Browsing Tag

Jangan beri mudarat

Rasulullah SAW menyayangi umatnya sehingga di akhirat. Contohilah keperibadian baginda dengan sebarkan kasih sayang
Gaya Hidup,

Tidak Mampu Bantu, Jangan Pula Beri Mudarat Kepada Orang Lain

no comment

ADAKALANYA kita tidak mampu untuk membantu orang lain. Bukannya sengaja tidak mahu menolongnya, tetapi dek kerana kekangan tertentu membuatkan ia tidak dapat dilunaskan.

Tidak mengapalah jika begitu keadaannya. Namun, usahlah sesekali kita memberikan mudarat kepada orang lain sekalipun tidak mampu membantunya.

Masakan tidak, Islam mengajar umatnya agar memudahkan urusan orang lain. Semoga dengan perbuatan mulia kita itu, ALLAH SWT akan memberikan imbalan yang sama kepada kita kelak saat kita benar-benar memerlukan.

Pendakwah Habib Ali Zaenal Abidin Al Hamid menjelaskan, Rasulullah SAW pernah ditanyakan oleh para sahabat tentang amalan-amalan yang paling baik.

HABIB ALI ZAENAL ABIDIN

Baginda SAW lantas menjawab, beriman kepada ALLAH dan rasul-NYA. Kemudian baginda ditanya lagi apakah amalan seterusnya?

Baginda SAW bersabda: “Beriman kepada ALLAH dan rasul-NYA serta jihad di jalan ALLAH.” Baginda ditanya lagi: “Kalau tidak mampu untuk berjihad?” Jawab baginda: “Tunaikanlah apa yang diperintahkan ALLAH SWT dalam zakat dan sedekahnya.” Baginda ditanya lagi: “Kalau tidak mampu lagi?” Lantas, baginda SAW bersabda: “Hendaklah dia membantu orang lain.”

Ditanya lagi: “Jika tidak mampu membantu orang lain?” Rasulullah SAW bersabda: “Bantulah dirimu untuk tidak menjadi sebab mudarat kepada orang lain.”

Baca juga Sama-sama Hulur Pertolongan Kepada Insan Yang Dihimpit Kesukaran Ketika Pandemik

Ketahuilah bahawa perbuatan tidak memberi mudarat kepada orang lain itu merupakan satu sedekah kepada diri sendiri, jelas pendakwah tersebut.

“Ia adalah dengan cara mencegah diri daripada menjadi asbab mudarat kepada orang lain.

“Oleh sebab itu, orang yang hidup di dunia dengan salam (selamat dan sejahtera), dirinya akan mendengar salam tadi di akhirat kelak,” katanya sebagaimana dipetik menerusi video yang dikongsikan di Instagram miliknya baru-baru ini.

Jangan beri mudarat

ORANG yang sentiasa sebarkan salam, dirinya akan terselamat daripada menyakiti orang lain.

Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW bersabda: “Wahai manusia! Kamu tebarkanlah salam, berjamulah makanan, hubungi silaturahim dan kerjakanlah solat waktu malam di kala manusia sedang tidur, nescaya kamu akan masuk syurga dengan selamat.” (Riwayat at-Tirmizi)

Habib Ali Zaenal Abidin menjelaskan, salam merupakan ucapan daripada Tuhan yang MAHA PENGASIH kepada penghuni syurga.

Maka tidak hairanlah mengapa orang yang hidup di dunia salam, dirinya akan selamat daripada menyakiti orang lain, ungkapnya.

“Orang lain terselamat daripada bahaya dirinya, mulutnya, matanya, telinganya, tangan, bahaya kaki dan hatinya, maka seseorang itu hidup dalam keadaan salam kerana tidak mendatangkan bahaya kepada sesiapa pun.

“Ingatlah, andai kita tidak boleh tolong orang, jangan bahayakan orang lain. Jika tidak boleh senangkan orang, jangan susahkan mereka pula.

“Sebaliknya, bantulah diri kita sendiri dengan tidak membebankan orang lain waima menyusahkan mereka. Itulah sedekah kita terhadap diri sendiri,” nasihatnya.

Foto: 123rf & Freepik