Browsing Tag

jenis wanita disebut dalam al-Quran

Jenis wanita
Isu,

Lima jenis wanita yang disebut dalam al-Quran, jauhi nombor 3, 4 dan 5

Lima jenis wanita yang disebut dalam al-Quran, jauhi nombor 3, 4 dan 5

WANITA solehah adalah sebaik-baik perhiasan dunia. Demikian ungkapan yang dipetik daripada sebuah hadis masyhur Riwayat Imam Muslim.

Malah, agama Islam sangat memuliakan dan meninggikan kedudukan kaum Hawa.

Bersempena dengan Hari Wanita Sedunia yang disambut 8 Mac, Sinar Islam Plus kongsikan lima jenis wanita yang disebut dalam al-Quran.

Berikut perinciannya sebagaimana dipetik menerusi laman web kalam.sindonews.com dan Islam Itu Indah:

1. Pejuang.

Lihat sahaja bagaimana isteri Firaun yang zalim, Asiah binti Muzahim mempertahankan keimanannya. Meskipun bersuamikan individu yang bersikap bertentangan dengannya, beliau tetap mampu memelihara dirinya sebagai Muslim.

Jenis wanita

TELADANI sikap Asiah yang teguh mempertahankan keimanannya. -Foto: Unsplash

Menurut riwayat yang masyhur, beliau memeluk agama Tauhid itu selepas melihat mukjizat Nabi Musa AS iaitu ketika tongkat baginda bertukar menjadi ular.

Baca juga [Video] 22 Mumia Firaun Di Kaherah Diarak Secara Besar-besaran

Malah, beliau tidak gentar enggan mengakui suaminya Tuhan sehingga diseksa dan akhirnya meninggal dunia. Jelaslah beliau lebih mengutamakan ‘istana’ di syurga berbanding dunia yang dijanjikan oleh Firaun.

ALLAH SWT mengabadikan doa Asiah menerusi firman-NYA yang bermaksud: “Dan ALLAH mengemukakan satu misal perbandingan (yang menyatakan tidak ada mudaratnya) kepada orang-orang mukmin (berhubung rapat dengan orang-orang kafir kalau tidak terjejas keadaan imannya), iaitu, perihal isteri Firaun, ketika dia berkata, “Wahai Tuhanku! Binalah untukku sebuah rumah di sisi-MU dalam syurga, dan selamatkanlah aku daripada Firaun dan perbuatannya (yang kufur dan buas), serta selamatkanlah aku daripada kaum yang zalim.” (Surah at-Tahrim, ayat 11)

2. Wanita solehah yang menjaga kemaluannya.

Sifat itu dapat dilihat jelas pada diri Maryam binti Imran. Beliau begitu istiqamah dalam melakukan ketaatan kepada Yang MAHA ESA tanpa lelah dan jemu.

Bahkan, wanita hebat itu digambarkan sangat konsisten dalam menjaga kesuciannya. Keutamaan itulah menyebabkan namanya diabadikan sebagai satu nama surah dalam al-Quran.

Baca juga Hikmah Maryam diperintahkan ALLAH menggoncang pokok tamar selepas bersalin

ALLAH SWT berfirman: “Dia (Maryam) berkata: “Bagaimana mungkin aku mempunyai anak lelaki, padahal tidak pernah ada lelaki yang menyentuhku dan aku bukan seorang penzina!” (Surah Maryam, ayat 20)

Jenis wanita

JADILAH wanita yang pandai jaga diri dan kehormatan.  -Gambar hiasan/ Foto: 123rf

Beliau diamanahkan untuk mengandung, menjaga dan membesarkan Nabi Isa AS. Jelaslah ALLAH SWT mengangkat Maryam dalam kedudukan mulia bukan kerana rupa paras, tetapi disebabkan sifat takwa dan memelihara kesucian yang dimilikinya.

3. Penggoda.

Mendengarkannya sahaja sudah cukup menggerunkan. Ternyata susuk wanita penggoda turut disebut dalam kalamullah.

Individu yang dimaksudkan ialah Zulaikha, wanita penggoda Nabi Yusuf AS.

ALLAH SWT berfirman: “Dan perempuan yang dia (Yusuf) tubffak di rumahnya menggoda dirinya. Dan dia menutup pintu-pintu, lalu berkata: “Marilah dekat kepadaku.” Yusuf berkata, “Aku berlindung kepada ALLAH, sesungguhnya, tuanku telah melayaniku dengan baik.” Sesungguhnya orang-orang yang zalim tidak akan berjaya.” (Surah Yusuf, ayat 23)

4. Penghasut, pemfitnah dan sumber gosip.

Begitu berat ‘label’ yang dilemparkan itu. Wanita jenis tersebut diwakili oleh Ummu Jamil, isteri Abu Lahab.

Jenis wanita

BETAPA jijik amalan mengumpat itu apabila ALLAH samakan ia seperti memakan daging saudara yang telah mati. -Gambar hiasan/ Foto: 123rf

Darjah ‘kejahatannya’ boleh diukur apabila al-Quran menggelarkannya sebagai ‘pembawa kayu api’! Mudah kata, dalam kehidupan kita sekarang, sifat sebegitu umpama wanita yang menabur minyak petrol.

Baca juga Bahana Fitnah! Bukan Saja Tiada Keberkatan Di Dunia, Malah Kita Akan Muflis Di Akhirat 

Masakan tidak, sebahagian besar hidup Ummu Jamil sibuk menyalurkan fitnah kepada seluruh penduduk Kota Makkah.

Kelicikannya itu dipaterikan dalam al-Quran yang mana ALLAH SWT berfirman: “Binasalah kedua-dua tangan Abu Lahab dan binasalah dia bersama! Tidaklah berguna baginya hartanya, dan apa yang dia usahakan. Kelak dia akan masuk ke dalam api yang bergelora (neraka). Dan (begitu pula) isterinya, pembawa kayu bakar (penyebar fitnah). Di lehernya ada tali daripada sabut yang dipintal.” (Surah al-Masad, ayat 1-5)

5. Pengkhianat dan kafir terhadap suaminya.

Walaupun ALLAH SWT memuji wanita-wanita yang derhaka kepada suami zalim, namun pada masa sama, DIA juga mencela wanita yang mengkhianati suaminya yang soleh.

Misalnya, isteri Nabi Nuh dan Nabi Luth. Saat suami mereka memperjuangkan dakwah, kedua-dua wanita itu pula menjadi pembelot!

Baca juga Jangan Khianati Amanah, Ia Prasyarat Menilai Keimanan

Firman ALLAH SWT: “ALLAH mengemukakan satu misal perbandingan (yang menyatakan tidak ada manfaatnya) bagi orang-orang kafir (berhubung rapat dengan orang-orang mukmin selagi mereka tidak beriman dengan sebenar-benarnya), iaitu, perihal isteri Nabi Nuh dan isteri Nabi Luth, mereka berdua berada di bawah jagaan dua orang hamba yang soleh daripada hamba-hamba KAMI, dalam pada itu mereka berlaku khianat kepada suami masing-masing, maka kedua-dua suami mereka tidak dapat memberikan sebarang pertolongan kepada mereka daripada (azab) ALLAH, dan (sebaliknya) dikatakan kepada mereka berdua (pada hari pembalasan): “Masuklah kamu berdua ke dalam neraka bersama-sama prang-orang yang masuk (neraka).” (Surah at-Tahrim, ayat 10)

Jenis wanita

BERUSAHALAH menjadi wanita solehah dan tidak mengkhianati suami yang soleh. -Gambar hiasan/ Foto: 123rf

Walaupun kisah semua wanita itu dirakamkan dalam al-Quran sejak beribu-ribu tahun dahulu, tetapi ciri-ciri dan sifat-sifat sebegitu tetap ada sehingga kini.

Semoga kita dijauhkan daripada berperilaku menjelikkan. Biarlah kita jadi manusia yang berbudi dan menyenangkan orang lain, bukannya yang ‘menyemakkan’ kehidupan insan sekeliling.

***Foto: Unsplash