Browsing Tag

jabatan agama

Untitled design - 2022-10-26T170814.504
Isu, Pilihan Editor,

Wanita wajib siasat jejaka yang akan dinikahi sebelum setuju dijadikan suami

MESKIPUN kebenaran isteri pertama tidak menjadi syarat untuk suami berpoligami, tetapi di dalam enakmen negeri-negeri di mahkamah Malaysia, mensyaratkan ‘perlu mendapatkan kebenaran isteri pertama’.

Sinar Islam Plus mendapatkan pandangan Pensyarah di Fakulti Syariah dan Undang-undang (FSU) Universiti Sains Islam, Malaysia (USIM)Prof Madya Dr Yasmin Hanani Mohd Safian,berhubung perkara tersebut.

Sebelum berlakunya sesebuah perkahwinan, beliau berkata sebaiknya disiasat terlebih dahulu siapa suami yang akan dinikahi.

“Mungkin dalam perkahwinan sedia ada, pernah berlaku kemudaratan atau penderaan terhadap pasangan.

Dr Yasmin berkata, seandainya siasatan tidak dibuat, apabila berlaku perkahwinan berikutnya, kemungkinan penderaan yang pernah terjadi sebelum ini akan dipanjangkan secara tidak langsung.

 

PROF MADYA DR YASMIN HANANI

“Kalau tiada mendatangkan masalah kepada semua pihak yang terlibat, maka ia adalah satu perkahwinan yang sangat dialu-alukan dan menjadi satu sunnah yang dituntut” jelasnya lagi.

Katanya, perkahwinan sepatutnya membahagiakan pihak-pihak yang terlibat, tidak kiralah ia perkahwinan yang pertama, kedua atau keberapa sekali pun. Bukan mengundang air mata sebelah pihak.

“Kita kena sedar perkahwinan adalah akad reda daripada pihak yang terlibat,” ujarnya.

 

Reda isteri pertama sangat penting

Mendirikan mahligai cinta adalah impian semua. Istiadat pernikahan disusuli majlis resepsi  dengan suasana serba sempurna, bersaksikan keluarga serta handai taulan sungguh membahagiakan.

Tetapi situasi itu kebanyakannya hanya berlaku kepada perkahwinan pertama. Sebaliknya, apabila bernikah kali yang seterusnya, pekan Songkhla, Narathiwat, Yala, Pattani dan Satun atau kota Bangkok di Thailand menjadi pilihan.

Mengapa senario ini terjadi, adakah syarat yang ditetapkan di Malaysia untuk bernikah lebih dari satu terlalu menyulitkan?

Dr Yasmin berkata kewujudan pra-syarat yang terlalu ketat menyusahkan pasangan hingga mereka mengambil keputusan tersebut.

“Menerusi kajian yang dibuat ada banyak sebab sehingga terjadinya sedemikian dan antaranya ialah prosedur yang terlalu ketat.

“Namun kita faham setiap undang-undang yang dibuat ada sebab tersendiri. Kebanyakan negeri telah menetapkan sama ada perkahwinan yang kedua itu adakah PATUT atau PERLU.

Dr Yasmin yang merupakan Ahli Majlis Agama Islam Selangor dan Ahli Majlis Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan berkata, perkara yang akan dilihat adalah kepada kemampuan suami, keperluan untuk berkahwin lagi dan penetapan nafkah serta penetapan harta sepencarian kepada isteri yang sedia ada.

“Perlu juga disiasat adakah pernah berlaku pengabaian terhadap keluarga yang sebelumnya. Sebab itu di Malaysia diletakkan syarat perlu mendapat kebenaran isteri pertama, jika tidak ia menjadi satu kesalahan,” jelasnya.

“Dek kerana gagal mendapatkan atau tidak mendapat pengesahan/ keredaan isteri pertama, jalan mudah yang diambil ialah menjalankan perkahwinan di luar negara,” tambahnya lagi.

Kata Dr Yasmin, ada juga situasi di mana isteri pertama dan wali membenarkan, tetapi kerana salah seorang pasangan yang akan bernikah itu dari kalangan warga asing jadi mereka ambil keputusan bernikah di luar negara.

 

Usah melulu bernikah di luar negara

Sesuatu yang umat Islam Malaysia perlu faham ialah, perkahwinan di luar negara tidak boleh dibuat secara melulu.

“Hakim atau wali yang menikahkan itu perlulah diiktiraf. Kita takut perkahwinan itu melibatkan sindiket nikah. Jadi perkahwinan itu perlulah difaraqkan,” katanya.

“Kalau perkahwinan pertama boleh dibuat di Malaysia kenapa perkahwinan yang berikutnya tidak dibuat di negara ini? Ada prosedur yang membenarkan. Tiada masalah pun sebenarnya, cuma orang kita ni suka mencari jalan singkat  untuk berkahwin. Kita khuatir kalau-kalau mereka terjebak dengan nikah sindiket dan mereka yang tidak diiktiraf kerana bukan sahaja undang-undang manusia malahan undang-undang syarak juga tidak mengesahkan perkahwinan itu.”

Untuk bernikah, pihak jabatan agama ujarnya, akan memastikan bukan sahaja lelaki itu seorang yang berkemampuan bahkan bakal isteri juga adalah seorang yang layak berkahwin.

“Ada wanita yang masih lagi menjadi isteri orang tiba tiba berkahwin, isteri yang masih dalam iddah juga berkahwin, bila berlaku sedemikian mereka terpaksa difaraqkan. Banyak kes sebenarnya,” katanya.

 

Peranan wali yang dilupakan

Dr Yasmin turut menyentuh pentingnya peranan wali kerana hakikatnya, wali bukan sekadar menjabat tangan bakal pengantin lelak tatkala sidang pernikahan, malah lebih besar lagi.

 

“Urusan nikah kahwin sebenarnya bukan diletakkan kepada jabatan agama semata-mata, bahkan wali turut memainkan peranan.”

“Wali bukan sekadar hadir ketika majlis akad nikah sahaja. Bahkan perlu memastikan  sekiranya anak, adik atau kakaknya yang ingin berkahwin sebagai isteri kedua atau ketiga memilih bakal suami yang bertanggungjawab kepada isteri yang sedia ada. Wali bertanggungjawab menyaring, menemuduga, memastikan suami kepada wanita dibawah tanggungannya itu mempunyai suami sekufu.

“Pastikan juga adakah si suami itu memberi nafkah yang sempurna kepada anak-anak yang sedia ada. Seeloknya juga wali itu bertemu dengan isteri yang sedia ada (bakal madu), itu peranan wali yang sebenarnya,” tegasnya.

Dr Yasmin merujuk tulisan Imam Al-Ghazali dalam kitab Ihya’ Ulumuddin tentang peranan sebenar seorang wali.

“..yang  telah mengingatkan bahawa seseorang wali itu harus memerhati dan meneliti kelakuan geraklaku calon suami, jangan sampai mengahwini saudara perempuan dengan seorang lelaki yang buruk budi pekertinya atau lemah agamanya ataupun yang tidak sekufu dengan kedudukannya. Sekiranya ia mengahwinkan puterinya dengan seorang lelaki yang zalim atau fasik atau yang lemah agamanya atau peminum arak, maka ia telah melanggar perintah agamanya dan ketika itu ia akan terdedah kepada kemurkaan ALLAH SWT, kerana ia telah mencuaikan persoalan silaturrahim dan telah memilih jalan yang salah.

Selanjutnya Al-Ghazali menceritakan seorang ayah telah datang meminta nasihat kepada Al-Hasan, Katanya: “Telah banyak orang yang datang meminang puteriku, tetapi aku tidak tahu dengan siapa yang harusku kahwinkan dia”. Berkata Al-Hasan: “Kahwinkan puterimu itu dengan orang yang banyak takwanya kepada ALLAH. Andaikata suaminya mencintainya kelak pasti ia akan dimuliakan. Tetapi jika suaminya membencinya maka tiada dianiayainya”.

“Sebab itu Islam memberi status yang tinggi kepada seorang lelaki kerana peranannya sangat besar.

Namun apa yang berlaku, tidak ramai lelaki yang menjalankan tanggungjawab sedemikian, dan itulah kegagalan wali kita sebenarnya,” ujarnya.