Browsing Tag

Jalan kaki tunaikan haji

Untitled design - 2022-01-31T114634.819
Jendela Dunia,

Jalan kaki lebih 6,000 km ke Makkah untuk tunaikan haji

BERJALAN kaki beribu kilometer (km) untuk sampai ke Tanah Suci Makkah bagi menunaikan Rukun Islam kelima. Ia kedengaran agak mustahil dan tidak ramai yang sanggup melakukannya.

Namun begitu, perintang tersebut langsung tidak menggentarkan hati seorang lelaki dari England untuk merealisasikannya.

Jejaka bernama Adam Muhammed baru-baru ini selamat sampai ke Silivri, barat laut Turki selepas memulakan usahanya itu sejak 1 Ogos tahun lalu.

Jalan kaki tunaikan haji

ADAM

Usaha kerasnya tersebut dipanggil sebagai ‘perjalanan damai’. Ia dilihat mendapat sokongan ramai sepanjang lelaki itu meniti laluan di situ dengan berbekalkan pedati beroda tiga miliknya yang berfungsi sebagai ‘rumahnya’.

Malah, sebagai tanda sokongan, beberapa orang turut menolak ‘troli’ milik Adam ketika meneruskan perjalanan di Lebuhraya D-100 Silivri baru-baru ini.

Kepada wartawan agensi berita berpengaruh di Turki, Anadolu Agency, Adam memberitahu, dirinya menyasarkan untuk sampai ke Makkah pada bulan Julai untuk menunaikan haji.

Sambil berjalan, Adam dilihat turut ditemani oleh seekor anjing liar yang ‘berkawan’ dengannya di Serbia.

“Saya berharap akan tiba pada masanya untuk menunaikan haji. Saya juga berharap seluruh perjalanan ini dapat diteruskan,” katanya sebagaimana dipetik menerusi portal berita Daily Sabah.

Lelaki warga Iraq yang sudah menetap di England selama 25 tahun itu merentas perjalanan melalui Syria dan kemudian ke Jordan 35 hari selepas melalui Turki.

Menceritakan lanjut, beliau nekad berjalan kaki ke Tanah Suci dari rumahnya demi menyahut keinginannya yang begitu membuak-buak untuk berbuat demikian.

“Ada ‘suara kuat’ dalam diri yang mengatakan saya boleh pergi ke Makkah dengan berjalan kaki dari rumah saya.

“Saya tidak boleh mengabaikan suara ini. Ia benar-benar ‘membakar’ dalam diri saya seperti gunung berapi,” ungkapnya.

Jalan kaki tunaikan haji

ADAM memulakan perjalanan ke Tanah Suci Makkah dari rumahnya di England pada 1 Ogos 2021.

Adam yang bakal melalui laluan Istanbul, Izmit, Yalova, Bursa. Eskisehir, Burdur, Antalya, Mersin dan Hatay di Turki berhajat untuk bertemu dengan Presiden Recep Tayyip Erdogan yang sangat dikaguminya.

“Saya ingin bertemu dengannya apabila saya datang ke Istanbul. Saya berharap beliau sudi meluangkan masa untuk saya,” katanya.

Ternyata kegigihan lelaki tersebut merentas perjalanan yang agak luar biasa itu telah menarik perhatian meluas di Turki sehinggakan ramai mahu membantu pengembara jarak jauh tersebut.

Baca juga Tiada Lagi Sentuhan Manusia, Robot Pintar Ambil Alih Tugas Edarkan Air Zamzam di Masjidil Haram

Menurut portal berita Birmingham Mail, Adam perlu merentas sejauh 6,437 km sepanjang perjalanan damai tersebut.

Untuk rekod, Adam bukanlah individu pertama yang berjalan kaki dari United Kingdom ke Tanah Suci.

Sebaliknya, lelaki British yang bernama Farid Feyadi pernah berbuat demikian dari London pada tahun 2020 bagi mengenyahkan salah tanggapan media Barat tentang Islam.

Foto: Daily Sabah