Browsing Tag

jangan remehkan kebaikan

Hina Rasulullah
Gaya Hidup,

Kebaikan Kecil Yang ‘Berbuah Manis’, Berikut Penjelasannya

APABILA melihat orang lain mendermakan sejumlah wang yang besar, terasa diri begitu kerdil kerana tidak dapat mengeluarkan duit atau kebaikan sebanyak itu.

Begitu juga tatkala melihat individu lain menyantuni ibu bapa dan ahli keluarganya dengan memberikan wang saku, membelanja makan, hadiah serta seumpamanya.

Sebenarnya, apa sahaja perbuatan yang dilakukan untuk menyenangkan hati, memudahkan urusan dan sebarang perkara yang mendatangkan manfaat kepada orang lain merupakan perilaku yang mulia.

Mudah kata, kebaikan tidak semestinya hanya dengan wang ringgit. Boleh jadi ia datang dalam bentuk yang lain selagi ia memberi faedah kepada sesiapa pun.

Pendakwah Muhammad Fahmi Rusli menerusi ciapan di akaun Twitter miliknya menyarankan masyarakat agar melakukan kebaikan walaupun hanya sekecil-kecil perkara.

MUHAMMAD FAHMI

“Jangan pula kita melakukan keburukan walaupun dengan hanya sekecil-kecil perkara,” katanya.

Ia bertepatan dengan firman ALLAH SWT menerusi kalam-NYA yang bermaksud: “Maka barang siapa mengerjakan kebaikan seberat zarah, nescaya dia akan melihat (balasan)nya. Dan barang siapa mengerjakan kejahatan seberat zarah, nescaya dia akan melihat (balasan)nya.” (Surah al-Zalzalah, ayat 7-8)

Baca juga Jangan Remehkan Atau Kecam Usaha Kebajikan Orang Lain

Muhammad Fahmi yang juga Pegawai Hal Ehwal Islam Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan menjelaskan, orang yang masuk syurga bukanlah mereka yang tiada dosa.

“Sebaliknya, mereka ialah golongan yang mana setelah ditimbang pahala dan dosanya, pahalanya lebih berat. Maka masuklah dia ke dalam syurga.

“Begitu juga halnya dengan orang yang masuk ke dalam neraka. Bukannya mereka tiada pahala, tetapi setelah dihitung, dosanya lebih berat. Akhirnya dia dihumban ke neraka,” ungkapnya.

Ketahuilah bahawa terdapat tiga peringkat kebaikan sebagaimana menurut al-Syinqithi menerusi karyanya, Adhwa al-Bayan yang dilaporkan dalam web uin-antasari.ac.id.

Berikut merupakan perinciannya:

i. Tahap terendah (al-hadd al-adna).

Berbuat baik atau melaksanakan tanggungjawab hanya sekadar melepaskan kewajiban seperti membayar zakat.

Selain itu, bersedekah sunat juga termasuk dalam pengertian itu. Sebagai contoh bersedekah dengan sebiji kurma.

Kebaikan kecil

BERBUAT baiklah kepada sesiapa sahaja dan di mana-mana sahaja.

ii. Tahap pertengahan (al-hadd al-awsath).

Bermaksud berbuat kebaikan atau melaksanakan kewajipan dengan kadar yang mencukupi. Dengan kata lain, ia sekadar boleh menggugurkan kewajipan dan berkongsi dengan kepentingan sendiri.

Ia sebagaimana yang digambarkan oleh anjuran dalam al-Quran iaitu berkelakukan sederhana (tidak berlebih-lebihan) termasuk dalam perihal amal.

iii. Tahap yang tinggi (al-hadd al-aqsa).

Peringkat tertinggi itu adalah melibatkan perbuatan berbuat baik atau melaksanakan kewajipan kepada orang lain walaupun diri sendiri memerlukannya.

Lihat bagaimana sifat yang ditonjolkan oleh kaum Ansar demi kemaslahatan orang Muhajirin ketika mereka berhijrah ke Madinah.

Sesungguhnya, kebaikan yang ditunjangi keikhlasan dan ketulusan hati membuahkan hasil hasil yang begitu manis sepertimana yang digambarkan oleh ALLAH SWT menerusi ayat 7 dan 8, Surah al-Zalzalah.

Malah, keimanan seseorang itu juga dinilai berdasarkan ilmu dan amal yang dilakukannya, lapor portal terkemuka di Indonesia, Republika.

Kebaikan kecil

ALLAH SWT menjanjikan balasan yang baik kepada mereka yang melakukan sedemikian.

Dalam hadis Rasulullah SAW, ada menyatakan bahawa iman mempunyai lebih 70 cabang. Cabang iman yang paling tinggi adalah ucapan Lailaha illallah, manakala yang terendah pula adalah menghilangkan gangguan walaupun duri dari jalan.

Maka disebabkan itulah kita tidak boleh memandang remeh suatu kebaikan walaupun nampak kecil oleh kebanyakan manusia.

“Boleh jadi ALLAH SWT akan membalas amalan yang dilakukan dengan ikhlas dengan pahala yang berkali ganda.

“Ia sepertimana kisah anjing kehausan berkeliaran di sekitar perigi untuk mendapatkan air. Bayangkan haiwan ini dalam keadaan menyedihkan dan hampir mati.

Baca juga Tak Boleh Sakiti Haiwan, Sekalipun Ia Haram Dimakan Atau Disentuh

“Namun begitu, seorang wanita dari Bani Israel kasihan melihatnya. Lalu, dia menanggalkan kasutnya untuk mengambil air dari perigi tersebut dan memberikannya kepada anjing tadi,” katanya dipetik daripada portal berkenaan.

Asbab amal soleh yang dilakukan, maka ALLAH SWT mengampunkan segala dosa yang dilakukan. Meskipun anjing ialah haiwan bernajis bagi umat Islam, tetapi membantunya yang sedang nazak merupakan suatu kebajikan.

Kisah tersebut memberi gambaran bahawa setiap umat Islam hendaklah melakukan kebaikan kepada sesiapa sahaja tanpa mengira latar belakang.

Kebaikan kecil

AMALAN kebaikan tidak semestinya dengan hanya bersedekah, tetapi banyak konteks lain lagi antaranya dengan membuang duri di jalanan dan mengukirkan senyuman kepada orang lain.

Dalam hal itu, terdapat sebuah hadis masyhur yang mana Rasulullah SAW bersabda: “Jangan sekali-kali kamu meremehkan sedikit kebaikan atau kamu mengosongkan bekas airmu untuk mengisinya dengan orang yang sedang mencari air, atau kamu bertemu saudaramu dengan wajah yang ceria.” (Hadis Riwayat Muslim)

Renungkanlah hadis itu sedalamnya supaya ia melorongkan kita untuk melakukan perbuatan baik pada bila-bila masa dan di mana sahaja tidak kiralah dalam hal yang besar mahupun sekecil-kecil pahala.

Foto: Pexels