Browsing Tag

isu & hukum

Larangan ke Masjidil Aqsa
Isu, Pilihan Editor,

Perjalanan Israk Mikraj yang penuh hikmah

no comment

BULAN Rejab sememangnya begitu sinonim sebagai ‘madrasah’ atau latihan yang menjadi persiapan kepada kita untuk menuju ke bulan Ramadan yang begitu dirindui oleh umat Islam.

Bukan itu sahaja, dalam kalendar Islam juga tercatat suatu peristiwa yang istimewa dalam bulan berkenaan.

Masakan tidak, tanggal 27 Rejab menjadi saksi kepada satu lagi mukjizat agung Nabi Muhammad SAW. Seperti diceritakan dalam kitab suci al-Quran, ketika itulah ALLAH SWT mengurniakan peristiwa Israk dan Mikraj kepada baginda. Walaupun ulama berbeza pendapat tentang tarikh yang tepat, namun peristiwa itu benar-benar berlaku.

Sesungguhnya, perjalanan luar biasa baginda dari Masjidil Haram di Makkah ke Masjid al-Aqsa di Palestin sebelum dilanjutkan ke Sidratulmuntaha pada satu malam itu sarat dengan pengajaran dan hikmah.

Pun begitu, masih ada yang menyifatkan ia suatu kisah yang mustahil lantaran berfikir menggunakan akal semata-mata.

Itu semua kerana golongan yang dangkal itu beranggapan jarak perjalanan baginda begitu jauh sedangkan tiada kenderaan canggih pada masa itu. Sesungguhnya, bagi ALLAH, tiada yang mustahil atas segala sesuatu.

Apakah hikmah yang tersirat di sebalik peristiwa Israk dan Mikraj? Benarkah beberapa peristiwa yang dikaitkan dengan Israk dan Mikraj datang daripada hadis yang daif dan palsu?

Dimuliakan sepanjang perjalanan

Memberi pencerahan mengenainya, pendakwah Mohd Hassan Adli Yahaya atau lebih dikenali sebagai Imam Muda Hassan berkongsi ilmu.

IMAM MUDA HASSAN

Jelas beliau, Israk merupakan perjalanan baginda SAW dari Masjidil Haram ke Masjid al-Aqsa dengan menunggang buraq.

Mikraj pula katanya, merujuk kepada perjalanan nabi dari Masjid al-Aqsa hinggalah ke langit ketujuh bertemu ALLAH SWT di Sidratulmuntaha.

Ia sebagaimana yang dijelaskan menerusi firman ALLAH SWT: “Maha Suci ALLAH yang telah menjalankan hamba-NYA (Muhammad) pada malam hari dari Masjidil Haram (di Makkah) ke Masjid al-Aqsa (di Palestin), yang KAMI berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya ALLAH jualah yang MAHA MENDENGAR, lagi MAHA MENGETAHUI.” (Surah al-Isra‘, ayat 1)

“Apa yang menariknya, dalam hadis sahih ada meriwayatkan bahawa para malaikat yang menjaga setiap langit itu juga sudah maklum tentang kehadiran nabi, cuma mereka tidak tahu bilakah waktunya?

“Ketika peristiwa berkenaan, Nabi Muhammad SAW naik dari langit pertama hingga langit ketujuh dan berjumpa dengan nabi-nabi terdahulu,” katanya ketika dihubungi Sinar Islam Plus baru-baru ini.

Jelas beliau, begitu mulianya Nabi Muhammad SAW apabila setiap para anbia yang berjumpa baginda pasti akan mengucapkan selamat datang dan mendoakannya.

“Sehinggalah baginda SAW bertemu dengan ALLAH SWT di Sidratulmuntaha. Malaikat Jibril AS yang menemani baginda juga tidak mampu sampai ke sana.

“Nabi Muhammad SAW begitu dimuliakan oleh ALLAH SWT dengan jemputan-NYA. Walaupun ada perbahasan ulama tentang keadaan nabi bertemu ALLAH, namun kita sebagai umat Islam wajib percaya bahawa peristiwa itu benar-benar berlaku,” tegasnya.

Tonton juga [Video] ISRAK & MIKRAJ : Hadiah Ubati Kesedihan Rasul SAW

Kepada satu soalan, Imam Muda Hassan berkata: “Melihat peristiwa yang berlaku kepada Nabi Muhammad SAW ketika Israk Mikraj yang mana baginda melihat dunia seperti wanita, kaum yang menuai hasil berulang kali dan sebagainya, saya maklum ada kalangan asatizah menyatakan hadis yang meriwayatkan perihal itu dikatakan palsu dan daif.

“Ya, memang ada pertikaian kerana ada sesetengah kitab-kitab lama menyebut tentang perkara ini dan itu dengan dalil masing-masing.

“Apa-apa pun, kita meraikan ulama-ulama terdahulu. Pastinya mereka sudah mengkajinya terlebih dahulu. Dari segi adab berilmu, tiada masalah untuk kita mencari kebenaran lagi.”

Israk Mikraj

PERISTIWA Israk dan Mikraj ada dirakamkan dalam kitab suci al-Quran yang membuktikan kebenaran mukjizat Nabi Muhammad SAW.

Justeru, Imam Muda Hassan mengingatkan agar sebaiknya kita merujuk kepada kitab-kitab yang lebih sahih.

“Andai kata, kita mendengar ada ustaz atau ustazah yang menceritakan peristiwa berkenaan, ambillah ia sebagai pengajaran. Walaupun martabat hadis itu mungkin lemah atau berstatus daif, tiada masalah untuk mengambil iktibar daripadanya,” ujarnya.

Sabar dengan ujian

Menyambung hujahnya, Imam Muda Hassan menjelaskan, perjalanan luar biasa Rasulullah SAW ketika peristiwa Israk dan Mikraj itu terselit banyak hikmah di sebaliknya.

Antara yang paling besar adalah ibadah solat yang menjadi ‘hadiah’ bukan sahaja kepada Nabi Muhammad SAW, tetapi kita sebagai umat baginda.

Bayangkan, Rasulullah sebelum itu telah melalui fasa yang perit. Baginda berdukacita selepas kewafatan isteri tercinta, Khadijah binti Khuwailid dan bapa saudaranya, Abu Talib. Merekalah ‘orang kuat’ nabi ketika menyebarkan risalah dakwah.

“Kesedihan nabi kian bertambah apabila masyarakat Arab Quraisy semakin terbuka memulaukan baginda kerana pak ciknya sudah tiada. Kemudian, apabila baginda pulang ke tempat baginda dibesarkan di Taif pula untuk ubati luka, nabi dibaling dengan batu.

“Nabi mengadu kesedihannya kepada ALLAH SWT. Namun, baginda tidak pernah sesekali patah semangat dan berputus asa, tetapi kembali kepada ALLAH,” ujarnya.

Israk Mikraj

DIDIKLAH anak-anak sejak kecil lagi supaya menghayati pelbagai peristiwa penting dalam sejarah Islam bagi membentengi mereka daripada perkara yang bertentangan dengan syarak.

Melihat peristiwa berkenaan, jelas Imam Muda Hassan, ia sebenarnya begitu sinonim dengan keadaan kita yang masih bergelut dengan wabak Covid-19 kini.

“Benar, ramai orang yang terkesan dengan impak yang bukan calang-calang. Ada yang hilang pekerjaan, ekonomi tidak menentu, kadar kematian tinggi dan ditambah pula dengan Perintah Kawalan Pergerakan.

“Melalui kisah Israk dan Mikraj ini, kita belajar bahawa selepas kesusahan itu pasti akan ada kegembiraan. Insya-ALLAH, jika kita terus kembali kepada-NYA dan bersabar, kelak kita akan melalui fasa kegembiraan seperti yang dilalui oleh baginda SAW tadi.

“Oleh itu, teruslah kita menjaga hubungan baik dengan ALLAH, DIA pasti akan membuka pintu yang hebat kepada kita satu hari nanti,“ katanya.

Tiga asas penting

Sementara itu, pendakwah Abu Bakar Ali As-Sudani menjelaskan, ALLAH SWT menjadikan Israk dan Mikraj itu sebagai pengakuan kepada ajaran Islam sebenar yang dibawa oleh Rasulullah SAW.

ABU BAKAR

Secara umumnya, ujar beliau, peristiwa berkenaan memberikan tiga asas penting dalam agama yang mesti kita ketahui dan miliki. Ia melibatkan akidah, syariat dan akhlak.

“Dari segi akidah, di sini kita lihat bagaimana Saidina Abu Bakar as-Siddiq mempertahankan akidahnya melalui kebenaran yang dibawa oleh Rasulullah SAW. Peristiwa itu juga menyaksikan pensyariatan ibadah solat.

“Begitu juga dari segi akhlak yang ditonjolkan oleh khalifah Islam pertama apabila beliau menerima apa yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW,” katanya.

Meskipun peristiwa berkenaan kelihatan seperti tidak logik pada akal manusia, namun Abu Bakar menjelaskan, Rasulullah SAW berjaya membuktikan kebenarannya kepada bangsa Quraisy ketika itu.

Beliau kemudian menceritakan tentang pertanyaan-pertanyaan yang pernah dibangkitkan oleh kaum berkenaan untuk mendapatkan kepastian.

“Antara soalan yang ditanyakan adalah berkaitan rombongan dagang mereka yang kebetulan pergi ke Palestin. Dengan penuh terperinci baginda menjelaskan bahawa ada melihat gerombolan berkenaan hinggakan detik mereka tercari-cari unta yang hilang turut diceritakan.

“Bahkan, segala pertanyaan tentang rombongan itu dijawab dengan baik. Malah, kebenaran turut dipersetujui oleh kaum berkenaan, cuma mereka enggan mengakuinya dan menggunakan hujah tidak logik untuk menolak peristiwa tersebut,” jelasnya.

Apa-apa pun, ujar Abu Bakar, bingkisan Israk dan Mikraj itu menjadi langkah penghubung di antara Masjidil Haram dan Masjid al-Aqsa.

Israk Mikraj

PERISTIWA Israk dan Mikraj menjadi langkah penghubung antara Masjidil Haram dan Masjidil Aqsa. -FOTO: YUSUFF HASSAN & SHAHRIZAN DAUD AT-TURABI

“Masjidil Haram mengingatkan kita kepada kenangan Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail AS dengan beberapa peninggalan mereka.

“Sementelah, Majis al-Aqsa merupakan tempat turunnya wahyu dan negeri para nabi yang telah diutus oleh ALLAH dengan hidayah-NYA,” ujarnya.

Hanya ALLAH pengubat kesedihan saat kita ditimpa musibah

Peristiwa Israk dan Mikraj merupakan kisah benar yang berlaku ke atas Nabi Muhammad SAW. Ia diceritakan sebanyak dua kali dalam al-Quran secara terperinci. Mukjizat itu membuktikan kebesaran ALLAH SWT yang berkuasa atas segala sesuatu mengikut kehendak-NYA.

Pendakwah Wan Akashah Wan Abdul Hamid menjelaskan, Israk dan Mikraj mengajar kita bahawa ALLAH SWT menjadi ‘ubat’ saat kita sedang dirundung kesedihan.

WAN AKASHAH

Masakan tidak, katanya, perjalanan luar biasa Rasulullah SAW itu berlaku ketika baginda masih berdukacita selepas kehilangan dua insan tersayang iaitu isterinya, Saidatina Khadijah binti Khuwailid dan bapa saudaranya, Abu Talib.

“Dalam peristiwa itu, ALLAH menggembirakan hati baginda SAW dengan melihat balasan yang diterima oleh orang yang sabar dan melakukan kebaikan. Nabi Muhammad SAW juga dipertemukan dengan para nabi dan rasul-rasul sebelumnya.

“Sebab itulah apabila kita dilanda kesedihan, ‘ubatnya’ adalah janji-janji ALLAH SWT iaitu syurga dan nikmat yang ada di dalamnya. Itulah imbalan yang disediakan kepada mereka yang sabar dan reda atas kesedihan yang menimpa,” katanya baru-baru ini.

Bukan sahaja Rasulullah SAW, para anbia dan rasul-rasul terdahulu juga tidak terlepas daripada ujian.

Wan Akashah kemudian mengajak umat Islam menyelami keperitan ujian yang dialami Nabi Ayub AS. Baginda merupakan seorang yang kaya-raya dengan harta yang melimpah-ruah dan hidup bahagia.

Namun begitu, katanya, syaitan menyatakan Nabi Ayub AS rajin beribadah kerana hidupnya dilimpahi kesenangan.

“Lalu, ALLAH SWT pun menguji baginda dengan ujian yang berat. Bayangkan harta bendanya termasuk ladang dan ternakannya habis musnah. Bahkan, semua anaknya yang seramai 12 orang meninggal dunia serta-merta dalam satu kejadian atap runtuh di rumah baginda.

“Belum tamat rasa kesedihan itu, baginda diuji lagi dengan kesakitan yang dahsyat sehinggakan melumpuhkan fizikalnya untuk beribadah. Isteri Nabi Ayub ada bertanyakan mengapa baginda AS tidak meminta bantuan daripada ALLAH SWT.

“Begitupun, baginda menyatakan bahawa mereka baru menderita beberapa tahun berbanding nikmat yang dikurniakan ALLAH selama berpuluh-puluh tahun lamnya. Baginda memilih untuk bersabar dan tidak mengeluh sedikit pun,” katanya.

Berdasarkan kisah itu tadi, ujar Wan Akashah, ubat kepada kesedihan tadi hanyalah kembali kepada ALLAH SWT.

“Hanya DIA yang boleh memberikan kesembuhan dan merawat kesedihan kita,” nasihatnya.

ANEKDOT

MESEJ penting dalam peristiwa Israk dan Mikraj

1. Penyucian zahir dan batin.

Sebelum peristiwa itu, Nabi Muhammad SAW dibelah dadanya oleh Malaikat Jibril AS. Hati baginda dicuci dengan air zamzam sebagai persediaan agar baginda mampu memikul amanah besar dalam Islam.

Disebabkan itu, kita disarankan untuk membersihkan jiwa daripada kekotoran dosa ke arah pembentukan Muslim yang kamil.

2. Sentiasa taat kepada ALLAH.

Perjalanan Rasulullah SAW dari Makkah ke Palestin memperlihatkan bagaimana baginda bersolat setiap kali berhenti di tempat-tempat
bersejarah antaranya Thaibah atau Yathrib yang kemudiannya dikenali dengan nama al-Madinah alMunawwarah.

Baginda mengajar kita menjadi umat terbaik yang taat kepada ALLAH SWT dalam apa jua keadaan.

3. Masjid sebagai syiar Islam.

Israk Mikraj

PELIHARALAH rumah ALLAH yang bukan sahaja menjadi kiblat umat Islam, tetapi juga syiar agama ditegakkan.

Peristiwa berkenaan menunjukkan bahawa masjid memainkan peranan penting dalam mengharmonikan kehidupan manusia di dunia dan akhirat. Ia bukan tempat ibadah semata-mata.

Sebaliknya, masjid adalah syiar Islam agung yang mesti dipelihara kesuciannya.

4. Islam agama semua para nabi.

Di Masjid al-Aqsa, Jibril telah mendahulukan Nabi Muhammad SAW berbanding dengan nabi-nabi yang lain. Baginda mengimamkan mereka dalam solat sebelum diangkat ke langit. Ini menunjukkan bahawa Islam adalah agama yang bersifat universal merangkumi semua nabi dan bangsa.

Sumber: https://www.islam.gov.my/

Foto: Freepik & Republika.co.id