Browsing Tag

jemaah

ma'radh wahyi
Antarabangsa,

Jika berpeluang ke Mekah anda wajib melawat Ma’radh Wahyi, ini alasannya

Jika berpeluang ke Mekah anda wajib melawat Ma’radh Wahyi, ini alasannya

BAGI anda yang bakal menunaikan umrah atau haji, jangan lepaskan peluang melawat satu tempat menarik ini semasa berada di Tanah Suci.

Tempat yang dimaksudkan adalah Ma’radh Wahyi atau Pameran Wahyu. Ia terletak berhampiran Gua Hira’ di Jabal Nur (Bukit Nur), Mekah.

Walaupun jarang diceritakan, namun pusat muzium dan pameran al-Quran berkenaan wajib dikunjungi oleh jemaah haji dan umrah yang berminat meningkatkan pengetahuan tentang sejarah Islam.

Baca juga Usah gusar kalau ‘period’ di Mekah, cari pintu 79 Masjidil Haram teruslah bermunajat

ma'radh wahyi

JIKA berpeluang menjejakkan kaki ke Tanah Suci, jangan lupa melawat Ma’radh Wahyi. Foto: Facebook Abdel Rahmanov

Tarikan baharu Arab Saudi
Sebagaimana dikongsikan oleh seorang pengguna Facebook bernama Abdel Rahmanov, Ma’radh Wahyi merupakan tarikan baharu untuk pengunjung Arab Saudi.

Kawasan itu diuruskan oleh Suruhanjaya Diraja untuk Kota Suci dan Tempat Suci dan termasuk salah satu matlamat program Wawasan 2030 Arab Saudi.

Menurut hantaran tersebut, Ma’radh Wahyi adalah tempat wajib dikunjungi jemaah di Tanah Suci namun jarang diceritakan. Barangkali kerana perkataan ‘ma’radh’ atau pameran itu sendiri memberi gambaran muzium yang kurang menarik minat orang.

ARTIKEL BERKAITAN:

Ma’radh Wahyi tempat wajib dikunjungi jemaah haji dan umrah tapi jarang diceritakan, mungkin tempatnya yang sarat dengan informasi seperti muzium jadi kurang menarik minat jemaah umrah atau haji yang berpeluang ke sana.

Pun begitu, Ma’radh Wahyi sedikit berbeza dengan muzium lain kerana memaparkan info dengan menggunakan teknik audio visual dan lighting (pencahayaan) yang amat menarik.

Di situ, pengunjung bakal didedahkan dengan kisah perjalanan dakwah Islam di muka bumi bermula dengan Nabi Adam AS hingga Nabi Muhammad SAW.

Pusat pameran itu turut memaparkan beberapa kisah lain yang kurang diceritakan seperti peristiwa Abrahah yang ingin menghancurkan Kaabah dengan tentera bergajah.

Ma'radh Wahyi

SELAIN beribadah, ambil peluang melawat tempat-tempat bersejarah di Tanah Suci untuk meningkatkan kefahaman terhadap Islam sekaligus menambahkan ketakwaan kepada-NYA. Foto: 123RF

Guna teknologi canggih
Teknologi yang digunakan untuk memaparkan kisah-kisah tersebut seperti penggunaan skrin besar melengkung membuatkan pengunjung seolah-olah berada di zaman tersebut.

Selain itu, pelawat juga akan dibawa ke bahagian replika Gua Hira’ yang salin tak tumpah seperti gua yang sebenar. Dengan kata lain, jemaah tidak perlu untuk mendaki Jabal Nur untuk melihat Gua Hira’, sebaliknya hanya cukup dengan melawat Ma’radh Wahyi sahaja.

Baca juga Meninggal dunia selepas tiba di Mekah dengan basikal dari Jerman

PERKARA itu dikongsikan oleh seorang pengguna laman Facebook. Foto: Facebook Abdel Rahmanov

Turut disyorkan Imam di Masjidil Haram, makmum ikut dari bilik hotel, sah atau tidak solatnya?

Meningkatkan takwa
Kata Abdel, jemaah sangat digalakkan melawat Ma’radh Wahyi agar dapat meningkatkan pengetahuan dan keimanan diri terhadap kisah-kisah para Anbia serta perjuangan Nabi Muhammad SAW.

Jelasnya, selain mengikuti agensi pelancongan, jemaah juga boleh pergi ke Ma’radh Wahyi sendiri dengan menggunakan perkhidmatan teksi atau ‘e-hailing’ seperti Uber dan Careem.

Jika travel agensi tidak bawa jemaah ke Ma’radh Wahyi ini, jemaah boleh pergi sendiri dengan Uber atau Careem.

Sumber: Facebook Abdel Rahmanov

Foto: Facebook Abdel Rahmanov & 123RF

jemaah haji
Istimewa Panggilan Baitullah,

Anak naik haji di usia muda, ibu ini kongsi rahsia

Anak naik haji di usia muda, ibu ini kongsi rahsia…

KETIKA masih ramai yang menunggu panggilan haji di usia senja, bayangkan ketika berusia belasan tahun nama kita sudah dipanggil untuk menunaikan haji, pasti keterujaan itu sukar diungkapkan.

Kesedaran untuk menabung di tabung haji seharusnya dipupuk sejak awal lagi dan ia sebenarnya perlu bermula dari ibu ayah untuk melihat anak-anaknya dapat menunaikan rukun Islam kelima itu.

Seperti kisah dikongsi oleh seorang ibu yang penuh dedikasi dan konsisten berusaha membina hubungan yang rapat dengan Tabung Haji (TH) serta menetapkan matlamat tinggi untuk anak-anaknya dalam soal haji.

Baca Juga Wanita yang masih dalam idah, bolehkah tunai haji?

Keberhasilan seorang pengguna Facebook yang dikenali sebagai Noor Azihan Sulaiman dalam membimbing anak-anaknya untuk menunaikan ibadah haji pada usia muda, tanpa disangka, telah menarik perhatian banyak orang.

Ramai yang bertanya kepada beliau, bagaimana anak-anaknya dapat menunaikan haji pada usia yang begitu muda.

Bermula dengan komitmen dirinya sendiri yang telah membuka akaun Tabung Haji (TH) ketika berusia 15 tahun semasa pameran di sekolah dan dari situlah hubungan eratnya dengan TH bermula.

NOOR Azihan Sulaiman, seorang ibu yang penuh dedikasi dan konsisten berusaha membina hubungan yang rapat dengan Tabung Haji (TH) serta menetapkan matlamat tinggi untuk anak-anaknya dalam soal haji.

Dimulai dengan hanya RM5, beliau telah menyimpan wang tersebut di TH Gerik. Cara ini dipraktikkan sepanjang zaman sekolah hingga beliau memulakan kerjaya sebagai guru dan memulakan potongan gaji secara tetap.

Sebelum menikah dan mempunyai anak, beliau telah membantu membuka akaun TH untuk murid-murid Tahun 1 beliau. Ketika itu, kaunter TH dibuka setiap hari Sabtu di bangunan Arkeb MARA Lenggong.

Beliau membentuk tabung simpanan untuk murid-murid beliau. Jika mereka masih ingat, setiap hari mereka akan menabung wang lebihan dari belanja sekolah mereka.

ARTIKEL BERKAITAN

Apabila simpanan murid-muridnya mencukupi RM5 atau lebih, Azihan akan membawanya ke kaunter TH. Usaha ini diteruskan hingga murid-muridnya menamatkan Tahun 6 dan kemudian memulangkan buku akaun TH kepada mereka.

Jika pada masa itu ibu bapa murid-muridnya teliti dan mendaftarkan haji anak-anak mereka, mungkin sekarang mereka semua sudah mengerjakan haji lebih awal daripada anak-anak beliau.

Jadi, tidak menghairankan jika beliau membuka akaun TH untuk anak-anaknya ketika mereka berusia dua minggu, sebaik saja mereka mendapatkan surat beranak dan kemudian mendaftarkan haji mereka.

NOOR Azihan sentiasa mendoakan agar anak-anaknya tetap istiqamah dalam melaksanakan ibadah, mencintai rumah ALLAH dan mencintai agama ALLAH.

Sasarannya adalah menabung RM100 sebulan, setahun RM1200, sepuluh tahun RM12,000 simpanan bersih tanpa bonus. Ini bermakna pada usia 10 tahun, mereka sudah memiliki cukup wang untuk mengerjakan haji.

Anaknya dapat panggilan haji pada usia 16 tahun

Azihan turut berkongsi, hasil daripada kesedaran menabung sejak kecil itu, anak lelakinya pada usia 16 tahun telah mendapat panggilan untuk menunaikan haji.

Baca Juga Jemaah haji Malaysia meninggal dunia, ini tatacara uruskan jenazah di Makkah atau Madinah

Anak-anaknya memang sejak kecil sangat giat belajar mengaji dan ingin khatam al-Quran secepat mungkin kerana beliau berjanji untuk membawa mereka umrah jika mereka semua telah khatam Quran.

Beliau tidak memaksa mereka, tetapi motivasi itu juga membuat mereka lebih bersemangat belajar mengaji dan mengkaji.

Ibu tersebut berdoa agar anak-anaknya tetap istiqamah dalam melaksanakan ibadah, mencintai rumah ALLAH dan mencintai agama ALLAH.

jemaah selfie
Istimewa Panggilan Baitullah,

Jemaah elakkan kerap ‘selfie’, beri fokus kepada ibadah

Jemaah elakkan kerap ‘selfie’, beri fokus kepada ibadah

JAWATANKUASA Pengelola Haji (PPIH) Kementerian Hal Ehwal Agama Indonesia mengeluarkan peringatan serius kepada jemaah supaya tidak berswafoto (selfie) secara keterlaluan di hadapan Kaabah semasa menunaikan ibadah haji.

Menurut jurucakap PPIH Akhmad Fauzin, tindakan sedemikian bukan sahaja mengganggu kesucian ibadah yang dijalankan malah mampu mengganggu jemaah haji lain, sebagaimana dipetik dari portal ayojakarta.com

Dalam masa sama, beliau turut menjelaskan beberapa peraturan yang perlu diingati oleh jemaah haji di kawasan Masjidil Haram.

Baca juga Bersederhana ketika melakukan kenduri haji kerana ia hanya sunat

Turut disyorkan Elak ditipu ‘scammer’, fahami apa itu visa furada dan Jemaah Haji Pengelola (JPH)

jemaah selfie

JEMAAH haji diingatkan agar tidak terjebak dengan perkara sia-sia dan sebaliknya hanya fokus kepada ibadah yang dilakukan. Foto: Canva

Baca juga Jangan sesuka hati berniaga depan Kaabah dan tempat ibadah lain

Turut disyorkan LIMA amalan yang nilainya seperti menunaikan haji

Antaranya larangan membentangkan kain rentang untuk bergambar secara berkumpulan dan berswafoto di hadapan Kaabah dengan objek menyerupai manusia atau haiwan seperti boneka dan lain-lain.

Tambahnya, mana-mana individu yang didapati melanggar larangan berkenaan akan dikenakan tindakan oleh pihak berkuasa keselamatan Arab Saudi.

jemaah selfie

KETUA Biro Perhubungan Awam, Data dan Penerangan Indonesia, Akhmad Fauzin. Foto: Kemenag.id

Baca juga Hilang di Mekah, usaha mencari Ustaz Musthafa masih diteruskan

“Sehubungan itu, jawatankuasa sentiasa mengingatkan jemaah haji untuk mengekalkan tumpuan terhadap ibadah haji sepanjang berada di Tanah Suci, khususnya semasa aktiviti di Masjidil Haram.

“Mohon elakkan daripada melakukan terlalu banyak aktiviti yang tidak berkaitan dengan ibadah,” kata Akhmad Fauzin dalam sidang media, semalam.

JEMAAH seharusnya memberikan fokus penuh terhadap ibadah haji yang dijalani di Tanah Suci. Foto: 123RF

Baca juga Cuaca panas melampau buru nyawa manusia, dinginkan suasana dengan membaca doa ini

Selain itu, beliau turut memberi maklumat mengenai keadaan cuaca di Madinah dan Mekah, di mana suhu mencecah 30-39 darjah Celsius dan 31-43 darjah Celsius.

Berikutan suhu tinggi di Mekah, jemaah haji khususnya warga emas diingatkan supaya mengehadkan aktiviti di luar hotel dan masjid serta sentiasa menggunakan alas kaki bagi mengelak kaki melecet.

Sumber: Ayojakarta.com

Foto: 123RF, Kemenag.id & Canva

JEMAAH HAJI
Istimewa Panggilan Baitullah,

Aura ibadah haji – Seruan jihad ke jalan ALLAH

Aura ibadah haji – Seruan jihad ke jalan ALLAH..

BOLEH dikatakan kita baru sahaja merayakan Aidilfitri bagi menandakan hari kemenangan selepas sebulan berpuasa Ramadan. Kini, seluruh umat Islam mengalih perhatian pula kepada ibadah haji.

Meskipun bukan semua daripada kita berpeluang ke Tanah Suci bagi menunaikan Rukun Islam kelima itu, tetapi aura bulan haji tetap dirasakan semua masyarakat Islam di seluruh dunia.

Panggilan Kaabah atau seruan haji begitu sinonim dengan setiap umat Islam dan boleh dikatakan semua daripada kita akan memasang niat untuk melaksanakan rukun Islam berkenaan.

Ibadah haji adalah ibadah wajib dilakukan sekali seumur hidup bagi mereka yang berkemampuan.

Baca Juga 22,000 pekerja baharu diambil bantu lancar ibadah haji tahun ini

ALLAH SWT berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya rumah ibadah yang mula-mula dibina untuk manusia (beribadah kepada Tuhannya) ialah Baitullah di Makkah yang berkat dan (dijadikan) petunjuk hidayah bagi umat manusia. Di situ ada tanda keterangan yang nyata (yang menunjukkan kemuliaannya, di antaranya Makam Nabi Ibrahim). Dan sesiapa yang masuk ke dalamnya aman tenteramlah dia. Dan ALLAH mewajibkan manusia mengerjakan ibadah haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya. Dan sesiapa yang kufur (ingkarkan kewajipan ibadah haji itu), sesungguhnya ALLAH MAHA KAYA (tidak berhajatkan sesuatu pun) daripada sekalian makhluk.” (Surah Ali-Imran ayat 96-97)

panggilan haji

 IBADAH haji adalah suatu bentuk ibadah yang memerlukan seseorang itu bersedia dalam pelbagai aspek sebelum berangkat ke Tanah Suci.

Tidak seperti ibadah fardu yang lain seperti solat umpamanya, haji adalah suatu bentuk ibadah yang memerlukan seseorang itu bersedia dalam pelbagai aspek sebelum berangkat ke Tanah Suci.

Ia juga dianggap sebagai salah satu jihad di jalan ALLAH SWT. Ya, ibadah haji adalah jihad di jalan ALLAH. Perkara ini sebagaimana dikongsi oleh Pensyarah Kanan Politeknik Muadzam, Mohd Shah Rizal Azman Rifin.

Turut Disyorkan Diuji hingga jatuh berkali-kali, kembali kepada ALLAH, pasti ada solusi menanti

Baca Juga Jemaah haji fokus 4 amalan ini sebelum berangkat ke Mekah

Ujarnya, perkara ini dapat difahami selepas kita meneliti kisah berikut seperti yang terdapat dalam dua hadis.

“Yang pertama, dikatakan bahawa seorang lelaki datang bertemu Baginda SAW lalu mengadu, “Sesungguhnya saya ini seorang yang penakut. Saya juga lemah. Lalu Baginda SAW menasihati lelaki terbabit dengan bersabda, marilah melaksanakan jihad yang tidak terdapat sebarang kesukaran padanya iaitu mengerjakan haji.” (Hadis Riwayat al-Haithami)

“Satu lagi kisah ialah yang diambil daripada Abu Hurairah yang katanya, Rasulullah SAW pernah bersabda, “Jihad orang tua, orang yang lemah dan wanita ialah menunaikan ibadah haji dan umrah.” (Hadis Riwayat An-Nasai’)

jemaah wanita mahram

BAGI sesiapa antara kita yang masih belum bergelar Haji atau Hajah hendaklah kita memasang azam yang teguh untuk melaksanakan perintah ALLAH itu Foto: Pexels

“Manakala dalam satu kisah lain, dikatakan isteri Baginda SAW, Aisyah ada bertanya suaminya, “Wahai Rasulullah, kami melihat jihad adalah seafdal-afdal amalan, apakah kami boleh turut serta berjihad? Baginda SAW menjawab, Untuk kamu sekalian kaum wanita, ada jihad yang lebih afdal iaitu mengerjakan haji yang mabrur.” (Hadis Riwayat Imam Bukhari)

“Demikian serba ringkas ibadah haji yang dilihat dari sudut pengertian jihad. Justeru, bagi sesiapa antara kita yang masih belum bergelar Haji atau Hajah hendaknya kita memasang azam yang teguh untuk melaksanakan perintah ALLAH itu,” kongsinya.

Baca Juga Pusat Rawatan TH Madinah miliki fasiliti lengkap sedia berkhidmat untuk jemaah

Tambahnya lagi, bagi yang belum mencukupi dari segi kewangan, hendaklah sentiasa menyimpan secara beransur-ansur dengan satu niat iaitu mencukupkan wang bagi keperluan berangkat ke Tanah Suci.

“Kita yang belum ditakdirkan untuk menjejakkan kaki ke Tanah Suci sama ada bagi menunaikan ibadah umrah, apatah lagi ibadah haji perlu menaruh azam dan berusaha keras bagi mencapai cita-cita murni itu,” titip beliau.

berniaga depan kaabah
Isu,

Jangan sesuka hati berniaga depan Kaabah dan tempat ibadah lain

TULAR di media sosial baru-baru ini seorang jemaah haji mempromosikan produk jualannya di hadapan Kaabah menerusi sebuah video berdurasi 43 saat.

Perbuatan itu ditegur oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad yang menasihatkan jemaah haji agar tidak menjalankan sebarang aktiviti perniagaan atau mempromosikan produk ketika berada di hadapan Kaabah.

kaabah

DATUK IDRIS AHMAD

Kata beliau, sebagai ‘tetamu ALLAH’, jemaah seharusnya memanfaatkan tempoh berada di Tanah Suci untuk menjalankan ibadah haji agar mendapat haji yang mabrur (diterima ALLAH).

“Sepatutnya fokus kepada ibadah haji lebih-lebih lagi depan Kaabah, tempat mustajab untuk berdoa. Sepatutnya perkara seperti ini (berniaga dan promosi) tidak patut berlaku,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2021 di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) hari ini.

Tambah Idris, perbuatan ini juga boleh mengganggu jemaah lain yang sedang beribadah.

Baca juga Wanita UK ini kongsi tip, panduan haji yang beri inspirasi kepada bakal jemaah di Twitter

Hukum berjual beli di tempat ibadah

Sebagai umat Islam, kita tidak sepatutnya mengadakan urusan jual beli di tempat ibadah, apatah lagi di hadapan Kaabah.

Seperti yang dihuraikan dalam laman web Pejabat Pihak Mufti Wilayah Persekutuan, perkara ini telah pun disentuh oleh ALLAH Taala sendiri dalam kitab suci al-Quran:

(Nur hidayah petunjuk Allah itu bersinar dengan nyatanya terutama sekali) di rumah-rumah ibadat yang diperintahkan oleh Allah supaya dimuliakan keadaannya dan disebut serta diperingat nama Allah padanya; di situ juga dikerjakan ibadat mensuci dan memuji Allah pada waktu pagi dan petang.

(Ibadat itu dikerjakan oleh) orang-orang yang kuat imannya yang tidak dilalaikan oleh perniagaan atau berjual-beli daripada menyebut serta mengingati Allah, dan mendirikan sembahyang serta memberi zakat; mereka takutkan hari (kiamat) yang padanya berbalik-balik hati dan pandangan.” (Surah al-Nur, ayat 36 dan 37)

berniaga depan kaabah

BUKAN semua orang berpeluang menjejakkan kaki ke Tanah Suci maka jemaah sepatutnya memanfaatkan masa yang ada sepenuhnya dengan beribadah kepada ALLAH SWT tatkala berada di sana.

Dalam masa sama, Rasulullah SAW juga pernah bersabda menerusi sebuah hadis daripada Abu Hurairah RA:

Sekiranya kamu melihat seseorang yang menjual atau membeli di dalam Masjid, maka katakan padanya, “Allah tidak akan menguntungkan perniagaan kamu” (Hadis riwayat al-Tirmizi)

Dari segi urusan berjual beli di dalam masjid, majoriti ulama berpendapat hukumnya adalah makruh.

Sarjana Islam, Imam al-Qurtubi pula berpendapat perniagaan secara khusus disebutkan oleh ALLAH adalah kerana perniagaan atau jual beli termasuk perkara terbesar yang akan melalaikan manusia daripada beribadat kepada ALLAH SWT.

berniaga depan kaabah

TIADA masalah untuk berniaga sekitar kawasan masjid namun urusan tersebut harus menghormati waktu solat dan tidak melekakan jemaah yang hadir ke tempat ibadah.

Bagi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, pihaknya melarang urusan jual beli dilakukan di dalam masjid.

Begitu pun, tiada masalah untuk berniaga di ruang selain dewan solat utama, seperti kawasan tempat letak kereta, asalkan urusan tersebut tidak melalaikan para jemaah sehingga tersasar dari tujuan asal datang beribadah ke masjid.

Ada banyak tempat lain di mana anda boleh lakukan perniagaan anda. Jadi, selepas ini jangan sewenang-wenangnya berniaga atau mempromosikan produk di kawasan ibadah, lagi-lagi berhadapan Kaabah yang menjadi kiblat umat Islam seluruh dunia.

Foto: Pexels & mstar

lawatan ke lokasi bersejarah
Berita Semasa, Dalam Negara,

Lawatan ke lokasi bersejarah di Tanah Suci mampu tingkatkan takwa

PROGRAM lawatan ke lokasi bersejarah di Tanah Suci yang dianjurkan oleh Lembaga Tabung Haji (TH) untuk jemaah haji Malaysia dilihat mampu mengukuhkan lagi ketakwaan mereka kepada ALLAH.

Seperti yang dilaporkan agensi berita BERNAMA, Ustaz Wafa Abdul Jabbar, mutawif yang bertanggungjawab membawa rombongan ziarah luar, berkata rata-rata jemaah yang tiba di Madinah teruja untuk menziarahi beberapa tempat bersejarah di sana.

“Kota Suci Madinah mempunyai pelbagai kelebihan dan keistimewaan di samping dapat menghayati perjuangan Rasulullah SAW serta para sahabat dengan rasa takwa dan berusaha bersungguh-sungguh menyebarkan agama Islam ke seluruh dunia,” katanya kepada pemberita di dataran Masjid Quba.

lawatan ke lokasi bersejarah

MASA lapang jemaah ketika berada di Tanah Suci bolehlah diisi dengan melawat tempat-tempat bersejarah yang ada di Mekah dan Madinah.

Selain Masjid Quba yang merupakan masjid pertama didirikan pada tahun penghijrahan Nabi Muhammad dari Makkah, jemaah haji juga dibawa menziarahi kawasan Bukit Uhud dan Makam Syuhada Uhud.

Kedua-duanya adalah tapak bersejarah mengenai peristiwa kekalahan tentera Islam ketika menentang tentera bani Quraisy.

“Tewasnya tentera Islam ketika itu disebabkan keingkaran sebahagian tentera Islam dengan arahan Nabi Muhammad yang menyaksikan baginda mengalami cedera teruk serta 70 tentera Islam gugur syahid,” ujar Wafa.

Beliau juga berkata Perang Uhud jelas menunjukkan bahawa tarikan dunia, sifat tamak dan mengingkari perintah Rasul akhirnya hanya membawa kepada kebinasaan.

Bagi pasangan suami isteri Ishak Hasan dan Siti Yulina Baharon, lawatan ke Bukit Uhud memberi kesedaran kepada mereka mengenai kewibawaan serta kehebatan Nabi Muhammad.

Baca juga Ada kemusykilan ketika tunaikan umrah, robot di Masjidil Haram boleh jawab soalan para jemaah dalam 11 bahasa

Mekah yang pernah merakam pelbagai detik penting dalam salasilah pembentukan Islam juga menjadi tumpuan pengunjung Islam seluruh dunia, kata Mahdi Nafaa al-Qurashi, seorang pemandu pelancong di Arab Saudi kepada agensi berita Arab News.

Katanya, “Bandar ini menjadi saksi kepada banyak peristiwa berkaitan Islam bermula dari zaman Nabi Ibrahim AS sehinggalah zaman Rasulullah SAW.

Semua jalan menuju ke Mekah dan Kaabah yang berada di tengah-tengah bandar, kaya dengan memori bersejarah.”

lawatan ke lokasi bersejarah

BAK pepatah Melayu, ‘Tak kenal maka tak cinta’, program lawatan ke tapak bersejarah bertujuan memperkenalkan sejarah pembentukan Islam supaya perasaan cinta terhadap agama dapat dipupuk dalam diri jemaah.

Pengarah Pusat Sejarah Mekah, Dr Fawaz al-Dahas berkata Mekah menjadi wajah mewakili umat Islam seluruh dunia dengan adanya tapak penting seperti Masjidil Haram, Kaabah dan telaga Zamzam.

Antara lokasi bersejarah lain di bandar tersebut juga termasuk Jabal Nur, Gua Hira’ dan Jabal Tsur.

Ujar Fawaz, jemaah seharusnya mengambil kesempatan melawat tapak-tapak bersejarah yang ada sekitar Mekah dan Madinah sementara berada di Tanah Suci.

Foto: Tabung Haji & Sinar Harian

Robot jawab kemusykilan ibadah umrah
Antarabangsa, Berita Semasa,

Ada kemusykilan ketika tunaikan umrah, robot di Masjidil Haram boleh jawab soalan para jemaah dalam 11 bahasa

SEJAK diperkenalkan pada bulan lalu, penggunaan robot bimbingan dalam kalangan jemaah umrah menerima sambutan yang menggalakkan.

Masakan tidak, menunaikan ibadah berkenaan tidak lagi sesukar dahulu. Andai kata, kita terlupa berkaitan cara pelaksanaan umrah, fatwa mahupun undang-undang berkaitan dengannya, bolehlah merujuk kepada robot tersebut.

Sememangnya itulah fungsi utama teknologi berkenaan yang bertujuan memberi khidmat nasihat kepada para jemaah di Masjidil Haram di Makkah dan Masjid Nabawi di Madinah.

Terbaharu, portal berita Arab News melaporkan, robot bimbingan tersebut kini boleh diakses dalam 11 bahasa termasuklah bahasa Malaysia. Selain itu, robot berkenaan juga boleh ‘berbahasa’ Arab, Inggeris, Perancis, Rusia, Parsi, Turki, Urdu, Cina, Benggali dan Hausa.

Robot jawab kemusykilan ibadah umrah

ROBOT itu dilengkapi dengan kamera resolusi tinggi yang boleh memberi gambaran jelas, selain berkomunikasi dengan ulama dari jauh.

“Teknologi digital tersebut dilengkapi dengan kamera resolusi tinggi sekali gus memberi gambaran yang jelas ketika menghantar imej, fon kepala resolusi tinggi dan mikrofon berkualiti.

“Selain membimbing jemaah tentang pelaksanaan ibadah umrah dan menjawab soalan, robot ini turut memberi peluang kepada orang ramai untuk berkomunikasi dengan para ulama dari jauh,” katanya sebagaimana dipetik daripada portal berita berpengaruh di Arab Saudi itu.

Suatu perkara yang menarik tentang kemudahan itu, ia mempunyai skrin sentuh bersaiz 21 inci dan dilengkapi dengan sistem berhenti pintar yang membolehkannya digerakkan dengan mudah dan lancar.

Kalau sudah namanya robot, sudah tentu ia berupaya menjawab pelbagai soalan.

Baca juga Tiada Lagi Sentuhan Manusia, Robot Pintar Ambil Alih Tugas Edarkan Air Zamzam di Masjidil Haram

Timbalan Presiden bagi Hal Ehwal Bimbingan, Sheikh Badr Abdullah Al-Furaih menjelaskan, lazimnya robot berkenaan menerima 100 hingga 150 soalan setiap hari berkenaan dengan perihal ibadah umrah pada bulan Ramadan.

Robot jawab kemusykilan ibadah umrah

KIRA-KIRA 100 hingga 150 soalan diterima oleh robot bimbingan pada setiap hari berkaitan dengan ibadah umrah sepanjang bulan Ramadan lalu.

“Majoriti orang yang berinteraksi dengan robot bimbingan ini ialah orang Arab, Syria, Pakistan atau India.

“Bukan itu sahaja, robot tersebut juga mampu mengakses maklumat daripada pelbagai buku dan nasihat yang diberikan oleh ulama dari seluruh dunia Arab,” katanya dipetik menerusi arabnews.com.

Untuk rekod, inisiatif penggunaan robot bimbingan itu merupakan sebahagian daripada projek digital yang lebih meluas di dua masjid suci berkenaan.

Sebelum ini, Ketua Presiden Hal Ehwal Dua Masjid Suci telah memperkenalkan robot pensterilan dan robot yang boleh menyalurkan air zamzam kepada para jemaah.

Foto: Arab News