Browsing Tag

jamu orang makan

Menu Rahmah
Berita Semasa,

Menu Rahmah; Jamu orang makan antara kriteria Muslim paling ideal

SEJAK pengumuman Menu Rahmah diperkenalkan hujung bulan lalu, ramai pihak yang memberi maklum balas positif termasuklah para peniaga.

Semakin hari, semakin ramai peniaga dan pemain industri yang menawarkan hidangan berharga RM5 di premis perniagaan masing-masing bagi membantu golongan miskin tegar yang memerlukan makanan siap dimasak.

Ia sehinggakan di Ipoh, Perak misalnya, Menu Rahmah bakal diperluaskan di semua tapak operasi bazar Ramadan di sekitar bandar berkenaan.

Pada awalnya, ada suara-suara tertentu menyatakan harga sebegitu merugikan peniaga kecil memandangkan harga sepinggan nasi, ayam dan sayur siap dimasak dianggarkan berharga RM5.68.

Namun, apabila melihat jumlah pemain industri yang terlibat dalam menawarkan hidangan itu semakin bertambah, jelaslah ia suatu inisiatif yang baik untuk semua orang.

Ia bukan sekadar membantu orang ramai mendapatkan hidangan siap masak dengan harga rendah, tetapi turut memberi rezeki kepada para peniaga terlibat.

Baca juga 12 penyebab pintu rezeki tidak terbuka, ini penjelasannya

Benarlah rezeki tidak salah alamat. Bahkan, sesiapa yang memberi, ALLAH SWT akan memperluaskan rezeki untuknya. Malah, dalam sebuah hadis masyhur ada menyatakan bahawa memberi makan kepada orang lain merupakan kriteria Muslim yang paling baik.

Daripada Abdullah bin Amru RA, ada seseorang yang bertanya kepada Nabi Muhammad SAW: “Islam manakah yang paling baik?” Nabi Muhammad SAW menjawab: “Kamu memberi makan, mengucapkan salam kepada orang yang kamu kenal dan yang tidak kamu kenal.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Berdasarkan hadis berkenaan, menurut pendakwah Ustaz Mohammad Wadi Annuar Ayyub atau lebih dikenali sebagai Ustaz Wadi Annuar, Islam sangat menggalakkan umatnya mengamalkan sifat-sifat mahmudah seperti membantu dan saling hormat menghormati dalam semua keadaan. Ia termasuklah melalui amalan memberi makan kepada orang lain dan saling menyebarkan salam.

USTAZ WADI ANNUAR

Sifat berkenaan dapat melahirkan anggota masyarakat yang rahmah dan bahagia, ungkapnya.

“Ketahuilah, amalan memberi pertolongan dengan menjamu orang yang dikenali atau tidak dikenali boleh mengeratkan hubungan dan menunjukkan sifat kemurahan.

“Orang yang memberi atau bersedekah makanan mahupun wang, nescaya ALLAH akan menambah rezeki kepadanya. Jadilah orang yang paling baik dengan membiasakan diri memberi makan kepada orang lain dan suka memberi salam kepada orang yang dikenali ataupun tidak,” nasihatnya sebagaimana dipetik menerusi hantaran di laman sosial Facebook miliknya.

Baca juga Jangan sesekali ungkit pemberian sedekah yang diberikan. Rosak pahala…

Bukan itu sahaja, imbalan yang diraih lebih ‘lebat’ andai kita menjamu makanan kepada mereka yang berpuasa.

Merujuk kepada artikel bertajuk Fadhilat Memberi Makan Kepada Orang yang Berbuka Puasa yang disiarkan dalam laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, terlalu banyak dalil yang memerihalkan tentang kelebihan menjamu orang yang berpuasa.

Antaranya, Zaid bin Khalid berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Siapa yang memberi makan orang yang berpuasa, maka baginya pahala seumpamanya tanpa sedikit pun kurang pahala orang berpuasa.” (Hadis Riwayat Ahmad, at-Tirmizi dan al-Baihaqi)

Menu Rahmah

MENJAMU orang lain makan merupakan antara amalan yang paling baik dan ia bukan sahaja memberi rezeki kepada mereka yang dijamu, tetapi juga menambah rezeki pelakunya. -Foto: Canva

Dalam hadis yang lain, baginda SAW bersabda: “Sesungguhnya orang yang berpuasa apabila makan bersamanya orang berpuasa yang lain, maka sentiasalah para malaikat mengucap selawat ke atasnya sehingga selesai daripada makannya.” (Hadis Riwayat Ahmad, at-Tirmizi dan al-Baihaqi)

Baca juga Pengguna Twitter ini kongsi cara mudah beri makan kepada orang yang lapar

Nabi Muhammad SAW juga pernah bersabda: “Orang yang berpuasa apabila makan di sisinya orang-orang yang berbuka puasa, nescaya para malaikat berselawat ke atasnya.” (Hadis Riwayat at-Tirmizi dan Ibn Majah)

Seandainya jika dikurniakan rezeki yang lebih, belanja atau jamulah orang lain makan. Sesungguhnya ia suatu amalan yang mulia di sisi Islam.