Browsing Tag

jendeladunia

Omar Ibn Said
Jendela Dunia, Personaliti, Uncategorized,

Omar Ibn Said: Kisah hamba-cendekiawan Islam yang “dimurtadkan”

GERAKAN Black Lives Matter atau BLM yang menarik semula perhatian antarabangsa selepas pembunuhan George Floyd tahun lalu , mengingatkan dunia bahawa perjuangan memartabatkan bangsa Afrika Amerika masih belum selesai.

Walaupun dibebaskan daripada kehambaan pada Disember 1865, kejadian keganasan terhadap bangsa itu terserlah kes demi kes saban tahun.

Siapa tidak tersentap melihat video yang tular di mana seorang anggota polis kulit putih menghimpit dengan lututnya leher Floyd sehingga beliau yang tertiarap mati sesak nafas.

Rayuan terdesak Floyd, 46, bahawa beliau sukar bernafas tidak dihirau anggota polis itu yang kini menghadapi tuduhan membunuh.

Kesalahan Floyd hanyalah beliau disyaki cuba gunakan duit palsu di sebuah kedai di Minneapolis, Amerika Syarikat.

Pembunuhan Floyd bukanlah satu kes berasingan.

Photo by Joe Yates on Unsplash

Pembunuhan George Floyd tahun lalu, mengingatkan dunia bahawa perjuangan memartabatkan bangsa Afrika Amerika masih belum selesai.

Menurut kajian 2019 Proceedings of the National Academy of Sciences – Prosiding Akademi Sains Kebangsaan Amerika Syarikat (PNAS), dalam hayat mereka, seorang daripada 1,000 lelaki Afrika Amerika boleh dijangka dibunuh oleh polis.

Ahli sains sosial dan pakar kesihatan awam kini secara luasnya mengakui hubungan (negatif) polis dengan bangsa Afrika Amerika menjadi penyumbang ketidaksamarataan tahap kesihatan dan punca kematian awal bagi bangsa bukan kulit putih di negara itu.

Apakah sebenarnya penyebab keganasan terhadap bangsa Afrika Amerika ini oleh segelintir mereka yang berkulit putih ini?

Adakah semata-mata kerana berkulit hitam mereka dianggap tidak setaraf dengan yang kulit lebih cerah?

Atau apakah mentaliti tuan-hamba masih menular di kalangan segelintir rakyat Amerika Syarikat, lantas dianggap boleh diperlakukan ikut sesuka hati terhadap bangsa Afrika Amerika ini.

Mungkin mereka yang masih menganggap dirinya tuan ini, perlu diingatkan bangsa Afrika Amerika ini adalah keturunan mereka yang diculik dan dipaksa menjadi hamba beratus tahun lalu.

Kebanyakan yang diculik dari benua Afrika ini bukanlah calang-calang orang, tetapi dari keluarga yang martabatnya setaraf atau lebih baik daripada mereka yang menjadi tuan di Amerika seketika dulu.

Ilustrasi kapal yang digunakan untuk permedagangan manusia. (Gambar : Library of Congress )

Buktinya ada di perpustakaan Kongres Amerika Syarikat dalam sebuah buku yang ditulis oleh seorang cendekiawan dari Senegal yang diculik dan dipaksa menjadi hamba di Amerika Syarikat lebih 200 tahun lalu.

Nama Omar Ibn Said mungkin begitu asing di negara ini dan mungkin apa yang terlintas susuk badan yang berada di Asia Barat atau utara Afrika.

Namun, karya yang ditulisnya telah membuka kisah hidup hamba dari Afrika Barat yang kemudian menjadi perhatian pengkaji sejarah Amerika Syarikat mengenai sejarah gelap negara itu.

Meskipun bergenerasi berlalu, autobiografinya telah menceritakan pahit maung perjalanan hidupnya selepas diperdagang sebagai hamba dan menjadi karya yang disimpan di Perpustakaan Kongres.

Uniknya, ia bukan dalam bahasa Inggeris tetapi ditulis dalam bahasa Arab yang membuka lembaran baru bagi sejarah negara “Uncle Sam”.

Koleksi Penulisan Omar Ibn Said

Koleksi penulisan Omar Ibn Said yang ini dipulihara di Perpustakaan Kongres, Amerika Syarikat. (Gambar : Shawn Miller/ Library of Congress )

Pada tahun 1807, Ibn Said yang Ketika itu berumur 37 tahun telah diculik dan dijual sebagai hamba abdi. Apa yang mereka tidak tahu, dia adalah daripada keluarga kaya dan juga cendekiawan Islam terkenal di negara asalnya,Senegal.

Berasal dari wilayah Futa Tooro, Ibn Said telah dibawa ke pulau Saint-Louis, sebuah pelabuhan yang terletak di muara Sungai Senegal yang menjadi pusat transit utama bagi pemerdagangan hamba abdi di Afrika barat sebelum dihantar ke Amerika Syarikat dan kepulauan Caribbean.

Ilustrasi Pelabuhan Pulau Saint-Louis, Senegal oleh Louis Mer (Gambar : Bibliothèque Nationale de France.)

Ketiga-tiga lokasi berkenaan termasuk dalam kawasan yang dikenali Perdagangan Segitiga Trans- Atlantik, yang terkenal dengan pemerdagangan hamba Afrika ke benua Amerika.

Sepanjang abad 16 hingga 19, lebih 10 hingga 19 juta orang telah diniaga sebagai komuditi dagangan.

Sepanjang sejarah penghambaan, amat sedikit sekali kisah hamba dari Afrika yang telah dipulihara sebagai bahan dokumentasi, tetapi kisah Ibn Said menjadi salah satu catatan penting.

Sebelum diculik, dia terkenal sebagai seorang tokoh ilmuan Islam, yang menghabiskan lebih dua dekad masanya untuk mempelajari dan menghafal Al Quran dan pelbagai jenis cabang ilmu.

Surah al-Mulk tulisan tangan Omar Ibn Said. (Gambar : Library of Congress )

Memoir sebanyak 15 halaman tulisan tangan itu telah mencabar naratif penghambaan Afrika melalui tradisi dan budaya.

Biografinya dimulakan dengan penulisan ayat Al Quran seperti surah al-Mulk, yang mengandungi ayat-ayat yang menceritakan tentang penguasaan, kedaulatan, pemilikan dan mesej yang disampaikan beliau adalah menyeluruh, bahawa hanya Allah yang memiliki hambaNya.

Para pengkaji sejarah percaya gaya penulisan Ibn Omar adalah mesej yang cuba disampaikan kepada tuannya.

Ia menceritakan tempat asalnya diceroboh dan bagaimana dia ditangkap dan dibawa selama sebulan setengah sebelum tiba di Charleston, Amerika Syarikat.

Tulisan itu turut mengkisahkan bagaimana dia telah dijual kepada tuannya yang pertama dikenali sebagai Johnson yang digambarkan sebagai seorang yang tidak takutkan Tuhan, selain perangainya yang bengis dan jahat.

Perdagangan Segitiga Trans- Atlantik, yang terkenal dengan pemerdagangan hamba Afrika ke benua Amerika. (Gambar ilustrasi : Chicago History Museum)

Ibn Said, akhirnya berjaya melarikan diri ke Fayetteville, Carolina Utara tetapi malangnya ditangkap dan dijual semula.

Tulisan selanjutnya menceritakan, pemilik kedua,  James Owen amat berbeza melayannya.

Ahli sejarah yang mengkaji memoir ibn Said berpendapat bahawa beliau menghabiskan baki umurnya bersama keluarga itu.

Nama James Owen dikenali kerana telah bersama-sama The American Colonization Society (ACS), sebuah pertubuhan yang cuba memerdekakan hamba dan menghantar pulang mereka ke negara asal mereka.

Walaupun ada yang berpendapat Ibn Said telah memeluk agama Kristian pada 1820, ramai sarjana moden percaya bahawa beliau berterusan mengamalkan ajaran Islam.

Library of Congress Collection

Memoir Ibn Said merupakan antara dokumentasi terpenting dalam sejarah hamba abdi di Amerika syarikat. (Gambar : Beinecke Rare Book & Manuscript Library, Yale University)

Berdasarkan kajian yang dibuat, dia masih memulakan penulisannya dengan selawat kepada Nabi Muhammad S.A.W yang ditulis dalam Injilnya dan sekeping kad bertarikh 1857 yang mengandungi tulisan Surah Al Nasr, sehingga ada yang beranggapan ia adalah doa dengan menyifatkannya sebagai seorang penganut Kristian yang baik.

Menurut Dr. Sylviane Diouf pakar Sejarah Diaspora Afrika dari Universiti Brown, Amerika Syarikat, ketika memperbincangkan mengenai Koleksi Omar Ibn Said anjuran Perpustakaan Kongres Amerika Syarikat (US library of Congress) berkata “kebanyakkan hamba pada ketika itu ramai berpindah agama secara pseudo-conversion (pertukaran agama secara samar) di mana di sesetengah negara, kebanyakan mereka dipaksa untuk berpindah agama dan secara luaran, mereka dilihat seperti sudah menganut agama lain tetapi pada hakikatnya mereka masih kekal sebagai seorang Muslim dan masih mengamalkan ajaran Islam”.

“Kebanyakkan hamba pada ketika itu ramai berpindah agama secara pseudo-conversion (pertukaran agama secara samar) di mana di sesetengah negara, kebanyakan mereka dipaksa untuk berpindah agama dan secara luaran, mereka dilihat seperti sudah menganut agama lain tetapi pada hakikatnya mereka masih kekal sebagai seorang Muslim dan masih mengamalkan ajaran Islam”.-Menurut Dr. Sylviane Diouf, pakar Sejarah Diaspora Afrika, Universiti Brown.

Dalam perbincangan yang sama juga, penulis buku ‘Muslim American Slave : The Life of Omar ibn Said’, Dr Ala Alryyes juga menyatakan pemindahan agama Ibn Omar amat samar dan perkara ini dapat dilihat berdasarkan penulisannya.Setiap kali menulis dia akan memulakannya dengan petikan dari ayat-ayat suci Al Quran. Tulisan seperti “Tuannya tidak ada hak keatasnya dan pemilikan dan kekuasaan hanya di tangan Tuhan,” adalah mesej tersirat yang cuba disampaikan.

Petikan surah an-Nasr yang ditulis oleh Ibn Said pada 1857.

Di samping itu,  dalam autobiografi berkenaan, Ibn Said dalam beberapa catatan lain  masih kerap menulis selawat kepada Nabi Muhammad S.A.W, menyebut Nabi Isa sebagai Al Masih dan penghulu kami ‘Sayyidina’ (سيدنا) kata hormat Islam terhadap para rasul dan tidak dikelirukan dengan Tuhan ‘Rab’ (ربّ) dalam penulisannya.

Di samping itu,  dalam autobiografi berkenaan, Ibn Said dalam beberapa catatan lain  masih kerap menulis selawat kepada Nabi Muhammad S.A.W, menyebut Nabi Isa sebagai Al Masih dan penghulu kami ‘Sayyidina’ (سيدنا) kata hormat Islam terhadap para rasul dan tidak dikelirukan dengan Tuhan ‘Rab’ (ربّ) dalam penulisannya, Menurut Dr Ala Alryyes, penulis buku ‘Muslim American Slave : The Life of Omar ibn Said’

Melihatkan keadaan kisah perhambaan Ibn Said dengan mengambil kira situasi pada ketika itu,  ramai berpendapat dan berkemungkinan perpidahan agama yang diperlihatkan adalah cara untuk memerdekakan diri yang hanya boleh diperolehi menerusi pertukaran akidah.

Ibnu Said telah meninggal dunia pada 1864 dan kisah hidupnya menjadi terkenal 150 tahun kemudian apabila memoirnya diletakkan di Perpustakaan Kongres Amerika Syarikat (US library of Congress) pada tahun 2017.

Pada tahun 1991, sebuah masjid di Fayetteville, Utara Carolina dinamakan semula sebagai Masjid Omar Ibn Said sebagai penghormatan kepadanya.

Memoir Ibnu Said merupakan antara dokumentasi terpenting dalam sejarah hamba abdi di Amerika syarikat.

Ia menjadi sebahagian catatan kisah rakyat kulit hitam yang berkurun-kurun dinafikan hak sebagai manusia di negara yang selama ini mendakwa didirikan atas kesaksamaan hak asasi manusia dan demokrasi.

Dr. Sylviane Diouf pakar Sejarah Diaspora Afrika dari Universiti Brown, Amerika Syarikat, turut memperbincangkan mengenai Koleksi Omar Ibn Said yang dipulihara di Perpustakaan Kongres. (Gambar:sylvianediouf.com)