Browsing Tag

Istihadah

Menjaga wuduk
Ibadah,

Sah hanya untuk satu solat fardu, ini cara wuduk sebenar wanita istihadah

TERDAPAT segelintir wanita yang mengalami masalah istihadah disebabkan pelbagai faktor termasuk kesihatan dan sebagainya.

Ramai yang menggelarnya sebagai ‘darah penyakit’ kerana ia tetap mengalir sekalipun bukan dalam tempoh haid atau nifas.

Menurut portal Addeen, ada beberapa jenis darah istihadah yang berlaku seperti berikut:

i. Kurang daripada tempoh minimum haid iaitu tidak sampai sehari semalam.
ii. Melebihi tempoh haid iaitu melewati 15 hari.
iii. Sebelum didatangi haid atau selepas putus haid (menopaus).
iv. Melewati tempoh maksimum nifas iaitu lebih 60 hari.
v. Melepasi kebiasaan tempoh datang bulan dan darah nifas serta melangkaui tempoh yang paling lama bagi kedua-dua hadas besar berkenaan.

Jika berlaku salah satu daripada situasi dinyatakan, maka wajib bagi kaum Hawa tadi untuk mendirikan solat sekalipun darah masih mengalir.

Baca juga Darah Haid Terputus-putus Dan Ini Yang Muslimah Perlu Tahu

Ia bertepatan dengan satu riwayat yang memerihalkan seorang wanita bertanyakan kepada Rasulullah SAW tentang kefarduan solat dalam keadaannya yang sedang istihadah.

Aisyah RA menceritakan: “Fatimah binti Hubaisy menemui Nabi Muhammad SAW: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya saya ini seorang wanita yang didatangi istihadah dan saya masih belum suci. Adakah saya perlu meninggalkan solat?”

Baginda SAW menjawab: “Tidak, sesungguhnya itu adalah pendarahan dan ia bukanlah haid. Apabila darah haid datang, tinggalkanlah solat, dan apabila ia berlalu (tamat tempohnya), maka basuhlah darah (mandi wajib) itu daripada kamu dan dirikanlah solat.” (Hadis Riwayat Muslim)

Cara wuduk wanita istihadah

Kepada individu yang berdepan dengan masalah itu, ketahuilah bahawa cara wuduk mereka tidak sama dengan perbuatan lazim kita lakukan setiap kali hendak beribadah.

Pendakwah Ustaz Syed Abdul Kadir Aljoofre menjelaskan, perempuan tersebut hendaklah membersihkan darah dan tempat keluar darah berkenaan serta menukar tuala wanita sebelum berwuduk apabila masuk waktu solat.

USTAZ SYED ABDUL KADIR ALJOOFRE

“Semasa membasuh muka, niatkan wuduk itu untuk membolehkannya solat dan bukannya berniat untuk mengangkat hadas. Ini kerana hadasnya tidak terangkat kerana darah sentiasa keluar.

“Usai berwuduk, maka cepat-cepatlah mendirikan solat fardu. Jika dibuat lambat dan darah masih mengalir, maka batallah wuduk berkenaan jika sengaja dilengahkan (menunaikan solat fardu).

“Bagaimanapun, sekiranya dalam tempoh selepas wuduk, individu itu memakai telekung, menunggu iqamat dan sebagainya dan darah masih keluar, ia dimaafkan,” katanya sebagaimana dipetik menerusi video yang dikongsikan di laman sosial Facebook miliknya baru-baru ini.

Baca juga Tempoh minimum haid adalah 24 jam. Kalau kurang, bukan period namanya…

Dalam hal itu, Ustaz Abdul Kadir Aljoofre memberi peringatan bahawa satu wuduk itu hanya sah untuk satu solat fardu sahaja.

Namun begitu, bagi mereka yang mahu melakukan ibadah sunat lain, penceramah itu menjelaskan, tiada masalah berbuat demikian.

Istihadah

TIADA masalah bagi wanita istihadah untuk melakukan ibadah sunat lain seperti membaca al-Quran dengan wuduk yang sama. -FOTO: 123RF

“Tidak kiralah berapa ratus rakaat solat sunat, ia boleh dilakukan. Begitu juga dengan solat jenazah. Andai hendak baca al-Quran sehingga khatam pun boleh dilaksanakan.

“Cuma kena ingat, satu wuduk tadi tidak boleh digunakan untuk berulang-ulang solat fardu. Itu tidak boleh dilakukan,” tegas beliau.

Kepada mereka yang menghadapi masalah istihadah, ikutilah panduan sebagaimana digariskan dalam Islam. Jangan meremehkan bab solat yang menjadi tiang agama kita.

Bukan sahaja golongan wanita, kaum Adam juga kena cakna dengan isu-iu sebegini. Bukan apa, mereka ialah ketua keluarga yang patut memberi bimbingan kepada isteri dan anak-anak jika berdepan dengan situasi tersebut.

Ikuti kami di TiktokInstagramFacebookTwitter dan Youtube Sinar Islam Plus