Browsing Tag

janji

Tunaikan janji
Isu,

Peringatan untuk para YB, tunaikan janji yang ditabur agar tidak tergolong dalam kelompok munafik

Peringatan untuk para YB, tunaikan janji yang ditabur agar tidak tergolong dalam kelompok munafik

SERING kali kita mendengar ungkapan ‘janji Melayu’. Biasanya frasa ini membawa kepada maksud yang negatif iaitu merujuk kepada janji yang tidak ditepati. Mengapakah terjadi sedemikian?

Benarkah masyarakat Melayu merupakan masyarakat yang sukar atau tidak suka menepati janji? Sehubungan itu, pepatah Melayu yang mengatakan `bagai menanam tebu di tepi bibir’ hendaklah diambil perhatian kerana ia merujuk kepada orang yang suka menabur janji tetapi tidak suka menunaikannya.

Terdapat dalam kalangan masyarakat Malaysia pada hari ini memang mudah menabur janji. Persoalannya sejauh mana janji itu ditepati?

Apatah lagi sebagai orang Timur yang dididik dengan ajaran Islam dan moral yang murni, sudah dimaklumi bahawa memungkiri janji adalah suatu dosa besar dan perbuatan itu bukan sahaja menghakis adat budaya tetapi mencemar kesucian Islam!

Baca juga Menipu anak kecil, dosa yang sering dilakukan tanpa sedar

Pemimpin seringkali menabur janji manis kepada rakyat tetapi hujungnya ia tidak ditunaikan. Ahli politik pula berusaha menarik khalayak dengan pelbagai janji yang sebahagiannya tidak mampu dilaksanakan.

Tunaikan janji

USAH sewenang-wenangnya menaburkan janji andai tidak mampu melunaskannya. Sebaiknya, tunaikanlah janji berkenaan. -Gambar hiasan

Penjual tiket bas berjanji kepada pembeli bahawa bas akan bertolak tepat pada waktunya, tetapi apabila tiba masanya bas masih tidak bertolak dan kadangkala lewat sejam atau setengah jam daripada waktu yang sepatutnya. Begitulah pelbagai ragam janji dalam masyarakat kita yang amat memalukan!

Usah sewenangnya menabur janji

Janji merupakan suatu perkara yang amat dipandang serius dalam Islam. Menepati janji adalah tuntutan syarak sebagaimana firman

ALLAH SWT dalam Surah al-Israk ayat 34 yang bermaksud: “Dan sempurnakanlah perjanjian (dengan ALLAH dan dengan manusia).

Sesungguhnya perjanjian itu akan ditanya”.

Ayat ini memperingatkan bahawa hidup manusia di dunia ini selalu terikat dengan janji.

Oleh itu, jangan mudah kita membuat janji sekiranya ia dijangka sukar dipenuhi apatah lagi sememangnya untuk dimungkiri. Apabila seseorang berjanji, ia wajib menunaikannya. Perbuatan mungkir janji bukan sahaja mengundang dosa dan kemurkaan ALLAH, bahkan akan turut menyusahkan orang lain.

Baca juga Abaikan amanah dilabel munafik dan tidak sempurna iman

Mungkir janji atau sengaja tidak mahu mengotakan janji akan mendapat dosa dan balasan seksa di akhirat. Individu sebegini dikategorikan dalam golongan yang beramal dengan sifat orang munafik.

Ia ditegaskan oleh Rasulullah SAW dalam sebuah hadis riwayat Imam Muslim yang bermaksud: “Di antara tanda-tanda orang munafik itu ada tiga, iaitu jika bercakap ia berbohong. Apabila berjanji ia memungkiri janji itu, dan sekiranya diberikan amanah ia mengkhianatinya.”

Tunaikan janji

ANDAI seseorang tidak tunaikan janji dan pernah berazam menyempurnakannya, tetapi terhalang oleh sesuatu keuzuran hingga ia tidak boleh dilunaskan, mereka tidaklah termasuk dalam golongan munafik..

Bagaimanapun, orang yang berjanji dan berazam menyempurnakan janji, tetapi terhalang oleh keuzuran yang menyebabkan janji tersebut tidak mampu dilaksanakan, ia tidaklah termasuk dalam golongan munafik.

Ayat al-Quran pula dengan tegas memerintahkan umat Islam supaya menunaikan janji apabila mereka berjanji menerusi firman ALLAH dalam Surah al-Maidah ayat 1 yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman, tunaikanlah janji-janji itu…”.

Maksud janji dalam ayat ini merangkumi perjanjian manusia dengan ALLAH dan perjanjian manusia sesama mereka. Firman ALLAH dalam Surah al-Baqarah ayat 177 yang bermaksud: “Dan orang yang menyempurnakan janjinya apabila mereka berjanji, mereka itulah orang yang benar-benar beriman dan mengerjakan kebajikan dan mereka itulah juga orang yang bertakwa”.

Justeru, mereka yang sering berjanji tetapi masih tidak tahu cara menunaikannya hendaklah ’belajar’ kembali untuk menuruti ajaran Islam melalui wahyu al-Quran dan as-Sunnah.

Mereka hendaklah berusaha bersungguh-sungguh menunaikan janji apabila berjanji. Akan tetapi sekiranya merasakan tidak mampu menunaikan janji, maka janganlah sekali-kali menabur janji agar terselamat daripada termasuk ke dalam golongan yang beramal dengan amalan orang munafik yang dikutuk oleh ALLAH!

Kepimpinan adalah amanah

Ketika kempen pilihan raya negeri baru-baru ini, ahli politik telah mengungkapkan pelbagai janji. Oleh yang demikian, janji yang telah diungkapkan itu mestilah ditunaikan dengan sebaik mungkin supaya tidak tergolong dalam golongan yang beramal dengan amalan golongan munafik yang khianat dan mungkir pada janji.

Tunaikan janji

TUNAIKAN janji yang sudah dibuat dan jangan sesekali mengkhianatinya. -Gambar hiasan

Kepimpinan bukanlah satu kebanggaan, bukan satu kehebatan dan bukan perkara yang menyeronokkan, tetapi kepimpinan adalah amanah ALLAH yang perlu dipikul dengan penuh tanggungjawab. Kepimpinan bermakna seseorang itu menerima bebanan besar dan akan dibicarakan oleh ALLAH di Padang Mahsyar kelak.

Baca juga Pikul amanah hingga akhirat, begitu besarnya tanggungjawab pemimpin

Pemimpin yang telah dilantik dan diberikan amanah serta tanggungjawab hendaklah menitik beratkan aspek solat, zakat, amar makruf nahi mungkar, pengurusan serta pentadbiran yang bersih dan mantap dan sebagainya yang boleh mendatangkan kebaikan dan kesejahteraan di dunia dan di akhirat.

Syeikh Mustafa Muhammad at-Tohhan di dalam bukunya Syakhsiah al-Muslim al-Mu’asir telah menyenaraikan beberapa amanah yang perlu dipikul oleh para pemimpin. Antaranya adalah menegakkan syariat Islam berbekalkan panduan yang telah diturunkan oleh ALLAH melalui Nabi Muhammad SAW. Seterusnya menegakkan keadilan dalam kalangan manusia tanpa mengira warna kulit dan bangsa serta mengambil tahu dan prihatin terhadap permasalahan rakyat.

Selain itu, amanah yang perlu dilaksanakan adalah membangunkan negara dengan jaminan pendidikan dan kesihatan, membuka ruang perdagangan, perusahaan dan pertanian, menjamin hak asasi manusia dan hak persamaan mereka di sisi undang-undang dan seterusnya menjamin kebebasan mengeluarkan pendapat dalam kalangan rakyat jelata.

***Artikel ditulis oleh Prof Madya Ustaz Dr Mohd Sukki Othman yang merupakan Pensyarah Wacana Aqidah, Fiqh, Seerah, Akhlak dan I’jaz Al-Quran, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia

Berhutang
Isu,

Orang berhutang cenderung berbohong dan tak tepati janji? Rasulullah SAW pernah beri peringatan tentang hal ini

SEDAR atau tidak, agak sukar untuk hidup tanpa berhutang. Lebih-lebih lagi jika melibatkan keperluan seperti rumah dan kereta. Ia menuntut wang yang banyak untuk memilikinya.

Tidak hairanlah ramai yang membuat pinjaman daripada institusi perbankan bagi tujuan tersebut jika melibatkan jumlah pembiayaan yang besar.

Andai kecil nilainya, barangkali ada yang suka mengambil pendekatan untuk berhutang dengan orang lain.

Meskipun hutang diharuskan dalam Islam, namun ada tanggungjawab yang perlu dilunaskan. Paling penting, ia wajib dibayar semula sekalipun roh sudah terpisah daripada jasad.

Namun begitu, terlalu banyak cerita kurang enak kita dengar jika melibatkan hutang sesama manusia. Bukan sahaja ada yang buat-buat lupa hendak bayar balik, tetapi langsung tidak dapat dihubungi dan hilang jejak begitu sahaja.

Baca juga Amalkan doa ini supaya orang membayar hutang kita

Malah, ada yang sanggup mencipta helah dan berbohong apabila wang dipinjam itu diminta semula oleh pemiutang.

Berhutang

JANGAN sengaja mencipta pelbagai helah dan berbohong apabila pemiutang menuntut semula hutangnya. -GAMBAR HIASAN/ FOTO: 123RF

Disebabkan itulah, menurut news.detik.com, terdapat anjuran yang menyuruh kita untuk menghindari diri daripada berhutang.

Salah satunya disebut dalam hadis yang menjelaskan bahawa Rasulullah SAW sentiasa berdoa kepada ALLAH SWT dan memohon perlindungan-NYA agar tidak dikelilingi hutang.

Daripada Aisyah RA bahawa Rasulullah SAW biasa berdoa di akhir solatnya: “Ya ALLAH, aku berlindung kepada-MU daripada berbuat dosa dan banyak hutang.”

Lalu, ada yang berkata kepada baginda SAW: “Mengapa engkau sering meminta perlindungan daripada hutang, wahai Rasulullah?”

Baginda bersabda: “Jika orang yang berhutang apabila dia berkata, dia akan sering berdusta. Jika dia berjanji, dia akan mengingkari.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Melihat ungkapan hadis berkenaan, jelaslah mengapa kita sering kali melihat bahawa orang yang berhutang cenderung untuk berbohong dan tidak menepati janjinya.

Baca juga Tak Halalkan Hutang Lama, Ini Hukumnya Yang Perlu Kita Tahu

Rupanya Rasulullah SAW sudah memberi amaran itu sebelum ini lagi menerusi as-Sunnah.

Malah, dalam satu riwayat lain, baginda juga pernah menolak ketika diminta untuk melakukan solat jenazah ke atas individu yang meninggal dunia, tetapi masih memiliki hutang yang belum dilunaskan.

Berhutang

SEKALIPUN nyawa sudah terpisah daripada jasad, hutang tetap hutang andai ia belum dilangsaikan. Segeralah lunaskannya jika pernah berhutang. -GAMBAR HIASAN/ FOTO: 123RF

Pahala kebaikan jadi ganti

Kepada mereka yang meminjam, lunaskanlah dengan kadar segera. Bukan apa, dikhuatiri jika kita mati dalam keadaan berhutang, begitu besar natijahnya.

Memetik artikel yang disiarkan dalam portal efaraid.mais.gov.my, orang yang mati dalam keadaan berhutang, pahala kebaikannya akan menjadi galang ganti jika warisnya juga tidak melangsaikannya menerusi harta pusaka si mati.

Abdullah bin Umar RA berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang mati dalam keadaan masih memiliki hutang, maka di hari akhirat tidak ada lagi urusan dinar dan dirham, yang ada hanyalah urusan berkaitan pahala kebaikan dan dosa kemaksiatan.” (Hadis Riwayat Abu Daud)

Baca juga Utamakan Hutang Berbanding Sedekah Walaupun Kepada Ibu Bapa

Justeru, apa sahaja pahala kebaikan yang pernah diraih oleh penghutang semasa hayatnya di dunia akan digantikan untuk membayar hutangnya yang belum sempat dilangsaikan.

Bayangkan jika amalan kita tidak sebanyak mana, tetapi ia telah diambil ketika di akhirat gara-gara perbuatan sendiri yang melengah-lengahkan dan mengambil mudah tentang soal hutang.

Jika ganjaran itu habis semuanya, tetapi masih ada lagi baki hutang, maka keburukan-keburukan daripada pemiutang tadi akan diberikan kepada orang yang berhutang. Na’uzubillah.

Berhutang

BAYANGKAN segala pahala hasil amalan yang dikumpul di dunia luruh bagaikan daun gugur bagi melangsaikan segala hutang piutang yang tidak dilunaskan. -GAMBAR HIASAN/ FOTO: PEXELS

Kehidupan orang berhutang yang tidak melunaskannya bukan sahaja ‘tidak aman’ di dunia, tetapi juga apabila dirinya sudah tiada lagi di muka bumi ini.

Ia sebagaimana disebutkan dalam hadis diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Jiwa seorang Mukmin tergantung dengan hutangnya sehingga dia melunaskannya.” (Hadis Riwayat at-Tirmidzi)

Baca juga Jiwa Orang Yang Cuai, Liat Bayar Hutang Akan Tergantung Selagi Dia Tidak Melunaskan Hutangnya

Oleh sebab itu, jika kita tiada keperluan mendesak untuk berhutang, elakkan daripada meminjam. Semoga hidup kita tidak akan diselubungi dengan hutang yang tidak berkesudahan.

Insya-ALLAH
Aqidah,

Ketahui waktu sesuai ucap insya-ALLAH, jangan sesekali salah guna

LAFAZ insya-ALLAH sering kali diungkapkan apabila seseorang merancang untuk melakukan sesuatu kelak atau ketika berjanji.

Ketahuilah, kalimah mulia yang bermaksud ‘Jika ALLAH mengkehendaki’ itu menyandarkan kebergantungan kita kepada-NYA kerana DIA sahajalah yang menentukan sesuatu itu berlaku ataupun tidak.

Masakan tidak, kita tidak tahu apakah yang akan terjadi kemudian atau pada masa yang dijanjikan tersebut.

Peringatan itu ada dinyatakan oleh ALLAH SWT menerusi firman-NYA yang bermaksud: “Dan janganlah sekali-kali engkau mengatakan terhadap sesuatu, “Aku pasti melakukan itu esok pagi”, kecuali (dengan mengatakan), “insya-ALLAH…” (Surah al-Kahf, ayat 23-34)

Sebenarnya, terdapat kisah di sebalik kalimah berkenaan.

Baca juga Jangan Khianati Amanah, Ia Prasyarat Menilai Keimanan

Portal berita berpengaruh di Indonesia, Republika melaporkan, Rasulullah SAW pernah ditanyakan oleh utusan orang Quraisy iaitu an-Nadlr bin al-Harts dan Uqbah bin Abi Mu’ith tentang kenabian baginda, pemuda ashabul kahfi dan berkaitan roh.

Namun begitu, baginda bersabda: “Aku akan menjawab soalan kamu esok.”

Insya-ALLAH

LAFAZ insya-ALLAH menggambarkan tanda kebergantungan kita kepada ALLAH SWT atas segala perkara yang dirancang. -FOTO: 123RF

Rasulullah SAW menyatakan sedemikian tanpa ungkapan insya-ALLAH. Lalu, baginda pun menunggu wahyu sehingga 15 malam, tetapi Jibril tidak datang.

Disebabkan itu, orang Makkah mula mengejek baginda. Kemudian, Malaikat Jibril datang menegur Nabi Muhammad SAW supaya menuturkan insya-ALLAH untuk mengesahkan sesuatu esok sebagaimana disebutkan dalam ayat 23-24, Surah al-Kahf.

Pada masa sama, malaikat yang menyampaikan wahyu itu turut menitipkan tentang kisah ashabul kahfi (Surah al-Kahf, ayat 9-26), musafir iaitu Zulkarnain (Surah al-Kahf, ayat 83-101) dan perkara rohani (Surah al-Isra’, ayat 85).

Menurut Mufassir Ibn Jarir ath-Tabari dalam kitab Jaami’ul Bayan: “Ini adalah ajaran ALLAH kepada Rasulullah SAW supaya tidak memastikan sesuatu perkara itu berlaku tanpa halangan, melainkan mengaitkannya dengan kehendak ALLAH SWT.”

Baca juga Benarkah Rasulullah tidak menyebut “umatku, umatku” tatkala kewafatan Baginda?

Sesungguhnya, begitu hebatnya maksud kalimah insya-ALLAH itu sendiri. Republika.co.id melaporkan, sekurang-kurangnya tersirat empat makna di sebalik lafaz mulia berkenaan iaitu:

i. Manusia mempunyai kebergantungan tinggi kepada perancangan dan ketentuan ALLAH (Tauhid).
ii. Jauhi sifat sombong kerana kejayaan yang digapai tidak kiralah dalam apa jua bentuk termasuk politik, kekayaan, ilmu dan status sosial.
iii. Menunjukkan sifat tawaduk (batasan diri untuk melakukan sesuatu) di hadapan manusia dan ALLAH SWT.
iv.P erkataan insya-ALLAH itu bermaksud keyakinan untuk hari esok yang lebih baik.

Ucap insya-ALLAH, tetapi tak memenuhi janji

Meskipun umat Islam diajar untuk mengungkapkan kalimah insya-ALLAH, namun bukan semua keadaan sesuai dilafazkan.

Misalnya, saat kita tiada kesungguhan untuk melakukan sesuatu, tetapi kita mengucapkan insya-ALLAH. Akhirnya, ia tidak ditepati.

Insya-ALLAH

JANGAN sesekali menyalahgunakan ungkapan insya-ALLAH. -FOTO: 123RF

Memetik artikel yang disiarkan menerusi laman web Tarbiah Sentap, perbuatan itu dikira menyalahgunakan lafaz insya-ALLAH.

Umpamanya, rakan mengajak kita ke surau untuk menunaikan solat Maghrib, lalu kita mengatakan; ‘Insya-ALLAH aku pergi kejap lagi, engkau gerak dulu’.

Baca juga Khianat sang pengamal rasuah

“Pada hakikatnya kita memang tidak mahu pergi pun. Ini berdosa kerana seolah-olah mempermainkan kalimah itu.

“Begitu juga apabila teman anda ajak pergi program tarbiah, tetapi kita pula memberi alasan ‘Hmm, insya-ALLAH saya pergi kot, tapi tak pasti lagi’. Padahal kita sendiri terasa berat hendak pergi dan tidak bersungguh. Ini juga berdosa,” katanya sebagaimana dipetik menerusi laman web tarbiahsentap.com.

Mengertilah, kalimah ALLAH sepatutnya digunakan bagi menggambarkan kesanggupan kita untuk bersungguh-sungguh melakukan sesuatu. Pada masa sama, menyandarkannya kepada ALLAH kerana semua berlaku atas izin daripada-NYA.

Tatkala lafaz berkenaan meluncur keluar dari bibir, ini bermakna kita sudah berjanji bersungguh-sungguh untuk mengotakannya. Itulah sifat orang Mukmin iaitu apabila berjanji, mereka akan berpegang padanya.

Andai kata memang kita tidak boleh pergi, laman web Tarbiah Sentap menyarankan agar berterus terang. Itu adalah lebih baik dan tidak merosakkan maksud atau kemurnian makna ungkapan insya-ALLAH itu sendiri.

Justeru, berhati-hatilah dalam menggunakan perkataan apabila bertutur. Jangankan kerana mulut, badan binasa.