Browsing Tag

istiqamah

Syawal
Gaya Hidup,

7 cara ‘segarkan’ Syawal kita, nombor 3 sering dipandang enteng

7 cara ‘segarkan’ Syawal kita, nombor 3 sering dipandang enteng

SEPERTI Ramadan yang telah pergi, Syawal al-Mubarak juga akan berlalu. Namun, alangkah indah andai kehadiran bulan mulia ini diraikan sepenuh hati. Bukan sekadar muncul bagai embun pagi, yang akan hapus disaring terik mentari.

Syawal sama seperti bulan bulan Islam lain di dalam takwim Hijri. Hadirnya penuh barakah, diiring kebaikan dan maghfirah yang melimpah. Bengkel kerohanian yang dilazimi selama 30 hari sepanjang bulan puasa sewajarnya diteruskan sebaik sahaja pesta Aidilfitri usai disempurnakan. Justeru, apa kata, anda dan saya terus segarkan Syawal ini dengan tujuh agenda utama seperti berikut:

1. Dekatkan diri kepada al-Quran.

Sepanjang Ramadan lalu, anda sempat mengkhatamkan al-Quran atau beberapa surah, kenapa tidak jika pada bulan-bulan yang lain kita susun jadual agar mempunyai masa untuk membacanya?

Mungkin kaedah yang paling mudah untuk membaca kitab suci itu ialah dengan bangun awal sebelum Subuh atau mengambil masa rehat jam 12.30-2.00 petang bagi yang bekerja. Tidak perlu banyak, cukup satu atau dua halaman sudah memadai. Yang penting istiqamah.

Baca juga Memang mudah baca al-Quran tulisan rumi, tapi elakkanlah. Ini sebabnya…

2. Menghadiri rumah terbuka.

Syawal

PENUHI jemputan menghadiri rumah terbuka agar hubungan silaturahim sesama kita semakin akrab. -Gambar hiasan/ Foto: Bernama

Rumah terbuka menjadi satu tradisi bagi masyarakat kita dengan tujuan menghubungkan silaturahim berdasarkan hadis Nabi Muhammad SAW: “Barang siapa ingin dipanjangkan umurnya, dilapangkan rezekinya dan dihindarkan daripada kematian yang buruk maka hendaknya dia bertakwa kepada ALLAH dan menyambung silaturahim (tali persaudaraan).(Hadis Riwayat Ahmad)

Tapi jangan anda lupa, makanlah berpada-pada agar kesihatan terjaga.

3. Istiqamah dengan ibadah.

Madrasah Ramadan meninggalkan kesan mendalam kepada Mukmin yang memanfaatkan bulan ini dengan ibadah dan amalan soleh, manakala hasil daripada tarbiahnya diharapkan mampu membimbing kita mengharungi sebelas bulan akan datang.

Momentum ibadah ini tidak terhenti begitu sahaja, bahkan bakal diteruskan dengan ibadah berpuasa enam hari di bulan Syawal. ALLAH SWT menjanjikan ganjaran pahalanya amat besar disisi-NYA.

Daripada Abu Ayyub al-Ansari RA menyatakan bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang berpuasa sebulan Ramadan kemudian diikuti dengan puasa enam hari di bulan Syawal, maka dia mendapat ganjaran pahala seperti berpuasa sepanjang tahun.” (Hadis Riwayat Muslim)

Baca juga Tip dan trik istiqamah beribadah selepas Ramadan

4. Terus memburu kebaikan.

Syawal

LAKUKAN apa jua kebaikan meskipun kecil. -Foto: 123rf

Sering berlaku apabila Ramadan berlalu, segala rutin kebaikan yang dahulunya sebati dalam diri bertukar kembali seolah-olah Ramadan tidak pernah kunjung tiba. Solat berjemaah kini menjadi asing pada diri, al-Quran mula ditinggalkan tersusun rapi di rak, silaturahim dalam kalangan jiran tetangga tidak lagi dihayati, fakir miskin dan anak-anak yatim tidak dipeduli dan disantuni lagi.

Mengapa agaknya nafsu yang dididik sepanjang Ramadan gagal ditundukkan di luar Ramadan? Mungkin sifat mazmumah itu boleh dikikis dengan melazimkan diri dengan bersedekah. Lazimi diri menghulur paling sedikit RM1 ke dalam tabung masjid.

Bila keluar dengan kawan, usah takut untuk sesekali belanja mereka sama ada sarapan pagi atau minum petang. Takkan rugi bahkan semakin merapatkan ikatan persahabatan.

5. Ramadan berlalu dan ketaatan menetap.

Segala ibadah dengan niat yang ikhlas pasti membuahkan hasil bagaikan petani menuai hasil tuaian selepas penat menjaga tanamannya.

Justeru perbaikilah niat kita bukan kerana hadirnya Ramadan tetapi demi menunaikan ketaatan kepada ALLAH. Semoga segala ibadah yang anda kerjakan terus sebati dalam jiwa.

Syawal

ISTIQAMAH lakukan ibadah dan amal soleh pada bila-bila masa termasuk bulan Syawal. -Foto: Pexels

Istiqamah melakukan ketaatan merupakan satu ujian buat diri. Ia menuntut kepada ilmu dan amal yang bertunjangkan akidah yang sebenarnya kepada ALLAH.

Baca juga Biarlah kebaikan yang dibuat kecil di mata manusia, tapi berterusan. Itulah yang paling dicintai ALLAH

6. Perjalanan menuju haji.

Bagi bakal jemaah haji pastinya Syawal dinanti. Segala persiapan mula disusun rapi. Ilmu berkenaan haji mula ditekuni agar pelaksanaan haji dapat dilaksanakan dengan tenang dan teratur.

Bukan setakat persiapan material dan spiritual bahkan fizikal perlu dijaga. Rajinkan diri untuk bersukan dan bersenam demi persiapan fizikal. Paling tidak berjalan kaki di padang atau di kawasan kampung bersama-sama suami dan isteri.

7. Kemaafan dendam yang terindah.

“Duhai bonda, duhai ayahanda dengarlah rayuan anakanda yang jauh di mata”. Ingat lagi 30 hari lalu, lagu ini menjadi siulan dan trend TikTok buat anak-anak perantauan yang merindui kedua orang tuanya.

Baca juga Minta maaf, tapi tak salam

Justeru, ambillah peluang, isi Syawal ini untuk anda menjalankan tanggungjawab sebagai anak kepada orang tua. Mohon ampun sebanyak-banyaknya daripada mereka.

Syawal

POHONLAH kemaafan daripada insan di sekeliling kita pada Syawal ini. Pada masa sama, maafkan juga kesalahan orang lain pada kita. -Foto: 123rf

Maafkanlah juga segala kekhilafan yang pernah dilakukan oleh ibu dan ayah suatu tika dahulu. Jadikan Syawal sebagai permulaan terbaik anda memulakan kehidupan baru sebagai anak. Tidak rugi jika anda memulakan langkah memaafkan walaupun kadangkala ia sungguh berat untuk dilaksanakan.

Syawal tahun ini juga mampu menjadi permulaan muhasabah diri menjadi seorang Mukmin sejati. Usah merayu Ramadan yang telah pergi untuk kembali tetapi teruskan segala kebaikan yang telah dilakukan sebagai tranformasi diri kearah yang lebih baik.

***Artikel ini ditulis oleh pendakwah bebas, Hairul Hakim Ahmad

Doa untuk orang bukan Islam
Gaya Hidup,

7 Teknik berdoa yang bakal menjemput Rahmat ALLAH

 

Oleh FOUZIAH AMIR

 

DOA adalah senjata Mukmin. Doa selalu dikaitkan dengan impian dan harapan, namun bagaimanakah doa impian menjemput rahmat ALLAH SWT?

Akademi Sinergi Ikhlas Sdn Bhd menganjurkan program Doa Impian 2022 secara hibrid iaitu secara maya dan fizikal di Kompleks Kumpulan Karangkraf, Shah Alam pada 29 Januari lalu. Jurulatih utamanya, Fazrul Ismail berkongsi ilmu mengenai doa cara nabi dan rasul yang menjadi panduan umat Islam untuk menjemput rahmat dan anugerah daripada ALLAH SWT.

Berikut tujuh teknik berdoa yang diinspirasikan daripada amalan para Nabi dan Rasul terdahulu.

 

  1. GABUNGKAN PEMIKIRAN & PERASAAN

Inti pati dalam berdoa adalah pemikiran dan perasaan yang membawa tawakal kepada ALLAH. Dalam surah al-Asr, ALLAH menyatakan tentang masa. Ia berkaitan dengan usia. Manusia yang rugi usia kehidupannya dengan berseronok semata-mata, melainkan bagi yang beriman, beramal soleh dengan kebenaran dan kesabaran.  Jiwa Iman dikaitkan dengan gabungan pemikiran dan perasaan. Inilah dikatakan doa impian, yang ada perasaan dan menjiwai. Rugi jika kita berdoa tapi kosong jiwa dan pemikiran.

 

  1. ISTIQAMAH BERDOA

Tanda orang serius yang berdoa akan melakukannya pada siang dan malam termasuk solat tahajud. Sentiasa ikuti piawaian al-Quran untuk berdoa agar ALLAH memandu kita beramal melalui petunjuk dan hidayah-NYA.

Mafhum firman ALLAH di dalam ayat 73, surah al-Qasas : “Dan kerana rahmat-NYA. DIA jadikan untukmu malam dan siang, agar kamu beristirahat pada malam hari dan agar kamu mencari sebahagian kurniaan-NYA (pada siang hari) serta agar kamu bersyukur kepada-NYA.”

 

  1. JADI HAMBA YANG TAHU BERSYUKUR

Syukuri nikmat ALLAH setiap ketika. ALLAH  pasti akan menambahkan nikmat-NYA kepada orang yang bersyukur.

 

  1. TAWADUK / MERENDAH DIRI

Berdoalah sebagai jiwa hamba yang bersungguh-sungguh dengan pemikiran dan perasaan agar dimakbulkan dan diberi keberkatan. Maksud jiwa hamba adalah merendah diri dan rasa amat memerlukan ALLAH.

ceritakan keadaan diri yang memerlukan, ketakutan atau kelemahan, mohonlah apa yang dikehendaki dan mohonlah apa yang membawa ke akhirat

  1. LAZIMKAN MEMBANTU INSAN LAIN

Untuk menggandakan kebaikan pada tahun ini, kita jangan pentingkan diri. Sebaliknya sentiasa bersedia membantu orang lain, kemudian memohon doa kepada ALLAH. Inilah doa impian mengikut piawaian al-Quran. Ayat 24 di dalam surah al-Qasas merakamkan kisah Nabi Musa AS membantu dua perempuan mengambil air. Ketika itu Baginda AS dalam keadaan letih bermusafir, tiada tempat tinggal, pekerjaan dan makanan. “Selepas memberi pertolongan, Nabi Musa berdoa kepada ALLAH SWT, “Ya Tuhanku, sesungguhnya aku sangat memerlukan sesuatu kebaikan (makanan) yang ENGKAU turunkan kepadaku.”

 

  1. BERDOA SAMBIL DISERTAKAN RASA TAKUT KEPADA ALLAH

Kaedah doa impian Nabi Zakaria AS di dalam Surah Maryam ayat 4 hingga 6, ialah doa yang disertakan rasa takut dan mengadu kepada ALLAH SWT, menceritakan keadaan diri yang memerlukan, ketakutan atau kelemahan, bermohon apa yang dikehendaki dan mohon apa yang membawa ke akhirat. Nabi Zakaria AS memohon zuriat bagi legasi agama bukan sekadar keperluan di dunia, malah membawa ke akhirat.

 

  1. TETAP BERTAWAKKAL

Doa juga membawa kita kepada syukur, iman dan tawakal. Apa jua doa yang dipohon, hanya ALLAH YANG MAHA TAHU apa yang baik untuk kita. Sebagai hamba, berdoalah dengan penuh keimanan dan pemikiran yang membawa legasi ke akhirat, mudah-mudahan doa itu akan menjemput rahmat ALLAH.

 

Untuk maklumat lanjut program Doa Impian akan datang, layari https://www.facebook.com/akademisinergi/