Browsing Tag

jaundis

Haly Abbas
Personaliti,

Haly Abbas Doktor Islam Pertama Kesan Penyakit Kuning

no comment

HALY ABBAS, merupakan satu lagi tokoh Islam yang terkenal dengan kepakarannya dalam bidang perubatan dan psikologi.

Ilmuwan abad ke-10 tersebut begitu berpengaruh dan terkenal dengan karyanya, Kitab Kamil al-Sina’ah al-Tibbiyah atau dikenali sebagai The Royal Book (Kitab al-Maliki) pada tahun 980 Masihi.

Monumental berkenaan disifatkan sebagai teks perubatan paling teratur yang menjadi rujukan kebanyakan doktor di dunia. Naskhah hebat berkenaan antara lain mengandungi topik-topik seperti anatomi, fisiologi, rawatan perubatan sendiri dan ubat-ubatan.

Menjejaki sisi peribadinya, tidak banyak maklumat dijumpai tentang salasilah Haly Abbas. Cuma difahamkan, pemilik nama penuh Ali Ibn Abbas Al-Majusi itu dilahirkan di Ahvaz, Parsi Tenggara pada tahun 930 Masihi.

Memetik laporan portal berpengaruh di Indonesia, Republika, cendekiawan itu menimba ilmu daripada Syeikh Abu Maher Musa Ibn Sayyar.

Beliau juga merupakan seorang daripada tiga orang doktor terhebat pada era khalifah Islam bahagian Timur ketika zamannya.

Baca juga Kenali Al-Battani, Individu Penting Dan Cendekiawan Islam Yang Menemui Fakta 365 Hari Setahun

Barangkali kerana kehebatan dan kemasyhuran yang dimilikinya itu menyebabkan Haly Abbas diangkat menjadi doktor di Istana Amir Adhad al-Dowleh Fana Khusruw, penguasa dari Dinasti Buwaih (949 hingga 983 Masihi). Beliau juga pernah mendirikan sebuah hospital di Shiraz, Parsi dan Hospital al-Adud di Baghdad sekitar tahun 981 Masihi.

Bahkan karya agung Kitab al-Maliki itu ditulis ketika Haly Abbas masih berkhidmat dengan pemerintah Dinasti Buwaih. Monumental itu dianggap sebagai karya yang sistematik dan lebih ringkas berbanding ensiklopedia perubatan yang sedia ada.

Haly Abbas

MONUMENTAL agung Haly Abbas berjudul Kitab Kamil al-Sina’ah al-Tibbiyah begitu berpengaruh kerana menjadi karya Arab pertama yang memberikan arahan terperinci tentang pembedahan.

Menurut Encyclopedia.com, The Royal Book yang dinukilkan Haly Abbas merupakan karya Arab pertama yang memberikan arahan terperinci tentang pembedahan.

”Sebilangan besar bahan dalam rujukan berkenaan adalah berdasarkan tulisan doktor Yunani yang berpengaruh, Galen (tahun 130-200). Beliau mengatur maklumat yang dikumpulkan oleh Galen dalam bentuk yang mudah digunakan oleh para doktor.

”Selain itu, Al-Majusi (Haly Abbas) juga menggunakan buku perubatan terkenal Al-Razi berjudul Hawi sebagai sumber utamanya.

”Oleh sebab buku berkenaan tidak begitu tersusun dan terlalu lama pada pandangannya, beliau menyusun semula, selain memasukkan penemuan dan pemerhatiannya dalam karya agungnya,” kata laman web berkenaan.

Kitab al-Maliki yang ditulis olehnya juga dikatakan menjadi rujukan yang digunakan di universiti-universiti di Eropah hingga abad ke-18 sebagaimana dilaporkan Researchgate.net.

Bukan itu sahaja, menurut People.utm.my, ensiklopedia berkenaan turut diterjemahkan ke dalam bahasa Latin dengan judul Liber Regius, selain diterbitkan di Venice pada tahun 1492 Masihi serta di Lyon (1523 Masihi).

”Haly Abbas juga juga dianggap sebagai tokoh pertama yang mengusulkan adanya satu sistem pembuluh darah (kapilari) ketika membincangkan tentang ruang-ruang halus antara salur nadi dan salur darah.

”Beliau yang mendapat jolokan sebagai Bapa Farmakologi itu juga menjadi tokoh pertama menganjurkan bahawa ketika proses bersalin, bayi tidak akan keluar sendiri secara pasif.

”Sebaliknya ditolak keluar oleh daya kecutan (kontraksi) daripada uterus,” kata laman web berkenaan.

Haly Abbas

SALAH satu halaman daripada salinan Kitab al-Maliki pada tahun 1725 di Perpustakaan Perubatan Nasional Amerika Syarikat.

Ternyata tokoh itu merupakan seorang ilmuwan hebat yang berjaya merungkai banyak penemuan terbaharu ketika zamannya.

Antaranya Ncbi.nlm.nih.gov melaporkan, Haly Abbas menjadi doktor pertama yang memperkenalkan penemuan tentang penyakit kuning.

”Sastera moden sering menunjukkan bahawa Albrecht von Haller sebagai individu pertama yang menggambarkan penyakit kuning pada tahun 1764.

”Namun, hasil penyiasatan kami berjaya menemui bahawa Haly Abbas telah membincangkan penyakit jaundis dalam bahagian bertajuk al-Bab-o al-Salis wa al-Salasoun; fi Elal al-Marareh, wa Asbabaha wa Alamataha (Subseksyen 33; Mengenai Keadaan yang Mempengaruhi Pundi Hempedu, Sebab dan Manifestasi mereka) menerusi The Royal Book,” kata penulis dalam Ncbi.nlm.nih.gov.

Sesungguhnya, sebelum cendekiawan bijaksana itu meninggalkan dunia bukan dengan tangan kosong, sebaliknya memberi banyak input berguna kepada dunia perubatan hari ini.

Baca juga Kenali Al-Jazari, Bapa Robot Abad Pertengahan. Begitu Banyak Ciptaannya Yang Kita Manfaatkan Sehingga Hari Ini

PROFIL

Haly Abbas

ILUSTRASI HALY ABBAS

Nama penuh: Ali Ibn Abbas Al-Majusi

Gelaran: Haly Abbas, Al-Majusi dan Bapa Farmakologi

Asal: Ahvaz, Parsi

Tahun kelahiran: 930 Masihi

Tahun kematian: 994 Masihi

Sumbangan: Mengarang kitab yang menjadi karya perubatan paling sempurna, mengusulkan sistem pembuluh darah dan pelopor penyakit kuning.

Karya agung: Kitab Kamil alSina’ah al-Tibbiyah

Foto: https://www.bibalex.org, https://alchetron.com/ & https://www.ncbi.nlm.nih.gov/