Browsing Tag

jari

Wuduk
Ibadah,

Status wuduk bila jari ada kesan dakwat

PERSOALAN tentang status wuduk apabila jari ada kesan dakwat menjadi perhatian ramai ketika ini.

Masakan tidak, kita baru sahaja selesai menjalankan tanggungjawab masing-masing dalam Pilihan Raya Umum ke-15 yang diadakan pada Sabtu lalu dengan jari ada tanda kesan celupan dakwat. Tujuannya bagi mengelakkan penipuan ketika pilihan raya.

Namun begitu, sehingga kini, kesan dakwat pada jari hampir kebanyakan orang masih lagi tersisa.

Ada yang bimbang, kesan berkenaan akan menghalangnya air sampai ke kulit sehingga boleh menyebabkan wuduk kita tidak sah. Jika begitulah keadaannya, sudah tentulah ia menjejaskan solat yang dilakukan.

Menjawab kemusykilan tersebut, Ketua Penolong Mufti (Bahagian Penyelidikan), Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Dr Syed Shahridzan Syed Mohamed menjelaskan, jika ada sesuatu yang menghalang air daripada sampai ke kulit ataupun benda tersebut melekat pada kulit, wuduknya akan menjadi tidak sah.

DR SYED SHAHRIDZAN

Demikian yang banyak disebut dalam kitab fiqh Mazhab Syafie, terangnya.

“Ia termasuklah pati dakwat iaitu dakwat tebal yang melekat pada kulit. Jika tidak dibuang, status wuduk individu itu tidak sah,” jelas beliau menerusi video yang dikongsikan di laman sosial Facebook miliknya baru-baru ini.

Beliau kemudian merujuk salah sebuah kitab fiqh Mazhab Syafie, I’anatut Thalibin. Kitab tersebut secara jelas menerangkan, kesan dakwat tidak memudaratkan iaitu tidak membatalkan wuduk.

Jelas beliau, maksud kesan dakwat itu adalah apabila kita kikis pada tempat berkenaan, tidak keluar keladaknya.

“Jadi andai jari kita ada kesan dakwat yang mana hanya sekadar warna selepas kita sedaya upaya membasuh dan menggosoknya sebaik mungkin serta tidak keluar keladak ketika kita menggosoknya semasa jari kering, maknanya itu hanyalah kesan warna dakwat. Ia bukan pati dakwat yang tebal sehingga menghalang air sampai ke kulit. Maka kesan seperti itu tidak membatalkan wuduk,” ungkapnya.

Baca juga Ini Perkara Makruh Ketika Wuduk Yang Sering Dilakukan Tanpa Sedar

Namun begitu, pendakwah itu mengingatkan bahawa terdapat perbezaan antara daki kulit dengan kesan keladak dakwat berkenaan.

Wuduk

JARI pengundi pada PRU15 masih mempunyai kesan dakwat yang tersisa. -GAMBAR HIASAN/ FOTO: BERNAMA

“Ini kerana ada yang keliru tentang perkara ini. Walaupun sudah dibasuh dan digosok, tetapi apabila gosok jari kering, ada kesan seperti keladak, tetapi rupanya ia adalah daki kulit,” katanya.

Penggunaan dakwat kekal (indelible ink) berkuat kuasa pada Pilihan Raya Umum ke-13, sembilan tahun lalu. Dakwat itu mengandungi sebatian yang ada kandungan nitrat perak. Apabila terkena pada kulit akan diserap ke dalam lapisan tisu mati dan tisu kulit.

Dalam hal itu, Muzakarah Jawatan Kuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang bersidang pada 8 Ogos 2007 sudah mengadakan perbincangan lanjut tentang Hukum Penggunaan Indelible Ink Dalam Pilihan Raya Malaysia.

Jawatan kuasa itu memutuskan, indelible ink tidak mengandungi bahan-bahan najis yang diharamkan oleh syarak, tidak mendatangkan mudarat kepada kesihatan dan tidak menghalang air untuk sampai ke kulit apabila digunakan.

Oleh itu, penggunaan dakwat kekal itu dibenarkan oleh syarak kerana ia tidak akan menimbulkan masalah kepada ibadah umat Islam.

Baca juga Jangan basuh anggota wuduk lebih 3 kali, Ustaz Azhar Idrus beri penjelasan…

Bagaimanapun, keputusan jawatan kuasa tersebut terhadap kandungan dan tahap ketelapan indelible ink itu hanya tertakluk kepada bahan yang sama dengan yang telah diuji oleh pakar-pakar berkenaan sahaja.

Wuduk

PENGGUNAAN dakwat kekal dalam pilihan raya digunakan bagi mengelakkan penipuan. -FOTO: BERNAMA

Syarat-syarat sah wuduk

Sudah tentulah setiap ibadah yang dilakukan pasti ada syarat-syarat tertentu. Ia termasuklah ketika berwuduk.

Memetik soal jawab agama yang disiarkan menerusi al-ahkam.net, majoriti ulama fiqh memutuskan bahawa syarat-syarat sah wuduk adalah seperti berikut:

i. Air wuduk yang suci hendaklah mengenai semua anggota tubuh yang wajib dikenakan wuduk. Jika ada sebesar lubang jarum kawasan tersebut tidak terkena air wuduk, maka ia dikira tidak sah.

ii. Menghilangkan apa-apa sahaja benda yang boleh menghalang air daripada sampai dan mengenai anggota-anggota wajib wuduk. Contohnya, cat, lilin, lemak, dakwat yang dipastikan ia sememangnya menghalang air sampai wuduk itu disebabkan bahan itu diperbuat daripada jenis tidak telus air (water resistant) dan cat kuku wanita.

iii. Tiada perkara-perkara yang boleh membatalkan wuduk itu berlaku ketika seseorang itu berwuduk. Misalnya, berlakunya haid, nifas atau air kencing.

iv. Bagi mereka yang bertayamum, hendaklah dilakukan selepas masuknya waktu solat. Perkara itu tidak diakui oleh ulama fiqh Mazhab Hanafi.

Baca juga Berwuduk dalam keadaan tidak berpakaian, sah atau tidak?

Bagaimana jika terkena dakwat printer?

Wuduk

FOTO: PEXELS

Jika tangan seseorang terkena dakwat mesin cetak atau printer, al-ahkam.net menyarankan agar kita mengetahui kandungan dakwat tersebut ataupun dipastikan melalui pakar kimia.

“Jika ia benar-benar boleh menyebabkan air sembahyang itu tidak mengenai anggota-anggota wajib wuduk, maka dakwat itu hendaklah dihilangkan terlebih dahulu seperti dengan menggunakan spirit dan sebagainya.

“Seandainya masih ada kesan dakwat printer itu setelah diusakan untuk menghilangkannya dengan bersungguh-sungguh (tidaklah secara sambil lewa sahaja), maka tidaklah mengapa kerana kejadian seperti itu termasuk sebagai apa yang disebut Umum al-Balwa (kesulitan yang dimaafkan oleh syarak),” katanya sebagaimana dipetik menerusi laman web berkenaan.

Sesungguhnya, Islam itu agama yang mudah, bukan untuk menyusahkan umatnya.