Browsing Tag

jawatan

megah dengan pangkat
Gaya Hidup,

Megah dengan pangkat bakal heret Muslim ke neraka

Megah dengan pangkat bakal heret Muslim ke neraka

SEJAK beberapa hari lalu, kecoh kisah mengenai seorang pegawai polis yang didakwa mengeluarkan kata-kata berunsur hinaan terhadap rakan sekerja berpangkat lebih rendah.

Belum reda lagi kes sebelum ini, terbaharu sebuah video berdurasi 40 saat tular mempamerkan aksi pegawai wanita tersebut meninggikan suara dan mempersoalkan kata-kata seorang anggota bawahan gara-gara pangkat yang lebih rendah.

Rata-rata netizen berasa tidak senang dengan tindakan wanita itu yang dilihat seolah-olah bermegah dengan jawatan yang dimiliki selain memperlekehkan pangkat rakan sekerjanya yang lebih rendah.

Baca juga Elak lantik anak-beranak dan kaum kerabat untuk suatu jawatan, ini pandangan Islam berkaitan hal itu

megah dengan pangkat

ARTIKEL BERKAITAN:

Setiap perlakuan akan dihisab ALLAH

Hakikatnya, kepemimpinan bukan hanya dikira selepas seseorang itu menang dalam pilihan raya atau dapat memegang jawatan tertentu dalam sesebuah organisasi.

Ingatlah, setiap manusia akan dipertanggungjawab ke atas segala perkara yang mereka lakukan.

Sabda Rasulullah SAW: “Setiap kamu adalah pemimpin dan kamu semua bertanggungjawab terhadap orang di bawah jagaanmu.” (Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Bahkan ALLAH SWT sentiasa memerhati dan menilai setiap tanggungjawab yang dipikul oleh setiap pemimpin.

Di sisi agama, pemimpin perlu sedar bahawa pelantikannya itu satu pertanggungjawaban (taklif) dan bukan satu kemuliaan (tashrif) untuk dimegah-megahkan.

Bahkan, pemimpin yang bertanggungjawab tidak akan meminta apa-apa keistimewaan demi kepentingan sendiri, jauh sekali menganggap diri lebih baik daripada orang lain.

Dari segi kepemimpinan terbaik, teladanilah perlakuan Rasulullah SAW yang tidak pernah sama sekali menyalahgunakan kuasanya sebagai seorang pemimpin untuk mengaut keuntungan bagi diri sendiri.

Baginda SAW pula sentiasa mengutamakan kebajikan setiap manusia di bawah kepemimpinannya.

DI sebalik setiap pangkat yang dipegang, ada tanggungjawab perlu digalas. Foto: Google

Baca juga Hanya Kerana Lidah, ALLAH Akan Mencampakkan Muka Seseorang Dahulu Ke Dalam Neraka

Jawatan yang membawa penyesalan

Di samping itu, Rasulullah turut mengingatkan umatnya untuk tidak terlalu taasub dengan jawatan dan pangkat yang dimiliki.

Sabda baginda nabi: “Kamu semua akan sukakan kepada jawatan, tetapi ia boleh menjadi penyesalan ketika hari akhirat kelak, kerana pada permulaannya terdapat nikmat, namun pengakhirannya ia menjadi pengikat yang jahat.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Hal itu kerana pemimpin yang tidak melaksanakan tanggungjawabnya dengan betul akan dihumban ke neraka.

Nabi SAW bersabda: “Tiada seorang pun pemimpin yang menguasai urusan kaum Muslimin, lantas tidak berusaha bersungguh-sungguh untuk kebaikan mereka dan tidak jujur kepada mereka, melainkan dia tidak akan masuk syurga bersama mereka.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Justeru, ingatlah bahawa di sebalik jawatan yang setiap daripada kita miliki, sebenarnya ada suatu tanggungjawab besar perlu digalas dan bukan semata-mata untuk mendapat nama dan kemegahan.

Dalam pada itu, usah terlalu bangga dengan pangkat yang ada kerana boleh jadi ia adalah bahana yang mengheret kita ke neraka tanpa disedari.

Sumber: Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan

Foto: Google

Megah dengan pangkat bakal heret Muslim ke neraka

Resume
Hukum,

Tak boleh tipu resume untuk dapat kerja, jawatan tertentu

BAGI mereka yang mencari pekerjaan, resume sememangnya menjadi dokumen wajib. Ini kerana ia mengandungi rangkuman ringkas berkaitan butiran peribadi, tahap pendidikan dan pengalaman bakal pekerja.

Semua itu sekali gus memudahkan pihak majikan untuk membuat senarai pendek bagi calon yang sesuai untuk ditemu duga dan proses saringan seterusnya.

Bagaimanapun, ada yang sanggup menipu resume gara-gara mahu mendapatkan pekerjaan atau jawatan tertentu tanpa memikirkan impaknya pada kemudian hari.

Ya, mencari rezeki yang halal itu suatu tuntutan, malah bekerja juga merupakan satu ibadah dalam Islam. Namun, pendekatan digunakan tidak selari dengan kehendak agama.

Menurut Jabatan Mufti Negeri Selangor, perbuatan menipu resume itu adalah berdosa kerana tidak jujur dalam hal itu.

Resume

PERBUATAN menipu resume adalah berdosa kerana tidak berlaku jujur sebagaimana dituntut dalam agama Islam. -FOTO: CANVA

Ia bertepatan dengan sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abu Bakar as-Siddiq RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Tidak masuk ke dalam syurga orang yang menipu, orang bakhil dan orang yang suka mengungkit-ngungkit sedekahnya.” (Hadis Riwayat at-Tirmizi)

Baca juga Berlaku jujur bila buat kesilapan, usah tambah lagi helah semata-mata nak elak hukuman

Meskipun demikian, Jabatan Mufti Negeri Selangor menjelaskan, gaji yang diterima oleh pelaku itu tidaklah menjadi haram untuk digunakan.

“Ini kerana pendapatan tersebut adalah daripada sumber yang halal hasil kerja yang dilaksanakan,” katanya sebagaimana dipetik menerusi jawapan soal jawab agama di laman web rasmi jabatan mufti berkenaan.

Haram tipu sijil

Bukan sekadar resume, penipuan sijil untuk mendapatkan pekerjaan juga diharamkan dalam Islam.

Dalam hal itu, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menjelaskan, perkara tersebut ada dinyatakan secara jelas dalam hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesiapa yang menipu, maka dia bukan dari kalangan kami.” (Hadis Riwayat Muslim)

Baca juga Haram berbohong, kecuali dalam 3 keadaan ini

Hadis itu dinyatakan Nabi Muhammad SAW ketika baginda melalui tempat seorang peniaga makanan yang mana dia meletakkan makanan yang baik di hadapan, sedangkan yang rosak pula diletakkan di dalamnya.

Resume

MENIPU sijil juga diharamkan dalam Islam. -FOTO: CANVA

Jika pelakunya insaf dengan perbuatannya, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menasihatkan agar mereka dapat menunaikan tanggungjawab dengan sebaiknya supaya tugas yang diamanahkan dapat dilaksanakan dengan sempurna.

Pelaku juga disyorkan supaya bertaubat kepada ALLAH SWT, meninggalkan dosa dengan sukarela, bertaubat daripada kesilapan dilakukan dan berazam tidak mahu melakukannya semula.

“Di samping itu, mintalah halal dan kemaafan daripada makhluk jika melibatkan sesama manusia. Pada masa sama, perbanyakkan zikrullah, bersedekah sebahagian pendapatan diperoleh dan sentiasa meningkatkan kepakaran supaya kelayakan serta kebolehan menjalankan tugas melebihi orang yang mempunyai sijil yang baik.

“Seperkara lagi, jangan ulangi perbuatan ini dan banyakkan bermuhasabah diri,” pesannya.

Ingatlah, apa jua tindakan yang dilakukan, berlaku jujurlah dalam setiap perkara. Semoga sifat terpuji itu membantu kita dalam urusan kehidupan di dunia dan menuai hasilnya di akhirat kelak.

Ikuti kami di TiktokInstagramFacebookTwitter dan Youtube Sinar Islam Plus

***Foto: Canva