Browsing Tag

Jangan sia-siakan umur

age-barros-rBPOfVqROzY-unsplash
Gaya Hidup, Gaya Hidup,

Jangan sia-siakan umur yang dikurniakan ALLAH SWT, ini sebabnya kenapa

HIDUP kita begitu singkat. Kadangkala dirasakan terlalu pantas sahaja masa berlalu sehinggakan kita tidak sedar apa yang dilakukan sepanjang hari berkenaan.

Barangkali kita terlalu ralit dengan kesibukan kerja, selain menguruskan rutin harian, tidak sedar masa berlalu begitu cepat tanpa menunggu kita.

Mungkin disebabkan itulah kita selalu mendengar ungkapan masa itu adalah emas. Benarlah, sesiapa yang tidak memanfaatkan masa dengan baik, mereka akan rugi.

Masakan tidak, bukan sahaja kerja tidak dapat disiapkan mengikut tempoh ditetapkan, tetapi juga membuatkan urusan kehidupan kita kelam-kabut tanpa pengurusan masa yang teratur.

Ketahuilah, masa terasa begitu pantas itu merupakan antara tanda-tanda menuju kiamat, kata pendakwah Ustaz Elyas Ismail.

Ia sebagaimana disebutkan dalam sebuah hadis yang mana Rasulullah SAW bersabda: “Tidak akan berlaku kiamat sehingga waktu terasa begitu pantas, maka setahun dirasakan seperti sebulan, sebulan dirasakan seperti seminggu, seminggu dirasakan seperti sehari, sehari dirasakan seperti satu jam dan satu jam dirasakan seperti satu sambaran api.” (Riwayat at-Tirmizi)

Ujar Ustaz Elyas, menurut para alim ulama, ada beberapa maksud tentang perjalanan masa yang dirasakan begitu pantas. Antara maksud yang dihuraikan adalah umur yang semakin pendek.

Jangan sia-siakan umurBeliau mengajak kita menyoroti sejarah umur manusia akhir zaman dengan umat-umat terdahulu yang mempunyai usia panjang.

“Kita ialah umat Nabi Muhammad SAW. Baginda menjelaskan dalam satu riwayat bahawa umur umatnya adalah sekitar 60 hingga 70 tahun dan hanya sedikit sahaja yang melepas garis usia berkenaan.

“Bukan itu sahaja, ada sebahagian ulama menyatakan, umur sesuatu umat itu adalah mengikut nabi-nabinya. Jika nabi mereka berumur panjang, begitulah halnya kepada mereka.

“Dalam riwayat masyhur, umur Nabi Adam disebut sehingga 930 tahun, Nabi Nuh As (1,050 tahun), Nabi Ibrahim AS (195 tahun), Nabi Ismail AS (137 tahun), Nabi Yaakub AS (144 tahun), Nabi Yusuf AS (110 tahun), Nabi Zakaria AS (300 tahun), Nabi Sulaiman AS (180 tahun), Nabi Syuaib AS (254 tahun), Nabi Hud AS (165 tahun), Nabi Isa ketika di bumi sebelum diangkat ke langit (33 tahun) dan Nabi Muhammad SAW wafat pada usia 63 tahun.

“Melihat umur nabi-nabi berkenaan, begitu jugalah dengan umat mereka. Hidup mereka sekitar usia nabi masing-masing,” katanya sebagaimana dipetik menerusi video bertajuk ‘Kenapa Umur Pendek?’ menerusi laman sosial Facebook miliknya baru-baru ini.

Namun begitu, ujar pendakwah itu, usia seseorang yang pendek tidak semestinya disebabkan oleh zaman, tetapi juga para alim ulama juga menyebut, ia berlaku kerana kematian secara mengejut seperti meninggal pada usia muda.

Baca juga Bukan sahaja dibaca untuk orang meninggal… Ini kebaikan Surah Yasin kepada kita yang masih hidup

“Misalnya, di Malaysia ia disebabkan oleh kemalangan dan sakit jantung.

“Ya, memang ada banyak sebab yang menjadikan umur manusia itu pendek. Namun, kita tetaplah berdoa kepada ALLAH SWT agar kita termasuk dalam kalangan orang yang dikurniakan umur yang panjang,” jelasnya.

Jangan sia-siakan umur

Ustaz Elyas menambah, umur yang panjang ada kelebihan tertentu.

Ujar beliau, Rasulullah SAW ditanyakan tentang siapa manusia paling baik. Baginda menjawab, manusia paling bagus sekali adalah mereka yang berumur panjang dan sepanjang usianya itu, ia diisi dengan amal soleh.

Sementara itu, sabda baginda lagi, manusia yang paling buruk adalah manusia yang paling panjang umurnya, tetapi buruk amalannya, terang beliau.

“Kepada mereka yang berusia panjang, ia merupakan bonus yang patut disyukuri. Sesungguhnya, orang soleh terdahulu memang tidak pernah mensia-siakan masa mereka. Mereka sentiasa memanfaatkan umur yang dikurniakan oleh ALLAH SWT dengan sesuatu yang bermanfaat,” katanya.

Menyambung hujahnya, Ustaz Elyas mengajak kita mengambil teladan daripada kisah Sheikh Ahmad bin Hussain Al-Isfahani, seorang pakar fiqh Mazhab Syafie. Ulama berkenaan dikurniakan umur yang panjang iaitu 160 tahun.

Ketika ditanyakan rahsia berumur panjang, beliau berkata: “Saya sentiasa menjaga anggota tubuh badan saya ini sejak dari muda lagi. Saya jaga daripada melakukan perkara yang ALLAH SWT murkai.”

“Lihatlah betapa ALLAH SWT akan memelihara tubuh badan kita pada hari tua nanti jika kita meninggalkan maksiat sejak muda.

“Ingatlah, siapa yang mengabaikan ALLAH, kelak pada usianya tua nanti, dibimbangi ALLAH akan mengabaikannya,” katanya.

Justeru, beliau berpesan agar kita tidak mensia-siakan umur yang dikurniakan oleh ALLAH SWT dengan perkara yang bermanfaat dan meninggalkan apa yang ditegah oleh-NYA.

“Tak salah untuk kita berdoa kepada ALLAH meraih umur yang panjang, asalkan kita mintalah kepada-NYA umur yang berkat dan diisi dengan perkara yang bermanfaat,” pesannya.

Sumber: Facebook Ustaz Elyas Ismail

Foto: Freepik & Unsplash