Browsing Tag

jaga pandangan

Gaya Hidup, Pilihan Editor,

Jangan Curi-Curi Pandang Keadaan Rumah Tuan Rumah Ketika Datang Ziarah

no comment

SEJAK kelonggaran rentas negeri dibenarkan mulai 11 Oktober lalu, ramai yang mengambil peluang untuk menziarahi orang tua, adik beradik dan sanak saudara.

Ya, tidak salah berbuat demikian asalkan menjaga prosedur operasi standard ditetapkan pihak berkuasa. Namun begitu, usahlah kita lupa menjaga adab apabila menziarahi orang lain.

Ini kerana masih terdapat segelintir orang yang suka ‘mencuci’ mata ketika bertandang ke rumah orang lain. Kalau boleh, semua tempat dalam rumah itu ingin diterokainya.

Pendakwah Azhar Idrus mengingatkan bahawa haram hukumnya bagi orang yang datang berziarah mencuri pandang ke dalam rumah yang diziarahinya sekalipun ia merupakan kediaman sanak saudaranya.

AZHAR IDRUS

Ini kerana, katanya, ia dikhuatiri kita mungkin akan terlihat sesuatu yang aib seperti aurat atau suatu yang mereka tidak suka orang lain melihatnya atau seumpamanya.

Firman ALLAH SWT: “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu masuk ke dalam mana-mana rumah yang bukan rumah kamu, sehingga kamu lebih dahulu meminta izin serta memberi salam kepada penduduknya; yang demikian adalah lebih baik bagi kamu, supaya kamu beringat (mematuhi cara dan peraturan yang sopan itu). Maka sekiranya kamu tidak mendapati sesiapa (yang berhak memberi izin) maka janganlah masuk ke dalam rumah itu sehingga kamu diberi izin; dan jika dikatakan kepada kamu “baliklah”, maka hendaklah kamu berundur balik; cara yang demikian adalah lebih suci bagi kamu; dan (ingatlah) ALLAH MAHA MENGETAHUI akan apa yang kamu lakukan.” (Surah an-Nur, ayat 26-27)

Agamawan itu turut mengemukakan pandangan Imam Nawawi yang menyatakan: “Dan bermula sunah adalah bahawa memberi salam, kemudian meminta izin dan hendaklah yang ziarah itu berdiri dekat pintu sekadar tidak dapat nampak orang yang berada di dalam rumah.” (Kitab al-Azkar)

Berdasarkan ungkapan itu, jelas Azhar, jika kita pergi ke rumah orang lain, berdirilah di tempat yang mana kita tidak melihat apa yang ada di dalam kediaman tersebut.

“Begitu juga halnya apabila kita ke rumah orang dan mendapati pintu rumah atau tingkapnya dalam keadaan terbuka. Haram bagi kita mencuri pandang ke dalamnya.

“Seandainya tuan rumah sudah memberi keizinan supaya masuk ke dalam kediamannya, maka janganlah duduk di sembarangan tempat. Sebaliknya, duduklah di tempat yang tuan rumah tunjukkan sahaja,” tegasnya.

Baca juga 4 Golongan Yang Mendapat Doa Malaikat

Curi pandang ketika ziarah

PELIHARALAH adab berziarah ketika bertandang di rumah orang.

Ketahuilah bahawa kita sebenarnya disuruh untuk menjaga hak tuan rumah, terangnya.

“Apa tidaknya, tetamu pada hakikatnya tidak tahu apa yang boleh dan tidak boleh dilihatnya. Sedangkan menjaga hak orang itu adalah satu kewajipan dalam agama.

“Bukankah kita diperintahkan supaya menjaga pandangan ketika berada di jalanan dengan menundukkan pandangan. Bukan apa, takut-takut terpandang suatu yang aib atau fitnah, maka lebih utama kita menjaga pandangan ketika berada di rumah orang,” jelasnya.

Seandainya seseorang mencuri pandang ke dalam rumah orang yang diziarahinya, Azhar menjelaskan, tidak berdosa andai tuan rumah mencederakan mata orang tadi.

Hal ini dikuatkan lagi dengan hadis daripada Ahu Hurairah yang mana beliau berkata Rasulullah SAW bersabda: “Jika ada seorang itu mengintip atas kamu tanpa izin, maka kamu lemparkannya dengan batu dan membutakan matanya, nescaya tidak ada atas kamu itu dosa.” (Riwayat al-Bukhari & Muslim)

Curi pandang ketika ziarah

JANGAN mencuri pandang keadaan dalam rumah yang dikunjungi demi menjaga aib tuan rumah.

Bukan itu sahaja, pendakwah itu menjelaskan, tuan rumah yang mencederakan mata orang yang mencuri pandang tersebut tidak dikenakan diat (hukuman yang dikenakan ke atas seorang yang mencederakan orang lain) dan hukum balas.

Sebelum menoktahkan perkongsian ilmunya, Azhar turut menitipkan pesan agar tidak makan makanan dan minum minuman yang terdapat di rumah tersebut sebelum diberi izin oleh tuan rumah. Hukumnya adalah diharamkan.

Justeru, berhati-hatilah apabila kita bertandang ke rumah orang. Jangan mencuri pandang keadaan sekeliling kediaman orang yang diziarah.

Sumber: Instagram @uaioriginal

Foto: 123rf & Freepik