Browsing Tag

janganputusasamalaysia

Berita Semasa,

Hikmah di sebalik Covid-19

HATI mana tidak merasa sayu dan sedih saat mendengar suara azan berkumandang tetapi kita tidak dapat solat berjemaah di masjid dan surau.

Hanya imam, bilal dan siak sahaja dibenarkan untuk mengerjakan solat di rumah ALLAH itu sebagai memenuhi tuntutan fardu kifayah.

Umat Islam yang selama ini solat berjemaah di rumah ALLAH terpaksa akur dengan arahan pihak berkuasa walaupun agak berat menerima kenyataan tersebut.

Khabar daripada pelbagai saluran media berhubung penularan pandemik koronavirus (Covid-19) secara global sudah semestinya diketahui umum.

Setakat artikel ini ditulis, wabak tersebut telah menjangkiti lebih sejuta orang. Ia meragut puluhan ribu nyawa di seluruh dunia termasuk Malaysia yang mana lebih 4,000 orang disahkan positif Covid-19.

Bagi menjaga kemaslahatan dan kepentingan nyawa manusia, maka Kerajaan Malaysia melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) agar rantaian virus Covid-19 diputuskan. Tujuannya untuk mengekang virus daripada merebak dan membunuh lebih ramai mangsa.

Malangnya keprihatinan kerajaan itu diambil ringan oleh segelintir masyarakat. Ada yang sengaja melanggar perintah yang dikuatkuasakan dengan pelbagai alasan tidak munasabah. Tidak kurang yang menyelar pihak berkuasa agama kerana terpaksa menutup masjid dan surau demi keselamatan jemaah.

Bukankah arahan untuk taat kepada pemerintah atau ketua merupakan salah satu tuntutan dalam syariat Islam?

Firman ALLAH SWT: “Wahai orang-orang yang beriman taatlah kamu kepada ALLAH dan taatlah kamu kepada rasul dan ulil amri (pemerintah/ ketua) kalian.” (Surah al-Nisa, ayat 59)

Ayat itu jelas menuntut umat Islam agar taat kepada pemerintah yang merupakan kewajipan daripada perintah ALLAH SWT. Justeru, apa yang dilakukan oleh kerajaan dan pihak berkuasa agama adalah amat bertepatan bagi memastikan rakyat dilindungi.

Sekiranya arahan kerajaan dan pihak berkuasa tidak dipatuhi, besar kemungkinan pandemik itu akan merebak dengan cepat sehingga meragut lebih banyak nyawa tidak bersalah sepertimana yang berlaku di China, Itali, Sepanyol, Amerika Syarikat dan beberapa negara lain.

Jangan putus asa

Kesabaran dan doa semua pihak amat dituntut dalam tempoh PKP dilaksanakan. Anggaplah ia sebagai ujian ALLAH SWT. Jangan mudah berputus asa dengan ujian yang diberi.

Jika selama ini, kita merungut kerana terlalu sibuk bekerja sehingga tiada masa bersama keluarga, inilah masa terbaik untuk meluangkan masa bersama insan tersayang.

Sepatutnya kita bersyukur dan mengambil pengajaran. Setiap ujian ALLAH SWT itu pasti ada hikmah yang besar di sebaliknya.

Hikmah Covid-19

BERSAMA-SAMALAH kita bermunajat kepada ALLAH SWT agar wabak Covid-19 dapat segera dikekang.

Dengan hanya duduk di rumah dan mematuhi PKP, sebenarnya kita telah membantu para petugas barisan hadapan yang bertungkus-lumus berjihad menghadapi kesan wabak Covid-19 dengan penuh kesabaran dan kecekalan. Sudah tentu mereka akan mendapat ganjaran yang istimewa di sisi ALLAH SWT atas pengorbanan yang dilakukan bagi memastikan nyawa manusia terus dipelihara.

Marilah sama-sama kita menggali hikmah di sebalik Covid-19 yang berlaku hari ini:

1. Muhasabah diri dengan mengambil pengajaran daripada berlakunya wabak yang melanda. Perbanyakkan program ibadah dan dekatkan diri kepada ALLAH SWT melalui solat fardu secara berjemaah, solat-solat sunat, menghafaz al-Quran, bertaubat, berzikir dan banyakkan bersyukur atas nikmat yang diberikan selama ini terutamanya nikmat Islam.

2. ALLAH SWT akan memberikan ganjaran bagi mereka yang taat dan patuh kepada arahan pemerintah dalam masa pengawalan wabak Covid-19 sepertimana dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Aisyah RA: “Aku bertanya Rasulullah S.A.W mengenai wabak taun. Baginda menjawab itu adalah azab yang ALLAH turunkan kepada sesiapa yang ALLAH kehendaki. ALLAH akan jadikan penyakit itu sebagai rahmat kepada orang-orang beriman. Tidak ada sesiapa yang terkena taun dan duduk tetap di negerinya dalam keadaan sabar, mengharapkan ganjaran ALLAH dan yakin jangkitan yang berlaku adalah ketentuan ALLAH, melainkan ALLAH akan memberinya pahala syahid.”(Riwayat al-Bukhari)

3. Menjalinkan hubungan rapat bersama keluarga dengan lebih akrab melalui masa berkualiti. Lakukanlah solat berjemaah, makan bersama, membaca al-Quran dan menambah kemahiran insaniah (soft skill) seperti sikap prihatin, sabar, kebolehan mendengar dengan baik, memimpin dan mengurus keluarga dan anak-anak dan teknikal (hard skill) termasuk berinteraksi menggunakan aplikasi dalam internet, memasak dan berkebun yang selama ini tidak sempat dilakukan bersama.

4. Mengajar kita erti menghargai anugerah kesihatan dengan memastikan kesihatan diri dipelihara dengan baik dan kebersihan kawasan persekitaran serta tempat ibadah bagi mengelak jangkitan penyakit berbahaya.

5. Memberi peluang  kita mengurus masa dan kewangan dengan lebih teratur dengan mengutamakan perkara-perkara yang dharuriy berbanding

Ketahuilah bahawa wabak Covid-19 telah menyatukan masyarakat di Malaysia tanpa mengira pegangan politik, bangsa mahu pun agama. Ini terbukti dengan peningkatan program pungutan dan agihan sumbangan kepada para petugas di barisan hadapan dan individu yang kehilangan pekerjaan disebabkan pandemik berkenaan..

Kesedaran yang timbul menyebabkan masyarakat bersatu menghadapi musuh yang sama. Pada masa sama, umat Islam bersama-sama bermunajat kepada ALLAH SWT memohon agar wabak Covid-19 dapat segara dikekang.

***Artikel ditulis oleh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS)

 

Berita Semasa,

Mahu jadi ayah yang hebat? Contohi sifat Luqman al-Hakim

RAMAI orang beranggapan mereka pandai mendidik anak-anak masing-masing. Hakikatnya, sebagai ibu bapa, kita juga sedang mendalami proses pembelajaran melalui pengalaman dalam mendidik zuriat sendiri.

Masakan tidak, kita tidak pernah diajar tentang cara untuk mendidik anak-anak secara formal. Jauh sekali menggenggam segulung sijil mahupun ijazah keibubapaan.

Sebab itulah ilmu keibupabaan perlu digali sendiri. Jangan anggap ia suatu perkara yang mudah kerana tanggungjawab yang dipikul begitu berat. Sedar atau tidak, kitalah yang mencorakkan anak-anak dan membentuk sahsiah mereka. Ia bukan sekadar menyediakan makanan, pakaian dan keperluan sahaja.

Dalam hal ini, Islam menganjurkan kita untuk mendidik anak-anak secara berhikmah. Bagaimana untuk menjadi ibu bapa yang hebat?

Surah Luqman menceritakan perihal seorang hamba ALLAH bernama Luqman al-Hakim yang dikurniakan hikmah dan kebijaksanaan dalam mendidik anak-anaknya.

Walaupun beliau bukanlah seorang nabi ataupun rasul, namun Luqman al-Hakim merupakan bapa yang hebat sehinggakan ALLAH SWT merakamkan namanya dalam al-Quran.

Malah, dua kali nama Luqman disebut dalam al-Quran menerusi ayat 12 dan 13, Surah Luqman.

Penasihat Rumah Ngaji Malaysia, Ustaz Safri Muhammad Zein berkongsi kisah bagaimana Luqman berkomunikasi dan mendidik anak-anaknya menerusi Tadabbur Ayat-Ayat Keluarga yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook QuranHour.

Ayat yang hebat

USTAZ SAFRI

Ujar beliau, ALLAH menggambarkan Luqman sebagai seorang ayah yang hebat. Beliau diberikan al-Hikmah iaitu mengerjakan suatu perkara dengan ilmu pengetahuan yang dikurniakan-NYA.

“Seseorang yang ada ilmu apabila beribadah dengan ilmu yang diberikan oleh ALLAH SWT, dia akan mendapatkan hikmah daripada ALLAH.

“Salah satu kehebatan Luqman ialah beliau sentiasa bersyukur kepada ALLAH. Para ayah perlu mencontohi Luqman. Apakah kita termasuk sebagai seorang ayah yang bersyukur kepada ALLAH? Apakah kita termasuk dalam orang yang mensyukuri nikmat yang ALLAH berikan kepada kita seperti kesihatan, keluarga, harta dan sebagainya?,” ujar beliau mengajak kita supaya bermuhasabah diri.

Ketika Luqman berkata dan menasihatkan anaknya, jelas Ustaz Safri, lafaz ya’izu pada ayat 13, Surah Luqman ada perbezaan dengan nasihat. Ya’izu diambil daripada perkataan mau’izah.

“Nasihat merupakan sekumpulan kata-kata pilihan yang bernilai dan baik sifatnya iaitu amar makruf nahi mungkar. Mau’izah pula bermaksud ucapan dalam bentuk keperibadian berunsur nasihat, tetapi isinya sama ada dalam bentuk perintah atau larangan.

“Jadi, tugas seorang ayah itu tidak hanya menasihati anaknya, tetapi juga melakukan mau’izah iaitu memberikan peringatan dan larangan dalam bentuk motivasi atau apa jua keadaan dapat memberikan bimbingan kepada anak tersebut,” jelas beliau.

Ayat yang hebat

AYAH yang hebat akan membentuk keperibadian yang baik kepada anak dan keluarga mereka.

Bukan itu sahaja, seorang ayah juga perlu menggunakan nama panggilan anak yang paling indah dalam menyampaikan mau’izah seperti mana yang dilakukan oleh Luqman kepada anaknya, terang Ustaz Safri.

“Luqman menggunakan panggilan Ya bunayya (wahai anak kesayanganku). Dalam konsep bahasa Arab, perkataan Ya bunayya merupakan panggilan yang paling indah, lembut dan boleh memberi kesan kepada orang yang mendengar khususnya kepada anak.

“Justeru, gunakanlah panggilan yang indah-indah kepada anak kita seperti Along, Angah, Adik, Baby dan sebagainya supaya mau’izah itu sampai kepada anak-anak. Jangan panggil dengan suara yang tinggi dan tidak menyedapkan hati. Tunjukkan keperibadian kita sebagai seorang ayah yang hebat,” jelas beliau.

Pendek kata, untuk menjadi seorang ayah yang hebat, kita memerlukan empat perkara penting ini sebagai asas sebagaimana dilakukan oleh Luqman al-Hakim:

1. Seorang ayah mestilah sentiasa bersyukur atas nikmat yang diberikan ALLAH SWT.

2. Tanamkan sifat syukur ke dalam diri, isteri, keluarga dan anak-anak.

3. Berusahala untuk memiliki kebijaksanaan iaitu bagaimana menyampaikan dan menyalurkan maklumat yang baik kepada anak terutama dalam bimbingan akidah atau tauhid agar keluarga kita tidak mensyirikkan ALLAH.

4. Sentiasa berdialog dan berkomunikasi dengan anak. Komunikasi merupakan salah satu perkara penting dalam kehidupan kita sehinggakan hampir 14 kali ALLAH SWT menyebut komunikasi antara seorang ayah dengan anak dalam al-Quran.

Ya, memang berat tanggungjawab ketua keluarga ini. Namun, kita berusahalah menjadi ayah yang terbaik untuk anak-anak kita.

Kelak, mereka juga akan berbuat perkara yang sama kepada kita dan generasi mereka.

Berita Semasa,

Usah lepaskan peluang berdoa, bermunajat pada malam nisfu Syaaban hari ini

TERBENAMNYA matahari pada hari ini menandakan bahawa masuknya malam nisfu Syaaban. Ini bererti, kita sudah berada pada setengah purnama dalam bulan Syaaban.

Sesungguhnya, malam nisfu Syaaban mempunyai keutamaan dan kelebihannya yang tersendiri.

Ia merupakan antara bulan hijri yang penuh dengan kemuliaan dan keberkatan, selain menjadi petanda yang amat dirasai oleh seluruh umat Islam sebelum kehadiran Ramadan.

Meskipun negara kita dan seluruh dunia dilanda ujian dan musibah wabak koronavirus (Covid-19), ia tidak menghalang kita untuk melakukan ibadah di mana sahaja kita berada termasuk di dalam rumah.

Malah, amatlah wajar jika bulan Syaaban yang penuh dengan keberkatan itu diisi dengan munajat dan doa untuk memohon pertolongan daripada ALLAH SWT.

Menyedari tentang hakikat itu, Jabatan Agama Islam Selangor menerusi Pengarahnya, Mohd Shahzihan Ahmad mengeluarkan arahan supaya munajat khas diadakan sempena malam nisfu Syaaban di masjid dan surau negeri Selangor. Ia juga bakal dijayakan oleh umat Islam di dalam kediaman masing-masing.

Doa dan munajat pada malam nisfu Syaaban

AYUH bersama-sama kita berdoa dan bermunajat kepada ALLAH SWT agar diampunkan dosa serta ‘diangkat’ segala musibah penyakit yang sedang melanda dunia ketika ini.

Kaedah pelaksanaannya adalah seperti berikut:

1. Imam yang dijadualkan akan mengalunkan zikir munajat dan membaca doa melalui pembesar suara luar masjid atau surau.

2. Pelaksanaan munajat dibuat selepas solat fardu Maghrib pada 8 April 2020 bersamaan 15 Syaaban 1441 Hijrah.

3. Ahli kariah akan mengikuti alunan zikir munajat dan mengaminkan doa yang dibaca di kediaman masing-masing.

4. Ahli-ahli kariah yang tidak dapat mendengar dari masjid, surau ataupun musolla hendaklah turut berzikir dan mengaminkan doa yang disiarkan langsung melalui Facebook Live Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (Masjid Negeri) dan Masjid Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong.

Kepada semua penduduk di Selangor atau sesiapa sahaja, ayuhlah kita bersama-sama bermunajat kepada ALLAH pada malam yang penuh keberkatan ini.

Berdoalah dan mohonlah pertolongan daripada-NYA agar kita keluar daripada musibah yang sedang dihadapi ketika ini.

Semoga segala amal yang kita lakukan diterima oleh-NYA.

Berita Semasa,

Ini sebabnya kenapa petugas ‘frontliners’ boleh solat jamak tamam

MESKIPUN bukan dalam keadaan bermusafir, para petugas frontliners kita boleh menjamakkan solat mereka.

Ia sepertimana yang ketika ini dilakukan oleh mereka terutama apabila telah memakai peralatan perlindungan peribadi (PPE) sehingga berjam-jam.

Namun begitu, masih ada masyarakat dalam kalangan kita yang keliru dan kurang faham kenapa mereka boleh melakukan solat jamak tersebut.

Bagi merungkaikan kemusykilan itu, pendakwah dan penulis, Ustaz Syed Shahridzan Syed Mohamed menerangkan dengan ayat yang mudah difahami.

Ikuti penerangan beliau:

“Menurut pendapat muktamad dalam Mazhab Syafie, keharusan dua solat dijamakkan hanya pada 3 situasi iaitu:

1. Musafir.
2. Hujan lebat yang mana hanya dilakukan secara berjemaah di masjid.
3. Imam Nawawi menambah satu lagi keadaan iaitu sakit yang sukar untuk mendirikan solat pada setiap waktu.

Jika tidak menghadapi situasi di atas, kita tidak dibenarkan untuk menjamakkan solat mengikut pandangan majoriti mazhab-mazhab fiqh.

Ia sebagaimana disebutkan Imam Nawawi dalam kitabnya, al-Majmu’: “Menurut mazhab-mazhab mereka mengenai jamak (solat) dalam permukiman tanpa sebab takut, bukan musafir dan tidak sakit, mazhab kami (Syafie), mazhab Abu Hanifah, Malik, Ahmad dan majoriti ulama sesungguhnya ia tidak diharuskan.”

Walaupun menurut Mazhab Syafie yang paling kuat (muktamad) menyebut, tiada solat jamak bagi seseorang yang dalam situasi sibuk dan seumpamanya, namun terdapat pendapat kedua (marjuh) dalam mazhab berkenaan yang mengharuskan solat jamak dalam keadaan tersebut.

Dalam kitab Raudah al-Tolibin, Imam Nawawi menyatakan: “Al-Khattabi telah meriwayatkan daripada al-Qaffal al-Kabir al-Shashi, daripada Abu Ishaq al-Marwazi tentang keharusan menjamakkan solat di permukiman kerana hajat mendesak tanpa mensyaratkan takut, hujan dan sakit. Pendapat ini juga dinyatakan oleh Ibnu al-Mundzir dalam kalangan ashab (ulama-ulama) kami.”

Menurut pendapat sebahagian Ashab Syafie, ia jelas menunjukkan tentang keharusan jamak solat sama ada taqdim atau ta’khir dalam keadaan hajat yang mendesak, asalkan tidak dijadikan sebagai adat kebiasaan.

Hal ini seperti tugasan yang dilalui oleh petugas-petugas frontliners Kementerian Kesihatan Malaysia yang bertungkus-lumus merawat dan mengekang penularan wabak Covid-19. Namun, hanya solat jamak tamam yang dibenarkan, bukan jamak dan qasar.

Solat jamak tamam adalah menghimpunkan dua solat dalam satu waktu tanpa mengurangkan bilangan rakaat solat berkenaan. Sebagai contoh, solat Zuhur yang dijamakkan bersama solat Asar yang mana kedua-duanya masing-masing dilakukan sebanyak empat rakaat.

Petugas frontliners solat jamak

Petugas frontliners boleh melakukan solat jamak tamam tanpa mengurangkan bilangan rakaat solat jika keadaan hajat yang mendesak.

Kewajaran hukum ini untuk mereka amalkan kerana melihat keadaan mereka yang terlalu sibuk sehingga terpaksa bekerja lebih masa.

Tambahan pula, mereka menghadapi kesukaran untuk menukar pakaian keselamatan PPE dari semasa ke semasa dan ini pasti agak menyukarkan mereka untuk mendirikan solat setiap waktu.

Nasihat untuk orang-orang awam di luar sana agar tidak memanipulasikan pendapat kedua ini untuk tujuan kesenangan yang sewenang-wenangnya atau mengikut hawa nafsu.

Kita perlu bersikap bertanggungjawab dalam ibadah solat iaitu wajib mendirikan solat pada waktu-waktu yang telah ditentukan oleh ALLAH dan Rasul-NYA, melainkan dalam keadaan hajat yang sangat mendesak seperti situasi wira-wira barisan hadapan frontliners kita yang sedang berjuang,” kata beliau.

Sesungguhnya, Islam agama yang mudah dan tidak membebankan umatnya untuk melakukan ibadah.

Tunaikanlah kewajipan kita selagi masih bernyawa di muka bumi ALLAH ini.

(Sumber: Facebook Ustaz Syed Shahridzan Ben-Agil)

Foto: Bernama & 123rf

Berita Semasa,

Subhanallah, ramainya wakaf al-Quran

AL-QURAN bukan sekadar dibaca, tetapi ia juga mampu dijadikan sebagai penyembuh penyakit hati dan tekanan.

Ketika dunia dilanda wabak Covid-19, kalam ALLAH itu sangat diperlukan supaya hati tenang ketika menghadapi ujian ini dan mendekatkan diri kepada ALLAH, selain berfungsi sebagai penyembuh rohani yang terbaik.

Apatah lagi ketika ini berbaki lagi 16 hari menjelang Ramadan yang amat sinonim dengan bulan ibadah kerana keistimewaan yang ada padanya.

Bagi mengaktifkan #QuranTime Corner menjelang Ramadan, Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) menggerakan inisiatif Projek Wakaf al-Quran ke hospital, pusat kesihatan dan pusat kuarantin di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Sebanyak 15,000 naskhah al-Quran disasarkan dalam projek wakaf ini, kata Ketua Pegawai Eksekutif WUIF, Marhaini Yusoff.

Wakaf al-Quran

Projek Wakaf Al-Quran ke hospital, pusat kuarantin dan pusat kesihatan menyasarkan 15,000 naskhah al-Quran.

Projek ini melibatkan al-Quran Mu’jam iaitu mempunyai terjemahan per kata dan tajwid berwarna bagi membantu semua saudara kita di hospital untuk berinteraksi dengan al-Quran; membacanya dengan baik dan memahami isi kandungannya.

Bagi mendapatkan perincian lanjut, panduan diberikan di TV Alhijrah menerusi Malaysia #QuranTime pada jam 12 tengah hari dan ulangan jam 10 atau 11 malam.

Setakat jam 9 pagi tadi, sebanyak 10,309 naskhah Al-Quran wakaf telah diterima sejak ia dilancarkan pada hari Jumaat lalu.

Kepada sesiapa yang berhajat untuk menyertai projek wakaf ini, dialu-alukan berbuat demikian menerusi cara ini:

Untuk menyumbang sebagai pewakaf al-Quran, orang ramai boleh mendaftar di http://bit.ly/wakafquranhospital. Bayaran wakaf boleh dibuat kepada Warisan Ummah Foundation melalui nombor akaun Maybank Islamik 564276516031 atas nama dengan rujukan Wakaf Quran.

Ketika pembayaran dilakukan, pewakaf turut disarankan untuk meniatkan wakaf tersebut atas nama penyumbang.

Slip pembayaran boleh dihantar ke http://www.wasap.my/60193803635/WakafQuran.

Untuk makluman, sebahagian agihan ada dibuat pada hari Sabtu dan Ahad lalu antaranya di pusat kuarantin yang menempatkan sekitar 200 orang dan Hospital Sungai Buloh yang menempatkan ramai pesakit serta petugas, selain di Hospital Shah Alam.

Wakaf al-Quran

ANTARA agihan wakaf al-Quran sumbangan orang ramai yang telah diagihkan di Hospital Sungai Buloh baru-baru ini.

Sumbangan wakaf itu akan dimanfaatkan untuk menggerakkan #QuranCorner yang mana ia akan menjadi ruang untuk sesiapa sahaja yang berada di hospital memanafaatkannya untuk berinteraksi dengan al-Quran walaupun sekejap.

Semoga dengan sedikit masa bersama al-Quran yang besar kesannya sebagai panduan, peringatan, penyembuh, ia menjadi cara untuk rehat dan rawat dengan izin-NYA.

Ketahuilah bahawa wakaf akan menjadi sedekah jariah kita, insya-ALLAH.

Menurut Mufti Mesir, Prof Dr Ali Gom’ah, wakaf merupakan antara cara kita menyumbang untuk membebaskan diri kita daripada cintakan harta.

Wakaf yang dilakukan secara sukarela adalah hadiah kita kepada sesama sehingga ia menimbulkan rasa kasih kepada penerima.

Semoga dengan formula wakaf ini, terbit rasa kasih sesama kita dan melahirkan ramai rakyat Malaysia yang lebih baik.

#JanganPutusAsaMalaysia

Foto: Facebook QuranHour

Agama from Sinar Plus
Berita Semasa,

Sunat laungkan azan, iqamat di rumah sama ada solat sendiri atau berjemaah

SEPANJANG tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini, kehidupan kita memang tak ‘lari’ dari dalam rumah. Ini termasuklah solat di kediaman masing-masing.

Kalau solat di masjid atau surau, sudah tentulah ada laungan azan yang menandakan masuknya waktu solat. Kemudian, diikuti dengan iqamat sebelum menunaikan solat secara berjemaah.

Kemusykilan mula timbul apabila kita berada di rumah pada waktu PKP untuk mengekang penularan wabak Covid-19. Adakah perlu juga untuk kita melaungkan azan dan melafazkan iqamat di rumah?

Sebelum meleraikan jawapannya, kita perlu faham bahawa azan merupakan salah satu daripada syiar agama Islam yang bertujuan untuk memberitahu bahawa telah masuknya waktu bagi solat-solat fardu. Ia disyariatkan sebaik sahaja masuk waktu solat.

Begitu juga dengan iqamat. Tujuannya tak lain tak bukan adalah untuk memberitahu bahawa solat akan didirikan.

Ketahuilah bahawa hukum melaungkan azan dan iqamat adalah sunat muakkad bagi kesemua lima solat fardu sehari semalam, menurut Mazhab Imam Syafie.

Ia sebagaimana yang disebutkan oleh Imam Al-Nawawi: “(Di sisi) mazhab kami (pendapat) yang masyhurnya adalah keduanya (azan dan iqamat) itu sunat bagi kesemua solat semasa hadir (tidak bermusafir) dan juga semasa musafir, bagi (solat) berjemaah dan juga solat secara bersendirian. Keduanya itu tidak wajib maka sekiranya seseorang meninggalkan keduanya, maka sah solat secara bersendirian dan juga secara berjemaah.” (Rujuk Al-Majmu’ Syarah al-Muhazzab, Al-Nawawi (3/82)

Pendapat itu juga turut disokong oleh beberapa tokoh fuqaha dalam kalangan mazhab yang lain seperti Malikiyyah.

Justeru, seseorang yang menunaikan solat di rumah sama ada secara berjemaah atau sendirian, disunatkan juga untuk melaungkan azan dan juga iqamat.

Bagaimanapun, solat yang didirikan tanpa azan dan iqamat, hukumnya adalah makruh kerana meninggalkan perkara yang sunat. Namun begitu, solatnya tetap sah.

Lebih afdal dan dituntut jika kita melaungkan azan dan iqamat setiap kali ingin mendirikan solat fardu sama ada secara berjemaah atau secara bersendirian dalam tempoh ini.

Bagi solat-solat sunat pula, tidak disyariatkan azan dan iqamat.

Kepada mereka yang sebelum ini tidak berbuat demikian, apa kata selepas ini kita amalkan bersama-sama.

Siapa lagi yang hendak mengimarahkan rumah kita kalau bukan kita sendiri kan?

(Sumber: Al-Kafi #1677: Perlukah Azan dan Iqamah Sekiranya Solat Dilakukan di Rumah, portal rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan)

Berita Semasa,

Dapatkan ‘smart’ pahala Ramadan, bermula sekarang

JIKA dihitung, lagi 20 hari kita akan masuk bulan Ramadan. Pejam celik, pejam celik memang tak lama dah bulan puasa akan tiba.

Lazimnya ketika ini kita sudah sibuk buat persiapan untuk berhari raya. Ya, masa inilah kita nak rasa sampel kuih raya dan kemudian buat tempahan. Mestilah nak rasa dulu kuih raya sebelum buat tempahan, bukan?

Namun dalam keadaan Tempoh Kawalan Pergerakan (PKP) ini memang tak bolehlah kita nak buat macam dulu lagi. Sebaiknya, patuhi sahaja arahan kerajaan kerana ia demi kebaikan bersama.

Namun dengan masa yang ada bersama keluarga sekarang, kita kena manfaatkannya. Oleh sebab bulan Syaaban pula datang ketika musim PKP, ada baiknya jika kita tidak melepaskan waktu yang ada untuk membuat persiapan menghadapi bulan Ramadan al-Mubarak.

Itulah yang disarankan oleh pendakwah, Senator Ustazah Asmak Husin kepada Sinar Plus baru-baru ini.

USTAZAH ASMAK

“Barangkali sebelum ini kita ada buat persiapan, namun ada sedikit kekangan disebabkan sibuk dengan kerja dan sebagainya. Namun kini, gunakan peluang PKP ini untuk bermuhasabah, membina hubungan dan ‘membangunkan’ Syaaban bersama keluarga.

“Apatah lagi tidak lama lagi kita akan menyambut bulan Ramadan dijangka pada hujung bulan ini,” katanya kepada Sinar Plus.

Bagi membuat persiapan bulan Ramadan, kata Ustazah Asmak, kita perlukan persediaan fizikal atau jasmani yang mana ia memerlukan aktiviti senaman agar badan sihat dan cergas.

“Boleh lakukan aktiviti seperti joging bersama keluarga di rumah. Kalau boleh, kita mahukan supaya bulan puasa nanti tidak demam dan badan sentiasa sihat serta cergas. Bukan apa, kita mahu kejar ibadah sebanyak mungkin antaranya solat tarawih, solat tahajud dan sebagainya selama 30 hari. Ia termasuklah soal penjagaan pemakanan yang kena bermula dari sekarang.

“Bukan itu sahaja, kita juga memerlukan persediaan dari sudut ibadah. Ketika musim PKP pada bulan Syaaban ini, ayuh kita saling ingat mengingati ilmu-ilmu berkaitan dengan bulan Ramadan. Barangkali, kita boleh lakukan tazkirah pendek selepas Maghrib atau Zuhur mengikut kesesuaian dan memberikan fokus kepada Ramadan,” jelas beliau.

Untuk mendapatkan pahala yang sempurna pada bulan Ramadan, Ustazah Asmak mencadangkan agar perihal fikah berkaitan Ramadan turut dititikberatkan.

“Siapa yang tidak mahukan smart pahala iaitu pahala berganda-ganda ketika Ramadan, bukan? Jadi mulakan belajar fikah Ramadan dari sekarang. Inilah juga masanya kita hendak memperbetulkan segala ibadah kita agar pahalanya sempurna. Berdoalah agar puasa kita nanti diberikan pahala, bukan hanya dapat letih dan dahaga.

“Di samping itu, jangan lupa dengan persediaan rohani iaitu memupuk keimanan. Fahamilah apa itu beriman kepada ALLAH, rasul, qada dan qadar, hadi kiamat, al-Quran dan sebagainya. Tiada salahnya jika kita mengadakan perbincangan sebegini dengan anak-anak,” ujar beliau mengakhiri perkongsian ilmunya.