Browsing Tag

Jaga ibu

Wanita dimuliakan dalam Islam
Gaya Hidup,

Siapa Yang Wajib Jaga Ibu? Ini Penjelasannya

SEORANG ibu mampu menjaga 10 orang anak, tetapi seorang anak belum tentu mampu menjaga seorang ibu.

Demikianlah ungkapan yang sering kali kita dengar daripada orang di sekeliling. Ya, memang sukar untuk menafikan pernyataan tersebut pada masa ini.

Apatah lagi apabila si anak sudah mempunyai keluarga dan kehidupan masing-masing. Tambahan pula, kebanyakan daripada kita berkerjaya tidak kiralah sama ada lelaki ataupun wanita demi kelangsungan hidup.

Namun demikian, kita tidak boleh menidakkan fakta bahawa masih ada insan yang sanggup berhenti kerja demi menjaga ibu bapanya yang sudah tua.

Masya-ALLAH, begitu mulianya hati individu yang berbuat demikian. Ini kerana menjaga kedua-dua orang tua yang sudah lanjut usia memerlukan kesabaran dan penelitian yang tinggi. Apalagi jika mereka sakit.

Sebagaimana ibu bapa menjaga dan mendidik kita sejak lahir, seperti itulah kita perlu menyantuni mereka. Meskipun semua itu dilakukan tanpa sebarang keluh-kesah, namun perlakuan tersebut masih tidak dapat menandingi jasa orang tua kepada si anak.

Timbul persoalan siapakah sebenarnya orang yang paling layak menjaga ibu saat tiada lagi ayah di sisi selepas menemui Penciptanya?

Menjawab pertanyaan itu, pendakwah Ahmad Dusuki Abd Rani menjelaskan, jika begitulah situasinya, maka menjadi tanggungjawab anak lelaki sulung untuk menjaga ibunya.

AHMAD DUSUKI

“Selepas itu, barulah anak-anak perempuannya. Begitupun, jika ibu tadi tidak mempunyai anak lelaki dan hanya ada anak perempuan sahaja, maka dalam hal ini, anak perempuan sulung bertanggungjawab untuk menjaga ibunya.

“Jika tidak, ibu tadi boleh dijaga oleh bapa saudara atau individu seumpamanya yang mana mereka tidak batal sembahyang dengannya,” katanya sebagaimana dipetik menerusi video TikTok yang dikongsikan di laman sosial Facebook miliknya baru-baru ini.

Baca juga Anak Derhaka Tak Layak Cium Bau Syurga! Ini Yang Perlu Diketahui

Meskipun demikian, Ahmad Dusuki menyarankan supaya kita merebut peluang yang ada untuk menjaga insan istimewa yang melahirkan kita ke dunia ini.

“Janganlah kita saling tolak-menolak (untuk menjaga ibu yang sudah dimamah usia) bagaikan bola.

“Bukan begitu caranya, sebaliknya ambillah manfaat daripada keberkatan orang tua kita yang masih hidup. Sesungguhnya, begitu banyak pahalanya.

“Seperkara lagi, jangan pula kita biarkan pahala ini mendatangkan dosa,” pesannya.

Jaga ibu

LAZIMKAN diri untuk menziarahi ibu bapa dengan kerap dan menyantuni mereka.

Mengertilah bahawa kewajipan menjaga dan menyantuni kedua ibu bapa merupakan tanggungjawab anak-anak sebagaimana disebutkan dalam al-Quran.

ALLAH SWT berfirman yang bermaksud: “Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-NYA semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan ‘ha’, dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun).” (Surah al-Isra’, ayat 23)

Sementara itu, memetik artikel Irsyad al-Hadith siri ke-356: Tanggungjawab Anak Terhadap Ibu Bapa yang disiarkan di laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, orang yang sempat berbakti dan bersama kedua ibu bapanya merupakan individu yang sangat bertuah serta beruntung.

“Ini kerana Nabi Muhammad SAW pernah menyatakan bahawa orang yang hina ialah orang yang sempat bersama ibu bapanya, tetapi kesempatan yang ada itu tidak membolehkannya untuk dimasukkan ke dalam syurga,” kata artikel tersebut.

Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda: “Kehinaan, kehinaan, kehinaan”. Baginda ditanya: “Siapa (yang engkau maksudkan) wahai Rasulullah?” Baginda menjawab: “Siapa sahaja yang mempunyai orang tuanya ketika sudah lanjut usia, salah satu atau keduanya, namun tidak (menjadikannya sebab) masuk syurga.” (Hadis Riwayat Muslim)

Justeru, buat mereka yang masih lagi mempunyai ibu atau bapa, berbaktilah kepada orang tua masing-masing selagi masih hidup. Bantulah mereka mengikut kemampuan setakat yang terdaya.

Jaga ibu

BERBAKTI dan taatlah ibu bapa kita selagi mereka masih ada di dunia ini.

Andai insan yang melahir dan membesarkan kita sudah tiada lagi di dunia, sentiasalah mendoakan mereka. Ingatlah, tiada tabir yang menghalang doa anak yang soleh kepada ibu dan bapa meskipun mereka sudah tiada lagi di dunia ini.

Foto: Freepik & 123rf