Browsing Tag

Isu-isu agama

Amalan lain
Berita Semasa,

Jangan sensasikan isu-isu agama demi laba politik

SEMUA calon, penyokong dan petugas parti terlibat semasa kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diingatkan agar tidak mensensasikan isu-isu agama dan kaum untuk meraih laba politik.

Perbuatan yang boleh menyemai kebencian itu kelak berupaya menyalakan api permusuhan dalam kalangan rakyat Malaysia berbilang bangsa dan agama.

Pada masa sama, kelompok berkenaan juga diingatkan supaya menjauhi budaya menyogok rasuah semata-mata demi mendapatkan sokongan undi kerana dibimbangi calon tersebut mengamalkan perangai korup apabila diserahkan amanah dan kuasa.

Isu-isu agama

JAUHI budaya menyogok rasuah semata-mata demi mendapatkan sokongan undi kerana dibimbangi calon tersebut mengamalkan perangai korup apabila diserahkan amanah dan kuasa. -FOTO: FREEPIK

Demikian antara inti pati teks khutbah Jumaat yang dikeluarkan oleh Jabatan Agama Islam Perak bertajuk ‘Pilihan Raya: Tanggungjawab Ummah Kepada Negara’, minggu lalu.

Di samping itu, Jabatan Agama Islam Perak turut mengingatkan agar semua pihak berkenaan tidak melakukan dosa menyebar fitnah, memaki hamun, mencerca dan mengaibkan lawan semasa berkempen.

“Paling penting, jangan memperdayakan rakyat dengan menjanjikan bulan dan matahari yang tidak dapat dikotakan dan akhirnya rakyat berasa tertipu, selain tidak melakukan perbuatan khianat, merosakkan harta benda awam, melakukan kacau-bilau atau mencetuskan sengketa mengganggu dan menggugat pihak lawan.

Baca juga Rakyat wajib pilih pemimpin, berikut perinciannya

“Selain itu, tidak menggunakan masjid, surau atau institusi agama Islam sebagai tempat berkempen. Patuhilah segala peraturan yang ditetapkan pihak-pihak berkuasa dan para petugas terlibat,” katanya .

Pelantikan pemimpin suatu kewajipan

Dalam teks khutbah itu turut ditekankan bahawa Islam adalah agama yang memandang pemilihan dan pelantikan pemimpin sebagai suatu kewajipan yang perlu dilakukan oleh ummah.

Meskipun kaedah atau cara memilih pemimpin tidak diperincikan dalam al-Quran dan hadis, namun kedua-dua sumber rujukan utama umat Islam itu dan para sarjana Muslim telah memberikan gambaran tentang siapa yang harus dipilih dan seterusnya ditaati.

Isu-isu agama

MENJADI tanggungjawab rakyat untuk mengundi dan memilih pemimpin yang kompeten dalam hal ehwal tadbir urus dan memelihara kesucian agama, keharmonian bangsa dan negara. –PEXELS

Baca juga Jangan tipu rakyat, haram syurga ke atas pemimpin bersikap sedemikian

Malah, ada syarat-syarat tertentu yang harus dimiliki oleh seorang pemimpin.

Pada PRU15 yang bakal berlangsung 19 November depan, rakyat diseru supaya memenuhi tanggungjawab untuk mengundi yang merupakan fardu kifayah.

“Ia adalah tanggungjawab kenegaraan yang sangat dituntut agar dilakukan oleh rakyat. Keengganan untuk memenuhinya bererti melakukan satu pembaziran kerana tidak menghargai kos dibelanjakan oleh kerajaan untuk mengadakan pilihan raya yang memberikan rakyat kuasa memilih kerajaan baharu.

“Para majikan turut mempunyai tanggungjawab kenegaraan, memberikan masa yang cukup, membolehkan para pekerja mereka berpeluang untuk keluar mengundi,” kata teks khutbah berkenaan.

Baca juga Hati-hati pilih pemimpin, jangan sampai ke neraka bersamanya

Renungkanlah firman ALLAH SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya ALLAH menyuruh kamu supaya menyerahkan amanah kepada yang berhak, dan apabila kamu (pemimpin) menjalankan hukum di antara manusia, jatuhkanlah hukuman secara saksama. Sesungguhnya ALLAH sebaik-baik Pemberi pedoman. Sesungguhnya ALLAH sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat.” (Surah Ali ‘Imran, ayat 58)

PRU15 bakal menyaksikan lebih 21 juta rakyat layak dan terdaftar sebagai pengundi dengan 10.7 juta daripada jumlah itu pengundi berusia di bawah 39 tahun, hampir 1.5 juta pengundi 18 ke 20 tahun dan hanya 18 peratus mereka yang berada dalam kumpulan umur atas 60 tahun.