Browsing Tag

JdT Surah al-Rahman

Berita Semasa,

Mahu cepat hafal al-Quran? Boleh cuba inovasi JdT Surah al-Rahman

BAGI mereka yang tidak biasa menghafal al-Quran, memang agak sukar untuk berbuat demikian pada mulanya.

Namun, apabila kaedah yang digunakan kena pada caranya, memang mudah sebenarnya untuk mengingati bait-bait kalam ALLAH yang indah.

Itulah yang dirasai oleh pensyarah dari Jabatan Pendidikan dan Moral, Institut Pendidikan Guru (IPG), Kampus Pendidikan Islam Bangi, Dr Isyah Radhiah Idris.

Pengalaman beliau menghafal Surah al-Rahman menjadi pencetus kepadanya untuk menghasilkan dan memperkenalkan inovasi JdT Surah Ar-Rahman sejak 2018.

“Bermula dengan diri sendiri untuk menghafal Surah al-Rahman, saya mula mencuba beberapa kaedah untuk menguasainya.

“Alhamdulillah, ALLAH beri idea asas untuk mudahkan hafalan dengan menggunakan tema dan diperkemaskan sehingga menjadi modul lengkap yang dinamakan JdT Surah Ar-Rahman,” katanya kepada Sinar Islam baru-baru ini.

JdT merupakan ringkasan daripada perkataan ‘Jadual berTema’, manakala Surah al-Rahman ialah surah yang ke-55 dalam al-Quran. Ia menjadi satu-satunya nama surah yang disebut dalam Asmaul Husna.

JdT Surah al-Rahman

Dari kiri: Isyah Radhiah bersama ahli Kumpulan Haq, Ustaz Wan Yusof Wan Sulong dan Ustazah Aishah Juri bergambar kenangan selepas memenangi Anugerah Emas dalam pertandingan inovasi penyelidikan di peringkat IPG 2018.

Bagi Isyah Radhiah, Surah al-Rahman begitu menarik kerana berbentuk penyataan dan pertanyaan ALLAH kepada kita. ALLAH memperkenalkan diri-NYA sebagai Pencipta (Rabb) dan Pemberi Nikmat dengan sifat al-Rahman yang bermaksud Pemurah.

“ALLAH bertanya ‘nikmat Tuhan-MU yang mana kamu dustakan’ sebanyak 33 kali dalam surah tersebut dengan membawa contoh langsung yang dapat kita lihat. Bermula dengan penurunan al-Quran, kejadian diri kita, pancaindera, ciptaan alam (langit dan bumi), nikmat syurga dan seksaan neraka.

“Ternyata semua kurniaan ALLAH adalah tanda ALLAH sangat baik kepada makhluk-NYA. Kita perlu mensyukuri dan mentaati perintah ALLAH dengan menjauhi segala larangan-NYA. Ingatlah setiap perbuatan baik atau buruk di dunia akan dihakimi dan diganjari oleh ALLAH di akhirat,” katanya.

Ujar beliau, JdT Surah al-Rahman begitu mudah, ringkas dan menjadikan hafalan kekal dalam tempoh yang lama. Bagi pelajar tahfiz pula, kaedah itu akan meningkatkan penguasaan hafalan mereka terhadap surah berkenaan.

“Kaedah itu telah disebarluaskan di merata tempat seluruh Malaysia, contohnya bersama jemaah umrah Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd dan peserta pelayaran Islamik di Vietnam,” katanya.

Hasil inovasi tersebut menerima Anugerah Emas dalam pertandingan Inovasi Penyelidikan di IPG Kampus Pendidikan Islam, Bangi, Selangor; Anugerah Emas Pertandingan Inovasi Pendidikan dan Pameran Blue Ocean Strategy (Idbos) 2018 peringkat kebangsaan serta Anugerah Emas Pertandingan Inovasi Islam dan Bahasa Arab Peringkat Kebangsaan (Inovis 2018).

Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai JdT Surah al-Rahman, boleh hubungi Isyah Radhiah melalui WhatsApp di talian 014-8599192.

Penulis: Fouziah Amir