faktor adalah masalah kewangan. Sebenarnya, kehidupan di bandar-bandar besar dengan pendapatan kecil menyukarkan ibu bapa untuk membesarkan anak-anak. Disebabkan terpaksa memikirkan cara untuk mencari pendapatan untuk keluarga akibat kos yang semakin meningkat, ada yang bertindak ganas terhadap kanak-kanak,” ujar beliau.

Dera

MASALAH kewangan dikesan antara punca kanak-kanak didera.

Baca juga Trauma penderaan wujudkan personaliti pemangsa

Perkasa program kesedaran

Disebabkan itu, katanya, JKM tidak pernah berdiam diri dan berkompromi dalam isu pencabulan hak kanak-kanak tersebut.

Malah, jelas Shaharuddin, pihaknya tidak pernah berhenti meningkatkan program kesedaran masyarakat tentang kewajipan mereka melaporkan kes penderaan kanak-kanak dan pelaksanaan program pencegahan perbuatan tersebut dalam kalangan ahli keluarga.

“Antaranya dengan memperluaskan liputan perkhidmatan Talian Kasih 15999 dan WhatsApp Talian Kasih 019-261 5999 untuk aduan penderaan.

“Selain mempergiatkan program Sahabat Bijak: Safe and Protect yang menekankan keselamatan dan perlindungan kanak-kanak dengan kerjasama pelbagai agensi, JKM juga mengaktifkan Pasukan Perlindungan Kanak-Kanak di setiap daerah dan memastikan Pembantu Pelindung sentiasa bersedia untuk membantu serta menyelamatkan kanak-kanak apabila diperlukan,” katanya.

Baca juga Bahagiakan anak yatim, ALLAH janjikan imbalan bukan calang-calang kepada penjaganya

Meskipun JKM merupakan antara pihak berkuasa dalam isu penderaan dan pengabaian kanak-kanak, namun Shahruddin menyeru agar orang awam turut memainkan tanggungjawab masing-masing bagi membendung kes berkenaan secara proaktif.

“Laporan orang awam sebenarnya akan membantu pihak berkuasa mengambil tindakan segera untuk menyelamatkan kanak-kanak daripada mendatangkan kecederaan dan kematian,” ungkapnya.

SEGERA hubungi pihak berwajib atau pihak berkuasa jika melihat kes penderaan.

ANEKDOT

SALURAN aduan kes penderaan

– Pejabat Kebajikan Masyarakat.

– Balai Polis.

– Hospital berhampiran.

– Hubungi Talian Kasih 15999 atau WhatsApp 019-261 5999.

– Mana-mana ahli Pasukan Perlindungan Kanak-Kanak  atau Pusat Aktiviti kanak-Kanak yang terdapat di kawasan berlakunya penganiayaan.

– Twitter, Facebook, Instagram Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Dera

Foto: Unsplash, 123rf & Freepik