Browsing Tag

Jadi manusia terbaik

Nilai kemanusiaan
Gaya Hidup,

2 Amalan Menjadi Manusia Terbaik

SETIAP insan secara fitrahnya begitu menyukai kebaikan biarpun empunya diri tidaklah sebaik mana.

Benar, berbuat kebajikan sememangnya tidaklah sesukar mana. Namun, ia memerlukan mujahadah yang tinggi dan memiliki sifat konsisten tidak berbelah bagi.

Pendakwah Mohamad Wadi Annuar Ayub atau lebih dikenali sebagai Ustaz Wadi Annuar menjelaskan, Islam sangat menggalakkan umatnya mengamalkan sifat-sifat mahmudah seperti tolong-menolong, bantu-membantu dan saling menghormati dalam semua keadaan.

WADI ANNUAR

Ketahuilah bahawa sebaik-baik manusia ialah mereka yang memberi makan kepada orang lain dan mengucapkan salam kepada individu dikenali ataupun tidak, ungkapnya.

Ia sebagaimana disebutkan dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Amru RA. Katanya, ada seseorang yang bertanya kepada Nabi Muhammad SAW: “Islam manakah yang paling baik?” Baginda SAW menjawab: “Kamu memberi makan, mengucapkan salam kepada orang yang kamu kenal dan yang tidak kamu kenal.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

“Bayangkan dengan memberi makan kepada orang lain seperti tetamu, jiran tetangga atau orang yang memerlukan seperti mereka yang terkesan akibat Covid-19 dikategorikan sebagai Muslim yang baik.

“Tidak kiralah individu yang dijamu itu dikenali ataupun tidak, amalan tersebut sebenarnya boleh mengeratkan hubungan dan menunjukkan sifat kemurahan.

Baca juga Kebaikan Kecil Yang ‘Berbuah Manis’, Berikut Penjelasannya 

“Bahkan, orang yang memberi atau bersedekah makanan mahupun dalam bentuk wang ringgit, nescaya ALLAH SWT akan menambah rezekinya sepertimana yang disebutkan dalam hadis masyhur Riwayat Muslim,” katanya dalam hantaran di laman sosial Facebook miliknya baru-baru ini.

Satu lagi amalan yang cukup signifikan dan tidak wajar ditinggalkan adalah mengucapkan salam, kata Ustaz Wadi Annuar.
Dengan melazimkan perilaku mulia berkenaan, ia dapat menyebarkan salam (kedamaian) sama ada kepada orang yang dikenali mahupun tidak.

Jadi manusia terbaik

BIASAKAN diri mengucapkan salam tatkala bertemu dengan saudara seagama.

“Malah, sifat sedemikian dapat melahirkan anggota masyarakat yang rahmah (penuh rahmat dan kasih sayang) serta bahagia,” jelasnya.

Dalam hal itu, agamawan tersebut turut memberi peringatan buat umat Islam agar tidak sesekali meremehkan amalan berkenaan.

Ini kerana, jelas beliau, Muslim yang tidak mahu mengucapkan salam setiap kali bertemu dengan saudara seagamanya dianggap sebagai seorang yang bakhil!

Ternyata fakta itu bukanlah omongan kosong semata-mata. Sebaliknya ia dinyatakan secara jelas dalam satu riwayat.

Rasulullah SAW bersabda: “Selemah-lemah manusia adalah orang yang lemah (malas) berdoa kepada ALLAH, dan sebakhil-bakhil manusia adalah orang yang bakhil mengucapkan salam.” (Hadis Riwayat at-Tabarani dalam Mu’jamul Ausath)

Maka, jalan yang paling baik adalah membiasakan diri melakukan kedua-dua amalan yang dianjurkan tersebut, ungkap beliau mengakhiri perkongsian ilmunya.

Foto: Freepik